Halaman

Terima kasih Jadi Kawan Blogger Saya

Khamis, 30 Oktober 2014

Walau Sedih Diteruskan Juga - Faris Dan Sakinah

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ



Lebih kurang 20 hari arwah suami saya kembali ke rahmatullah dalam keterpaksaan saya teruskan juga perkahwinan anak perempuan saya Sakinah kakak kepada Salam.  Memandangkan perkara yang baik tidak harus ditangguhkan.  Lagi pun sudah banyak duit dikeluarkan untuk majlis ini.  Saya harap Allah ampunkan saya kerana mengadakan Majlis ini walaupun dalam keadaan saya tidak sepatutnya berada di Majlis-majlis begini.

Majlis pernikahan dijalankan pada 17 Oktober 2014 di masjid Sultan Sallahuddin Abdul Aziz Shah (Masjid Negeri Shah Alam) dinikahkan oleh abangnya sendiri, Dzulkarnain yang juga menjadi wali menggantikan abahnya.



Majlis kenduri diadakan pada 18 Oktober 2014  di Dewan Dahlia, Seksyen 24, Shah Alam.  Saya mengucapkan terima kasih kepada tetamu yang hadir.  Saudara mara dan kawan-kawan.  Sangat berterima kasih juga kepada 3 orang bekas boss saya dan isteri kerana mereka ni selalu hadir dalam hidup  saya ketika saya susah dan senang.

Inilah beberapa gambar di Majlis berkenaan.  





Ada beberapa gambar saya dengan kawan-kawan dan saudara mara.

 Dengan Kak Werdah

Saya gembira sangat bila Kak Werdah blogger dari Blog Bangkit Semula dapat menghadirkan diri di Majlis ini.  Terima kasih kak Werdah.


 Kawan Mengaji Al Quran

Adik beradik arwah suami saya 

Kawan-kawan semasa bekerja dulu

Alhamdulillah Majlis berjalan sebagaimana diharapkan.  Sebagai ibu saya doakan mereka berdua bahagia ke akhir hayat.  Dimurahkan rezeki dan diberikan kesihatan yang baik.  Aamiin.

Rabu, 29 Oktober 2014

Salam Dan Amira

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Sejak akhir-akhir ni saya jarang update blog saya.  Sebenarnya kekekangan masa dan kemalasan yang melanda menjadikan blog ni agak terbiar.

Dalam kesepian dan kesedihan yang masih membayangi diri atas pemergian arwah suami, hari ini saya ingin catatkan sesuatu yang sepatutnya sudah lama saya catatkan.  Yerlah semua sebagai kenangan dan ingatan di masa hadapan.

Pada 17 Mei 2014 anak bongsu saya Muhammad Nursalam telah melansungkan perkahwinannya dengan gadis pilihannya Siti Amira.  Acara pernikahan dilakukan di Masjid Negeri Shah Alam dinikahkan oleh bapa Amira sendiri.










Arwah suami, saya dan adiknya

Memandangkan keduanya masih belajar, kami bersetuju mengadakan kendurinya pada bulan April 2015.  Salam akan menghabiskan pelajarannya pada bulan Januari 2015 dan Amira akan menghabiskan pelajarannya pada Julai 1015.  InsyaAllah.

Semoga kedua-dua pengantin dimurahkan rezeki, diberikan kesihatan yang baik dan bahagia keakhir hayat masing.  Aamiin

Ahad, 26 Oktober 2014

Pemergian Yang DiTangisi

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ


Segala puji bagi Allah, Tuhan Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang. Tuhan yang mentadbir seluruh alam.

Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Salam Maal Hijrah pada semua rakan blogger.

Innalillahhiwainnailaihirajiuun




Setelah hampir sebulan permergian suami yang disayangi, barulah saya ada kekuatan untuk menulis mengenainya. Semoga Allah menempatkan beliau di dalam golongan orang-orang yang sholihin dan shodigin.

Pada 28 September 2014 bersamaan 3 Dzulhijjah 1435 jam 1.15 tengahari berpisahlah kami didunia ini setelah hidup bersama selama 37 tahun. Semoga Allah pertemukan kami sekali lagi di sana nanti.  Dia seorang suami, ayah dan datuk yang penyayang serta bertanggungjawab. Pemergiannya ditangisi oleh kami semua.

Tidak pernah terlintas difikiran ini yang apabila beliau mengalami sesak nafas di subuh ahad itu  28 September 2014 membawa kepada pulangnya dia kepada PenciptaNYA.  Dia telah menghembuskan nafas terakhirnya di hadapan kami semua di wad ICCU, Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang.kerana masalah jantung dan buah pinggang.

Kali terakhir dia dan saya bercakap ialah ketika dia berada di dalam wad kecemasan di Hospital berkenaan.  Dia merenung saya sambil tersenyum memberitahu saya yang dia rasa seluruh anggotanya lengoh.  Saya menyuruh dia bersabar sambil mengosok kedua-dua kakinya.

Tak lama lepas tu, saya diminta keluar dari situ kerana doktor hendak membuat pemeriksaan dan rawatan lanjut.  Rupanya itulah kali terakhir dia dan saya berkata-kata.    Lepas itu saya diberitahu oleh doktor yang merawatnya bahawa dia tidak dapat diselamatkan.  Ya Allah, berderai air mata ini, mengigil seluruh anggota.  Gelap rasa dunia ini.  Tapi itulah hakikat yang terpaksa diterima.


Doa saya semoga Allah berikan saya ketabahan dan kecekalan menerima ujian yang berat ini. Ammin