Halaman

Terima kasih Jadi Kawan Blogger Saya

Ahad, 28 Ogos 2011

Amalan-amalam Baik Ketika Menyambut Raya

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ




Menghidupkan Malam Hari Raya

“Sesiapa menghidupkan malam hari raya fitrah dan malam hari raya korban, nescaya hatinya tidak mati pada hari hati-hati lain mati”. (Riwayat Imam at-Thabrani dari ‘Ubadah r.a.)

Hadis ini menurut Imam Nawawi dalam al-Majmu’; sanadnya adalah dhaif. Namun menurut ulamak, hadis dhaif harus diamalkan dalam fadhilat amalan. (Lihat; Mughni al-Muhtaj, jil. 1, hlm. 426).

Orang perempuan juga digalakan menghadiri perhimpunan solat hari raya. Jika tidak boleh solat, dapat dengar khutbah

Diriwayatkan dari Ummu 'Atiyah ra. ia berkata : Rasulullah saw. memerintahkan kami keluar pada 'idil fitri dan 'idil adha, semua gadis-gadis, wanita-wanita yang haid, wanita-wanita yang tinggal dalam kamarnya. Ada pun wanita yang sedang haid mengasingkan diri dari tempat solat, mereka menyaksikan kebaikan dan mendengarkan khutbah. Saya berkata : Ya Rasulullah bagaimana dengan kami yang tidak mempunyai jilbab? Beliau bersabda, makudnya : Pinjamlah daripada saudara mara kamu. ( H.R : Jama'ah)

Makan dahulu sebelum pergi solat 'idil Fitri.

Diriwayatkan dari Buraidah ra. ia berkata : Adalah Nabi saw keluar untuk solat 'idil fitri selepas makan terlebih dahulu dan tidak makan pada 'ldil adha sehingga beliau kembali dari solat hari raya. ( H.R : Ibnu Majah, At-Tirmidzi dan Ahmad)

Tidak melalui jalan yang sama waktu pergi dan balik solat hari raya

Diriwayatkan dari Jaabir ra. ia berkata : Adalah Nabi saw apabila keluar untuk solat hari raya ke mushalla, beliau menyelisihkan jalan ( yakni waktu pergi melalui satu jalan dan waktu balik melalui jalan yang lain ). (H.R : Bukhari )

Bertakbir

Nabi S.A.W bertakbir pada 'idil fitri bermula dari keluar dari rumah sehingga sampai di tempat solat hari raya. (HR Baihaqi)


Taqabbalallahu minna wa minkum. Semoga Allah menerima amalan kita semua.

Allahu Akbar. Allahu Akbar. Allahu Akbar. Walillah hilham.



Dipetik dari lenggangkangkung-my.blogspot.com

Sabtu, 27 Ogos 2011

Malam-malam Terakhir Ramadhan - Meriahnya Masjid Negeri

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ




Hari ni InsyaAllah dah masuk 27 Ramadhan. Kalau panjang umur dapatlah kita merayakan fajar 1 Shawal yang akan menjelma kemungkinan pada 30 atau 31 Ogos ni.

Saya perhatikan diakhir-akhir Ramadhan ni malah bermula dari pertengahan Ramadhan lagi, pihak pengurusan masjid negeri telah menjemput tokoh-tokoh ulamak dari negeri Timur Tengah seperti dari Madinah, Syria, Mesir dan ada lagi yang saya tak ingat untuk mengimami sholat2 terutama sholat terawih di situ.

Pada malam 26 Ramadhan, para jemaah masjid telah diperdengarkan alunan qasidah dari Syeikh Romi dari Syria selepas selesai sholat terawih. Merdunya alunan qasidah beliau.




