Halaman

Terima kasih Jadi Kawan Blogger Saya

Isnin, 31 Oktober 2011

Ada Kembang Di Laman Saya

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ


Sekarang ni tiap-tiap petang hujan. Saya perhatikan semenjak kerap hujan ni rajin pulak pokok-pokok bunga di rumah saya berbunga. Contohnya ros kampong ni. Bila lalu berhampiran dengannya, terhidulah bau harum lembut.







Pokok-pokok ros yang kembang berhampiran pintu pagar rumah. Saya perhatikan banyak lagi kudup-kudup ros ni menunggu masa untuk kembang.


Ros ni dari jenis lain, kelopak bungannya nipis dan tak berbau




Ros putih, pokok ni dah bertahun usianya. Pokok induknya dah lama ke sorga, nasib baik sebelum pokok tu ke sorga saya dan semai yang ini. Jadi tak adalah hilang keturunannya. Pokok ni rajin berbunga. Ketika kawan saya meninggal baru-baru ni, bunga-bunga di rumah saya berbakti juga, seperti bunga mawar putih ni, bunga mawar maroon dan juga bunga melur serta daun pandan diambil untuk ditabur di atas perkuburan.

Di samping pokok ros, nampaknya pokok-pokok halia bara juga sama-sama nak meriahkan laman.


Sabtu, 29 Oktober 2011

Berpisah Sekejap Moga Jumpa Lagi

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ


Malam tadi merupakan perjumpaan terakhir antara kami orang yang belajar bahasa arab lanjutan di Masjid Negeri Shah Alam. Kami dah selesai peperiksaan akhir. Keputusannya secara tak rasmi dah dapat. Alhamdulillah nampaknya semua dalam kelas ni yang hadir tu luluslah.

Seperti biasa jugalah bila ada pertemuan mesti ada makan-makan. Kebetulan antara kami ni ada seorang pelajar yang beristerikan orang dari negara Palestine. Jadi kami minta tolong isteri kawan kami ni masakkan nasi keistimewaan orang-orang Palestine.

Inilah nasi belova. Sori yer kalau salah eja, dengar tu gitulah bunyinya.





Nasi Belova, atas sekali belova ayam, tengah belova kambing
dan ketiga belova daging lembu


Nasi belova ni ada yang dimasak dengan kambing, daging lembu dan ayam. Memandangkan saya tak makan kambing dan daging lembu, saya makan belova ayam sahaja. Nasi ni diiringi dengan sup ayam, satu lagi lauk seperti dalca, sambal rupa dan rasa macam sambal belacan serta acar. Acarnya kalau kita, kita panggil 'jelatah'. Acarnya terdiri dari kobis biru (tak tau nama sebenar), daun pasli, tatomato, bawang,lobak merah dan cili hidup serta minyak zaitun. Bahan-bahan lain yang disebut termasuk 'safran' kena beli di kedai arab.

Rasa nasi ni mungkin terpulang pada selera masing-masing. Lebih kurang rasa nasi arab lain juga.

Dari apa yang diceritakan oleh isteri kawan saya ni, saya rasa memasak nasi ni memang susah dan cerewet. Kawan saya pun kata mereka sekeluarga hanya makan nasi ni setahun sekali iaitu pada hari raya. Kiranya kami beruntungkan. Saya perhatikan yang bagusnya tentang nasi ni ialah memasak nasinya langsung tidak menggunakan minyak. Begitu juga lauk2 iringan. Semuanya direbus.


kuih muih yang dibawa oleh kami sikit sorang



Kenangan dengan Ustaz Bahasa Arab kami


Ini sajalah yang tinggal setelah selama setahun mengikuti kelas bahasa arab lanjutan. Yang lain-lain tu nampak ramai yang berhenti separuh jalan, maklumlah orang dewasa yang belajar, banyak halangan dan cubaan termasuk ujian kesihatan. Perkataan famesnya antara kami tentang orang-orang yang berhenti separuh jalan ni 'dah shahid'.

Pelajar dewasa ataupun ada yang terdiri dari pesara ni memang banyak halangan dan godaan. Kena cekal betul. Tambah pulak bahasa arab bahasa yang pada saya agak sukar memandangkan kami langsung tak ada asas atau latarbelakang bahasa arab. Kadang-kadang tekanan kerja pun menjadikan pengajian terpaksa ditangguhkan. Pelajarnya boleh dikatakan terdiri dari orang profesyenal seperti cikgu, jurutera, pensyarah, profesor dan lain-lain lagi termasuk saya yang dah bersara. Apa lagi ditambah pulak ada peperiksaan. Nak ker profesor atau cikgu fail exam.

