Halaman

Terima kasih Jadi Kawan Blogger Saya

Ahad, 31 Julai 2011

Segmen Tauladan - Jom Ingat Pesan Ibu

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ


Segmen Tauladan- Jom Ingat Pesanan Ibu


.

Saya telah ditag oleh Leeya Abdul untuk menyertai Segmen Tauladan- Jom Ingat Pesanan Ibu yang dianjurkan oleh Syafiq Mokhtar.

Sebenarnya banyak perkara yang dipesan oleh ibubapa saya semasa kecil, semasa remaja bahkan semasa sudah menjadi ibu. Antaranya:



Pertama: Sebelum azan maghrib berkumandang pastikan dah ada di rumah, kalau tak ada siap.... Sekarang baru tahu kenapa mak suruh pastikan tiba di rumah sebelum maghrib. Rupanya makhluk bertanduk tu dah mula berkeliaran menjelang maghrib.



Kedua: Ketika dalam pantang pastikan ikut semua petua orang tua-tua dan pastikan memakan ubat-ubatan yang sewajarnya dimakan oleh orang dalam pantang. Kata Mak "nanti laki kau cari lain kalau tak jaga badan dalam pantang", petua ini saya turunkan juga pada anak dan menantu saya cuma dailog di atas tu diubah cara penyampaiannya.



Ketiga tapi bukan yang terakhir, malah banyak lagi:

Mak kata, sentiasa ingat pada Allah, jangan tinggal sembahyang dan sentiasa membaca al quran. Pesan ini dipanjangkan juga pada anak-anak saya.

Untuk menambah meriahnya 'segmen tauladan' anjuran Shafiq Mokhtar, sebagaimana dicadangkan oleh penganjur saya tag pula kawan-kawan berikut untuk sama-sama memeriahkan blog beliau. Semoga kawan-kawan yang berikut sudi:

Kakzakie di zakiepurvit.blogspot.com

Aby di satuperlumbaan.blogspot.com


Sebagai sokongan kepada apa yang kawan-kawan blogger buat jadi saya sambut taq yang Leeya Abdul panjangkan pada saya. Semoga dengan ini ukhwah sesama kita dapat dijalin.

Jom Bangun Sahur

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ




Hari ni dah 31 Julai yang bersamaan 30 Sha’aban 1432. InsyaAllah panjang umur, esok kita kita mula berpuasa.

N3 ni sebenarnya ulang tayang N3 yang saya buat tahun lepas. Semoga ianya dapat memberi manfaat kepada kawan-kawan yang singgah.

Bila mula berpuasa bermulalah juga amalan bersahur. Tak semua orang suka bangun untuk bersahor. Contohnya saya, masa muda-muda dulu, terutamanya ketika menyambung belajar selepas SPM dan tinggal di asrama, malasnya nak bangun sahor. Selain dari rasa mengantuk, rasa macam tak berbaloi nak bangun pun ada kerana lauk nasinya tak sedap. Dan ada juga kawan-kawan masa tu tak nak bersahur kerana nak diet. Makan sekali saja iaitu berbuka puasa.

Masa tu kami tak tau betapa bersahur tu salah satu amalan yang penting di bulan Ramadhan. Ada hadis tentang disuruh bersahor di bulan puasa ni antaranya:

Diriwayatkan oleh Bukhari, Ahmad, Tirmizi, Nasai dan Ibn Majah yang bermaksud “Bersahurlah kamu kerana pada sahur itu ada keberkatan”. Jadi selain mengelakkan perut kosong ketika berpuasa, bersahur juga ada keberkatannya. Keberkatan bermaksud rahmat, kebaikan serta restu Ilahi.

Satu lagi hadis yang diriwayatkan oleh Muslim, Ahmad, Abu Daud, Tirmizi, Nasai, Rasulullah saw bersabda “Sesungguhnya perbezaan antara puasa kita dengan ahli kitab adalah makan sahur”. Begitulah dituntutnya amalan bersahur kerana ianya menjadi perbezaan antara puasa umat islam dengan ahli kitab.

Umat Islam juga digalak melewatkan waktu bersahur, iaitu bersahur semasa menghampiri subuh. Rasulullah saw ada bersabda “sentiasalah umatku berada dalam kebaikan selama mana mereka melewatkan bersahur dan menyegerakan berbuka puasa.”, hadis yang diriwayatkan oleh Ahmad.

Penekanan yang dibuat oleh Rasulullah supaya dilewatkan bersahur dan tidak mengabaikannya adalah signifikan lagi saintifik kerana ia menepati waktu bersarapan pagi. Ada kajian yang dibuat menunjukkan makanan yang paling utama adalah sarapan pagi.