Para jemaah yang asyik mendengar alunan qasidah
Maaflah gambar dari jauh saja


Malam tadi malam 27 Ramadhan atau orang-orang kita selalu kata malam 7 likur. Tempat sholat penuh sesak. Sholat malam tadi telah diimamkan oleh Syeikh Mohd Munji dari Mesir. Selesai sholat Witir, majlis khatam Al quran kumpulan tadarus alquran Masjid Negeri telah diadakan dan dibimbing oleh Syeikh Mohd Munji.




Majlis Khatam Al Quran, Maaflah gambar dari jauh saja


Malam ni, malam 28 Ramadhan sholat malam ni akan diimamkan oleh Sheikh Muktasim Billah dari Syria, jadi siapa berdekatan, jemputlah ramai ke Masjid Negeri.






Masjid Negeri terang benderang sepanjang malam


Selepas sholat terawih, ramai jemaah bermalam (tidor ayam agak) di Masjid untuk menunggu jam 3 pagi bagi menunaikan ibadat quamullail dan lain-lain di malam akhir-akhir Ramadhan ini. Semoga Allah makhbulkan doa kita semua di bulan yang penuh keberkatan ini.

Rabu, 24 Ogos 2011

Satu Perkongsian

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ


Dari Abu Dzar iriwayatkan Rasulullah s.a.w, ada bersabda, Maksudnya: “Pada Hari Kiamat terdapat tiga kumpulan manusia akan dilupakan Allah, tidak akan dipandang, tidak akan dipedulikan malahan akan menerima azab yang sangat dahsyat , mereka adalah orang yang berpakaian tetapi meleretkan pakaian mereka di bumi, orang yang mengungkit segala pemberian mereka kepada orang lain dan orang yang suka bersumpah (akan barang yang mereka niagakan) sewaktu berjual beli.“

Pertama: Orang yang berpakaian tetapi meleretkan pakaian mereka di bumi.



Ini merujuk kepada lelaki dan perempuan. Golongan ini adalah orang-orang atau kumpulan manusia yang mempunyai sesuatu pakaian atau seumpamanya tetapi sombong terhadap apa yang mereka miliki. Kumpulan manusia ini suka bermegah-megah dengan apa yang mereka ada, suka menunjuk-nunjuk. Sebagai contoh ialah pakaian mereka bukan sahaja panjang, mahal, cantik, sukar disediakan dan adakalanya memerlukan pembantu untuk tolong mengangkat hujung pakaian tersebut sewaktu berjalan kerana ianya terlalu panjang hingga menyapu bumi.

Kedua: Orang yang suka mengungkit-ungkit atas pemberian sesuatu kepada orang lain



Antara sebab pelakuan ini dilarang ialah:

1. Tidak lkhlas
2. Merendahkan darjat orang yang kita bantu.
3. Ada sifat bermegah dengan apa yang kita ada
4. Memalukan penerima di sisi pandangan orang lain.
5. Membina kumpulan-kumpulan yang ada dan yang tidak ada.
6. Mahu dirinya dipuji dan dihargai
7. Mengambil sifat Allah sebagai pencipta dan pemberi rezeki

Dengan mengungkit-ungkit apa yang di-berikan sebenarnya merendahkan darjat sipemberi itu sendiri kerana seolah-olah apa yang diberikan itu besar sangat. Kita mungkin berfikir kita sudah hebat, sesungguhnya ada orang lain yang lebih hebat dari kita, dan ALLAH adalah Yang Maha Hebat dan tiada yang lebih hebat dariNya. Bila-bila masa Allah boleh menarik balik apa yang diberikan kepada kita tanpa perlu memberi apa-apa notis sekalipun.