Saya berpegang kepada belajar biarlah sehingga mencapai apa yang dihajatkan. Sayang duit yang dah dikeluarkan untuk bayar yuran.

Rabu, 26 Oktober 2011

Sebuah Kesunyian

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ


Khaisah!!!





Semenjak Kaisah dan Nabil ikut mama dia balik ke rumah opah mereka di Batu Kurau, rumah ni rasa sunyi sangat. Kalau Kaisah ada boleh dengar dia ketawa. Ada masa tak kena dengan hati dia, dia menangis. Sekarang harapkan Izati dan Erysya sajalah yang menjadi penghibur. Setiap Sabtu dan Ahad selalunya anak saya iaitu ibubapa Izati dan Erysya akan bermalam di rumah saya. Jadi riuhlah juga rumah.


Macam adik beradik kembar, tak boleh berenggang
kalau Erysya datang ke rumah saya




Selalu tu bila Kaisah ada di rumah, sekejap-sekejap dia masuk bilik saya. Usik-usik apa saja barang yang dia berkenan, gelak-gelak, ambik buku-buku saya dari almari buku dan macam keletah dia yang menghiburkan kami. Bila dilarang, merajuk masuk bilik mama dia semula. Lepas tu tak sampai 15 minit masuk balik.

Semenjak mamanya sarat mengandungkan adiknya Nabil, pantang dia tengok saya dan tokbahnya nak keluar, mesti nak ikut, siap tunggu dipintu. Ikutlah kami berjalan kemana pun tak apa, tak menangis.

Masih terbayang dimata saya betapa dia meraung nak ikut kami balik selepas menghantar dia ke rumah opahnya. Memekik-memekik sambil menangis dan memanggil-memanggil tokbahnya beritahu dia nak ikut tokbah balik. Lagi nampak kami bergerak lagi meraung sambil digoncangnya grill pintu rumah opahnya sekuat hati. Bergenang juga air mata saya. Tokbahnya diam jer, saya tahu dia sebak tu. Apa nak buat takkan nak pisahkan dia dengan mama dan adiknya. Kesian pulak pada mamanya.


Betul kata orang sayang cucu lain dari kita sayang anak.

Sedapnya Paku Rawan

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ




Pagi ni ketika berjalan-jalan untuk baca-baca blog, saya terserempak dengan blog MADiSYAK yang menceritakan tentang paku-rawan-ulam-yang-lazat.

Saya mengenali paku rawan beberapa tahun yang lalu iaitu ketika saya ke Bukit Merah di Perak. Masa tu kami anak beranak berenti makan di sebuah kedai makan, terpandang pucuk paku rawan yang dicelur. Saya jenis yang berani mencuba sesuatu makanan walaupun saya tidak pernah memakannya dan tidak tahu namanya. Janji pucuk-pucuk/ulam-ulam tu boleh dimakan.

Selepas dicuba, sedap rasanya. Saya tanya tuan kedai makan tu, apa nama ulam ni. Dia ada beritahu, tapi saya lupa namanya ketika balik ke Shah Alam.

Teringatkan kesedapan rasa paku rawan celur ni saya cari pasar tani Shah Alam. Kebetulan ada dijual di pasar tani Shah Alam di Seksyen 17. Ketika membelinya saya bertanya nama ulam tu kepada penjualnya. Penjual tu seorang wanita mungkin dari daerah-daerah Kuala Selangor atau berhampirannya, jawapannya "saya tak tahu orang melayu panggil apa tapi kami orang jawa panggil ........", saya tak tahu nak sebut.

Akhir saya tahu juga nama ulam ni bila saya melihat gambarnya dalam satu forum. Rupanya nama dia 'paku rawan'.



Semenjak itu saya suka dengan ulam ni. Sayangnya di rumah hanya saya seorang yang gemar memakannya sama ada dicicah dengan sambal belacan atau budu. Puaslah saya rekomen dan beritahu betapa sedapnya rasa paku rawan ni, tapi tak berjaya. Jadi kalau beli, saya hanya beli satu ikat, itu pun tak boleh habis sekali makan.

Saya ingatkan pokok ni hanya boleh dimakan sebagai ulam tetapi rupanya ia juga boleh dibuat kerabu dan digoreng seperti sayur-sayur lain. Saya tak pernah makan paku rawan yang dimasak secara lain.




