Halaman

Terima kasih Jadi Kawan Blogger Saya

Rabu, 3 Disember 2014

Bubur Asyura


بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Segala puji bagi Allah, Tuhan Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang. Tuhan yang mentadbir seluruh alam.

Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Diam tak diam hari ni dah 11 Safar 1436H.  Apa yang saya nak ceritakan ni sebenarnya dah berlalu agak lama.  Saya nak cerita tentang bubur asyura atau orang Terengganu panggil sure yang biasanya dibuat pada atau selepas  10 Muharam.  Dari pemerhatian saya bubur asyura ni berlainan rupa, rasa dan bahan dari satu negeri dengan satu negeri.


Inilah rupa bubur asyura versi terengganu 

Ini ketika belum di potong dan yang
sudah disejukkan, dihiasi dengan
sambal ikan, telur dadar dan lain-lain




Bergotong royong memasak asyura.  Gambar-gambar
ni adalah gambar ketika memasak asyura
pada bulan Muharam baru-baru ni oleh keluarga
 sebelah pihak arwah suami

Selalunya membuat bubur asyura ni memerlukan kerjasama saudara mara atau jiran.  Bila seseorang tu nak membuat bubur asyura dia kenalah beritahu jiran-jiran dan saudara mara.  Tujuannya untuk menolong ketika memasak, memberikan semampunya bahan yang hendak dimasak, contohnya beras, gula, ikan, dan lain-lain.  Keperluan utama tuan rumah yang siapkan.

Teringat masa kecik-kecik dulu ketika bubur ni masih lembut dan sebelum dituangkan kedalam bekas, kanak-kanak akan berebut-rebut untuk mendapatkan bubur yang masih lembik tu.  Kami makan dalam tempurung bekas kelapa yang dikukur.  Sudunya kami guntingkan daun kelapa.

Biasanya asyura ni akan dibuat oleh orang yang sama pada tiap-tiap.  Bila asyura ni dah keras, jiran-jiran dan saudara mara yang menyumbang dipulangkan balik bekas yang telah diisi barang sumbangan tadi.

Rabu, 12 November 2014

Hanya Allah Mengetahui Segalanya





بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Segala puji bagi Allah, Tuhan Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang. Tuhan yang mentadbir seluruh alam.

Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Firman Allah bermaksud, "Dan pada sisi Allah jualah anak kunci perbendaharaan segala yg ghaib, tiada siapa yang mengetahuinya melainkan Dia sahaja." (Surah Al-An'am: 59)

Dalam menghuraikan ayat ini, Ibnu Kathir telah menyatakan satu hadis daripada Imam Bukhari yang meriwayatkan daripada Salim bin Abdilllah, daripada ayahnya bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud, "Sesungguhnya anak kunci segala perbendaharaan itu ada lima, tidak mengetahui seseorang pun melainkan Allah SWT.

"Lalu Baginda membaca firman Allah yang bermaksud, "Sesungguhnya di sisi Allah jualah pengetahuan yang tepat tentang hari kiamat. Dan Dialah jua yang menurunkan hujan, dan yang mengetahui dengan sebenar-benarnya apa yang ada dalam rahim (ibu yang mengandung). Dan tiada seorang pun yang betul-betul mengetahui apa yang akan diusahakannya esok (sama ada baik atau jahat); dan tiada seorang pun yang dapat mengetahui di bumi negeri manakah ia akan mati, Sesungguhnya Allah Amat Mengetahui, Lagi Amat Meliputi Penegtahuannya." (Surah Luqman: 34)

Ertinya dalam hadis ini Nabi s.a.w. menyebut bahawa terdapat lima kunci perbendaharaan segala yang ghaib yang hanya diketahui oleh Allah SWT, tidak diketahui oleh orang lain.

Pertama ialah tentang bilakan berlakunya hari kiamat. Bukan sahaja Nabi s.a.w. dan manusia yang lain tidak akan mengetahuinya, para malaikat pun tidak diberitahui tentang bilakan berlakunya hari kiamat itu sehingga Jibrail a.s. datang menemui Rasulullah s.a.w. satu ketika bertanyakan soal itu.

Kedua, tentang kekuasaan Allah menurunkan hujan. Allah sahaja yang berkuasa untuk menurunkan hujan di mana sahaja yang Dia kehendaki.

Ketiga, Dialah sahaja yang mengetahui sebenar-benarnya apa yang ada dalam kandungan seorang ibu termasuk berkait dengan zuriat keturunan, jantina janin, kesihatan dan sebagainya.

