Halaman

Terima kasih Jadi Kawan Blogger Saya

Jumaat, 27 Januari 2012

HOYA

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ


Sebagai mengubat hati sedang mengelebang gelibu ni, saya snap gambar pokok bunga hoya yang sedang berbunga dianjung rumah saya. Pokoknya dah berusia lebih kurang 4 tahun. Masih aktif mengeluarkan bunga.







Ini dari 2 pasu pokok yang sama berbelit pada tiang. Saya sengaja gantungkan pasunya berdekatan dengan tiang supaya pokok ni boleh melilit pada tiang.





Di bawah ni gambar yang menjadi kenangan ketika hoya ni mula-mula belajar berbunga kira-kira 4 tahun yang lalu. Sebenarnya saya telah mencantumkan 2 warna dan 2 jenis hoya berdekatan dalam 2 pasu. Satu yang bunganya bewarna putih dan satu pasu bunganya bewarna merah. Minta maaflah saya dah lupa nama sebenar hoya-hoya ni walaupun satu ketika dulu tahu namanya.









Sekarang ni hoya putih dah lama tak berbunga. Tak tau kenapa.

Khamis, 26 Januari 2012

Ketiadaannya

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ




Salam dah balik ke UIA tengahari semalam. Sepatutnya cuti semesternya berakhir pada awal bulan Februari. Tapi tiba-tiba dia terima panggilan telefon dari jurulatih silatnya di UIA suruh dia balik awal, sebab ada latihan.

Tak sangka juga saya Salam ini akan serius dengan silatnya tu. Anak-anak lelaki yang lain semasa di sekolah menengah ada juga belajar silat, tapi sekadar memenuhi kurikulum sekolah. Dah masuk universiti habis di situ.

Salam ni lain sikit, dari sekolah menengah, masuk matrikulasi dan sehingga ke U masih aktif dengan silatnya. Masa Sukan Antara Universiti pun dia masuk juga mewakili UIA. Menanglah juga walaupun tak Juara.

Baru-baru ni dalam sukan selangor (SUKSES) pun dia main juga, menanglah juga. Nak larang dah kesukaan dia. Kalau ada rezeki dia mungkin dia akan mewakil Selangor dalam SUKMA. Satu pesan saya pada dia, jangan sampai pelajaran terabai.

Orang yang sangat terasa bila Salam tak ada di rumah, mungkin saya. Kebelakangan ini anak bongsu saya nilah saja yang boleh saya harapkan untuk membantu saya dalam kerja-kerja yang saya dan abahnya tak boleh lakukan, termasuk membuang sampah, angkat pasu bunga saya dan lain-lain kerja yang memerlukan tenaga termasuklah ke kedai bila kehabisan barang-barang keperluan harian.

Bila dia tak ada, susah saya dibuatnya. Rasa sunyi pun ada. Rasa sekejap sangat dia dengan saya, masa cuti pun ada aktiviti. Masa tak cuti pun weekend selalu ada hal, kadang-kadang 2 minggu sekali baru balik, sedangkan jarak antara SA dan Gombak tak sampai 1 jam perjalanan. Rasa tak puas lagi riuh rendah dia di rumah.

Nasib baik Sakinah ada di rumah, itu pun untuk seketika. Jadi adalah juga teman bercerita dan meminta tolong itu dan ini mengikut kemampuan dia termasuk menolong saya memasak.

Di saat-saat tenaga yang makin berkurang dan penyakit banyak jenis yang singgah saya memang sangat-sangat memerlukan anak-anak disekeliling saya.

Rabu, 25 Januari 2012

Giveaway Sulung Miecyber's Blog

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ



Photobucket


Kawan saya Miecyber ada menjemput saya untuk meyertai Giveaway Sulungnya yang bannernya berlip-lap seperti di atas tu. Jadi nak ajaklah kawan-kawan semua ramai-ramai menyertai giveaway ni. Semoga dengan penyertaan kita, Giveaway Sulung Miecyber's Blog ni akan bertambah meriah.

Giveaway ini berlangsung selama 3 minggu bermula 21 hb Januari 2012


Giveaway Sulung Miecyber's Blog


Cara menyertai


1.Blogger perlu buat posting Review Miecyber's Blog
.

