Halaman

Terima kasih Jadi Kawan Blogger Saya

Selasa, 29 Mei 2012

Award Blogger Terima Kasih Dari Sahabat Roselle



بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

السلام عليكم ورحمة الله وبركات semua sahabat yang dirahmati Allah. Semoga kita diberikan Allah kesihatan yang baik supaya dapat menambahkan ibadat di bulan Rejab yang mulia dan dibesarkan ini.

Semalam ketika datang ke sini saya terpandang pesanan dari Intan SRM yang meminta saya mengambil award di blog beliau.

Saya pun ke blog beliau, terperanjatnya saya kerana tak sangka Intan telah memberikan saya Award Terima Kasihnya kepada saya kerana katanya atas kesudian saya memasukkan URL beliau di blog saya ni.



Terima kasihlah Intan, semasa memasukkan URL blog Intan dulu sebenarnya kerana saya rasa sangat gembira kerana Intan sudi singgah dan follow blog saya. Bila saya ke blog Intan saya tertarik dengan produk-produk halalan to'yyiban yang dipasarkan. Jadi untuk rujukan saya sendiri jika saya memerlukan sesuatu maklumat atau apa saja dari blog Intan, ianya senang hanya dihujung jari saja.

Jadi pada kawan-kawan yang ingin mengetahui produk-produk halal lagi tpyyiban yang sangat mustahak untuk keperluan kita silalah singgah di blog di sini.


Photobucket


Makanan adalah keperluan asas manusia, maka marilah kita bermuhasabah tentang bahan makanan yang telah dan hendak dimakan sama ada ianya halal dan yang terbaik atau sebaliknya. Memetik surah al-Baqarah ayat 168 yang bermaksud;

"Wahai sekalian manusia, makanlah yang halal lagi baik dari apa yang terdapat di bumi, dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan kerana sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagimu."


Ahad, 27 Mei 2012

Pesanan Dari Kubur.......



بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

السلام عليكم ورحمة الله وبركات semua sahabat yang dirahmati Allah. Semoga kita diberikan Allah kesihatan yang baik supaya dapat menambahkan ibadat di bulan Rejab yang mulia dan dibesarkan ini.

Kali ini saya nak berkongsi mengenai satu kisah yang boleh menginsafkan kita dan boleh dijadikan panduan dalam kita menjalani hidup kita terutama pada diri saya sendiri. Kisah ini merupakan N3 ulang tayang kerana saya pernah ceritakan di blog saya ini beberapa tahun lalu.

Dikisahkan bahawa sewaktu Fatimah r.a. meninggal dunia maka jenazahnya telah diusung oleh 4 orang, antara :-

1. Ali bin Abi Talib (suami Fatimah r.a)
2. Hasan (anak Fatima r.a)
3. Husin (anak Faimah r.a)
4. Abu Dzafrrin Al-Ghifary r.a

Sewaktu jenazah Fatimah r.a diletakkan di tepi kubur maka Abu Dzafrrin Al-Ghifary r.a berkata kepada kubur, "Wahai kubur, tahukah kamu jenazah siapakah yang kami bawakan kepada kamu?. Jenazah yang kami bawa ini adalah Siti Fatimah az-Zahra, anak Rasulullah s.a.w."

Maka berkata kubur, "Aku bukannya tempat bagi mereka yang berdarjat atau orang yang bernasab, adapun aku adalah tempat amal soleh, orang yang banyak amalnya maka dia akan selamat dariku, tetapi kalau orang itu tidak beramal soleh maka dia tidak akan terlepas dari aku (akan aku layan dia dengan seburuk-buruknya)."

Abu Laits as-Samarqandi berkata kalau seseorang itu hendak selamat dari siksa kubur hendaklah melazimkan empat perkara semuanya :-

1. Hendaklah ia menjaga solatnya
2. Hendaklah dia bersedekah
3. Hendaklah dia membaca al-Quran
4. Hendaklah dia memperbanyakkan membaca tasbih kerana dengan memperbanyakkan membaca tasbih, ia akan dapat menyinari kubur dan melapangkannya.

Adapun empat perkara yang harus dijauhi ialah :-

1. Jangan berdusta
2. Jangan mengkhianat
3. Jangan mengadu-domba (jangan suka mencucuk sana cucuk sini)
4. Jangan kencing sambil berdiri


Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud, "Bersucilah kamu semua dari kencing, kerana sesungguhnya kebanyakan siksa kubur itu berpunca dari kencing."

Seseorang itu tidak dijamin akan terlepas dari segala macam siksaan dalam kubur, walaupun ia seorang alim ulama' atau seorang anak yang bapanya sangat dekat dengan Allah s.w.t.. Sebaliknya kubur itu tidak memandang adakah orang itu orang miskin, orang kaya, orang berkedudukan tinggi atau sebagainya, kubur akan melayan seseorang itu mengikut amal soleh yang telah dilakukan sewaktu hidupnya di dunia ini.

Jangan sekali-kali kita berfikir bahawa kita akan dapat menjawab setiap soalan yang dikemukakan oleh dua malaikat Mungkar dan Nakir dengan cara kita menghafal. Pada hari ini kalau kita berkata kepada saudara kita yang jahil takutlah kamu kepada Allah s.w.t. dan takutlah kamu kepada soalan yang akan dikemukakan ke atas kamu oleh malaikat Mungkar dan Nakir, maka mereka mungkin akan menjawab, "Ah mudah sahaja, aku boleh menghafal untuk menjawabnya."

Itu adalah kata-kata orang yang tidak berfikiran. Seseorang itu tidak akan dapat menjawab setiap soalan di alam kubur jikalau dia tidak mengamalkannya sebab yang akan menjawab ialah amalnya sendiri. Sekiranya dia rajin membaca al-Quran, maka al-Quran itu akan membelanya dan begitu juga seterusnya.