Keempat, Dialah jua yang mengetahui apa yang akan berlaku ke atas seseorang dengan setepat-tepatnya sama ada baik ataupun buruk. Manusia tidak mengetahui apa yang akan berlaku kepadanya esok hari.

Kelima, Dia sahaja yang mengetahui di manakah bumi tepat matinya seseorang manusia, bagaimanakah keadaan manusia itu mati dan seumpanya. Begitulah juga dengan makhluk-makhluk yang lain. Mereka tidak mengetahuinya tetapi Allah Maha Mengetahui segala-galanya.




SOURCE

Selasa, 4 November 2014

Bermulanya Sebuah Perjalanan

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ


Segala puji bagi Allah, Tuhan Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang. Tuhan yang mentadbir seluruh alam.

Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Hari ini dah 37 hari arwah suami meninggalkan kami semua.  Perasaan kami semua susah nak digambarkan. Terasa seperti dia masih ada bersama kami.  Suara anak pun kadang-kadang terdengar macam suara dia.  Saya memohon kepada Allah semoga Allah memberikan saya ketabahan dan ketenangan.


Semoga Allah cucuri rahmat ke atas rohnya


Gambar terakhir kami pada 31 Ogos 2014
Semasa menghadiri majlis berinai anak saudara saya

Pada 28 September 2014, bermulalah sebuah kenangan dalam hidup saya.  Segala pahit manis menjalani hidup berumahtanggan dan membesarkan anak-anak sehingga menjadi apa mereka sekarang. Menjaga dan melindungi kami semua dalam apa keadaan sekali pun.   Seorang suami yang tak sanggup melihat isteri susah.  Seorang ayah yang sentiasa mengambil berat tentang anak-anak.  Seorang abang dan adik yang sangat menyanyangi adik beradiknya.  Bukan adik beradik dia saja tapi adik beradik saya juga.

Bermulanya sebuah perjalanan menemui Penciptanya

Semoga Rahmat Allah sentiasa bersama mu




Disinilah batas perpisahan kita di dunia.  Semoga 
kita bertemu lagi di jannah.   Bersemadilah
dengan tenang



Hanya dengan doa dan bacaan yassin dari kami
mengiringi pemergian mu




 
Sebuah kesedihan yang sukar digambarkan.
 oleh adik-adik yang disayanginya

Terima kasih pada adik-beradik yang datang dari jauh dan dekat.  Pada saudara mara dan sahabat handai dari pihak saya dan pihak arwah suami. Tanpa doa dan semangat yang diberikan mungkin saya tak mampu sekuat ini.  Semoga Allah berikan saya kekuatan tubuh badan dan fikiran supaya Insyaallah dapatlah saya menghantarkan pahala yang termampu kepadanya.

Sayangilah pasangan kita kerana kita 
tidak tahu berapa lama lagi kita dapat hidup bersama 


Khamis, 30 Oktober 2014

Walau Sedih Diteruskan Juga - Faris Dan Sakinah

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ



Lebih kurang 20 hari arwah suami saya kembali ke rahmatullah dalam keterpaksaan saya teruskan juga perkahwinan anak perempuan saya Sakinah kakak kepada Salam.  Memandangkan perkara yang baik tidak harus ditangguhkan.  Lagi pun sudah banyak duit dikeluarkan untuk majlis ini.  Saya harap Allah ampunkan saya kerana mengadakan Majlis ini walaupun dalam keadaan saya tidak sepatutnya berada di Majlis-majlis begini.

Majlis pernikahan dijalankan pada 17 Oktober 2014 di masjid Sultan Sallahuddin Abdul Aziz Shah (Masjid Negeri Shah Alam) dinikahkan oleh abangnya sendiri, Dzulkarnain yang juga menjadi wali menggantikan abahnya.



Majlis kenduri diadakan pada 18 Oktober 2014  di Dewan Dahlia, Seksyen 24, Shah Alam.  Saya mengucapkan terima kasih kepada tetamu yang hadir.  Saudara mara dan kawan-kawan.  Sangat berterima kasih juga kepada 3 orang bekas boss saya dan isteri kerana mereka ni selalu hadir dalam hidup  saya ketika saya susah dan senang.

Inilah beberapa gambar di Majlis berkenaan.  





Ada beberapa gambar saya dengan kawan-kawan dan saudara mara.

 Dengan Kak Werdah

Saya gembira sangat bila Kak Werdah blogger dari Blog Bangkit Semula dapat menghadirkan diri di Majlis ini.  Terima kasih kak Werdah.