2.Berikan pendapat anda mengenai Miecyber's Blog


3. Ceritakan tentang Giveaway yang sedang berjalan ini,


4. Letak banner Giveaway di dalam entry dan link kan kepada entry ini.

5. Klik Like Fanpage Penaja Giveaway



Panaja Pertama

Miecyber's Blog | Fanpage Miecyber's Blog


Penaja Kedua

Taman Negara Package | Fanpage Taman Negara Package


6. Postkan link giveaway anda di bahagian komen ini



6. Hadiah Untuk Review Yang Paling Menarik


a. Top up RM 30 & Cenderahati

b. Top up RM 20 & Cenderahati

c.Top up RM 10 & Cenderahati



Sekarang nak buat review untuk blog Mie ni. Aduss saya ni tak pandai sangat nak review-review ni. Apa pun saya suka dengan Blog Mie ni kerana pertama sekali yang saya suka ialah N3nya padat dan penuh maklumat. Templetenya cantik dengan warna biru yang menyejukkan mata. Loading pun senang.

Rabu Yang Kelu 11 - Mainlah!!! Asal Bahagia

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ






Isnin, 23 Januari 2012

Layu

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ




Hati saya rasa sangat kecewa dan sedih bila dia kata "tak nak minum dulu" atau "nantilah tengahari sikit".

Jawapan yang amat melukakan hati saya.

Dah seminggu saya berusaha keras menggalak, memberi semangat kepada dia untuk ambik "food supplement" ni sebagai usaha untuk menghilang penyakit gout yang dihidapinya dah bertahun. Dah berkilo agaknya 'pain killer' yang masuk ke perutnya untuk menghilangkan sakit bila gout menyerang.

Telah banyak jenis "food supplement" yang dia ambik atas syor kawan-kawan dan saudara mara yang kesian melihat dia kesakitan bila gout menyerang. Tapi dia tak kisah semua tu. Bila ambik sekejap dan rasa sakit sebagai tindakbalas awal dari pengambilan 'food supplement" tu, dia akan berhenti mengambilnya dan kembali kepada ubat-ubat dari doktor yang dah bertahun-tahun diambil.

Sejak akhir-akhir ni, goutnya makin kerap menyerang walaupun dah berpantang makan dan minum. Berjalan pun dah seperti orang kena strok. Seperti biasa pain killerlah yang dicapai. Sedangkan doktor dah beritahu buah pinggangnya dah mula menunjukkan kurang normal. Saya bimbang.

Akhirnya saya cadangkan supaya dia cuba makan "food supplement" yang saya lihat sendiri adiknya yang ada gout dah semboh goutnya dan turun berat badannya. Produknya dah lama saya beli. Tunggu masa dia nak mula makan.

Dia setuju, semenjak ambik ubat tu seminggu lalu, tindakbalasnya memang teruk. Saya bekerja keras menguatkan semangatnya dan membantunya seboleh mungkin. Hari ini Alhamdulillah dia dah boleh berdiri sendiri dan berjalan, sayangnya hari ini dia dah mula menangguhkan untuk minum 'food supplement" ni.

Bermulalah semula episod lama. Sedihnya.

Ahad, 22 Januari 2012

Ikhtiar .......sambungan

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ


Saya sangat berterima kasih pada kawan-kawan yang sudi singgah dan meninggalkan ulasan di N3 saya yang lepas iaitu tentang Ikhtiar
untuk menurukan tekanan gula dalam darah.

Banyak pandangan-pandangan dan nasihat-nasihat yang berguna dicadang dan diceritakan oleh kawan-kawan kepada saya.

Saya begitu tertarik tentang ulasan yang diberi oleh Saudara Temuk dari Blog Nukilan yang memberi pandangan beliau di mana saya rasa pandangan beliau sangat bagus untuk kita kongsi bersama. Terima kasih Saudara Temuk. Pandangan beliau seperti berikut:



Saya juga pernah mendengar pandangan ini dari arwah bapa saudara. Dia kata betul bahan-bahan tumbuh-tumbuhan atau buah-buahan tu boleh membantu dalam menangani penyakit yang kita hidapi, contoh darah tinggi dan diabetes. Masalahnya kita tidak tahu dose sebenar yang patut kita ambik. Memandangkan begitu doktor tidak menggalakkan dia mengambil ubat-ubatan tradisional. Wallahuwa'llam.