Justeru itu, marilah kita mohon kepada Allah supaya diberikan kekuatan agar kita mampu melaksanakan ketaatan kepadaNya dalam mengharungi dunia yang akan ditinggalkan ini. Ini adalah kerana sebaik-baik permintaan, ialah permintaan agar mampu melaksanakan ketaatan. Wallahuwa'lam.

Jumaat, 25 Mei 2012

Lama Sudah Tidak 'Kesana'



بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

السلام عليكم ورحمة الله وبركات semua sahabat yang dirahmati Allah. Jumaat datang lagi. Hari ni merupakan hari Jumaat pertama dalam bulan Rejab ni. Alangkah manisnya apabila kita dapat menyatukan ibadat solat, puasa, zikir, tasbih, tahlil, tahmid, qiyam, bersedekah dan kebaikan lain di bulan Rejab. Semoga amalan kita dalam bulan Rejab ini menjadi pemangkin untuk kita yang benar-benar dahagakan kebesaran dan keagungan Allah.

Bulan Rejab dah tiba dan akan disusuli pula oleh bulan Sa'aban dan bulan Ramadhan. Bila bercerita tentang bulan Ramadhan mesti kita teringatkan bulan Syawal Terutamanya 1 Syawal iaitu Hari Raya Aidilfitri. Seperti kita maklum lazimnya pada 1 syawal berpusu-pusulah kaum muslimin dan muslimat menziarahi kubur sanak saudara.

Kenapa bila hari raya saja orang-orang kita berpusu-pusu menziarah perkuburan walaupun tidak ada sebarang dalil yang terang tentang menziarahi kubur pada pagi Hari Raya Aidifitri maupun Hari Raya Aidiladha. Ianya seolah-olah dah menjadi kebiasaan kita orang-orang Islam sama ada di bandar atau kampung berbuat demikian. Mungkin memandangkan yang pada hari raya kita menziarahi kaum kerabat dan sahabat handai kita yang hidup maka eloklah kita menziarahi juga mereka yang sudah meninggalkan kita.

Saya dah melalut jauh. Sebenarnya tujuan sebenar N3 ni nak meleraikan rasa sedih hati saya kerana dah lama saya tidak menziarah pusara anakanda saya Dzul Iskandar yang mana pada 27 Mei 2012 ini genaplah 5 tahun pemergiannya meninggalkan kami. Cepat sungguh masa berlalu terasa seperti semalam. Walau 5 tahun berlalu, setiap kali bercakap tentangnya, mata ni masih tak kuat nak menahan airnya dari mengalir. Semoga Allah ampunkan kelemahan saya ini

Dulu ketika saya masih kuat dah sihat, boleh dikatakan setiap hari saya kesana. Keadaan ini berlarutan sehingga berbulan-bulan. Tapi semakin masa belalu, akhirnya masa menziarah pusaranya juga berkurang, dari tiap-tiap hari ke seminggau sekali, akhirnya hingga sebulan sekali. Dan sejak akhir-akhir ini dah lama sungguh saya tidak menziarahi pusaranya. Bukan saya tidak rindu dan tidak ingat untuk ke sana tetapi keadaan saya sendiri tidak begitu kuat lagi untuk kerap kesana. Hanya adik-adik dia akan kesana sekerap yang mereka mampu, membersihkan rumpat rumpai di pusaranya.

Tapi hati saya sedetik pun tidak pernah lupa mendoakan semoga dia mendapat belas kasihan Allah. Semoga Allah mengampuni dosa-dosanya. Amin....

Bila bercerita tentang menziarahi kubur yang dibenarkan oleh Islam rasanya kita perlu juga mengetahui hukum membuat makam dikubur.  Menurut yang afdal dalam Islam, kubur seseorang Muslim/Muslimah itu hendaklah ditinggikan sejengkal dari dataran bumi dan diratakan bahagian atasnya dan ditandakan dengan sesuatu tanda untuk dikenali supaya mudah diziarahi.  Ini pernah ditegaskan oleh Nabi Muhammad saw apabila Baginda ditanya mengapa Baginda meletakkan tanda di kubur saudara susuannya Othman Bin Maz'un. Baginda menjawab yang bermaksud: "supaya saya kenal kubur saudara saya."Wallahuwa'lam

Jumaat, 18 Mei 2012

Nabi Idris Naik Ke Langit




بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

السلام عليكم ورحمة الله وبركات semua sahabat yang dirahmati Allah. Jumaat datang lagi dan seperti biasa sentiasa mendoakan agar hidup kita semua sentiasa dalam rahmat Allah. Ketika BW saya bertemu dengan dengan kisa Nabi Idris. Menarik juga untuk kita mengetahuinya.

Diriwayatkan Nabi Idris naik ke langit pada hari Isnin. Firman Allah bermaksud: ''Dan ceritakanlah (Wahai Muhammad kepada mereka) kisah Idris di dalam Al Quran. ''Sesungguhnya ia adalah seorang yang sangat membenarkan dan seorang nabi. Dan Kami mengangkatnya ke martabat yang tinggi''. (Surah Maryam ayat 56-57).

Nama sebenar Nabi Idris ialah 'Akhnukh'. Baginda dinamakan Idris kerana banyak membaca, mempelajari kitab Allah. Setiap hari Nabi dris menjahit qamis (baju kemeja) dan apabila memasukkan jarum, Baginda mengucapkan tasbih. Selepas baju itu siap, ia diserahkan kepada orang yang menempah tanpa meminta upah. Dalam keadaan itu, Nabi Idris masih mampu beribadah dengan amalan yang sukar digambarkan sehingga Malaikat Maut amat rindu berjumpanya.