Pucuk muda nilah dicelur sebagai ulam


Selain sebagai makanan membuka selera, menurut mereka yang tahu paku rawan ni bila dimakan boleh menyejukkan badan. Bagi mereka yang mengalami sembelit juga elok mengamalkan memakannya sebagai ulam.

Semenjak berada di kala senja ni, ulam-ulam yang direbus ni jerlah yang menarik minat kerana tak siksa nak mengunyahnya walaupun gigi masih ada pagar asli

Isnin, 24 Oktober 2011

Fadhilat membaca surah Al-Mulk

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ




SURAH Al Mulk (beerti Kuasa Pemerintahan) merupakan Surah yang ke-67 di dalam Al Quran, mengandungi 30 ayat. Di antara isi kandungannya ditegaskan tentang kekuasaan mutlak Allah s.w.t. iaitu menguasai pemerintahan dunia dan akhirat. Seluruh alam telah diciptakan-Nya begitu rapi tanpa sebarang cacat celanya. Di akhirat kelak, mereka yang kufur ingkar akan mendapat balasan azab yang amat buruk dan menggerunkan. Mereka yang mentaati Allah akan mendapat keampunan dan balasan yang sebaik-baiknya.

Terdapat banyak hadis Rasulullah s.a.w. yang menyatakan tentang fadhilat, faedah dan hikmah bagi mereka yang mengamalkan membaca surah Al-Mulk ini. Di antaranya diriwayatkan oleh Abu Daud, At Tarmizi, An Nasa’i dan Ibnu Majah dari Abu Hurairah yang bermaksud:

“Sesungguhnya di dalam Al Quran terdapat tiga puluh ayat yang kandungannya akan memberi syafaat kepada orang yang membacanya sehingga ia akan mendapat keampunan dosanya iaitu Surah Al Mulk.”

Daripada Ibnu Abbas r.a., seorang sahabat Rasulullah s.a.w. menceritakan ia telah mendirikan khemah di atas kubur yang beliau tidak ketahui. Dari kuburan itu beliau terdengar suara orang membaca surah Al-Mulk sehingga khatam; beliau lalu menemui baginda dan berkata: “Wahai Rasulullah, saya dirikan khemah di atas sebuah kubur yang saya tidak ketahui, saya mendengar seorang sedang membaca Surah Al Mulk sehingga khatam.”

Maka Nabi s.a.w. bersabda: “Itulah yang menahan (Al-Maa’inah) dan yang menyelamatkan (Al-Manjiah) dia dari siksa kubur.”

(HR At Tarmizi)

Daripada Jabir r.a., sesungguhnya Rasulullah s.a.w. tidak akan tidur sehingga baginda membaca surah Alif Lam Miim Al Sajdah dan Al Mulk.

(HR At Tarmizi)

Daripada Anas Ibnu Malik berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Satu surah di dalam Al Quran menghadiahkan kepada pembacanya sehingga memasukkannya ke dalam syurga iaitu Tabarak-al-llazhi.”(Surah Al-Mulk)

(HR At Tabrani)

An-Nasa’i juga meriwayatkan dari Ibnu Mas’ud bahawa Rasullullah s.a.w. bersabda: “Sesiapa yang membaca Surah Al Mulk setiap malam maka Allah mencegahnya daripada azab kubur.”

Tentang surah ini ada satu riwayat yang lain menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Hatiku menghendaki supaya surah ini berada didalam setiap hati orang-orang yang beriman.”

Mengikut satu hadis, seseorang yang membaca dua surah iaitu Tabarak-al-lazhi dan Alif-Lam-Mim-Sajdah di antara sembahyang Maghrib dan Isya adalah seumpama sesorang yang berdiri sembahyang untuk sepanjang malam Lailatul-Qadar. Adalah diberitakan juga bahawa jika seseorang itu membaca dua surah ini, tujuh puluh kelebihan akan diperolehinya dan tujuh-puluh dosa-dosa akan dihapuskan. Mengikut riwayat yang lain, jika seseorang itu membaca dua surah ini, ganjaran pahalanya adalah menyamai orang yang berdiri sembahyang sepanjang malam ‘Lailatul-Qadar’. Ini juga telah disebutkan di dalam Mazahir.

Ta’us rahmatullah ‘alaih telah berkata: “Kedua-dua surah ini mendatangkan enam-puluh kelebihan-kelebihannya yang mengatasi daripada segala surah-surah.”

