Halaman

Terima kasih Jadi Kawan Blogger Saya

Rabu, 23 November 2011

Hujan

..
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ




Dah 2 hari saya di Dungun. Cuaca sejuk dan hujan sambung menyambung. Maksud sambung menyambung tu kerana sekejap hujan turun menderu-deru, lepas tu berhenti. Kejap lagi hujan balik menderu-deru. Kata orang tua-tua, hujan kejar mak mertua. Mana yang tak baik tu selalu dirujuk kepada mak mertua. Kesian mak mertuakan.

Angin juga bertiup kencang. Baju dibadan berayun melayang-layang. Dah lama tak rasa suasana begini. Inilah musim monsun. Dengar khabarnya didaerah Besut sana dah mula banjir dan dah ada penduduk yang dipindahkan.

Semalam saya ke pantai Teluk Lipat. Pantai yang selalu saya kunjungi bila balik ke Dungun. Pantai yang penuh nostalgia. Bukan nostalgia cinta, tapi nostalgia zaman kanak-kanak yang tidak tau takut kepada ombak yang bergelora. Masa tu tak fikir mak bimbang. Tau seronok jer walaupun balik karang kemungkinan dapat 'upah'.

Air laut dah berwarna 'teh tarik yang kaw'. Kata pak saudara saya tu tandanya air di hulu dah masuk ke laut. Alhamdulillahnya sekarang ni walaupun musim tengkujuh kita masih boleh makan nasi berlaukkan ikan segar walaupun mungkin harganya mungkin mahal sikit.

Zaman saya masih bersekolah dahulu bila tiba musim begini jawabnya kami akan makan nasi berlaukkan ikan kering aatau ikan jeruk/pekasam. Kalau mak ada duit dapatlah makan berlauk sardin. Musim ni jugalah ikan-ikan sungai atau kami panggil ikan darat naik ke pasar. Sayangnya kebanyakan dari kami orang tepi laut ni kurang makan ikan darat.

Ahad, 20 November 2011

Kalau Nak Gugur, Gugurlah Nangka

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ




Kalau nak gugur, gugurlah nangka
Jangan menimpa sibatang pauh
Kalau nak tidur, tidurlah mata
Jangan mengenang si orang jauh


Lagu suruh mata tidor. Pandainya orang zaman dulu-dulu memujuk hati yang tak boleh tidur kerana tergenangkan seseorang.

Malam dah makin sunyi. Ahli rumah ni dah lena diulit mimpi. Tapi saya tak boleh lelapkan mata. Tadi saya dah masuk tidor. Niat hati memang nak tidor. Sayangnya tidak terjadi sebagaimana yang saya harapkan. Mata dipejam, tapi otak masih enggan tidor. Jangan salah faham susah nak tidor ni bukanlah kerana mengenang orang yang jauh, cuma yerlah seperti kata orang-orang bijak pandai, lagi berusia seseorang tu, lagi sedikit masa tidur mereka.

Kita susah lena bila nak tidor, mungkin kerana Allah nak kita bangun mengingati dan sujud kepadaNYA diwaktu insan lain dah tidor. Akhirnya saya bangun dan mengadap pc ni. Bukan tak nak sujud dan berzikir pada Allah, tapi sekarang saya nak berblog kejap.

Semenjak jam 12.30 pagi ni, saya mengadap pc ni. Tak ada idea apa yang nak diceritakan. Akhirnya sempatlah juga saya singgah rumah kawan-kawan dua tiga orang. Tapi sayangnya dengan line yang merayap mengalahkan siput 'babi' ni, tak banyaklah rumah yang saya boleh singgah.

Sekarang saya dah mengantuk. Nak masuk tidor ni. Semoga saya boleh lena sedikit malam ni. Kalau tak lena banyak pun, lenalah sekejap. Malam dah makin sunyi.

Sabtu, 19 November 2011

Percubaan Pertama

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ




Inilah rupa nasi himpit goreng saya yang saya ikut dari apa yang dicatitkan dalam blog Acik Erna. Terima kasih Acik Erna sudi berkongsi resepi buat nasi himpit goreng ni.