Lalu Malaikat Maut bermohon kepada Allah menemui Nabi Idris. Selepas memberi salam, malaikat pun duduk. Nabi Idris mempunyai kebiasaan berpuasa sepanjang masa. Apabila waktu berbuka, datanglah malaikat dari syurga membawa makanan lalu Baginda menikmati makanan itu. Baginda beribadah sepanjang malam. Pada suatu malam Malaikat Maut datang menemuinya, sambil membawa makanan dari syurga. Nabi Idris menikmati makanan itu. ''Wahai tuan, marilah kita nikmati makanan ini bersama-sama''. Tetapi malaikat itu menolaknya.

Nabi Idris melanjutkan ibadahnya, sedangkan Malaikat Maut setia menunggu sampai terbit matahari. Nabi Idris hairan melihat sikap malaikat itu. Kemudian baginda berkata: ''Wahai tuan, mahukah bersiar-siar bersama saya melihat keindahan alam sekitar?'' Malaikat Maut menjawab: ''Baiklah wahai Nabi Allah Idris''. Maka berjalanlah mereka melihat alam persekitaran dengan berbagai jenis tumbuh-tumbuhan hidup di situ. Akhirnya ketika mereka sampai pada suatu kebun, maka Malaikat Maut berkata kepada Nabi Idris: ''Wahai Idris, adakah tuan izinkan saya mengambil ini untuk dimakan?''

Nabi Idris pun menjawab: ''Subhanallah, mengapa malam tadi tuan enggan makan makanan halal, sedangkan tuan mahu memakan yang haram pula?'' Kemudian Nabi Idris dan Malaikat Maut meneruskan perjalanan mereka. Tidak terasa mereka bersiar-siar selama empat hari. Selama bersahabat, Nabi Idris menemui beberapa keanehan Malaikat Maut. Segala tindak-tanduknya berbeza dengan sifat manusia biasa.

Akhirnya Nabi Idris tidak dapat menahan hasrat ingin tahu. Baginda bertanya: ''Wahai tuan, bolehkah saya tahu, siapakah tuan sebenarnya?'' ''Saya adalah Malaikat Maut''. ''Tuankah yang bertugas mencabut nyawa semua makhluk?'' ''Benar ya Idris''. ''Sedangkan tuan bersama saya selama empat hari, adakah tuan akan mencabut nyawa makhluk?'' ''Wahai Idris, selama empat hari ini banyak sekali nyawa yang saya cabut. Roh makhluk itu bagaikan hidangan di hadapanku, aku ambil mereka bagaikan seseorang sedang menyuap makanan''. ''Wahai Malaikat, apakah tujuan tuan datang, apakah untuk ziarah atau mencabut nyawaku?'' ''Saya datang menziarahimu dan Allah mengizinkan niatku itu''.

''Wahai Malaikat Maut, kabulkanlah satu permintaanku iaitu agar tuan mencabut nyawaku, kemudian tuan mohon kepada Allah menghidupkan saya kembali, supaya aku dapat menyembah Allah selepas merasakan dahsyatnya sakaratul maut itu''. Malaikat Maut menjawab: ''Sesungguhnya saya tidaklah mencabut nyawa seseorang melainkan izin Allah''. Lalu Allah mewahyukan kepada Malaikat Maut, agr mencabut nyawa Idris. Maka tercabutlah nyawa Idris saat itu dan Baginda merasakan kematian.

Ketika melihat kematian Nabi Idris, Malaikat Maut menangis. Dengan rasa hiba dan sedih, dia bermohon Allah menghidupkan kembali sahabatnya itu. Allah mengabulkan permohonannya, dan Nabi Idris pun dihidupkan Allah kembali. Malaikat Maut memeluk Nabi Idris, dan bertanya: ''Wahai saudaraku, bagaimanakah tuan merasakan kesakitan mauit itu?'' ''Bila seekor binatang dilapah kulitnya ketika ia masih hidup, sakitnya maut itu seribu kali lebih sakit daripadanya''. ''Padahal kelembutan yang saya lakukan terhadap tuan, ketika mencabut nyawa tuan belum pernah saya lakukan terhadap sesiapa pun sebelum tuan''.

''Wahai Malaikat Maut, saya mempunyai permintaan iaitu saya teringin melihat neraka, supaya dapat beribadah kepada Allah lebih banyak selepas meyaksikan dahsyatnya api neraka itu''. ''Wahai Idris, saya tidak dapat ke neraka tanpa izin Allah''. Akhirnya Allah mewahyukan kepada Malaikat Maut agar ia membawa Nabi Idris ke neraka. Di neraka itu, Nabi Idris melihat semua yang diciptakan Allah untuk meyeksa musuh-Nya seperti rantai panas, ular berbisa, kala, api yang membara, timah yang mendidih, pokok yang penuh berduri serta air panas mendidih.

Selepas itu, mereka pun pulang. Nabi Idris berkata: ''Wahai Malaikat Maut, saya berhajat agar tuan membawa saya ke syurga supaya dapat melihat apa-apa yang disediakan Allah bagi kekasih-Nya. Ini dapat meningkatkan lagi ibadah saya kepada Allah. ''Saya tidak dapat membawa tuan masuk ke syurga tanpa perintah dari Allah'', jawab Malaikat Maut. Lalu Allah memerintahkan Malaikat Maut membawa Nabi Idris ke syurga.

Mereka sampai di pintu syurga dan melihat pemandangan di dalamnya. Baginda melihat segala kenikmatan disediakan Allah untuk wali-Nya seperti buah-buahan, pokok yang indah dan sungai yang mengalir. Kemudian Nabi Idris berkata: ''Wahai saudaraku Malaikat Maut, saya merasakan pahitnya maut dan saya melihat dahsyatnya api neraka. ''Maka mahukah tuan memohonkan kepada Allah untukku, agar Allah mengizinkan aku memasuki syurga untuk dapat meminum airnya, untuk menghilangkan kesakitan mati dan dahsyatnya api neraka?''