Siksaan di dalam kubur bukanlah satu perkara yang biasa. Setelah meninggal dunia, tingkat pertama seseorang itu mesti lalui ialah alam barzakh. Apabila Saidina Uthman r.a. berdiri diatas sebuah kubur, ia akan menangis dengan begitu sekali sehinggalah janggutnya dibasahi air-matanya. Seseorang telah bertanya kepadanya mengapakah menangis begitu rupa jika disebut kubur daripada disebutkan Syurga atau Neraka.

Ia menjawab, “Aku telah mendengar dari Rasulullah s.a.w. bahawa kuburlah tempat persinggahan yang pertama untuk menuju akhirat. Barangsiapa terselamat daripada azabnya , peristiwa-peristiwa selanjutnya akan mudah baginya. Dan sesiapa yang tidak selamat daripada azab di dalamnya, kepadanya peristiwa yang akan datang kelak menjadikan lebih sukar sekali. Dan daku juga mendengar bahawa tidak ada satu gambaran yang lebih menakutkan dan menggerunkan selain daripada apa yang ada didalam kubur.”

Ya Allah ! Selamatkanlah kami daripada azab-Mu dengan keampunan-Mu.

Dari nursyirah.wordpress.com

Sabtu, 22 Oktober 2011

Yang Tersirat

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ




Hendak Tuai Padi Ku Masak

Batang Kapas Di Pinggir Jalan

Hati Yang Resah Ku Bawa Gelak

Bagaikan Panas Mengandung Hujan

Jumaat, 21 Oktober 2011

Semuanya Okey

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ


Minggu ni saja dah dua kali saya, Inah dan abahnya datang ke PPUM. Sebenarnya ini kali ke 3 kami ke PPUM menemankan Inah. Dia selalu mengadu lutut dan sendi-sendinya lenguh. Jadi memandangkan kerap sangat dia mengadu sakit, risau juga hati takut ada penyakit yang tidak diingin terjadi.

Pertama kali ke PPUM, selepas jumpa doktor, doktor suruh buat ujian darah. Hari Selasa lepas kami ke PPUM lagi untuk buat ujian darah. Hari ini jumpa doktor lagi untuk mendengar keputusan ujian tersebut. Alhamdulillah kata doktor semua ujian yang dibuat adalah 'okey'. Jadi kami baliklah dengan lapang. Pesan doktor kalau sakit datang lagi datang jumpa dia lagi. Terima kasih doktor.

Memandang kami keluar awal dari rumah untuk ke PPUM, kami tak sempat bersarapan pagi. Selepas jumpa, dan perut pun dah menyanyi lagu keroncong, apa lagi kami terus ke tingkat 1 bangunan Kemalangan dan Kecemasan. Di tingkat 1 ni ada beberapa kioks menjual makanan dan minuman. Ada sebuah kedai farmasi dan sebuah kedai menjual barang keperluan harian macam mini marketlah kiranya.

Tempatnya bersih, maklumlah hospital. Antara tempat yang selalu jadi tumpuan saya bila ke sini ialah di Kopitiamnya. Tak pasti pulak nama Kopitiam ni sepenuhnya. Di Kopitiam ni ada menjual roti bakar atas dapur arang, nasi lemak sama ada yang dah bungkus atau dalam pinggan. Mee kari dan asam laksa.

Selalunya kalau ke sini saya makan asam laksa. Rasanya okeylah. Tapi memandangkan hari ini masih pagi, asam laksa belum masak jadi saya makan mee kari.


Mee kari dan nescafe kurang manis


Sebenarnya sebelum makan mee kari ni, saya dah selamat makan sebungkus nasi lemak yang dah siap berbungkus satu bungkus. Macam sedap jer nampak nasi lemak tu. Bila selesai makan nasi lemak yang seciput tu, tak kenyang, ternampak pulak mee kari, teringin pulak, makan lagi. Aduss macam mana nak kurus.

Abahnya minum nescafe saja, dan Inah pulak makan tak tahu apa namanya iaitu seperti saya tunjukkan dalam bungkusan putih tu.

Bila ke PPUM nilah selalunya saya kan secara kebetulan berjumpa kawan-kawan yang dah lama bersara atau kawan-kawan yang masih bekerja. Seronok bila jumpa kawan-kawan lama. Selalunya cerita berkisar kepada 'buat apa sekarang', 'sakit apa'. Itulah soalan-soalan cepumas yang dah set diminda.

Nampak sangat hidup orang selepas bersara ni, salah satu jadual dalam dairi hidupnya ialah berulang alik ke hospital jumpa doktor.