Nasi himpit saya ni pun baki dari Raya Haji hari tu juga. Rupanya lain sikit dari Acik Erna punya, mungkin sebab saya goreng lembab sikit.

Rasanya, bolehlah sedap.


Sekarang baru teringat dulu-dulu masa selalu jalan-jalan di Petaling Street, ada juga nampak orang cina mengoreng nasi himpit ni. Dia goreng macam goreng mee atau kuew teow.

Rabu, 16 November 2011

Selasa, 15 November 2011

Roti Canai + Ikan Asam Pedas

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ




Malang tak berbau, itulah kata orang.

Begitulah nasib saya pada pagi Ahad lepas. Saya suka sangat makan roti boom (tak letak gula) di sebuah restoran melayu di Seksyen 16 Shah Alam ni. Roti dia ranggup. Jadi seperti biasa saya akan makan 2 keping, 2 tu!!!, satu tak cukup. Saya akan makan roti canai ni dengan ikan masak asam. Selalunya ikan kembonglah.

Nak dijadikan cerita, tak tau macam mana, sedang sedap menikmati roti canai tu, tiba-tiba tercekik tulang. Bila terasa ada tulang kat tekak, macam biasalah saya minum berkali-kali. Tak lepas, saya telan pulak roti canai yang hanya dikunyah sikit, dengan niat supaya tertolaklah tulang tu sekali.

Sayangnya semua usaha tidak berjaya. Akhirnya bila tiba di rumah saya ambik segelas air sejuk. Saya baca doa nabi Yunus 7 kali pada air tu, dengan bacaan selawat dan bismillah saya minum air berkenaan serta berdoa pada Allah semoga tulang tu terlepas dari tekak saya. Selalunya ini cara saya buat bila tercekik tulang. Selepas selepas beberapa ketika selalu terlepaslah tulang tu dari tekak. Bukan serta merta.

Tapi kali ini sehingga petang Isnin tulang tu masih terlekat disitu. Allah belum mengizinkan lagi. Petang Isnin tu tekak dah mula sakit dan telinga pun dah rasa sakit sikit-sikit. Mengenangkan diri ada diabetes, bimbang pulak takut infection. Jadi akhirnya kami ke Salam Medical Center untuk jumpa pakar ENT.

Malangnya sampai sana lebih kurang jam 4.00 petang, doktor baru balik. Akhirnya saya jumpa dengan doktor perubatan. Memandangkan bukan bidang dia, doktor tu kata dia cuba tengok dulu, kalau nampak tulang tu, InsyaAllah dia cuba keluarkan. Tapi kalau dia tak nampak tulang tu kenalah tunggu esok untuk dibuat oleh doktor ENT,

Alhamdulillah doktor tu nampak tulang tu, akhirnya legalah. Panjang jugak tulang tu hampir 1 inci. Doktor bekalkan juga antibiotik. Dah takut pulak rasa nak makan ikan masak asam di restoran tu lagi.

Berhati-hati bila makan, bukan saja kena berhati-hati di jalanraya. he he.

Isnin, 14 November 2011

Baik Punya Lepak!!!!!

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ


Hari ini sekejap jer ni boleh lepak depan pc. Kebetulan Kaisah dan nabil dah balik dari Taiping. Ereesya dan Izati pun ada di rumah. Ni curi-curi berblog kejap bila budak dua tu sedang sebok buat 'kerja-kerja' mereka. Rumah dah jadi macam tongkang pecah. Sekarang ni semua cucu-cucu ada di rumah. Riuh rendah.






Kakak pulak dah dapat galaxy tokbah tak peduli kiri kanan. Mengadaplah galaxy tu walaupun adik2 riuh rendah.



Jumaat, 11 November 2011

Baru Niat Sudah Dapat Pahala

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ


HADIS QUDSI




Daripada Abu Hurairah r.a. bahawa
Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:
Allah berfirman, Jika hamba ku berbicara
(iaitu berniat) untuk melakukan kebaikan.
maka Aku akan menulis untuknya satu
kebaikan selagi belum melakukannya. Jika ia
telah melakukannya, maka Aku mencatatnya
dengan 10 kali ganda. Jika ia berniat
untuk melakukan keburukan, maka Aku
mengampuninya selagi belum melakukannya.
Jika ia telah melakukannya, maka Aku
menulis untuknya yang semisalnya.'