Kawan saya Kamariah Awang dari blog Matahati ingin kepastian sama pokok yang saya tepekkan dalam N3 tu pokok hempedu bumi dan rasanya pahit.



Saya google dan saya dapati rupanya pokok hempedu bumi ni nama lainnya ialah pokok cerita. Kalau pokok cerita memang saya kenal. Nama saintifiknya Andrographis paniculata.


Pokok hempedu bumi atau pokok cerita (gambar dari google)


Apa yang saya tahu, daun pokok cerita ni direndam dalam segelas air panas untuk beberapa minit tak boleh lebih. Lepas tu minum airnya. Rasa air tu sangat pahit. Khasiat boleh membantu dalam menurunkan bacaan gula dan tekanan darah tinggi serta lain-lain.

Kawan saya Kamsiah pula dari Blog Detik-detik indah dalam hidup ku ingin tahu sama ada pokok ni pokok sambung nyawa atau nama saintifiknya Gynura procumbens .



Saya kenal pokok sambung nyawa ni. Pokok sambung nyawa ni jenis pokok renek berperdu tapi pokok bismillah ni pokok berbatang tegak dan bercabang.


Pokok sambung nyawa (gambar dari google)


Dan ini pula pokok Bismillah atau nama saintifiknya vernonia anygdalina selain dari gambar saya sendiri dalam N3 terdahulu.


Pokok Bismillah (gambar dari google)


Pokok-pokok yang diceritakan di atas menurut mereka yang pakar tentang perubatan tradisional mengatakan daun dari pokok-pokok ni banyak khasiatnya antaranya boleh mengawal tekanan darah tinggi dan bacaan gula dalam darah. Wallahuwa'llam

Sabtu, 14 Januari 2012

Ikhtiar

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ


Tiap-tiap hari saya ambik bacaan gula dalam darah saya. Saya perhatikan sejak akhir-akhir ni lebih tepat dalam sebulan dua ni bacaan gula saya tinggi sehingga 18. Ada sekali menjangkau 21. Paling rendah pun 9 atau lebih. Sudah tak seperti dulu, bacaan gula selalunya hanyak 5, 6 dan 7.

Sedangkan makanan yang diambil dah saya jaga.

Hari Khamis lalu bila berjumpa doktor di PPUM, saya dah kena injek insulin. Itulah selama ini yang nak saya elakkan tapi nampaknya tak berjaya.

Saya cuba risik dengan kawan-kawan kalau ada cara tradisional untuk menurunkan bacaan gula dalam badan saya ni. Ada kawan-kawan cadangkan saya minum air rendaman daun bismillah. Menurut mereka InsyaAllah dah ramai yang cuba, dan bacaan gula mereka turun. Kebetulan saya ada menanam pokok ni. Cumanya memandangkan saya tak menjaga sangat pokok ni, jadi dia taklah subur sangat.






Caranya ambik 2 helai atau lebih daunnya dan rendam dalam air panas, seperti kita rendam teh cina. Dah suam minumlah macam minum air biasa.

Saya dah cuba, airnya tak rasa pahit atau apa-apa. Tengoklah resultnya nanti.

Adik saya pula suruh saya cuba minum jus apple hijau bercampur jus pria katak 2 kali sehari. Dia dah buat dan Alhamdulillah berhasil. Yang ini saya belum cuba lagi.





Caranya, blendkan 1 biji apple dan 1 biji pria katak ni dengan secawan air. Sudah hancur kedua2 bahan tu, tapis, minum airnya.

Jumaat, 13 Januari 2012

Saksi Iman Teruji

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ




Assalamualaikum pada semua kawan-kawan. Semoga dihari Jumaat yang mulia ini kita diberkati Allah selalu. Saya terbaca satu rencana di dalam Majalah Solusi dan saya ingin berkongsi di sini. Ianya ialah mengenai tafsiran ayat 4 hingga 8 dari Surah Al-Buruj.