Khamis, 20 Oktober 2011

Menuai Semaian

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ




Petang ni, hujan mencurah dengan lebatnya di luar tu. Cuaca dah gelap walaupun baru nak maghrib. Kejap lagi maghriblah tu. Sejak akhir-akhir ni boleh dikatakan tiap-tiap hari hujan. Tak hujan pagi, hujan petang. Best jugak, tak payah siram pokok-pokok bunga di laman tu. Hujan dah tolong siramkan. Itulah salah satu rahmat bila Allah turunkan hujan.

Sesuatu yang membuat saya pilu ketika berada di rumah almarhumah sahabat saya semalam ingin saya kongsi bersama. Ketika saya masih di rumah almarhumah saya lihat anaknya yang ketiga baru tiba dari sekolah asrama penuh (sekolah agama), anak ini dalam tingkatan 5.

Dia tiba dengan memakai jubah putih sambil memegang al quran. Ketibaannya disambut oleh saudara maranya. Dengan tenang dia duduk tidak jauh dari jenazah ibunya diletakkan dan terus membaca alquran. Bergenang air mata saya melihat dia. Nampak sungguh tabah. Dalam hatinya hanya dia dan Allah saja yang tahu.

Saya tahu almarhumah seorang yang lemah lembut dengan anak-anaknya. Anaknya yang seramai 4 orang semuanya lelaki. Anak sulung dah kahwin, anak kedua masih menuntut di Jepun. Semua anak-anaknya bersekolah di sekolah agama sama ada sekolah agama JAIS atau Maahad. Anak-anaknya sentiasa mendapat keputusan yang baik dalam SRP dan SPM.

Sehingga petang semalam anak keduanya yang sedang belajar di Jepun masih belum tiba.

Apa yang nak saya ceritakan ialah, alangkah beruntungnya almarhumah bila anak-anaknya dengan tenang dan tidak berhenti-henti membaca ayat-ayat suci alquran dan menyembahyangkan jenazahnya. Itulah hasil yang dituainya daripada benih yang disemainya semasa hayatnya.

Rabu, 19 Oktober 2011

Dia Telah Kembali KepadaNYA

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ




Pagi tadi ketika sedang bersiap untuk balik ke Shah Alam dari rumah anak saya di Puncak Alam, suami saya menerima panggilan telefon dari jiran saya. Tiba-tiba hati saya berdebar-debar bila mendengar suami saya mengucapkan "Innalillahhiwainnailaihirajiuun". Berkata-kata dalam hati siapa yang meninggal.

Beritanya - begitu memeranjatkan. Isteri salah seorang jiran kami telah meninggal dunia lebih kurang jam 3.00 pagi tadi di PPUM. Kami bergegas balik ke rumah di Shah Alam. Hati terasa sedih dah sayu. Selain sebagai jiran isteri, almarhumah juga merupakan sahabat baik saya. Memandangkan kami dari negeri yang sama, kami agak rapat. Almarhumah berusia akhir 40'an.

Al Fatihah untuk almarhumah sahabat saya ini. Saya tidak pulak tau yang almahumah mengidap apa-apa penyakit. Itu yang terperanjat sangat bila mendengar almarhumah meninggal. Baru hari Ahad lepas iaitu kira-kira 4 hari lalu nampak almarhumah menyiram pokok-pokok bunga di laman rumahnya.

Almarhumah seorang yang aktif dalam Jawatnkuasa Masjid di qariah saya. Orangnya peramah dan sentiasa tersenyum.

Allahlah yang menentukan segalanya. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya dan dimasukkan ke dalam golongan orang yang dikasihi Allah.

Isnin, 17 Oktober 2011

Semoga Diri Tidak Lupa - Dosa Berganda

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ



Walaupun terdapat perbezaan antara dosa besar dan dosa kecil, seseorang itu tidak boleh sewenang-wenangnya melakukan dosa kecil tersebut. Awas, kerana apabila dosa-dosa kecil dilakukan, ia akan berganda seterusnya menjadi dosa besar! Pertukaran ini boleh berlaku apabila:

Melakukan sesuatu dosa secara berulang-ulang dan terus menerus walaupun ia dosa kecil. Sesungguhnya, hanya perkara yang baik sahaja yang boleh dilakukan secara berterusan walaupun sedikit.