 Kawan Mengaji Al Quran

Adik beradik arwah suami saya 

Kawan-kawan semasa bekerja dulu

Alhamdulillah Majlis berjalan sebagaimana diharapkan.  Sebagai ibu saya doakan mereka berdua bahagia ke akhir hayat.  Dimurahkan rezeki dan diberikan kesihatan yang baik.  Aamiin.

Rabu, 29 Oktober 2014

Salam Dan Amira

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Sejak akhir-akhir ni saya jarang update blog saya.  Sebenarnya kekekangan masa dan kemalasan yang melanda menjadikan blog ni agak terbiar.

Dalam kesepian dan kesedihan yang masih membayangi diri atas pemergian arwah suami, hari ini saya ingin catatkan sesuatu yang sepatutnya sudah lama saya catatkan.  Yerlah semua sebagai kenangan dan ingatan di masa hadapan.

Pada 17 Mei 2014 anak bongsu saya Muhammad Nursalam telah melansungkan perkahwinannya dengan gadis pilihannya Siti Amira.  Acara pernikahan dilakukan di Masjid Negeri Shah Alam dinikahkan oleh bapa Amira sendiri.










Arwah suami, saya dan adiknya

Memandangkan keduanya masih belajar, kami bersetuju mengadakan kendurinya pada bulan April 2015.  Salam akan menghabiskan pelajarannya pada bulan Januari 2015 dan Amira akan menghabiskan pelajarannya pada Julai 1015.  InsyaAllah.

Semoga kedua-dua pengantin dimurahkan rezeki, diberikan kesihatan yang baik dan bahagia keakhir hayat masing.  Aamiin

Ahad, 26 Oktober 2014

Pemergian Yang DiTangisi

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ


Segala puji bagi Allah, Tuhan Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang. Tuhan yang mentadbir seluruh alam.

Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Salam Maal Hijrah pada semua rakan blogger.

Innalillahhiwainnailaihirajiuun




Setelah hampir sebulan permergian suami yang disayangi, barulah saya ada kekuatan untuk menulis mengenainya. Semoga Allah menempatkan beliau di dalam golongan orang-orang yang sholihin dan shodigin.

Pada 28 September 2014 bersamaan 3 Dzulhijjah 1435 jam 1.15 tengahari berpisahlah kami didunia ini setelah hidup bersama selama 37 tahun. Semoga Allah pertemukan kami sekali lagi di sana nanti.  Dia seorang suami, ayah dan datuk yang penyayang serta bertanggungjawab. Pemergiannya ditangisi oleh kami semua.

Tidak pernah terlintas difikiran ini yang apabila beliau mengalami sesak nafas di subuh ahad itu  28 September 2014 membawa kepada pulangnya dia kepada PenciptaNYA.  Dia telah menghembuskan nafas terakhirnya di hadapan kami semua di wad ICCU, Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang.kerana masalah jantung dan buah pinggang.

Kali terakhir dia dan saya bercakap ialah ketika dia berada di dalam wad kecemasan di Hospital berkenaan.  Dia merenung saya sambil tersenyum memberitahu saya yang dia rasa seluruh anggotanya lengoh.  Saya menyuruh dia bersabar sambil mengosok kedua-dua kakinya.

Tak lama lepas tu, saya diminta keluar dari situ kerana doktor hendak membuat pemeriksaan dan rawatan lanjut.  Rupanya itulah kali terakhir dia dan saya berkata-kata.    Lepas itu saya diberitahu oleh doktor yang merawatnya bahawa dia tidak dapat diselamatkan.  Ya Allah, berderai air mata ini, mengigil seluruh anggota.  Gelap rasa dunia ini.  Tapi itulah hakikat yang terpaksa diterima.


Doa saya semoga Allah berikan saya ketabahan dan kecekalan menerima ujian yang berat ini. Ammin

Selasa, 16 September 2014

Semoga Awak Sihat dan Pulih Sempurna

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ


Segala puji bagi Allah, Tuhan Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang. Tuhan yang mentadbir seluruh alam.

Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

السلام عليكم ورحمة الله وبركات kepada kawan-kawan blogger semua.  Apa khabar.  Semoga semuanya baik belaka.

Minggu lepas saya ke Kuantan, anak bongsu saya yang memandu.   Tujuan saya kesana ialah untuk melawat adik saya yang telah disahkan mengidap kanser.  Tahap berapa saya tak tahu sebab dia tak beritahu.