Malaikat maut pun bermohon kepada Allah. Kemudian Allah memberi izin. Nabi Idris masuk ke syurga dan meletak kasutnya di bawah salah satu pohon lalu keluar dari syurga. Apabila di luar, Nabi Idris berkata ''Wahai Malaikat Maut, aku meninggalkan kasutku di syurga''. Malaikat Maut pun berkata: ''Mauklah ke syurga dan abil kasut tuan''. Maka masuklah Nabi Idris, namun baginda tidak keluar lagi, sehingga Malaikat Maut memanggilnya: ''Ya Idris, keluarlah!'' ''Tidak, wahai Malaikat Maut, kerana Allah SWT berfirman bermaksud: Setiap yang berjiwa akan merasakan mati. (Surah Ali-Imran ayat 185).

''Sedangkan saya merasakan kematian. Dan Allah berfirman yang bermaksud: Dan tiada seorang pun daripadamu, melainkan mendatangi neraka itu. (Surah Maryam ayat 71). Maka Allah menurunkan wahyu kepada Malaikat Maut itu: ''Biarkanlah dia, kerana Aku menetapkan di azali, bahawa tempat tinggalnya di syurga''.


Sumber

Khamis, 17 Mei 2012

Kita Serumpun Tapi Tak Sama



بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

السلام عليكم ورحمة الله وبركات semua sahabat yang dirahmati Allah. Semoga Allah sentiasa memberkati hidup kita semua.

Sebagai Permulaan kepada N3 ni saya nak turunkan kad ucapan selamat hari guru daripada Sahabat Ummu dari Bicara Hati Ibu. Sahabat Ummu telah menjemput saya mengambil kad ini. Memandangkan saya ni bukanlah seorang guru, rasa malulah nak mengambiknya tapi sebagai terima kasih dan penghargaan saya kepada sahabat Ummu saya mengambilnya dan mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih atas ingatan beliau pada saya.



Sekarang jom kita cerita tentang Orkid saya. Ada 3 pasu orkid yang seriras berbunga di rumah. Iras orkid tu lebih kurang jer, tapi warnanya berbeza. Rasanya semua dari rumpun vanda. Yang purple dan pink tu mungkin vanda mokara. Yang kuning tu tak tahu.


Pertama kali tengok berbunga sejak tanam





Bunga purple yang di atas tu kembang dulu, baru purple yang
bawah ni kembang. Dari pokok yang sama



Mungkin sama jenis dengan yang purple tu, warna saja berlainan,
yang ini pink





Inilah pertama kali berbunga semenjak bunga dulu (ketika beli) habis,
tak ingat berapa tahun menunggu. Kedekut betul.


Rabu, 16 Mei 2012

SELAMAT HARI GURU PADA SEMUA SAHABAT



بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

السلام عليكم ورحمة الله وبركات semua sahabat yang dirahmati Allah. Semoga Allah sentiasa memberkati hidup kita semua.

Sempena hari guru yang disambut secara rasminya hari ini 16 Mei 2012, saya dengan berbesar hati ingin mengucapkan selamat menyambut hari guru kepada semua sahabat-sahabat yang berkhidmat sebagai guru. Tak kiralah di sekolah atau di institusi pengajian tinggi. Semoga dengan kesabaran dan keikhlasan sahabat-sahabat semua dalam membimbing anak-anak kita akan sentiasa diberkati Allah dan diberi ganjaran di akhirat kelak.

Memandangkan ramai adik beradik, ipar duai dan saudara mara saya yang berkhidmat sebagai guru, saya ingin mengucapkan selamat menyambut hari guru kepada mereka semua yang saya sayangi. Semoga ikatan kasih sayang dan persaudaraan kita erat selalu.

Saya nak ucapkan juga selamat menyambut hari guru kepada semua guru-guru di Malaysia.

Jumaat, 11 Mei 2012

Pencuri Berita Dari Langit




بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

السلام عليكم ورحمة الله وبركات semua sahabat yang dirahmati Allah. Jumaat datang lagi. Begitulah cepat hari berputar. Yang pasti hari yang berlalu tidak akan datang lagi dalam hidup kita. Semoga Allah sentiasa memberkati hidup kita semua.

"Eh, kau tau tok bomoh yang aku jumpa tu tau apa masalah aku, aku belum cerita, dia pulak cerita masalah aku pada aku sendiri. Bijak betul dia.

Dulu-dulu takjub juga dalam hati bila mendengar cerita-cerita begitu. Alhamdulillah bila semakin meningkatnya usia dan banyak pembacaan tentang hal-hal yang berkaitan, saya jadi jelas akan duduk perkara. Dalam Majalah Solusi 43 terdapat artikel bertajuk "Pencuri Berita Dari Langit". Di bawah ini saya turunkan isi artikel tersebut.

Sesungguhnya Allah Subhanahuwataala mencipta bintang-bintang di langit dengan 3 fungsi.

Pertama - Sebagai perhiasan di langit
Kedua - Sebagai pedoman dan petunjuk arah bagi pelayar
Ketiga - Sebagai alat rejaman terhadap syaitan yang mencuri berita dari langit.

Hal ini sebagaimana firman Allah s.w.t. dalam ayat 5 Surah Al-Mulk yang bermaksud: "Dan sesungguhnya Kami telah menghias langit yang dekat (pada penglihatan penduduk bumi) dengan bintang-bintang dan kami jadikan bintang-bintang itu punca rejaman terhadap syaitan-syaitan dan kami sediakan bagi mereka azab neraka yang menjulang-julang".