Rasulullah s.a.w bersabda lagi: Para malaikat
berkata: Wahai Tuhanku, hambaMu ini
berniat melakukan keburukan, padahal
Dia lebih mengetahuinya. Allah berfirman
lagi "Lihatlah, jika dia melakukannya, maka
catatlah keburukan itu untuknya dengan yang
semisalnya. Jika ia meninggalkannya, maka
tulislah untuknya satu kebaikan. Ia hanyalah
meninggalkannya kerana takut kepada Ku."

(Riwayat Muslim)


Hanya dengan lintasan niat yang kecil dan tersimpan di hati tanpa siapa yang tahu, Allah tetap memberikan ganjaran dan balasan untuk sesiapa jua bergantung kepada apa yang diniatkan semata-mata untuk mendapat keredhaan Allah dan perhatian-Nya. Allah berfirman maksudnya:

‘…Sesungguhnya Allah tidak menyia-nyiakan pahala orang-orang yang berbuat baik. Dan mereka tiada menafkahkan suatu nafkah yang kecil dan tidak (pula) yang besar dan tidak melintasi suatu lembah, melainkan dituliskan bagi mereka (amal saleh pula), kerana Allah akan memberi balasan kepada mereka (dengan balasan) yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan…’ (al-Tawbah: 120-121)

Khamis, 10 November 2011

The Choice Is Yours

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ




The choice is yours, itulah kata-kata pakar mata yang saya jumpa semalam. Sebagai pengidap diabetes saya kena jumpa pakar mata setahun sekali. Tahun lepas semuanya okey. Tapi tahun ni kata doktor kedua-dua mata saya dah berselaput ataupun cataract. Doktor tu menasihatkan saya supaya membuat pembedahan untuk membuang selaput tu.

Saya tak dapat nak memberi keputusan masa tu, jadi saya minta ditangguhkan sehingga next appoinment. 'Next appoinment' tu maknanya tahun depan. Saya tak nak buat keputusan semalam, tapi doktor nasihatkan saya sekiranya saya melihat atau merasa sebarang perubahan di mata saya, saya kena datang jumpa doktor segera. Yang membuat saya senang hati ialah 'pressure' mata saya normal.

Dengan bertambahnya usia saya, setiap kali berjumpa doktor saya akan menerima khabar yang kurang mengembirakan tentang kesihatan saya. Dari masa kemasa ada saja perkara yang bertambah 'tidak baik'. Kadang-kadang perkhabaran ini boleh 'upsetkan' saya. Tapi saya kena menerima kenyataan, itulah realiti hidup.

Saya kena melihat alam sekeliling. Banyak lagi orang yang lebih sakit dari saya. Berkali-kali saya memesan kepada diri saya untuk menerima hakikat ini. Tetapi kadang-kadang saya 'down' juga dengan berita-berita begini. Saya kena menerima kenyataan yang dari hari kehari kesihatan saya makin berkurangan.

Rabu, 9 November 2011

Streamyx Punya Hal Rupanya

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ


Alhamdulillah hari ni barulah datang berblog semula selepas 3 hari terputus hubungan bila Streamyx tergendala di rumah saya. Pada mulanya ingatkan line dirumah yang bermasalah, selepas pelbagai usaha sehingga terpaksa meminta pertolongan khidmat dari TM, masih juga masaalah tak dapat diselesaikan.

Akhirnya anak saya minta pihak TM cari apa masalahnya sebab bagi pihak kami dah cuba macam-macam. Tapi gagal. Akhirnya selepas 1 hari setengah, pulihlah. Saya tak tau sama ada jiran-jiran saya juga menghadapi masalah yang sama atau tidak.

Terima kasih pada kawan-kawan yang singgah ketika saya tidak berada di blog saya ni dan meninggalkan ulasan di N3 saya yang terakhir.