Celakalah kaum yang menggali parit,


(Parit) api yang penuh dengan bahan bakaran,


(Mereka dilaknat) ketika mereka duduk di kelilingnya,


Sambil mereka melihat apa yang mereka lakukan kepada orang-orang yang beriman.


Dan mereka tidak marah dan menyeksakan orang-orang yang beriman itu melainkan kerana orang-orang itu beriman kepada Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Terpuji!


Tuhan yang menguasai segala alam langit dan bumi. Dan (ingatlah), Allah sentiasa menyaksikan tiap-tiap sesuatu.


Surah Al-Buruj: ayat 4-9.

Tafsiran ayat-ayat 4 hingga 9 adalah merujuk kepada sebuah kisah yang yang dikemukakan oleh jumhur ulama mufasirin, antaranya Ibn Jarir, Ibn Attiyah dan Al Qurtubi Suhaib r.a. bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud. "Pada masa dahulu, ada seorang raja berketurunan Yahudi yang mempunyai seorang ahli sihir. Kemudian setelah ahli sihir itu tua, ia berkata kepada raja "Kini aku telah tua dan mungkin telah dekat ajalku. Oleh sebab itu, kirimkan kepadaku seorang pemuda yang dapat aku ajarkan kepadanya ilmu sihir." (Riwayat Muslim, Ahmad dan al-Nasai)

Anak didik yang dicari ahli sihir itu ditemui, maka bermulalah setiap hari pemuda itu belajar dengan ahli sihir. Namun dalam perjalanan menuntut ilmu sihir, pemuda itu sering singgah mendengar pengajian seorang pendita (ahli ibadah yang sholeh) terlebih dahulu kerana tertarik dengan ajarannya.

Akhirnya pemuda itu sering dipukul oleh ahli sihir kerana sering lambat. Bukan itu saja, malah ibunya turut memukulnya kerana lewat pulang ke rumah. Masalah itu diadukan kepada pendita tersebut. Mendengar situasi yang dihadapi oleh pemuda itu, pendeta itu mencadangkan perkara berikut:

- Katakan pada ahli sihir bahawa dia ditahan oleh ibunya sehingga menyebabkannya sering terlambat;

- Jika terlambat pulang ke rumah katakan kepada ibunya bahawa ahli sihir menahannya daripada pulang awal.

Pada suatu hari ada seekor binatang buas yang menghadang jalan sehinggakan tiada siapa yang berani melalui jalan tersebut. Melihat kejadian itu, pemuda itu berkata "Hari ini aku boleh tahu siapa yang lebih baik di sisi Allah, ahli sihir atau pendita itu".

Pemuda itu telah mengambil sebiji batu dan berdoa "Ya Allah, jika ajaran pendeta itu lebih baik di sisi MU berbanding ahli sihir bunuhlah binatang itu supaya orang ramai dapat melalui di tempat ini".

Dengan izin Allah, batu yang dilemparkan itu berjaya membunuh binatang buas itu. Orang ramai dapat menggunakan kembali jalan tersebut. Peristiwa tersebut diceritakan kepada pendeta.

"Kamu kini telah menjadi lebih hebat daripadaku, dan kamu akan diuji. Tapi apabila diuji, jangan sekali-kali dedahkan identitiku," kata pendeta yang menyedari apa yang bakal berlaku.

Imannya Diuji

Sementara itu di istana, ada seseorang berpangkat dalam majlis raja yang telah menjadi buta lantaran sakit mata. Tatkala ia mendengar berita bahawa ada seorang pemuda dapat menyembuhkan pelbagai penyakit termasuk buta dan sopak, maka dia segera pergi menemui pemuda itu sambil membawa hadiah yang banyak.

Pintanya cuma satu "Sembuhkan mataku. Aku sanggup memberikan kepada mu apa-apa saja yang kamu suka".

Jawab pemuda itu "Aku tidak dapat menyembuhkan sesiapa pun kerana yang menyembuhkan hanya Allah s.w.t. Jika engkau beriman kepada Allah, aku akan berdoa semoga Allah menyembuhkan mu".

Pegawai DiRaja itu akur. Dengan izin Allah dia kembali celik. Apabila ia kembali ke majlis raja sebagaimana biasanya, raja bertanya, "siapa yang menyembuhkan mata mu?".