Terdapat satu perbualan menarik antara Sayidatina Aisyah r.h.a. dengan Rasulullah s.a.w. berkenaan hakikat jin mencari berita dari langit. Beliau berkata kepada Rasulullah "Wahai Rasulullah, sesungguhnya para dukun biasa meramal sesuatu dan kami mendapati benar-benar berlaku".

Baginda s.a.w. memberi maklum balas berikut: mafhumnya "Perkataan itu memang benar. Jin mendengarnya lalu membisikkannya ke telinga walinya (penolong syaitan seperti bomoh) dan ia menambahkannya dengan 100 pendustaan." (Riwayat al-Bikhari dan Muslim).

Iman Al-Bukhari dalam Sahihnya meriwayatkan sebuah hadis daripada Abu Hurairah bahawa Nabi s.a.w. bersabda, maksudnya: "Apabila Allah s.w.t. menentukan sesuatu dilangit, maka para malaikat mengepak-ngepak sayap mereka yang berbunyi hebat laksana rantai besi yang dihentam ke atas batu keras kerana tunduk terhadap firman-NYA. Ketika rasa takut telah hilang daripada hati mereka (para malaikat) maka salah satu malaikat bertanya kepada yang lain "Apakah yang difirmankan oleh Tuhan mu" Mereka menjawab "Kebenaran dan Dia Maha Tinggi lagi Maha Besar". Lalu syaitan-syaitan mencuri dengar dan para pencuri dengar itu seperti ini (periwayat hadis ini mengisyaratkan dengan kedua-dua tangannya yang jari-jarinya saling bertindih berurutan ke bawah)".

Mereka yang dapat mendengar berita itu menyampaikan kepada yang berada dibawah Begitulah seterusnya berita tersebut disampaikan pula kepada mereka yang di bawah hingga berita tersebut sampai ke telinga tukang sihir atau bomoh.

Boleh jadi suluh api telah menghentam salah satu daripada syaitan-syaitan tersebut sebelum ia menerima berita tersebut. Tetapi boleh jadi juga mereka sempat mendengarnya sebelum suluh api menghentam mereka. Syaitan yang sempat mendengar ini terlepas daripada diburu suluhan api mencipta dan menambah ratusan pendustaan terhadap berita yang didengar dari langit. Berita tersebut pun tersebar.

Menurut Ihb Hajar al-/Asqalani rhm, bunyi kuat laksana rantai besar yang menghentam batu itu ialah bunyi yang terhasil oleh pukulan sayap para malaikat.

Dr. Shauqi Dhaiyir menyebutkan dalam bukunya Tafsir Surah al-Rahman, khususnya dalam surah al-Hajir terdapat ayat yang menegaskan mengenai syaitan-syaitan yang mencuri berita dari langit.

Ayat yang dimaksudkan ialah ayat 16 hingga 18 surah Al-Hijr yang bermaksud: "Dan sesungguhnya kami telah menciptakan gugusan bintang-bintang (dilangit) dan kami telah menghiasi langit itu bagi orang yang memandang(nya), Dan Kami menjaganya daripada setiap syaitan yang terkutuk. Kecuali syaitan yang mencuri-curi (berita) yang dapat didengar (daripada malaikat), lalu ia diburu oleh suluh api yang menyala-yala kelihatan."

Diceritakan juga terdapat jin-jin yang mati terbakar kerana dihentam panah api ketika ia mencuri dengar berita dari langit. Mungkin ada yang mempersoalkan, adakah jin juga mengalami kematian? Dalam kitab al-Uzmah daripada Zariah bin Khumairah, beliau berkata bahawa ada yang bertanya Ibn Abbas "Adakah jin yang meninggal". Ibn Abbas menjawab "Ya, selain iblis". Wallahuwa'lam.

Jadi kita janganlah terlalu taksub terhadap kebijaksanaan sesama manusia. Syaitan tidak berhenti menggoda manusia supaya terpedaya dengan tipu dayanya.

Khamis, 10 Mei 2012

Halo Moonkah Itu????



بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

السلام عليكم ورحمة الله وبركات semua sahabat yang dirahmati Allah. Semoga kita semua sentiasa mendapat keberkatan hidup.

Dua malam lepas iaitu pada 8 Nei 2012, ketika balik dari kelas bahasa arab di Masjid Negeri saya terpandang bulan yang sedang mengambang setentang dengan bumbung rumah. 'Cantiknya' bisik hati saya. Lalu terus mengambil gambar bulan berkenaan beberapa kali.

Sayang, hasilnya tidak memuaskan kerana saya hanya menggunakn telefon samsung saja. Lepas tu saya terus lupa tentang gambar ini kerana pada fikiran saya ia tak menjadi.

Gambar yang saya ambik menggunakan h/set saja,
adakah ini 'halo moon', Wallahuwa'llam


Tapi pagi ni ketika BW ke SINI baru saya tahu rupanya kemungkinan malam itu berlakunya 'halo moon' sebab tu gambar berkenaan menjadi begitu. Dalam Arkib Berita Harian ada menceritakan apa dia 'halo moon' ini. Terima kasih Nida kerana telah mencelikkan kak ani apa dia 'halo moon'.

Ini gambar dari blog Nida



Atas kehendak Allah tak ada yang mustahil. Kun Fayakun.


Selasa, 8 Mei 2012

TANGAN SI ANAK VS TANGAN SI IBU





بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ


Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

السلام عليكم ورحمة الله وبركات semua sahabat yang dirahmati Allah. Semoga kita semua sentiasa mendapat keberkatan hidup.