Ketiga: Orang yang suka bersumpah (akan barang yang mereka niagakan) sewaktu berjual beli.“



Kumpulan ketiga ini dibenci Allah kerana sewaktu berniaga, untuk melariskan perniagaan mereka sanggup bersumpah barang mereka adalah yang terbaik

“Dan pada hari itu(Hari Kiamat), kepada Tuhanmulah sahaja terserahnya ketetapan segala perkara. Pada hari itu manusia diberitahu akan apa yang telah ia lakukan, dan apa yang ia telah tinggalkan (yakni tidak lakukan). Bahkan manusia itu(semua anggotanya) menjadi saksi terhadap dirinya sendiri “ AL-Qiamah 12-14

Untuk pembacaan lebih lanjut sila singgah di redhaku.blogspot.com

Selasa, 23 Ogos 2011

Taat Suami..Taat Ibu..

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ


Saya ingin berkongsi sebuah kisah pengajaran yang sangat menyentuh hati saya. Kisah ini saya petik dari Blog Wanwma yang telah diceritakan oleh seseorang. Cerita berkisar tentang ketaatan yang sebenarnya menurut Islam. Ikuti kisah ini:

Setiap kali menjelang Ramadhan tergiang-giang suara ibu yang rasanya baru saja saya dengar walaupun telah berlaku berbelas tahun. Di antara tazkirah ibu yang amat saya ingat ialah ketika bulan puasa selepas bersahur sementara menunggu waktu Solat Subuh ibu akan memanggil kami semua (3 orang anak perempuannya – ibu mempunyai 4 orang anak perempuan, seorang dah berumahtangga dan dua orang anak lelaki) dan akan bercerita tentang kebesaran Allah dan hukum hakam dalam Islam dengan menggunakan bahasa yang amat mudah difahami walaupun ketika tu saya masih lagi bersekolah menengah rendah dan ayah pula meninggal dunia ketika usia saya tiga bulan.



Ibu: Apa yang nak ibu cakap ni….dengar baik-baik lebih-lebih lagi pada Ateh (anak no.3) dan Acik (anak no.5). Ateh akan mendirikan rumahtangga tak lama lagi. Apabila hampir penghujung puasa dah tentu kamu suami isteri akan berbantah-bantahan untuk pulang ke kampung siapa pada hari raya pertama. Betul tak?

Ateh & Acik: Betul, mestilah rumah ibu dulu..

Ibu: Dengar dulu, contohnya jika rumah kamu di Tanjong Malim, rumah ibu di Cheras dan rumah mentua kamu di Johor, rumah siapakah yang akan kamu tuju dulu?

Ateh & Acik : Rumah ibulah sebab dekat

Ibu: Tidak, ibu tidak izinkan kamu balik ke sini. Baliklah ke rumah mentua kamu dan jika mentua dan suami kamu izinkan barulah balik ke rumah ibu. Ibu tak kisah hari raya yang keberapa sekalipun.

Ateh: Mengangguk..(tanda faham… dia ni banyak ikut perwatakan ibu: penyabar, bertolak ansur dan mahir dalam menjahit, sulam menyulam, memasak dan juga pandai mengurut….diantara kami adik-beradik dialah yang paling dalam pengetahuannya dalam Islam seperti ibu juga).

Acik: Mana boleh macam tu tak aci lah, kena gilir-gilirlah baru adil. (dia ni memang kaki bangkang pun…..outspoken skit kalau dia tak puas hati)

Ibu: Ingatlah…….jika anak-anak perempuan tu sayangkan ibu bapanya dan inginkan kebahagian ibu bapa nya di akhirat nanti…taatlah pada suami dan mentua

Acik: Macam kaum h****lak. Dah kahwin tak boleh gi rumah emakbapak.

Ibu: Bukan macam tu……Islam tu indah..setiap anak-anak perempuan yang taat pada suami di samping mentua mereka, ibubapanya akan mendapat pahala di atas ketaatannya itu….. dan seperkara lagi…..untuk menjaga suami tidak sesusah mana… hanya dua perkara kalau kamu nak menundukkan suami kamu mengikut ISLAM……JAGALAH NAFSUNYA DAN JAGALAH PERUTNYA. InsyaALlah dia tak akan ke mana…..kalau dia melilau pun dia akan kembali kepada kamu juga. Pahala kamu ada di dalam rumah kamu tak payah bersusah payah macam kaum lelaki di luar rumah mencari pahala.