Jawabnya: "Rabbi (Tuhanku)?, Raja agak keliru, Raja bertanya kembali "Aku?". Pegawai istana itu menafikan sebaliknya dijelaskan bahawa Tuhan itu merujuk kepada Allah. "Apakah di sisi mu ada Tuhan selain aku?". Jawab pengawai itu dengan yakin "Ya, Tuhan ku dan Tuhan mu adalah Allah".

Tindakan pegawai itu yang menzahirkan kepercayaan kepada Allah telah dibalas dengan seksaan berat. Akhirnya dia terpaksa mendedahkan identiti pemuda yang mendoakan kesembuhan untuknya.

Pemuda itu dipanggil menghadap raja. "Hai anak muda, sungguh hebat sihir mu sehingga mampu menyembuhkan orang buta, sopak dan pelbagai jenis penyakit."

Sesungguhnya aku tidak dapat menyembuhkan sesiapa pun, Yang menyembuhkannya Allah Azzawajala". Kenyataan raja itu disangkal. Berang dengan kata-kata pemuda itu raja mengarahkan supaya pemuda itu disiksa. Akhirnya pemuda itu terpaksa mendedahkan pula identiti pendeta yang telah mengajarnya.

Azab Yang Tidak Mampu Melunturkan Iman

Kini pendeta pula yang dipanggil menghadap raja. Diberikan kepadanya 2 pilihan; meninggalkan agama atau disiksa, Iman yang jitu dalam hatinya menyebabkan pendeta itu kekal memilih agama. Siksaan tidak terperi apabila siraja mengarahkan agar kepala pendeta itu digegaji sehingga terbelah dua.

Sekarang tiba pula giliran pemuda itu. Pilihannya juga sama, tetap beriman. Seksaan maha perit menanti. Raja lantas mengarahkan supaya pemuda itu di bawa ke atas gunung yang tinggi dan dilemparkan ke bawah. Namun rancangan ini tidak berjaya. Gunung bergoncang hebat. Semua orang suruhan raja terjatuh ke bawah gunung dan mati. Pemuda itu mampu pulang dengan selamat.

Terkejut dengan kepulangnnya, raja telah mengarahkan pula supaya dibawa ke tengah-tengah laut. Arahannya supaya dilemparkan pemuda itu ke dalam laut. Namun apa yang berlaku, orang suruhan raja semua tenggelam dan mati lemas sebaliknya pemuda itu terselamat.

Jelaslah dia terselamat daripada kedua-dua seksaan yang dirancang itu kerana pergantungannya kepada Allah menerusi doanya. "Ya Allah, selesaikan urusanku dengan mereka ini menurut kehendak Mu". Akhirnya dihadapan raja dia berkata "Tuanku tidak akan dapat membunuh ku kecuali jika tuanku menurut perintah ku".

Raja yang memang teruja ingin membunuhnya menagih jawapan "Apakah perintah mu". Jawab pemuda itu, "Tuanku kumpulkan semua rakyat di suatu tempat lapang nan luas, lalu ikatlah aku pada sebatang tiang. Kemudian ambik anak panah milik ku ini dan bacalah : "Bismillahi Rabbi ghulam (dengan nama Allah Tuhan pemuda ini) lalu lepaskan anak panah itu ke arahku". Dengan cara itu sahaja tuanku dapat membunuh ku".

Oleh kerana raja mahu membunuh pemuda itu, segala cadangan pemuda itu dilaksanakan. Ketika anak panah dilepaskan dan menembusi di antara telinga dan mata pemuda itu, ia meletakkan tangannya ditempat anak panah itu dan terus mati syahid.

Sekelian rakyat yang hadir dan menyaksikan peristiwa itu berkata "Kami beriman kepada Allah, Tuhan pemuda ini".

Selepas berita itu sampa ke telinga raja bahawa kebanyakan rakyat telah beriman dengan Allah. Walaupun hakikatnya Raja kelihatan seolah-olah berjaya membunuh pemuda beriman itu tapi sebenarnya tindakan itu telah melahirkan ramai lagi orang beriman.