Semalam ketika BW ke rumah kawan-kawan, saya singgah di rumah mselim3. Ketika itu selim sedang bercerita tentang Tangan Si Anak VS Tangan Si Ibu. Ceritanya amat menyentuh perasaan. Saya harap saudara selim tidak keberatan saya salinkan cerita beliau tu di blog saya ni untuk tatapan kawan-kawan semua. Ceritanya begini:

Pada satu pagi, berlangsungnya satu temuduga di sebuah syarikat yang terkenal di Malaysia.

Semasa menemuduga salah seorang calon, pengurus syarikat tersebut mendapati salah seorang calon temuduga perempuan mempunyai rekod akademik yang baik sejak dari sekolah menengah sehingga pengajiannya di universiti. Setiap semester dia memperoleh keputusan yang cemerlang.

Pengurus itu bertanya, "Adakah awak mendapat apa-apa biasiswa di sekolah atau universiti?"
"Tidak." Jawab gadis tersebut.

Pengurus itu bertanya lagi, "Jadi,adakah ayah awak yang membayar semua yuran pengajian?" Gadis itu menjawab,"Ayah saya telah meninggal dunia semasa saya berumur satu tahun. Ibu saya yang telah membayar semua yuran pengajian."

Pengurus itu meneruskan soalannya, "Ibu awak bekerja di mana?" "Ibu saya bekerja sebagai pencuci kain dari rumah ke rumah."

Pengurus meminta gadis tersebut menunjukkan tapak tangannya lantas dia menunjukkan tapak tangannya yang halus seperti tidak pernah membuat kerja rumah.Pengurus berasa hairan lantas bertanya, "Tidakkah awak pernah membantu ibu awak mencuci pakaian dahulu?"

Gadis itu menjawab, "Tidak pernah. Ibu saya selalu berpesan supaya belajar bersungguh-sungguh untuk berjaya dalam kehidupan. Tidak pernah dia meminta saya untuk menolongnya membasuh pakaian. lagi pula ibu membasuh lebih cepat daripada saya.

Pengurus tersebut memberitahu dia mempunyai satu permintaan, dia menyuruh gadis tersebut membantu ibunya membersihkan tangan apabila gadis tersebut pulang ke rumah nanti, dan berjumpa semula dengannya pada keesokan hari.

Gadis itu merasakan peluang untuk memperoleh jawatan tersebut semakin tinggi. Dia pulang ke rumah dengan gembira untuk membersihkan tangan ibunya. Di rumah, ibunya berasa pelik tetapi tersentuh dengan keinginan anaknya lantas menghulurkan kedua-dua tangannya.

Gadis itu membersihkan tangan ibunya perlahan-lahan. Tanpa disedari air matanya mengalir ketika itu. Inilah kali pertama dia mendapati tangan ibunya begitu kusut dan terdapat banyak kesan calar di tangan ibunya. Kadangkala ibunya mengaduh kesakitan apabila terkena air.

Lama-kelamaan, gadis tersebut menyedari bahawa tangan inilah yang bersusah payah membasuh kain setiap hari untuk mendapatkan sedikit wang membiayai pengajiannya di sekolah dan universiti. Calar balar itulah harga yang perlu ibunya bayar demi kejayaannya yang cemelang dan demi masa depan seorang anak. Setelah selesai membersihkan tangan ibunya, gadis tersebut secara senyap-senyap mencuci pakaian ibunya yang masih berbaki.

Keesokan harinya, gadis tersebut kembali semula ke pejabat. Pengurus itu menyedari air mata bergenang di mata gadis tersebut lalu dia bertanya, "Apa yang telah awak buat dan pelajari semalam di rumah?" Gadis itu menjawab, "Saya membersihkan tangan ibu saya dan mencuci baki pakaian yang masih tertinggal."

"Apa yang anda rasa?" Jawab gadis itu, "Pertama, saya sedar apa itu erti pengorbanan seorang ibu. Tanpa ibu, tiada kejayaan saya pada hari ini. Kedua, dengan bekerja bersama ibu saya sahaja saya dapat belajar dan mengerti betapa sukarnya mencari wang untuk hidup. ketiga, saya tahu betapa pentingnya hubungan kekeluargaan."

Pengurus itu tersenyum lalu berkata, "Inilah yang saya mahukan. Saya mencari pekerja yang dapat menghargai bantuan orang lain, orang yang tahu penderitaan orang lain, dan tidak meletakkan wang sebagai perkara utama dalam hidupnya. Awak diterima untuk bekerja di sini."

Pengajaran dari cerita ini, kita hendaklah menghargai jasa ibu bapa yang telah banyak bekorban dan bersusah payah demi masa depan kita sebagai anak-anak. Ringan-ringankanlah diri kita untuk membantu ibu dan ayah kita serta curahkanlah bakti kepada mereka selagi kita berpeluang melakukannya di dunia ini. Hargailah dan sayangilah mereka sebagaimana kasih dan sayang mereka kepada kita. Sayang mak sangat sangat...syukran atas segala jasa dan pengorbananmu...

Kita sebagai ibubapa kadang-kadang memang tak mahu anak-anak tahu betapa susahnya kita dalam memenuhi keperluan mereka. Memberi mereka makan dan pelajaran supaya menjadi orang yang berguna satu hari nanti. Sebagai anak walaupun ibubapa tidak pernah meminta cuba-cubalah kenang jasa dan budi ibubapa kepada kita sehingga kita menjadi manusia yang sempurna seperti kita sekarang. Tanpa mereka siapalah kita di dunia ini.

Isnin, 7 Mei 2012

Orangenya Mak Ngah



بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ


Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

السلام عليكم ورحمة الله وبركات semua sahabat yang dirahmati Allah. Terima kasih kerana sudi singgah di blog saya ni,

Saja buat tajuk yang gembak. Kekdahnya nak cerita perihal pokok duri tujuh saja.