Ketumbuhan yang ada pada dalam tubuhnya dah dibuang, dah buat kimo sebanyak 6 kali.  Dan minggu ini mungkin pada 19 September dia akan menjalani radiotrapi sebanyak 20 kali.  Walaupun saya tak berapa sihat saya ingin juga melihat dia sebelum dia menjalani radiotrapi di Pulau Pinang.  Dia pilih Pulau Pinang kerana anaknya ada di sini.  Saya pelawa juga dia buat di HKL dan tinggal di rumah saya, tapi mungkin lebih selesa tinggal dengan anaknya.




Sebelum sakit

Dia adik perempuan saya yang berbezaan umurnya dengan saya sejauh 12 tahun.  Hati saya memang sedih melihat dia sakit.

Semoga dia dikurniakan Allah kesihatan yang baik dan diringankan penanggungan kesakitannya.  Aamiin.




Ahad, 14 September 2014

Semoga Allah kurniakan kesejahteraan dan kesihatan yang berpanjangan, Selamat Hari Lahir

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ


Segala puji bagi Allah, Tuhan Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang. Tuhan yang mentadbir seluruh alam.

Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

السلام عليكم ورحمة الله وبركات kepada kawan-kawan blogger semua.  Apa khabar.  Semoga semuanya baik belaka.

Hari ini 14 September 2014 genaplah usia suami saya 61 tahun.  Dah 6 siries kata orang sekarang.  Alhamdulillah.  

Nampaknya banyak dugaan pada dia dan kami semua sejak akhir-akhir ni.  Dia selalu tak sihat. Senang sangat dapat sakit.   Sekarang dia dah tak boleh memandu jauh-jauh macam dulu.  Jadi kami terpaksa bergantung pada anak-anak dan menantu untuk kemana-mana. Semoga Allah tabahkan hati dia dan hati kami menerima dugaan ini.  

Hari ni sedih rasa, anak-anak ajak makan-makan seperti pada hari lahir dia yang lepas-lepas tapi dia hanya terbaring di katil tak berapa boleh nak bergerak cergas.  Akhirnya anak-anak belikan kek dan makan-makan jer di rumah.

"Selamat hari lahir abang.  Semoga Allah berikan abang kesejahteraan dan kesihatan yang berpanjangan.  Susah senang kita tanggung bersama"





Di hati rasa sedih melihat dia terbaring begitu.  Kami berdoa semoga dia sihat segera dan kembali aktif bersama kami seperti masa-masa yang lalu.  Aammin.

Sabtu, 13 September 2014

Ketumpang Air atau Sirih Cina

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ


Segala puji bagi Allah, Tuhan Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang. Tuhan yang mentadbir seluruh alam.

Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

السلام عليكم ورحمة الله وبركات kepada kawan-kawan blogger semua.  Apa khabar.  Semoga semuanya baik belaka.



Ketumpang Air/Sirih Cina 

Pernah tak tengok pokok ni.  Ia banyak tumbuh di tempat-tempat lembab waima ditepi-tepi longkang.  Dalam pasu-pasu tanaman kita pun dia mudah tumbuh.  Kerana tabiatnya yang begini kita tak sangka yang pokok ni banyak khasitnya.  Terutamanya boleh dimakan.



Ketumpang air atau mudah dikenali sebagai sirih cina yang nama saintifiknya ialah Gynura Procumbeus ini banyak khasiatnya yang tidak diketahui ramai. Sifatnya yang hidup dikawasan yang lembab seperti tepi-tepi longkang membuatkan orang ramai tidak mengambil tahu tentang khasiatnya. Untuk pengetahuan umum, warna putih yang terdapat dibawah daun sirih ini adalah anti bacteria.

Di rumah saya sendiri pun banyak tumbuh dalam pasu-pasu bunga dan pasu orkid yang selama ini saya buang sahaja kerana ingatkan pokok ni sama dengan rumput rumpai yang tumbuh dalam pasu bunga kita.  Dipercayai dengan meminum  jus ketumpang air  ni khasiatnya seperti berikut:

penawar sakit sendi dan perut
reumatisme
jusnya mengelakkan jangkitan pada mata
cirit-birit
batuk
jangkitan pada pundi kencing

Ada juga yang saya terbaca diartikel-artikel yang menceritakan  pokok ketumpang air ni boleh dibuat ulam, dimasuk air bersama udang dan juga digoreng seperti kita menggoreng kangkong.

Wallahuwa’lam saya tak pernah mencuba.  Teringin juga untuk cuba meminum jusnya. Mudah-mudahan sakit lutut saya ni berkurangan.