Rabu, 2 November 2011

Rabu Yang Kelu - 8 - Alamak!! Tak Ada Canlah Aku

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ




Selasa, 1 November 2011

Sehari Di Pekan Colmar

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ




Sebenarnya cerita ni dah suam, hampir-hampir nak sejuk. Tak aperlah kan. Saya nak berkongsi gambar-gambar ketika kami ke Bukit Berjaya (Berjaya Hill) di Bukit Tinggi.

Pada hari Depavali hari tu, cucu-cucu ajak jalan-jalan. Kata mereka nak ke Cameron Highland. Saya bimbang kalau ke CH tanpa book hotel nanti tak ada tempat nak bermalam, lagi pun besoknya Izati sekolah, nak balikpada hari yang sama mesti memenatkan.

Akhirnya kami ke 'The Colmar Hotel' di Bukit Tinggi. Dah lama teringin nak ke sana bila dengar cerita dari kawan-kawan tentang keseronokan di sana. Nak bermalam di sana rasanya kurang keperluanlah sebab mengikut cerita ada bilik yang harganya mencecah RM1,000.00 satu malam.

Kami tiba di sana lebih kurang jam 11.00 pagi. Perjalanan lebih kurang 1 jam atau lebih sikitlah dari Shah Alam. Nak masuk ke area Hotel Colmar dan melihat persekitarannya kami dikenaan tikit RM12 untuk orang dewasa dan RM8 untuk kanak-kanak yang berusia 4 - 12 tahun. Rabaklah lebih kurang RM75 untuk tikit saja. Pada saya, saya rasa mahal.


Pemandangan 'Pekan Colmar' dari kejauhan












Inilah kononnya 'Pekan Colmar' iaitu sebuah pekan di negara Peranchis. Gambar-gambar ni saya ambil ketika hujan. Tak dapatlah kami menjejakkan kaki di pekan ni, sekadar melihat dan mengambil gambar dari dalam kereta saja.

Dari 'Pekan Colmar' kami menuju ke puncak bukit berjaya dimana disana terdapat apa yang ditunjukkan dalam gambar dibawah.



Saya tak naik ke puncak bukit ni hanya tunggu dikaki puncak. Sebenarnya ada bas yang tak berdinding membawa pelawat yang ingin ke puncak. Tapi setiap kali tiba ditempat kami menanti, bas tu sentiasa penuh. Jadi anak-anak saya gunakan kemudahan bas tu ketika turun dari bukit. Kerana saya tak naik gambar-gambar ketika mendaki dan ketika di puncak bukit ni diambil oleh anak saya.















Turun dari puncak kami ke Taman Arnab yang terletak di kaki Berjaya Hill. Sebenarnya sebelum ke kawasan berbayar 'The Colmar' kita boleh singgah di Taman Arnab ni dulu. Bayaran masuk RM3.00 seorang. Tak banyak ambil gambar kerana hujan.


Berbaris untuk masuk ke Taman Arnab





Gambar merak diambil dari luar kawasan Taman Arnab



Kenangan DiTaman Arnab


Kami turun dari Berjaya Hill di Bukit Tinggi waktu zohor masih ada. Jadi kami memutuskan makan dan sholat zohor di R & R Genting Sempah.


R & R Genting Sempag


Satu nasihat saya kalau ada yang nak kesini, untuk mengelakkan kelaparan dan dahaga bawalah bekal paling tidak biskut atau sandwich dan air. Di sini saya tak nampak tempat jual makanan melainkan kedai jual aiskrim yang harganya mencecah RM5.00 satu dan jajan. Takkan kita nak makan di hotel. Duit ada pun makanan tak ada. Makan aiskrim dan jajan sajalah.

Untuk sholat, papan tanda kata 'masjid' ada nampak tapi tak jumpa cari. Mungkin sebab dah tak larat mendaki (berkereta). Walau macam mana pun saya tak serik, kalau berkesempatan saya nak datang lagi ke sini dengan persediaan yang perlu. Tempatnya nyaman dan cantik.