Pagi tadi ketika menjejak kaki di luar rumah untuk membeli sarapan pagi saya terpandang bunga duri tujuh yang sedang berkembang dipokoknya. Teringin nak snap gambarnya sebab saya nampak bunga tu cantik sangat. Sekali pandang seperti bunga ros. Sayangnya bunga ni tidak berbau.

Titik hujan masih basah dikelopak dan daun-daunnya
ketika saya snap gambarnya


Sekembali dari membeli sarapan pagi, saya snap gambar-gambar di bawah. Pokok ni dulunya saya beli dengan MARDI ketika pihaknya mengadakan pameran di kompleks PKNS, Shah Alam. Menurut kata staf MARDI tu daun ni jika dimakan sehelai pada tiap-tiap hari boleh mengelak penyakit kanser.

Jiran-jiran saya ada minta batang pokok ni dari saya untuk disemai di rumah masing-masing. Saya perhatikan pokok mereka pun subur. Kiranya pokok ni senang hidup.






Kadang-kadang tanpa kita sedar secara tak langsung kita ada menanam pokok-pokok herba di sekitar rumah. Sayangnya kita tak tahu kegunaannya, contohnya sayalah.

Sabtu, 5 Mei 2012

Gangguan Tidor





بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ


Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

السلام عليكم ورحمة الله وبركات semua sahabat yang dirahmati Allah. Terima kasih kerana sudi singgah di blog saya ni,

Saya rasa serba salah hendak menulis N3 ni. Tapi mungkin dengan berkongsi masalah ini dengan kawan-kawan semua, saya boleh mendapat sesuatu dari kawan-kawan yang singgah dah boleh membantu saya mencari ketenangan dari keresahan yang saya alami akhir-akhir ini.

Sekarang ini boleh dikatakan setiap malam saya akan mengalami mimpi-mimpi yang menakutkan. Dalam mimpi tu saya tak takut dan saya sedaya upaya cuba melawan apa yang ujud dalam mimpi saya dengan membaca ayat-ayat suci al quran yang boleh menghindarkan kita daripada diganggu oleh makhluk-makhluk yang sering mengganggu kita manusia. Selalunya ketika itu suami saya akan mendengar seolah-olah saya menyebut sesuatu yang kurang jelas. Saya akan hanya terjaga bila dia sendiri membaca ayat-ayat suci alquran sambil mengejutkan saya.

Bila terjaga dan saya menyambung balik tidor saya, mimpi ngeri tu akan datang lagi walaupun ketika terjaga tadi saya telah melaku akan yang disarankan oleh Rasulullah apabila terjaga dari mimpi ngeri.

Sebenarnya boleh dikatakan semenjak akhir-akhir ini saya sering terasa letih dan mengantuk. Saya kurang sihat. Lepas satu, satu penyakit yang datang. Kadang-kadang saya rasa resah dan sedih. Saya cuba mencari punca masalah ini tapi tak terurai simpulnya.

Minta maaf saya nak katakan ni, tak ada niat lain sekadar nak menceritakan keadaan yang biasa saya buat dalam rutin hidup saya. Kebiasaannya saya akan mebaca alquran boleh dikatakan setiap hari kalaupun tidak setiap kali selepas sholat. Selepas sholat saya akan membaca wirid dan ayat-ayat alquran seperti yang biasa dibaca sebagai wirid termasuk ayat Amarrasul, ayat kursi, 3 kul dan lain-lain ayat alquran.

Semasa nak tidor pun macam tu juga, saya akan baca apa yang biasanya disarankan kita baca dan lakukan sebelum tidor. Tapi mimpi ngeri dan mengigau sering mengganggu saya. Kadang-kadang ada ketika saya langsung tak lelapkan mata pada satu-satu malam, jalan terbaik saya lakukan apa sepatutnya dilaku bila tak boleh tidor waktu malam.

Saya ada layari internet tentang gangguan dan mimpi-mimpi ngeri ni, saya terjumpa artikel dari Ustaz Dr. Harun Din yang menyatakan tanda-tanda seseorang tu diganggu makhluk halus atau jin. Antara tanda-tanda yang dinyatakan dalam artikel beliau ada juga pada saya.

Saya ingin berusaha mengatasi masalah ini. Adakah patut saya berjumpa dengan pengamal perubatan islam, atau ini gangguan biasa pada orang seusia saya.

Jumaat, 4 Mei 2012

Beruntungnya Jadi Wanita



بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ


Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

السلام عليكم ورحمة الله وبركات semua sahabat yang dirahmati Allah. Di hari Jumaat yang penuh keberkatan ini mari kita renungkan kelebihan yang Allah berikan kepada kaum wanita.



Allah Swt mengutus 124 ribu Nabi dan Rasul tak ada satu orang pun dari kalangan wanita, tapi tak ada seorang nabi pun terkecuali Adam a.s yang lahir MELAINKAN dari rahim wanita, begitu mulianya seorang wanita sehingga dari rahimnya Allah swt hadirkan kekasih-kekasih Allah Swt yang membawa risalah demi mencapai kehidupan yang harmoni didunia dan akhirat.

Nabi saw bersabda : “ Wahai sekalian wanita, sesungguhnya yang paling baik diantara kalian akan memasuki surga sebelum orang yang paling baik di antara lelaki. Mereka akan mandi, dan memakai minyak wangi dan menyambut suami-suami diatas keledai-keledai merah dan kuning. Bersama mereka anak-anak kecil, mereka seperti batu permata yang berkilau”

Bahkan Rasulullah bersabda : “ Sampaikanlah kepada seluruh wanita yang kamu jumpai, bahwasanya : “Taat kepada suami dengan penuh kesadaran, maka pahalanya seimbang dengan pahala perang membela agama Allah Swt, tetapi sedikit sekali dari kamu sekalian yang mau menjalankannya”

* Seorang wanita solehah adalah lebih baik dari pada 70 orang wali, seoarang wanita yang jahat lebih buruk dari pada 1.000 orang lelaki yang jahat.