Ditakdirkan ALlah Ateh bernikah dengan abang ipar yang yatim piatu jadi setiap tahun beraya bersama ibu manakala Acik pulak masih mempunyai ibubapa mentua. Hampir setiap tahun pada hari raya puasa Acik sekeluarga akan beraya di rumah mentua di Melaka cuma pada hari keempat atau selebihnya di rumah ibu (rumah Acik di Kedah).

Dengan takdir Allah ketika saya berada di tingkatan 6 rendah, dua hari sebelum hari raya puasa Acik sekeluarga tiba di rumah ibu. Ibu terkejut tapi saya rasa terkejut campur gembira agaknya ibu pada masa itu. Selepas pulang dari solat terawih ibu duduk berbual dengan abang ipar.

Ibu: Bila kamu nak bawa isteri kamu pulang ke Melaka?

Abang ipar: Kami akan beraya di sini dan raya ke dua nanti baru balik ke Melaka (dia ni memang malu sakan dgn ibu).

Ibu: Adakah ini desakan dari isteri kamu?

Abang ipar: Tidak bu. Saya izinkan keluarga saya beraya di sini.

Ibu: Bagaimana ibubapa kamu adakah mereka setuju?

Abang ipar : Mereka tiada halangan. (dalam hati saya rasa terkilan apalah ibu ni biarkan jerlah Acik nak beraya di sini)

Ibu: Izinkan ibu bercakap dalam talipon dengan emak kamu.

(abang ipar bangun dan mendial no. talipon kampungnya dan menyerahkan ganggang talipon pada ibu….lama gak ibu bergayut dengan besannya).

Ibu: Emak kamu tak ada masalah kamu sekeluarga beraya bersama ibu di sini.(sambil menitis airmata) Terima kasih kerana membawa anak dan cucu-cucu ibu ke sini.

Apabila habis bulan Syawal seperti biasa hanya saya dan ibu saja tinggal di rumah. Sebagai anak yang bongsu dan paling rapat dengan ibu dan masih solo ketika itu, ibu mencurahkan perasaan dan berbangga kerana dapat membimbing anak-anak perempuannya kearah Islam tapi ibu amat kecewa dengan kedua-dua anak-anak lelakinya yang seperti lembu dicucuk hidung menjadi pak turut kepada isteri mereka.

Bayangkanlah menantu perempuan ibu yang sulung tidak pernah bermalam di rumah ibu apatah lagi lepas makan nak tolong basuh pinggan ke atau menolong kerja-kerja rumah yang lain…(tak boleh cerita panjang dah masuk bab mengumpat.)

Semasa saya di tingkat 6 atas ibu kembali ke rahmatullah membawa seribu kekecewaan di atas sikap anak-anak lelakinya. Alhamdulillah apabila saya mendirikan rumahtangga……masalah pulang beraya tak mendatangkan masalah pada suami kerana semua jenis cuti kami sekeluarga akan habiskan di rumah mentua saya. Saya juga salah seorang menantu yang disenangi.

Saya selalu bertanya pada diri saya sendiri, sempurnakah sudah aku sebagai seorang menantu? Sempurnakah aku sebagai seorang isteri yang solehah?. Berjayakah aku menjadi ibu sepertimana ibu ku dulu? Ya ALlah,berilah aku petunjuk dan pimpinlah aku ke jalan yang engkau redhai…..Amin!

Memandangkan tak lama lagi kita akan raya, berpakat dan berbincanglah baik-baik. Bagi anak lelaki, tanggungjawab kepada ibu sehinggalah salah seorang (anak tu atau ibu) menemui ajalnya. Buat para isteri pulak (termasuk saya), jangan sampai jadikan suami anak derhaka. Wallahualam.....