Hati yang bersarang didalamnya kekufuran dan mazmumah pasti sering memikirkan pelbagai strategi untuk memenangkan kebathilan. Apakah tindakan sang raja menghadapi jumlah orang beriman yang makin bertambah?.

Bagi menyingkirkan orang-orang beriman, raja memerintahkan supaya digali parit di setiap jalan dan dinyalakan api, Sesiapa sahaja yang melaluinya akan ditanya tentang agamanya. Natijahnya, ramai orang yang mengakui beriman dengan Allah mati dilemparkan ke dalam parit berapi.

Ada satu kejadiaan menarik berkaitan seorang wanita dan bayinya yang masih menyusu. Siibu yang hampir-hampir menukar agama kerana kesihan kepada bayinya yang masih menyusu, membatalkan hasratnya itu. Puncanya ialah apabila si bayi tiba-tiba berkata-kata kepada ibunya. "Sabarlah wahai ibuku kerana engkau sedang mempertahankan yang hak". Lantas ibu itu dengan cekal melompat masuk ke dalam parit yang dipenuhi api.

Menurut Ibn Abbas, kisah ini berlaku 70 tahun sebelum kelahiran Nabi Muhammad s.a.w.



cekalnya hati orang-orang beriman dahulu mempertahankan iman mereka. Tidak tergugat walaupun disiksa dengan teruk.

Rabu, 11 Januari 2012

Sepohon Kayu Daunnya Rimbun

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ




Sepohon Kayu Dahannya Rimbun
Lembat Daunnya Serta Buahnya
Walaupun hidup seribu Tahun
Kalau Tak Sembayang Apa Guna


Itu pantun yang selalu kita dengar malah mungkin kita nyanyikan semasa kita kecik-kecik lagi. Kita dipesan suruh sembahyang, jangan tak sembahyang.

Sayangkan, orang yang mengabaikan sholat akan mendapat kerugian dunia dan akhirat,

Di dunia kehidupan orang yang tak sholat ni dikatakan dipenuhi dengan maksiat dan kemungkinan serta hidup menjadi tidak tenang.

Allah berfirman yang bermaksud "Sesungguhnya sholat itu mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar" (Surah Al-Ankabut 29: 45).

Manakala di akhirat pulak kalau tak sholat akan menerima azab yang pedih.

Dalam kitab al-kaba'ir karangan al imam al Zahabi dinyatakan bahawa sebahagian ulama telah berkata bahawa orang yang meninggalkan sholat akan dikumpulkan bersama Qarun, Firaun, Haman dan Ubay bin Khalaf di akhirat kelak.

N3 ini sebenarnya lebih kepada peringatan untuk diri sendiri dan anak-anak, semoga selalu ingat pesan mama dan abah. Jangan tak sholat..

Isnin, 9 Januari 2012

Lama Tak Singgah Sini

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ


Selepas sarapan pagi semalam saya dan suami menyusuri jalan menuju ke arah Kampong Melayu Subang. Lama tak kesini. Dah banyak perubahan. Saya tiba di satu tempat yang satu ketika dulu saya sering kemari. Sayangnya tempat tu tak kelihatan. Banyak bangunan-bangunan baru dan cantik tumbuh di kawasan berkenaan.

Kami menyusuri sekali lagi jalan yang sama, akhirnya nun di sana, dah nampak, dah agak terperosok sikit. Padanlah saya tak nampak tadi. Ya itulah Nursery Orkid Hew yang terletak antara jalan ke Lapangan Terbang Subang dan jalan ke arah Sungai Buluh.

Tiba di sana, wah terhibur rasa hati melihat bunga-bunga orkid yang berbagai jenis berkembangan berwarna warni. Rindunya keadaan ini. Dah lama tak ikut member orkid ke kebun-kebun orkid. Kami jarang beli orkid di tempat jual orkid, satunya kerana harga yang mahal dan pilihan tak banyak.

Kalau kita terus ke kebun orkid, banyak pilihan jenis orkid dan harganya kuranglah sikit dari kita beli dari peraih orkid.

