Halaman

Terima kasih Jadi Kawan Blogger Saya

Rabu, 30 Oktober 2013

Bangkit


بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ


السلام عليكم ورحمة الله وبركات kepada kawan-kawan yang singgah di sini. Cepatnya masa berlalu, sekarang dah hampir penghujung bulan Zulhijjah. Para Jemaah haji kita pun dah mula pulang ke tanah air. Besan saya juga dah selamat kembali semalam 29 Oktober. Alhamdulillah.

Pada 2 hari lepas, iaitu 28 Oktober, 2013, genaplah 2 bulan saya diuji dengan kesihatan oleh Allah subhanahuwataala.

Alhamdulillah dengan rahmat dan belas kesihan Allah, saya telah dikurniakan Allah kesihatan yang baik dari hari ke hari. Sekarang sekurang-kurangnya saya telah boleh mengurus diri sendiri terutama untuk ke tandas. Kaki dah boleh melangkah walaupun agak goyang.

Saya tahu saya tidak boleh berputus asa dengan ujian Allah ni. Saya kena terus berharap dengan rahmatNYA. Saya rasa saya seolah-olah diberi peluang kedua oleh Allah untuk terus menjalani kehidupan di dunia ini setelah pengsan selama 10 hari dan terlantar lebih kurang sebulan.

Saya amat bersyukur kepada Allah yang telah mengurniakan saya suami dan anak-anak yang mengasihi saya. Mereka begitu bertanggungjawab kepada saya mengikut keperluan dan keupayaan yang mereka mampu. Terima kasih pada suami dan anak-anak saya.

Bila saya kenang, hati rasa sangat terharu. Suami saya dalam keadaan yang tidak sihat, tidak pernah sehari pun dia tinggalkan saya sendirian di wad. Waima waktu malam pun bila anak-anak tak dapat menunggu saya, dia pula ambik giliran. Maklumlah saya tidak berupaya berdiri apa lagi bergerak ke sana kemari. Saya tahu dia tak sihat sangat tapi demi saya dia gagahkan dirinya.

Saya juga ingin mengucapkan terima kasih atas doa yang tak putus-putus dari kawan-kawan di blog saya ni dan di FB yang mendoakan kepada Allah supaya saya cepat semboh. Saya juga begitu terharu bila kawan-kawan yang hadir dialam nyata saya tidak putus-putus menziarahi saya sama ada di hospital sehinggalah ke rumah.

Terima kasih kepada adik beradik dan saudara mara serta sahabat handai yang mengadakan sholat hajat supaya saya pulih segera. Saya juga ingin merakamkan ucapan terima kasih saya kepada pihak Masjid Negeri Shah Alam, iaitu para imam dan jemaahnya kerana telah sudi mengadakan sholat hajat untuk saya. Ya Allah. hanya Allah yang dapat membalasnya.

Semoga Allah memberkati hidup insan-insan yang dikasihi ini dan hidup kawan-kawan semua serta keluarga masing-masing. Aamiin


Rabu, 16 Oktober 2013

Doa Para Nabi Ketika Ditimpa Duka



بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

السلام عليكم ورحمة الله وبركات  pada semua rakan -rakan.  Hari ini 11 Zulhijjah dan semalam kita dan menyambut Aidul Adha. Sebagai manusia kita memang tidak lepas dari suka dan duka. Begitu juga dengan para Rasul dan Nabi. Ketika dilanda kedukaan mereka memohon kepada Allah.

Dari Ali r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
"Doa adalah senjata bagi orang-orang mukmin, tiang bagi agama, dan nur bagi langit dan bumi".
(HR Hakim)

Daripada Abu Darda’ r.a: Rasulullah s.a.w telah bersabda:
"Doa seorang muslim kepada saudaranya yang muslim tanpa diketahui olehnya adalah mustajab, (ketika berdoa) akan ada didekatnya satu malaikat muwakkal (pesuruh) setiap ia berdoa untuk saudaranya itu dengan sesuatu kebaikan (malaikat itu) akan berkata: Amin! Dan bagi engkau kebaikan yang sama".
(Hadis diriwayatkan oleh Muslim)

Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda:
"Barangsiapa mahu supaya doanya dikabulkan ketika dalam keadaan kesempitan atau kesusahan hendaklah dia banyak berdoa ketika dalam kesenangan".
(HR Tirmizi)

Doa Nabi Nuh.

"Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku berlindung kepadaMu daripada sesuatu yang aku tidak ketahui dan jika Engkau tidak mengampunkan dosaku dan memberi rahmat kepadaku, nescaya jadilah aku dari kalangan orang yang rugi".

Doa Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail ketika meninggikan binaan asas Baitullah.
"Wahai Tuhan kami, terimalah daripada kami (amal kami), sesungguhnya Engkaulah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. Wahai Tuhan kami, jadikanlah kami berdua orang yang berserah diri kepadaMu dan jadikanlah keturunan kami umat yang berserah diri kepadaMu. Tunjukkanlah kepada kami cara ibadat kami dan terimalah taubat kami. Sesungguhnya Engkaulah Maha Penerima Taubat lagi Maha Mengasihani. Wahai Tuhan Kami, utuskanlah kepada mereka seorang rasul daripada kalangan mereka sendiri, yang akan membacakan kepada mereka ayat-ayatMu dan mengajarkan mereka kitab hikmat (sunnah) serta sucikanlah mereka. Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana".