Isnin, 22 Ogos 2011

Bila Suami 'Anak Mak'

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Saya selalu mendengar cerita 'lelaki anak mak' dari mulut anak-anak gadis kita kalau bercerita tentang boy friend mereka sama ada melalui temubual di radio ataupun di blog-blog. Beria-ria mereka menceritakan nasib malang yang bakal menimpa isteri-isteri seandainya mendapat suami seorang lelaki 'anak mak'. Rata-rata mereka mengatakan yang lelaki 'anak mak' ni tak layak dibuat suami kerana tidak ada pendirian sendiri. Sesiapa yang mengahwini lelaki 'anak mak' bakal menjeruk rasa sebab apa saja keputusan mesti mendapat restu 'mak' dia.



Betul ker macam tu!!! Cuba kita perhatikan sebuah hadith dari Sahih Bukhari, seorang lelaki bertanya kepada Nabi Muhammad s.a.w. maksudnya : “ Siapakah yang perlu kita hormati dan kasihi selepas Allah dan Nabi?” Jawab Nabi “Ibu kamu” “Selepas itu?” “Ibu kamu” “Selepas itu?” “Ibu kamu” Kali ke 4 lelaki itu bertanya, “Selepas itu?” Jawab Nabi “Ayah kamu”

Lihatlah betapa tingginya nilai ibu di dalam Islam. Tidak ada apa cara kita dapat membalas jasa seorang ibu. Seperti pernah berlaku seorang lelaki datang kepada Sayyidina Umar al-Khattab r.a dan berkata, “Saya telah mendokong ibu saya sepanjang tawaf dan haji, sudahkah saya dapat membalas jasa ibu.” Jawab Umar r.a., ”Kamu belum dapat membalas jasa ibumu walaupun setitis air mata ibumu semasa melahirkanmu.”

Bagi saya anak lelaki wajib taat pada mak dia waima sudah bekeluarga. Bila dia sudah berkeluarga dia harus ingat bahawa ketaatan itu janganlah terlampau sehingga dia menggabaikan tanggungjawab terhadap anak isteri dia sendiri. Dia kena pandai mengimbangi antara rasa sayang kepada ibu serta kasih dan cinta kepada keluarganya sendiri.

Sungguhpun begitu sebagai seorang mak pula, janganlah mengambil kesempatan di atas ketaatan anak lelaki kita sebab dia sudah ada keluarga sendiri. Jangan letakkan anak lelaki berkenaan dalam difficult position.



Tanggungjawab isteri pula, dia kena ingat bahawa walau pun lelaki berkenaan sudah menjadi suaminya tetapi tanggungjawab dia kepada kedua ibubapanya tidak boleh diabaikan kerana ia masih terikat dengan tanggungjawab tersebut berpandukan hadith di atas.

Jadi kepada diri saya sendiri, isteri-isteri terutama anak-anak gadis yang bakal menjadi isteri jangan terlalu cemburukan ibu mertua, sebaliknya berdoalah semoga apa saja kebaikan yang dilakukan oleh suami kita kepada ibunya akan diwarisi oleh anak kita pula kemudian hari nanti. Semoga anak-anak kita juga menjadi anak-anak yang sayang dan taat kepada kita ibunya sebagaimana ayahnya (suami kita) menyayangi neneknya (mertua kita). Kata orang putih "you get what you give"

Sabtu, 20 Ogos 2011

Dah Nak Raya Kita

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ


Cepat sungguh masa berlalu. Sedar-sedar dah 20 hari kita berpuasa.

Sedihnya puasa pada tahun ni dah 3 hari saya tidak dapat berpuasa apabila minggu lepas saya diserang demam panas dan muntah-muntah. Saya tak boleh berdiri dengan betul terasa hendak jatuh. Bila tiba di PPUM selepas membuat beberapa test termasuk jantung, akhirnya saya terpaksa dimasukkan ke Observation Ward di PPUM selama 1 hari.