Salah satunya, kajian yang dilakukan oleh Dr. Mark Pereira dan rakan-rakannya dari Pusat Perubatan Harvard mendapati bahawa mereka yang tidak bersarapan pagi berisiko tinggi menjadi gemuk, mendapat sakit jantung dan menghidap penyakit kencing manis. Kajian yang sama juga menunjukkan mereka yang sentiasa bersarapan pagi menanggung risiko 50 peratus lebih rendah diserang masalah kesihatan yang berkaitan dengan lebihan kadar gula dalam darah berbanding mereka yang jarang bersarapan pagi.

Bersahur sangat penting kepada kanak-kanak yang berpuasa kerana kesan meninggalkan sarapan pagi ke atas kanak-kanak adalah lebih negatif disebabkan tubuh mereka yang kecil. Kajian-kajian terkini menunjukkan apabila glukosa dalam darah menurun selepas bangun daripada tidur dan keadaan ini berterusan kerana tidak bersarapan pagi, kanak-kanak akan menghadapi masalah memberi tumpuan kepada pelajaran.

Ada satu lagi kajian yang dilakukan oleh Dr. Theresa Nicklas dari Kolej Perubatan Baylor dan rakan-rakannya ke atas 700 pelajar-pelajar dari Louisiana menunjukkan mereka yang tidak bersarapan pagi menanggung risiko dua kali ganda penyakit anemia (iaitu penyakit yang berkaitan dengan kekurangan hemoglobin dalam darah). Ini dilaporkan oleh Kerry Neville dari Chicago Tribune pada 24 September 2001.

Berdasarkan kajian-kajian ini, ia menunjukkan bahawa secara umumnya, bila kita berpuasa dengan mengambil sahur tidak akan mendapat kemudharatan akibat dari puasa yang kita lakukan. Ia juga satu ibadah kerana ia adalah sunnah nabi dan waktu bersahur juga waktu yang dipenuhi keberkatan. Allah juga ada menjelaskan dalam surah Ali-Imran ayat 15 hingga 17:

“Katakanlah, ‘Mahukah aku khabarkan kepada mu apa yang lebih baik daripada yang demikian itu? Bagi mereka yang bertakwa terdapat syurga di sisi Tuhan mereka yang mengalir dibawahnya sungai-sungai. Mereka kekal dalamnya., Mereka juga dikurniakan isteri-isteri yang suci serta mendapat keredaan Allah. Dan Allah maha melihat akan hamba-hambanya. (Iaitu) orang-orang yang berdoa, ya Tuhan kami sesungguhnya kami beriman, maka ampunilah dosa-dosa kami dan perliharalah kami daripada seksa neraka. (Merekalah) orang-orang yang bersabar, yang benar, yang taat, yang menafkahkan hartanya pada jalan Allah dan yang memohon ampun di waktu sahur”.

Rujukan – Quran Saintifik

Jumaat, 29 Julai 2011

Lakukan Segalanya Dengan Tenang

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ




Ketika Rasulullah s.a.w. duduk di masjid, tiba-tiba masuk seorang lelaki ke dalam Masjid. Lelaki itu pun mengucapkan salam kepada Rasulullah s.a.w., kemudian berdiri dan melakukan sholat. Ketika lelaki itu selesai melakukannya, ia pun menghampiri Rasulullah s.a.w. yang kemudian bersabda kepadanya. "Kembalilah untuk mengerjakan sholat, sebab engkau belum mengerjakannya".

Ia pun pergi menjauh dan melakukan sholat. Setelah selesai bersholat, lalu ia kembali lagi menghampiri Raulullah s.a.w., Rasulullah bersabda lagi kepada lelaki itu "kembalilah mengerjakan sholat, sebab engkau belum mengerjakannya". Lalu lelaki itu kembali pergi melakukan sholat. Setelah selesai medirikan sholat ia menghampiri Rasulullah s.a.w. lagi. Namun Rasulullah s.a.w. tetap bersabda,"Pergilah untuk mengerjakan sholat sebab engkau belum mengerjakannya!"

Lelaki itu akhirnya berkata. "Demi Allah yang mengutus Anda dengan kebenaran, saya tidak boleh mengerjakan yang lebih baik dari ini. Ajarilah saya, wahai Rasulullah!".

Rasulullah s.a.w. pun bersabda "Jika engkau mengerjakan sholat, maka mulailah dengan bertakbir, lalu bacalah beberapa ayat Al quran yang mudah, kemudian lakukan rukuk sampai kamu betul-betul rukuk dengan muthmainnah (tenang); lalu lakukan i'tidal sampai kamu betul-betul telah berdiri; lalu lakukan sujud sampai kamu betul-betul sujud dengan tenang, kemudian lakukan duduk sampai kamu betul-betul duduk dengan tenang; selanjutnya kembali lakukan sujud sampai kamu betul-betul sujud dengan tenang. Biasakan ini dalam setiap (rakaat) sholat mu!" (HR. Al-Bukhari).