Lihat juga: Sirih Cina


Jumaat, 5 September 2014

Ingatilah Aku, Aku Akan Mengingati Mu




بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Segala puji bagi Allah, Tuhan Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang. Tuhan yang mentadbir seluruh alam.

Untuk renungan pada kita semua.

Ingatlah kepada Allah, Dia akan mengingati kamu, dan bersyukurlah  (Disusun oleh Abu Hanifah}


Oleh itu ingatilah Aku, Aku akan mengingati kamu. Dan bersyukurlah kepadaKu, dan janganlah kamu kufur. (Al-Baqarah 2:152) 

Oleh itu ingatilah kepadaKu (wahai orang-orang mukmin, dengan melakukan taat kepadaKu dan melaksanakan apa yang telah Aku wajibkan ke atas kamu, serta sentiasalah bersyukur kepadaKu dan tidak ingkar terhadapKu), Aku akan mengingati kamu (dengan pengampunanKu, belas kasihanKu, dan apa yang telah Aku janjikan kepada kamu. Dan sesungguhnya ingat Aku kepada kamu jauh lebih banyak daripada ingat kamu kepadaKu.

Di dalam sebuah hadis,1 Rasulullah s.a.w. pernah bersabda bahawa Allah telah berfirman,
“Barang siapa yang mengingatiKu di dalam dirinya, Aku mengingatinya di dalam diriKu. Dan barang siapa yang mengingatiKu di dalam perhimpunan, Aku mengingatinya di dalam perhimpunan yang lebih baik darinya”.
Dan di dalam sebuah hadis yang lain,2 Rasulullah s.a.w. pernah bersabda bahawa Allah telah berfirman,
“Wahai anak Adam, jika engkau mengingatiKu di dalam dirimu, Aku akan mengingatimu di dalam diriKu. Dan jika engkau mengingatiKu di dalam perhimpunan, Aku akan mengingatimu di dalam perhimpunan para malaikat. Dan jika engkau mendekatiKu dengan sejengkal, Aku akan mendekati engkau dengan satu hasta. Dan jika engkau mendekatiKu dengan satu hasta, Aku akan mendekati engkau dengan satu depa. Dan jika engkau datang kepadaKu berjalan kaki, Aku datang kepadamu berlari”).
Dan bersyukurlah kepadaKu (wahai orang-orang mukmin, supaya Aku tambah kebaikan dan nikmatKu kepada kamu. Di dalam sebuah hadis,3 Rasulullah s.a.w. pernah bersabda,
“Barang siapa yang Allah menganugerahkan kepadanya dengan nikmat, maka sesungguhnya Allah menyukai bahawa Dia melihat kesan nikmatNya yang Dia telah berikan kepada makhlukNya”),

dan janganlah kamu kufur (akan nikmatKu dengan kamu berbuat maksiat dan derhaka kepadaKu. Demikianlah Allah berjanji untuk menambah nikmat kepada orang-orang yang bersyukur, dan mengenakan azab yang amat berat kepada orang-orang yang kufur terhadap nikmatNya, sebagaimana yang Dia firmankan di dalam ayat Ibrahim 14:7,


yang bermaksud, Dan ketika Tuhan kamu mengisytiharkan, ‘Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pastinya Aku akan menambah kepada kamu, dan sesungguhnya jika kamu kufur, sesungguhnya azabKu adalah benar-benar berat’ ” ).



1 Bukhari.
2 Ahmad, Bukhari.
3 Ahmad

Rujukan:  Bicara Ilmu




Selasa, 5 Ogos 2014

Selamat Pengantin Baru Wan dan Sarah

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ


Segala puji bagi Allah, Tuhan Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang. Tuhan yang mentadbir seluruh alam.

Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

السلام عليكم ورحمة الله وبركات kepada kawan-kawan blogger semua.  Apa khabar.  Semoga semuanya baik belaka

Kehangatan raya masih membara.  Di sana sini dah bermula rumah terbuka bila dah ramai yang balik ke rumah selepas beraya di kampong.  Pada yang sedang berpuasa di bulan Syawal selamat beribadat.  Semoga ibadah kita diterima Allah.

Saya balik ke Dungun pada hari raya ke-3.  Selain balik beraya juga untuk meraikan perkahwinan anak saudara sebelah suami pada 1 Ogos 2014 baru-baru ni.  Anak sulung salah seorang adik suami saya.  Disini saya letakkan beberapa gambar ketika majlis berjalan.
















Semoga pengantin bahagia ke akhir hayat.  Tahniah juga pada Awang Ghani dan Nor dah pun menerima menantu sulung.

Ini jer dulu, salam sayang dari saya untuk semua.