Saya ke PPUM bila ubat dari klinik tidak berkesan dan saya bimbang penyakit vertigo saya menyerang balik. Saya pernah kena penyakit vertigo ni kira-kira 3 tahun lalu iaitu semasa saya masih bekerja.

Sekarang Alhamdulillah saya dah pulih walaupun pening-pening masih terasa. Syukur Alhamdulillah, dalam keadaan tidak berapa sihat ni sempat juga saya khatam tadarus alquran di masjid di khariah saya.

Memandangkan Hari Raya tidak lama lagi akan disambut, dikesempatan ini saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya kepada Semua sahabat blogger yang sudi singgah di blog saya ni. Maaf zahir batin dari saya.

Selasa, 16 Ogos 2011

Rindu Hati Ku Tidak Terkira

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Bulan Ramadhan tahun ni tidak seperti Ramadhan tahun-tahun yang lalu. Selalunya setiap kali bulan Ramadhan paling tidak sekali kami akan balik ke kampong di Dungun. Kalau anak-anak tak ikut saya dan suami akan balik berdua saja.

Ramadhan kali ini kami tak balik sebab kesihatan kami berdua tidak mengizinkan untuk memandu jauh. Nak ajak anak-anak pun mereka semua ada urusan sendiri tidak dapat ambik cuti. Jadi pendam jerlah keinginan nak balik tu.

Tujuan balik ke kampong di bulan Ramadhan selain ingin bertemu dengan adik beradik dan saudara mara, kami sebenarnya ingin melepaskan rindu kepada lauk pauk dan kuih muih tradisional Terengganu. Lauk pauk dan kuih muih ini sukar didapati di Shah Alam ni. Kalau ada pun kurang sedikit citarasanya.

Alhamdulillah di bulan Ramadhan kali ini Allah kurniakan saya kesihatan yang baik dan berupaya memasak juadah berbuka puasa. Jadi dapatlah saya lepaskan rindu saya sekeluarga untuk makan nasi dagang bila saya berdaya memasaknya sendiri.

Laksa kuah mentah (terengganu) pun saya dah masak sendiri. Begitu juga bila teringinkan bubur lambok terengganu semuanya saya boleh masak sendiri. Sedap tak sedap pun kira okeylah.


Nasi dagang



Laksa kuah mentah



Bubur lambok


Bubur lambok ala Terengganu ni lain sikit sebab dimasukkan anika sayur-sayuran kampong seperti daun kesum, pucuk ubi, daun kadok, serai, daun kunyit, pucuk paku merah, santan, kerisik dan lain-lain daun selagi ia tidak memudharatkan.

Terbayang juga di mata saya kuih muih tradisional Terengganu yang sedap-sedap. Kuih-kuih ni tidak atau sukar ditemui di sini. Kalau ada pun, walaupun ianya sama tapi rasanya tidak sama. Kalau rupa sama pun rasa tetap berbeza. Inilah antara kuih-kuih yang saya rindukan:


pulut lepa, rupa seperti pulut panggang tapi intinya ikan



paung goreng dibuat dari pulut & kelapa dimasukkan
sambal ikan dan digoreng



ketupat sotong. Beras pulut disumbat dalam sotong
dan dimasak dengan santan yang dicampur, halia, halba dan bawang merah



nekbat, dibuat dari tepung beras dan telur
dibakar seperti baulu. Bila nak makan disira dalam air gula



asam gupal dibuat dari sagu mata ikan dan dimasukkan
inti kacang hijau yang dah dimasak terlbih dahulu. Lepas tu
dimasak bersama santan yang dicampur, halia, halba
dan bawang merah