Asalnya yang saya beria-ria sangat nak ke sini ialah untuk membeli mos dan baja orkid untuk orkid saya. Tempat lain susah nak dapat mos. Dalam nak beli mos tu, tergoda juga dengan bunga-bunga orkid yang cantik tu. Saya kawalkan diri dari tergoda dengan orkid yang mahal, tapi saya beli orkid dendrobium yang di bawah ni dengan harga rm8.00 sepokok. Tempat lain mesti tak dapat, paling murah rm10.00. Saya beli baja nudget sebungkus dan 1 bungkus mos, mungkin 1/2 kilo. Baja nudget ni sebagai tambahan kepada budget spray.












Abaikan latarbelakang gambar-gambar orkid ni. Orkid-orkid ni dah saya gantung di beranda rumah.


Nasib baik Cik Abang saya dari dulu tak pernah halang kesukaan kak ani walaupun dia sendiri tidak pernah menyiram pokok-pokok tu. Tapi bila berbunga dia suka.

Jumaat, 6 Januari 2012

Teringat.........

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ


Semalam ketika mencari sesuatu dalam kabinet dapur di bahagian yang jarang dibuka, terjumpa pinggan-pinggan di bawah ni. Ini saja yang jumpa. Teringat ... baru-baru kawin dulu pinggan-pinggan nilah diguna untuk makan minum.

Tapi bila dah mula beli pinggan baru, pinggan-pinggan ni saya buat alas pasu bunga di luar rumah. Menyesal sungguh..... tidak pandai menghargai sesuatu. Sekarang bila lihat orang pamerkan pinggan-pinggan lama ni, mula mencari, tapi dah tak ada. Ini pun entah dari mana.











Masih terbayang, ketika baru-baru kawin dulu, ketika emak mertua saya mengiringi saya balik ke rumah sendiri di Kuala Lumpur, emak mertua saya berikan kami, 2 biji periok kecik, 4 biji pinggan, 1 penapis santan. Dah adat orang dulu-dulu agaknya berbuat demikian sebagai simbul berumahtangga. Barang-barang tu saya bawa balik ke rumah di Kuala Lumpur. Barang-barang ni saya gunakan.

Sekarang selepas 34 tahun berlalu yang tinggal hanya penapis santan di bawah ni yang masih saya gunakan hingga sekarang. Ertinya usia saya guna penapis santan ni dah selama 34 tahun lebih. Ia masih baik dan masih digunakan lagi walaupun saya ada yang lain. Barangan lain pemberian ibu mertua saya tu mungkin ada saya simpan di mana-mana, tak mungkin saya dah buang. Mungkin pinggan di atas.



Satu lagi barang lama yang sama masih guna hingga sekarang, ialah lesong di bawah ni. Lesong ni saya beli ketika tinggal serumah bersama kawan-kawan semasa mula2 mendapat kerja. Kecik jer, masa tu untuk saya sorang saja.

Bila dah kawin saya masih guna lesong ni. Rupanya sehingga sekarang lesong ni masih setia. Cuma alunya saja saya dah ganti kerana alu lama dah patah. Sayangnya lesong ni tak cukup kalau nak tumbuk sambal belacan untuk ramai orang. Untuk sorang dua bolehlah.



Saya selalu menganggap pemberian orang patut disimpan baik-baik kerana orang tidak akan berikan sesuatu kepada kita 2 kali. Barang yang kita beli tak aper, bila hilang atau pecah kita boleh beli lagi.

Rabu, 4 Januari 2012

Adakah ini takdir!!!

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ




Kesian, rasa simpati dan sedih bersilih ganti dalam diri sejak 3 hari lepas. Dia juga merupakan tamparan dan iktibar pada diri sendiri.

Saya masih ingat, ketika saya memberitahu dia supaya makan ubat diabetes dan darah tinggi seperti dijadualkan. Saya juga pernah nasihatkan dia jaga makan minum. Jangan minum atau makan yang manis-manis.

Dia jawab "Alah Ni, berapa lama lagi aku nak hidup". Itulah prinsip adik lelaki saya, ambik mudah.

Jawab saya "Tak boleh macam tu, kalau mati terus tak apa, kalau strok ker atau apa-apa ker, susah", dia gelak jer.