Begitulah Rasulullah s.a.w. megajarkan bagaimana seharusnya kita mengerjakan sholat!. Mudah-mudahan kita dapat praktikkan nasihat ini ketika kita mengerjakan sholat dan tidak lupa menjaga thuma'minah (ketenangan) dalam sholat kita.

Rabu, 27 Julai 2011

Wordless Wednesday - 3 -- Satu Ketika Dulu

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ



Tempat Mencari Rezeki - Semaknya Meja, Malu Jer



Pengubat Lara Yang DiTinggalkan

Terharunya hati ini

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ



Kawan-kawan mesti tertanya-tanyakan kenapa saya letakan 'heading' blog Cikgu Shameel Iskandar ni di N3 saya ni.

Sebenarnya semalam ketika singgah di Blog Cikgu Shameel terperanjat dan terharunya saya membaca apa yang ditulis oleh BELIAU tentang blog saya. Tingginya penghargaan yang diberikan. Sebagai seorang anak muda yang dah mempunyai follower yang sudah menjangkau seribu lebih untuk blognya, sudi menceritakan tentang blog saya yang tak segah mana ni. Kadang-kadang rasa rendah diri masih kuat dihati bila dibandingkan dengan blog-blog kawan blogger yang majoritinya berpangkat adik dan anak kepada saya.

Terima kasih Cikgu Shameel kerana sudi memberikan perhatian kepada blog saya ini. Ini mendorong saya untuk lebih bergiat dalam berblog. InsyaAllah.

Isnin, 25 Julai 2011

Halia Punya Penangan

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ




Masih jelas diingatan saya peristiwa yang berlaku kira-kira 20'an tahun yang lalu. Ianya berlaku ketika bersalin arwah anak saya yang kedua. Anak ni dilahirkan melalui pembedahan selepas saya bertarung dengan 'labour pain' selama lebih 14 jam. Pembedahan terpaksa dilakukan kerana kedudukan baby yang songsang dan tali pusat melilit di lehernya. Alfatihah untuk anak saya ini yang telah kembali ke Rahmatullah 4 tahun lalu.

Selepas pembedahan, walaupun hampir 2 hari dah berlalu, saya masih tak dibenarkan mengambil sebarang makanan selain dari apa yang disalurkan melalui 'drip' ke tangan saya. Tangan tu pun dah bengkak. Lapar pun dah mula terasa. Sakit jangan ceritalah.

Menurut jururawat di hospital tu saya tak boleh makan selagi tak buang angin dalam perut, maksudnya saya kena ke..ut dulu. Kalau saya makan sebelum angin keluar, dibimbangi saya akan muntah. Nanti terbetas pulak jahitan pembedahan saya.

Maka tunggulah saya waktu saya akan ke..ut. Mustahak betul ketika itu. Namun tak kunjung jelma. Akhirnya, mungkin atas dasar kesian, perlahan-lahan jururawat berbisik pada saya, suruh suami saya beli air halia. Selepas minum air halia dalam 2 tegok, perut mula memulas. Tak lama lepas tu,....huh selamat. Dah boleh makan.

Itulah penangan halia (zingiber officinale, Roscoe). Ia amat berguna dalam kehidupan kita bukan saya sebagai bahan yang amat perlu dalam masakan tetapi juga sebagai ubat alternatif ketika kesusahan. Terutama kesusahan buang angin atau kembung. Seperti kita semua tahu halia juga salah satu bahan penting dalam perubatan tradisional kita dan tradisional cina.


Pokok halia bara yang ada ditaman kecik saya


Halia juga amat perlu dalam masakan. Bukan kita saja rupanya perlukan halia dalam masakan, tapi orang Amerika dan lain-lain negara di sebelah barat sana juga memerlukan halia dalam masakan mereka.

Rupanya menurut orang-orang yang menyelidik tentang halia, halia ni ada mengandungi banyak khasiat. Antaranya, ia sekurang-kurangnya ada 19 komponen bioaktif yang berguna sangat untuk tubuh kita. Selain bersifat sebagai antioksiden, komponen halia yang bernama gingerol boleh membantu mencegah pembuluh darah dari tersumbat yang mana jika pembuluh darah itu tersumbat boleh menyebab strok atau sakit jantung.