bronok, dari sagu mata ikan digaul kelapa parut



akok dibuat dari telur, gula, & tepung beras/gandum,
saya tak pasti



jala emas dibuat dari gula dan kuning telur
dimasak dalam air gula



kuih bakar dibuat dari tepung gandum, telur dan gula
serta santan



kuih gomok, ni saya tak pasti bahannya



kuih lopak tikang dibuat dari tepung beras dan santan
dimakan dengan air gula melaka



kuih penganang, kuih ni dibuat dari tepung kacang
hijau, telur dan gula



kuih putri mandi dibuat dari tepung pulut
dan digaul dengan kelapa yang dah dibuat seperti inti



kuih qasidoh dibuat dari tepung gandum, santan,
telur dan gula serta minyak sapi



kuih tok aji serbang, sebenar orang KL ni
panggil seri muka, sama bahannya



tepung bunga dibuat dari tepung pulut, dicelup
telur dan digoreng. Nak makan tabur gula di atasnya.


Cuba perhatikan kuih-kuih di atas selain pulut lepa, paung goreng, ketupat sotong, kuih-kuih lain kebanyakan bahan-bahannya terdiri dari santan, gula dan sudah pasti tepung gandum atau tepung beras ataupun tepung pulut. Sesetengahnya memerlukan telur yang banyak untuk menyedapkannya seperti kuih akok, kuih penganang, kuih netbak dan kuih bakar.

Sebenarnya kuih muih ni walaupun sedap tak elok dimakan banyak atau dimakan kerap sangat sebab ianya tidak begitu baik untuk kesihatan. Bahan-bahannya semua berkalori tinggi.


P/S Orang kat Dungun tu kalu makang ingat ke amber etek deh, huh huh, sob, sob, sedihnya

Bahan gambar,dari google,
terima kasih google

Isnin, 15 Ogos 2011

Sebuah Perkongian - Doa Qunut Bagi Sholat Sunat Witir

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ




Doa qunut sholat witir


Maksudnya:

"Ya Allah, berikanlah aku petunjuk sebgaimana orang yang telah Engkau beri petunjuk. Sejahterakanlah aku (daripada penyakit) sebagaimana orang yang telah Engkau sejahterakan. Pimpinlah aku sebagaimana orang yang telah Engkau pimpin. Berkatilah hendaknya untuk ku apa yang telah Engkau berikan kepada ku. Jauhkanlah aku daripada segala kejahatan yang telah engkau tetapkan. Sesungguhnya hanya engkau sahajalah yang menetapkan, dan tiada siapa pun yang berkuasa menetapkan sesuatu selain Engkau. Sesungguhnya tidak terhina orang yang memperolehi pimpinan Mu. Dan tidak mulia orang yang Engkau musuhi. Engkau telah memberi berkat, Maha suci Engkau, wahai Tuhan kami dan Maha Tinggi Engkau." (Riwayat Abu Daud).

Amalan

Doa qunut ketika sholat witir boleh dilakukan sama ada sebelum rukuk atau selepas rukuk pada rakaat terakhir sholat.

Daripada Ubai Ka'ab: "Rasulullah s.a.w. melakukan qunut dalam sholat witir sebelum rukuk." (Riwayat Abu Daud).

Sunat membaca doa qunut ketika sholat witir, begitu juga ketika sholat witir pada pertengahan bulan Ramadhan sehingga akhirnya. Daripada 'Amr daripada Hassan bahawa 'Umur r.a. menyuruh Ubai r.a. mengimami sholat tarawih pada bulan Ramadhan. Beliau juga menyuruh Ubai r.a. membaca doa qunut pada pertengahan Ramadhan yang dimulai pada malam 16 Ramadhan. (Riwayat Ibn Abi Shaiban).

Sekadar sebuah perkongsian. Kebetulan malam ini bermula 16 Ramadhan. Semoga Allah memberikan pengampunan dan keberkatan kepada kita semua di dalam bulan yang penuh kemuliaan ini.