Doa Nabi Lut.

"Wahai Tuhanku, selamatkanlah daku dan keluarga serta pengikut-pengikutku daripada apa yang dilakukan oleh golongan yang jahat".

Doa Nabi Yusuf.

"Wahai Tuhanku, sesungguhnya Engkau telah mengurniakan daku sebahagian daripada kekuasaan dan mengajarku sebahagian ilmu ta'bir mimpi. Wahai Tuhan pencipta langit dan bumi, Engkaulah pelindungku dunia dan akhirat. Matikanlah aku dalam Islam dan temukanlah aku dengan orang-orang yang soleh".

Doa Nabi Ayub ketika menghadapi penderitaan penyakit.

"Sesungguhnya aku ditimpa penyakit dan Engkaulah yag Maha Penyayang di antara para penyayang".

Doa Nabi Syuib.

"Kepada Allahlah kami bertawakkal. Wahai Tuhan kami, hukumkanlah antara kami dan kaum kami dengan kebenaran, kerana Engkaulah sebaik-baik Hakim".

Doa Nabi Sulaiman.
"Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya aku bersyukur akan nikmatMu yang telah Engkau kurniakan kepadaku dan kedua ibu bapaku, agar aku tetap beramal soleh dan masukkanlah daku dengan limpah rahmatMu dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh".

Doa Nabi Yunus.

"Sesungguhnya tiada Tuhan yang dapat menolongku melainkan Engkau. Maha Suci Engkau sesungguhnya aku adalah daripada orang yang menganiaya diri sendiri".

Doa Nabi Zakaria untuk memohon zuriat.

"Wahai Tuhanku, janganlah Engkau biarkan aku sendirian dan Engkaulah sebaik-baik yang mewarisi".

Doa Nabi Musa.

"Wahai Tuhanku, lapangkanlah bagiku dadaku dan mudahkanlah bagiku tugasku. Serta lepaskanlah simpulan daripada lidahku".

Doa Nabi Isa.

"Ya Allah, Tuhan Kami, turunkanlah kiranya kepada kami satu hidangan dari langit untuk menjadi hari raya bagi kami, iaitu orang yang pertama daripada kami dan bagi orang yang datang kemudian dan sebagai satu tanda daripadaMu. Kurniakanlah rezeki kepada kami, kerana Engkau jualah sebaik-baik pemberi rezeki".

Doa para Nabi merupakan contoh doa yang terbaik untuk kita ikuti. Sebagai hamba Allah yang menumpang di atas muka bumi ini, janganlah kita menjadi hamba yang sombong tanpa meminta kepadaNya. Mintalah kepada Allah dengan hati yang ikhlas dan bersungguh-sungguh. Semoga apa yang kita hajati dan minta kepadaNya menjadi kenyataan, inshaa'Allah. Semoga bermanfaat dan Salam Jumaat. Wassalam =


SOURCE

Ahad, 13 Oktober 2013

Suka Duka Di Hari Raya Aidiladha




بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ


السلام عليكم ورحمة الله وبركات kepada kawan-kawan yang singgah di sini. Hari ini dah 8 Zulhijjah. Semoga kawan-kawan semua dikurniakan Allah kesihatan yang baik. Didoakan semoga semua jumaah haji kita yang sedang mengerjakan haji di Mekah dikurniakan Allah kesihatan yang baik dan mendapat haji yang mabrur.

Bagi diri saya pula Alhamdulillah, masuk hari ini saya dah bolehlah berjalan-jalan dalam rumah walaupun dengan menggunakan tongkat. Dapatlah duduk-duduk diberanda rumah tengok alam sekeliling. Tidaklah lagi asyik berkurung dalam bilik saja. Esok saya ada appointment dengan doktor di PPUM, nampaknya kenalah guna kerusi roda. Walaupun kadang-kadang perasaan sedih menyelinap di hati saya sedar ini semua ujian Allah pada saya.

Panjang umur kita, kita akan menyambut hari raya Aidiladha pada hari Selasa ini. Di kesempatan ini saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya AidilAdha kepada semua kawan-kawan. Mesti ramai di antara kawan-kawan semua yang melakukan korban. Alhamdulillah dengan rezeki yang Allah berikan kita dapat menjalankan ibadat korban.

Pada saya pula, raya tahun ini terserahlah pada anak-anak apa juadah yang akan mereka masak untuk dimakan di hari raya korban. Anak bongsu saya kata "tak dapatlah makan nasi dagang mama raya ni". Yang lain pulak sebut "Raya tahun ni tak dapatlah makan rendang mama". Sedih juga, tapi apa boleh buat, emaknya ini bukan sentiasa sihat. Kenalah anak-anak ambik alih. Belajar memasaknya sendiri.

Selasa, 8 Oktober 2013

Lamanya tak ku pandang

Assalamualaikum pada semua. Lama sungguh saya tak singgah di sini. Apa lagi nak buat N3 baru. Nak BW ke blog kawan2 juga tak bersempatan.

Keadaan kesihatan yg berkurangan diakhir2 ni membataskan semua aktiviti yg biasa dilakukan. Saya telah dimasukkan ke hospital selama sebulan akibat jangkitan kuman di paru2 dan juga masalah batu karang.

Saya terimalah.ketentuan Allah ini dan berharap ianya menjadi kaffarat kepada dosa2 saya.