Sesuatu dosa itu dianggap sebagai perkara remeh. Jangan pernah sesekali mengatakan bahawa dosa itu sebagai perkara remeh walaupun ia kecil, kerana Allah itu Maha Besar Lagi Maha Agung

Timbul rasa bangga kerana dapat melakukan dosa tersebut. Walaupun tahu perkara tersebut dosa, seseorang itu bangga melakukannya. Dia tidak sedar bahawa dia akan mendapat balasan buruk daripada Allah.

Tertipu dengan nikmat yang Allah kurniakan. Inilah Istidraj iaitu seseorang yang diberi nikmat oleh Allah, namun masih kekal melakukan dosa dengan perasaan aman dan tenteram.

Tidak segan-silu memberitahu orang lain akan dosa yang dilakukan. Seseorang yang bersikap seperti ini sebenarnya telah memalukan dirinya sendiri bukan sahaja dihadapan manusia, bahkan di hadapan Allah.

Dosa yang dilakukan oleh seseorang ulama atau tokoh dan menyebabkan ramai pengikut turut melakukannya. Olh sebab itu, ajarlah perkara yang benar dan tepat berlandaskan syariat Allah.

N3 ini yang utamanya ialah untuk ingatan pada diri saya sendiri agar saya sentiasa sedar yang dosa-dosa kecil yang dilakukan berulang-ulang sama ada secara sengaja atau tidak, jika tidak dipohon keampunan dari Allah, ia akan menjadi sebagai satu dosa besar.


Sumber:Solusi

Khamis, 13 Oktober 2011

Dari Amie - ' The Versatile Blogger'

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ




Mula-mula sekali nak minta maaf pada Amie dari The Story Of Amie's Little Kichen kerana lambat mengambil award The Versatile Blogger yang diberikan kepada saya. Maklumlah semenjak 'orang baru' hadir dalam hidup saya banyak perkara yang perlu diuruskan.

Amie, saya ucapkan berbanyak terima kasih di atas ingatan Amie kepada saya. Seperti sebelum ini penerima pemberian ini ada syaratnya. Bagus juga dengan cara ini tahulah kita sedikit sebanyak mengenai kawan-kawan blogger kita ni. Syarat-syaratnya ialah:

1. Thank and link back the person who gave you this award
(Ucapkan terima kasih dan link balik kepada orang yang beri award ini)

2. Share 7 things about yourself on the post
(Kongsi 7 perkara mengenai anda)

3. Pass the award to fifteen bloggers that you think deserve it.
(Berikan kepada 15 bloggers yang anda rasa layak)

4. Lastly contact all the bloggers that you've picked for the award.
(Hubungi semua yang menerima)

Perkara 1. Dah pun saya lakukan.

Perkara 2. 7 Perkara Mengenai saya:

(i) Suka terima hadiah
(ii) Hati cepat kesian bila melihat sesuatu yang menyayat hati
(iii) Cepat terasa jika ada perkara yang mengguris perasaan
(iv) Belajar menerima takdir Allah dengan sabar
(v) Tak berapa gemar dengan orang yang selalu mungkir janji
(vi) Cuba elak dari berkata yang boleh melukakan hati orang lain
(vii) Kalau baru berjumpa seseorang, malu sikit nak bercakap, tak kenal
macam berteh goreng bercerita.

Perkara 3 & 4. Pada pandangan semua rakan blogger layak dengan pemberian 'The Versatile Blogger' ni. Jadi mengharap sangat pada kawan-kawan yang singgah sudi-sudilah mengambil pemberian ini dan panjangkan kepada kawan-kawan blogger yang lain semoga dengan itu ukhwah kita berpanjangan. InsyaAllah.

Rabu, 12 Oktober 2011

Pinang

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ




'Pinang??'. Bukan nak bercerita tentang pinang meminang tetapi nak bercerita tentang buah pinang.

Pada Jumaat minggu lepas ketika menghantar cucu saya Ain Nur Kaisah dan Ahmad Nabil ke rumah opah dan tok wannnya di Batu Kurau saya tertarik dengan deretan pokok-pokok pinang yang ditanam oleh besan saya di sekeliling rumahnya.

Selain dari mencantik dan meneduhkan halaman rumah, pokok-pokok pinang ini juga menyejukkan dan menyamankan udara sekeliling. Bukan itu saja, menurut besan saya selain sebagai pokok hiasan buah-buah pinang ini juga merupakan salah satu sumber pendapatan beliau. Bila buah-buah pinang dah masak dan luruh, buah-buah ini akan dibeli oleh peraih. Kalau rajin semua boleh jadi sumber rezeki.