* Isteri yang melihat suaminya dengan kasih sayang dan suami yang melihat isterinya dengan kasih sayang maka Allah akan memandangnya dengan pandangan rahmat.

* Seorang wanita yang menyusui anaknya hingga cukup tempoh iaitu 2 ½ tahun, maka malaikat-malaikat di langit akan mengkhabarkan berita bahawa syurga wajib baginya.

* Sungguh burung-burung di udara, ikan-ikan dan malaikat dilangit meminta keampunan untuk seorang isteri yang berbakti kepada suaminya selama ia sentiasa dalam kerelaan suaminya;

* Siapa saja isteri yang meninggal dunia, sedang suaminya ridha terhadap pemerergiannya, maka ia akan masuk syurga.
Bila seorang suami pulang kerumah dengan perasaan gelisah, dan isterinya menghiburnya maka isterinya akan mendapatkan pahala jihad.

* Bila seorang wanita, mengerjakan dan menjaga solatnya, berpuasa pada bulan ramadhan, menjaga amanah suaminya dan mentaati suaminya, Allah Swt akan memberikan izin padanya untuk memasuki syurga melalui pintu mana saja yang disukainya.

* Bila seorang wanita hamil solat 2 rakaat adalah lebih baik dari pada 80 rakaat wanita yang tidak hamil.

* Bila seorang wanita tidak dapat tidur kerana sakit dan menyusukan anaknya, Allah Swt akan mengampuni seluruh dosa-dosanya dan mendapatkan pahala 12 tahun ibadah.

* Bila seorang wanita menyapu rumahnya dengan berzikir maka Allah Swt akan memberikan pahala meyapu Ka’bah.

* Bila seorang wanita hamil , sehingga dia melahirkan anaknya, Allah Swt akan memberikan pahala sebagaimana ia berpuasa pada siang hari dan solat sepanjang malam.

* Bila seorang wanita meninggal diantara 40 hari setelah melahirkan anaknya, ia mendapatkan pahala syahid.

* Bila seorang wanita mendorong suaminya keluar dijalan Allah swt, dan dia dapat menerima dengan ikhlas segala kesulitan yang disebabkan ketidaan suaminya, maka ia akan memasuki syurga 500 tahun lebih dulu dari suaminya. Dan 70.000 malaikat akan menyambutnya , dan ia akan menantikan suaminya di syurga

* Bila seorang anak menangis di malam hari, dan ibunya tidak marah tetapi memmujuknya, ia akan mendapatkan pahala satu tahun Ibadah.

* Semua orang akan dipanggil untuk melihat wajah Allah Swt di akhirat tetapi Allah Swt datang sendiri kepada wanita yang menjaga auratnya, iaitu memakai purdah didunia secara istiqomah.

Begitu mudahnya seorang wanita mendapatkan keredhaan Allah Swt mana kala dia taat kepada suaminya , tentunya ketaatan disini dalam batasan-batasan Agama , kerana mana kala seorang suami sudah melanggari apa yang digariskan agama maka tidak ada lagi ketaatan bagi seorang wanita. Kerana “Tidak ada ketaatan kepada mahluk dalam menderhakai AL-Khalik”

Sebagaimana kisah Asiah isteri Fir’aun. Di tengah-tengah kaum yang memusuhi Allah dan Rasul-Nya, ia tetap berpegang teguh kepada Allah Swt, walaupun untuk menjaga keimanan tersebut , ia harus menerima kematian ditangan suaminya sendiri, iaitu Fir’aun la’natullahu ‘alaihi. Rasulullah saw bersabda bahawa wanita yang terbaik dan paling sempurna adalah Asiah isteri Fir’aun dan Maryam

Syekh Ibarahim Ali mengatakan seorang wanita jika sudah dominan dalam kehidupan lelaki, maka ia akan menjadi buah hati dan rohnya. Bahkan akan menjadi segenap badan dan perasaan lelaki. Semua tindakan kebaikan atau kejahatan yang dilakukan oleh seorang laki, kerana dorongan wanita.

Fikiran dan amal para wanita muslimah akan ikut serta berhembus dengan angin, mengalir dengan air, menyatu dengan tanah, tanpa memerlukan kenderaan untuk membawanya, tanpa memerlukan tenaga untuk mengangkutnya. Kebaikan yang akan merebak atau kejahatan. Semua tergantung kepada amalan para wanita.

Dalam buku Ya binti waya ibnii , Ali Atthonthowi menulis : “Wahai puteriku, pintu kebaikan ada di hadapanmu. Kunci pintu itu ada ditanganmu. Jika engkau meyakininya dan engkau berusaha memasuki pintu itu, maka keadaan akan berubah dan menjadi baik. Engkau benar puteriku, bahawa kaum pemuda lah yang pertama melangkah menempuh jalan dosa, bukan wanita, tetapi ingat, bahawa tanpa kerelaanmu dan tanpa kelunakan sikapmu, mereka tidak akan berkeras melangkah maju”



Begitulah beruntungnya menjadi wanita. Sedang kelebihan dan kelonggaran yg telah Allah kurniakan itu, masih juga ada wanita yang menuntut untuk menyama tarafkan mereka dengan hak2 lelaki. Andainyalah mereka mengetahui tanggungjawab yang akan dipertanggungjawabkan oleh Allah keatas lelaki diakhirat kelak, nescaya mereka akan mensyukuri ketentuan Allah menjadikan mereka sebagai wanita.


Sumber

Rabu, 2 Mei 2012

Rabu Yang Kelu 15 - Cantik Punya ' Landing'



بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ






Cantik Tong Sampah!!!



Kebetulan, tumbuh dalam pasu