Dari hari ke hari tiap kali berjumpa, ada jer perkara yang dia cerita tentang anggota badannya. Ada kala dia kata "kaki aku kebas, pakai selepar ker, tak pakar ker sama jer, tak rasa apa". Jawapan saya pada dia sama juga. Jumpa waktu lain pula dia beritahu lagi "tangan aku tak berapa nak boleh genggam". Samalah juga jawapan saya.

Tapi rasanya nasihat dari orang yang tak berapa pandai ni macam angin lalu saja.

Takdir menguji adik saya. 3 hari lepas ketika makan tengahari, tiba-tiba saja pandangannya gelap, maksud lainnya penglihatannya hilang. Dia telefon saya, saya cadangkan di ke hospital segera. Ketika ke Bahagian Kecemasan Hospital Serdang, bila diperiksa tekanan darah tingginya, begitu tinggi sekali. Begitu juga dengan bacaan gulanya. Kesimpulannya kerana tidak menjaga pengambilan gula menjadikan matanya rosak terus. Kata doktor "nasib baik Pak Chik datang cepat, boleh strok ni".

Semalam pakar mata di hospital serdang pula mengesahkan mata kirinya yang pernah dipasang kanta akibat katerak sudah tidak boleh berfungsi lagi. Urat-urat dimata sebelah kanannya pula sudah dimasukki darah. Pembedahan segera perlu dibuat. Pakar mata di hospital berkenaan terpaksa melaserkan mata kirinya yang dah rosak dan juga mata kanannya. Peluang melihat semula tidak dapat dipastikan, ia hanya bergantung kepada mata kanannya saja yang juga kabur sekarang ini.

Saya tak tahu nak kata apa selain "sabarlah, ini takdir perjalanan hidup mu". Tapi ianya seolah-olah takdir yang ditempah. Terkenang mak yang kena strok selama 2 tahun sebelum beliau meninggalkan kami semua.



Peringatan pada diri sendiri yang mengidap diabetes, jangan ambik mudah tentang nasihat doktor supaya kita mengawal pengambilan gula dalam makanan, akibatnya sangat menyedih dan menyiksakan. Kita tak boleh salahkan takdir tapi rasanya kita sendiri yang cuai.

Selasa, 3 Januari 2012

Peristiwa Di akhir Dan di Awal tahun

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ


Dah 2 hari kita masuk ke tahun 2012. Begitu pantas rasanya 2011 kita tinggalkan. Saya pulak baru ni dapat bercerita sesuatu semenjak akhir tahun dan awal tahun. Selain badan kurang sihat, masa yang ada juga kurang mengizinkan untuk duduk depan pc ni.

Sebagai penutup tahun 2011 dua peristiwa besar berlaku dalam keluarga kami. Pertamanya pada 24 Disember hari itu, kami kembali ke dungun untuk meraikan perkahwinan anak saudara perempuan kami.





Gambar atas di rumah pengantin perempuan
dan bawah di rumah pengantin lelaki


Tahniah Cikgu Ton, Alhamdulillah dua orang Cikgu Ton dapat menantu tahun ni. Alhamdulillah,tahniah dan Selamat pengantin baru pada Ejie dan Rosli. Semoga berbahagia selamanya.

Peristiwa kedua pula begitu istimewa pada saya adik beradik kerana pada 30 Disember 2011 berlangsunglah pernikahan antara adik bongsu saya dengan gadis pilihannya di Bilik Pernikahan, Masjid Negeri Shah Alam.

Setelah masuk usia 40 tahun, Alhamdulillah perjalanan hidupnya mula masuk ke alam baru. Alam perkahwinan dan menamatkan zaman bujang yang begitu panjang. Saya doakan semoga adik saya dan isteri berbahagia ke akhir hayat mereka. Sayangnya saya tak dapat tepekkan gambar kerana gambar yang saya ambik menggunakan h/set semua kabur, nak tunggu gambar dari orang lain tak tahu bila.





Peristiwa di awal tahun 2012 pula iaitu pada hari ini, cucu paling kecik saya Ahmad Nabil genap usianya 3 bulan. Sekejap sungguh masa berlalu.





Ini sajalah yang dapat saya coretkan buat masa ni. Kalau diizinkan Allah ada yang kesihatan yang baik dan suasana yang sesuai, InsyaAllah saya akan terus menaip sesuatu.