Mungkin remaja dan anak-anak kita sekarang kurang kenal dengan buah pinang sebenar. Sebab selalunya bila disuruh beli pinang, biasanya kita akan membeli buah pinang yang sudah diricik halus ataupun yang dogol tidak berkulit lagi. Kebiasaannya kita akan cari buah pinang bila berlaku acara merisik dan pinang meminang dan semasa acara nikah kahwin. Buah pinang ni akan digunakan untuk melengkap sirih jujung pengantin.


Sumber google


Bila saya google untuk mencari khasiat buah pinang ni yang juga dikenali dengan nama saintifiknya Areca catecu Linn dan berasal dari keluarga Arecaceaeini rupanya ia bernilai tinggi dari segi perubatan. Saya tak tahu pulak yang buah pinang ni banyak khasiatnya yang kita tidak ketahui.

Antara khasiatnya ialah menguatkan gusi dan gigi serta menghapuskan masalah mulut berbau busuk dengan cara mengunyah buah pinang ni beserta dengan sirih, kapur dan gambir. Mudah cakap 'makan sirih'.

Biji pinang juga mengandungi sejenis bahan yang boleh mencegah barah. Sabutnya pula digunakan oleh masyarakat zaman dulu untuk merawat cirit-birit. Ia juga berkesan untuk mengubati penyakit kulit seperti panau.

Ada juga yang mengata air rebusan buah pinang ni juga boleh mengubat anak-anak yang menderita kecacingan dengan cara rebuskan 30 gram serbuk biji pinang dan 2 gelas air hingga mendidih. Bila air rebusan buah pinang tu dah sejuk berikan anak-anak tu minum airnya sebelum sarapan pagi.

Tentang khasiatnya tu, kalau cuba risikonya tanggung sendiri yer. Sebab ada juga artikel yang saya baca mengatakan buah pinang tidak elok di makan banyak - Wallahuwa'llam

Khamis, 6 Oktober 2011

Orang Baru Dah Mari

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ



Ahmad Nabil berusia 5 hari


Usia adik Kaisah hari ini baru 5 hari. Adik Kaisah ni lahir pada 2 Oktober, iaitu 4 hari lebih awal dari yang dijangkakan. Alhamdulillah adik sihat. Abahnya dah beri nama pada adik. Nabi dia Ahmad Nabil. Bila beritahu pada orang yang tanya nama adik, semua gelak dan kata "Lu fikirlah sendiri". Tapi maksud nama ini adalah baik. Mudah2an Ahmad Nabil menjadi hamba yang sholeh dan taat kepada Allah dan ibubapanya.



Beberapa jam selepas dilahirkan


Hari kedua selepas dilahirkan, Ahmad Nabil tiba di rumah dari hospital dah hampir maghrib. Lepas sholat maghrib Tokbah terus lakukan 'belah mulut' (tahniq) untuk cucu kecik ini. Saya tak tahu apa nama lain acara 'belah mulut' ni. Dulu-dulu orang akan gunakan emas (cincin), asam, garam dan gula untuk 'belah mulut' ni.

Selalunya acara ni kita minta orang-orang alim dan orang yang agak pendiam untuk melakukannya. Ini kerana diharapkan bayi yang itu akan berkelakuan sebaik orang yang 'membelah mulutnya'. Wallahuwa'lam. Tokbah 'belah mulut' Ahmad Nabil dengan air zam-zam dan buah kurma, kebetulan buah kurma nabi masih ada dalam simpanan. Kami tak ikut cara dulu-dulu tu.


Air zam-zam dan buah kurma



Tokbah sedang menyuap buah sedikit buah
kurma pada Ahmad Nabil


Sebaik disuap air zam-zam dan merasa sedikit kemanisan buah kurma, mulut Ahmad Nabil bergerak perlahan-lahan menikmati kemanisan kurma dan air zam-zam yang berkat tu. Akikah mungkin akan dilakukan di Taiping.




Kakak ni tak boleh dibiarkan sangat


Semenjak ada adik ni, Kaisah meragam sungguh. Mana tidaknya, mama asyik dengan adik. Bila dia pegi dekat adik, mama kata 'jangan dekat sangat, nanti jatuh atas mama dan adik'. Jadi sekarang ni tak boleh silap cakap, dia akan merajuk, bila merajuk duduk tepi dinding bawak diri dan menangis. Kesian...