Jumaat, 12 Ogos 2011

Siapa Menggoda Manusia Dalam Bulan Ramadhan Bila Syetan Terikat

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ




Panjangnya Tajuk. Hari ini genap 12 hari kita berpuasa. Begitu cepat masa berlalu.

Semasa sedang bersahur didinihari tadi, anak saya, Salam bertanya satu soalan yang biasa ditanya orang "bukankah dalam bulan Ramadhan syetan dah diikat, tapi kenapa ada juga orang buat jahat?".

Saya katakan pada dia, perkara ini susah nak cakap hanya Allahlah yang tahu jawapan sebenarnya. Ada banyak pendapat ulamak mengenainya.

Kata Salam lagi "tapi ada hadis mengenainya".

Hadis yang dimaksudkan oleh Salam mungkin Hadis yang berkaitan adalah hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim. Daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda, maksudnya: Apabila bulan puasa tiba, maka terbuka pintu-pintu syurga, tertutupnya pintu-pintu neraka dan syaitan-syaitan dirantai".

Mengenai perkara ini ulamak berbeza pendapat tentang maksud syaitan dirantai pada bulan Ramadan.

Menurut Al-Hafiz Ibn rhm, 'syaitan dirantai' boleh ditakrifkan dengan maksud syaitan tidak boleh menggoda umat islam seperti dalam bulan-bulan yang lain selain Ramadhan kerana umat islam dalam bulan Ramadhan sibuk dengan menjalani ibadah seperti puasa, membaca al-Quran dan mengingati Allah.

Menurut Syeikh Mutawalli al-Sya'rawi dalam kitabnya Anta Tas'al wa Islam Yujib: "Maksud hadis Rasulullah s.a.w tersebut ialah agar kita membuat suatu situasi dan keadaan yang menjadikan syaitan-syaitan terbelenggu atau terantai dan tidak menggoda manusia untuk melanggar hukum dan melakukan dosa. Sehinggakan yang ada hanyalah amal-amal yang baik, dan pintu-pintu syurga pun terbuka".

Ada ulamak yang mengatakan bahawa hadis tersebut menyatakan tentang perkara-perkara yang tidak diterangkan secara terperinci oleh syarak dan kita hendaklah menerimanya tanpa perbahasan. Ini lebih selamat.

Dengan ramainya umat islam mendekatkan diri kepada Allah dalam bulan Ramadhan ni telah menghalang syaitan daripada menggoda manusia. Jadi hanya Allah yang tahu maksud sebenar 'Syaitan dirantai dalam bulan Ramadhan'.



Sumber" Solusi


Rabu, 10 Ogos 2011

Wordless Wednesday - 5 - Pengodaan

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ


Khamis, 4 Ogos 2011

Tak Sempat Nak Jengok

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ




Assalamualaikum pada kawan-kawan blogger semua dan selamat melakukan ibadah puasa di bulan Ramadhan yang mulia ini. Hari ini dah masuk hari ke 4 kita berpuasa. Sama-samalah kita mengejar redha Allah atas apa yang kita lakukan.

Semenjak bermulanya puasa ni saya jarang dapat berblog. Masa rasa cepat sangat berlalu sedangkan banyak benda yang perlu dibuat.

Disebelah malam balik saja dari sholat terawih dah mengantuk sangat. Tidur awal untuk bangun awal didiniharinya. Siang pula, bermula pukul 8 pagi ada urusan yang perlu diselesaikan sehingga menjelang jam 12 tengahari di masjid berhampiran. Bila balik badan dah letih, baring sekejap menunggu masuk waktu sholat zohor. Selepas asar baru masuk dapor sediakan apa yang patut untuk berbuka.

Pagi ini ada masa terluang sikit sebelum bermulanya aktiviti sesi pagi. Jadi saya cuba menaip secepat yang boleh untuk N3 ni. Maaflah saya jarang dapat menziarah kawan-kawan. Ada masa terluang banyak sikit, InsyaAllah saya singgah yer.

Rabu, 3 Ogos 2011