Yang nekma ni pulak, selain mandikan baby, nekma jadi nenek kebayan cari daun-daun untuk direbus buat air mandian emak Ahmad Nabil. Buat sebagaimana mak saya buat pada saya dulu-dulu semasa dalam pantang.





Memandangkan saya duduk di SA ni, tak banyaklah daun yang saya dapat. Akhirnya saya cuma rebuskan air bersama daun pandan dan daun mengkudu saja. Itu yang ada ditanam di rumah. Saya tahu besan saya akan dapat carikan daun-daun berbagai jenis bila menantu saya tu balik ke Taiping besok. Tujuan mandi air rebusan ni, kata orang dulu-dulu untuk ringankan badan dan mengecut urat-urat yang kembang.

Lepas tu panaskan tungku untuk mak Nabil bertungku. Kata orang dulu-dulu juga bertungku ni penting untuk mempercepatkan kecutnya rahim selepas bersalin. Sekarang ni semua moden. Tungku tak payah lagi guna batu sungai dan dibakar di atas dapur tapi tungku sekarang hanya disambung pada elektrik saja. Dah panas, dah boleh bertungku. Selepas bertungku pakai barut atau bengkong.


Inilah rupa tungku tu.


Inilah dulu kisah Ahmad Nabil. Esok Ahmad Nabil dan Kaisah akan dihantar Abahnya ke Taiping. Tokbah, Nekma dan Teh Nah ikut sekali hantar mereka ke rumah Opah dan Tok Wan Ahmad Nabil dan Kaisah di Taiping. Mama mereka nak berpantang di sana selama kira-kira 2 bulan. Yerlah lebih selesa bila mak sendiri yang jaga. Tak dia tak kita punkan.

Uhuh, uhuh..... rindulah nekma dan tokbah pada cucu dua orang ni. Yang jadi penghibur nanti hanya Kak Atie dan Kak Ersya sajalah. Itu pun hari Sabtu dan Ahad saja kakak-kakak tu datang rumah nekma.

Mungkin sehari dua ni saya tak bersiaranlah sebab ke Taiping. Bye..


'Belah Mulut' sebenarnya ia adalah antara amalan yang dilaksanakan oleh Rasulullah SAW (sunah) ke atas cucu baginda dan ia dinamakan tahniq. Tahniq yang menjadi sunah adalah menyuap atau memasukkan manisan (tamar) yang dikunyah oleh Nabi (orang soleh) ke lelangit bayi.

Cara ini diharap doa dan air liur daripada mulut Nabi dan orang-orang soleh yang sentiasa membesarkan Allah SWT dan ayat-ayat al-Quran ketika melakukan tahniq akan diwarisi oleh bayi berkenaan.

Rabu, 5 Oktober 2011

Wordless Wednesday - 7 - Eh Adik...

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ




Sabtu, 1 Oktober 2011

DiFikir dan DiRenung

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ




Di dasar laut yang bening dan jernih, tinggal sepasang tiram sederhana besar bersama kloninya yang melekat kukuh kepada sebiji batu yang besar. Makanan mudah didapati disitu dan habitatnya juga sangat sesuai untuk kaloni tiram.

Satu hari arus tiba-tiba mengalir sangat deras sehingga menerbangkan butir-butir pasir di dasar laut tersebut.

Sepasang tiram tersebut tidak sempat menutup cangkerang mereka dan terpaksa menelan beberapa butir pasir yang termasuk ke dalam cangkerangnya. Mereka cuba meludah-ludah pasir-pasir tersebut, tetapi tidak mampu.

Mereka cuba mengangakan cangkerang luas-luas agar pasir dapat dikeluarkan, namun mereka berdepan dengan risiko lebih banyak pasir termasuk ke dalam cangkerang.

Setelah pelbagai ikhtiar dilakukan, tiram tersebut memberikan satu cadangan kepada pasangannya, "jika kita tidak boleh keluarkan pasir ini, apa kata kita cuba tukarkan kepada sesuatu yang lebih baik".

Pasangan itu bersetuju tanpa sebarang bantahan.

Setelah bertahun-tahun butiran pasir itu berada dalam cangkerang sepasang tiram itu, akhirnya terhasilah sesuatu yang berharga. Warnya putih bercahaya. Itulah dia sebutir mutiara yang asalnya hanya sebutir pasir.

Jika tiram mampu mengubah sebutir pasir menjadi mutiara, maka manusia yang dikurniakan Allah dengan akal, lima pancaindera, hati dan status sebagai khalifah, apa agaknya yang manusia mampu lakukan.