Cerita mengenai halia ada disebut dalam Alquran Surah Al Insan, ayat 17, maksudnya: "Dan mereka dalam syurga diberi dari sejenis minuman yang campurannya daripada zanjabil". 'Zanjabil' ialah halia dalam bahasa arab. Jadi dalam syorga pun ada halia.

Cerita Tentang Durian.......

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ


Sekarang ni banyaknya kita nampak durian dijual ditepi-tepi jalan, dipasar-pasar malam dan apa lagi di pasar minggu. Ada juga dijual di pasaraya-pasaraya tertentu.

Orang yang ada dusun durian, dah balik kampong makan durian. Tapi saya yang tak ada dusun durian ni ditepi-tepi jalan, di pasaraya-pasaraya (giant dan tesco) menjadi dusun kami mendapat durian. Tambah pulak sekarang ni di giant dah ada jual durian sebiji-biji tak payah beli yang dah dibuka. Harga lebih kurang dengan tempat lain tapi yang pasti isinya memang tak rosak (berpandu pada masa sudah-sudah).

Rintitan dari cerita durian, pagi tadi saya masak pengat durian. Lebihan durian beli semalam. Pengat durian makan dengan pulut. Dan pada yang tak makan pengat tu saya sediakan 'nyior' gaul gula dan garam. 'Pulut Gaul Nyior' kata orang kampong saya.



Pengat Durian



Pulut



Kelapa yang dah digaul dengan gula dan garam


Orang kata makan pulut melemahkan badan. Bagi saya, sama jer dengan makan nasi lemak. Nak sedap lagi makan pulut gaul nyior ni ialah kita makan pulak pulut tu dengan ikan kering atau ikan goreng. Best sangat, pada sayalah, nak cuba.

Ahad, 24 Julai 2011

Besarnya Kereta Dia

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ




Pagi tadi selepas sarapan pagi di Restoran Jayati, hasben saya ajak jalan-jalan ke pasar tani dekat Stadium Melawati, Shah Alam.

Tiba di sana, sebagaimana dijangka, ramainya orang walaupun waktu tu dah pukul 10.00 pagi lebih. Kami berpusing-pusing cari tempat letak kereta. Ketika pusing-pusing tu, saya terpandang sebuah kereta, gambar diatas berplat negara jiran yang bersempadan dengan Kelantan dan Kedah. Lepas tu saya nampak keluarlah seorang lelaki berkupiah putih dalam usia lewat 40'an agaknya. Tak ada orang lain dalam kereta tu.

Bukanlah saya nak mengumpat dibulan baik ni, cuma nak berkongsi sesuatu yang saya rasa ada yang tak kena, walau dengan apa sebab sekali pun.

Saya nampak orang itu berjalan ke arah pasar tani sambil membawa satu bekas plastik lebih kurang macam dalam gambar ni berukuran agak-agaknya tinggi sekaki setengah, garispusat mungkin dalam sekaki. Pada bekas tu saya nampak ada tertulis sesuatu. Selain bekas plastik tu dia bawa juga sebuah bangku plastik.



Bila dah parking kereta, kami berjalan menuju kawasan pasar tani. Di pasar tani tu, saya berhenti ditempat orang menjual pokok-pokok bunga dan orkid. Memang tempat feveretlah kalau ke situ.

Tiba-tiba saya dengar orang bercakap "serial-serial" (seringgit-seringgit), saya toleh, orang lelaki yang saya nampak keluar dari kereta besar tadi tu sedang menghulurkan bekas pelastik yang dia bawa tadi kepada saya. Ketika itu saya nampak bekas plastik tu dah hampir penuh dengan duit RM1.00 dan RM10.00.

Bila saya tengok orang tu, tiba-tiba saya rasa tak nak beri. Bukan saya sayang duit RM1.00, lebih pun boleh saya beri, tapi dengan apa yang saya dah nampak, saya jadi ragu-ragu untuk bersedekah. Saya terus melangkah masuk ke gerai bunga dan orkid tu. Saya dengar dia membebel di belakang saya, dia kata "ahh serial pun tok nok beri". Saya diam jer tak kuasa nak kata apa.

Ketika bersuara, dia tak beri salam, dia tak kata derma/sedekah itu untuk siapa atau untuk apa. Mungkin dia tak nak berdosa kalau dia berbohong dengan memberitahu duit tu untuk kegunaan anak yatim atau sebagainya.

Bayangkan murahnya hati orang kita dalam masa tak sampai setengah jam, bekas plastik tu dah hampir penuh dengan duit. Kadang-kadang orang-orang dari sana, datang ke sini untuk berniaga. Manalah tau mereka mengambik kesempatan di atas kemurahan hati orang kita di sini.

Kita simpati kerana kita rasa mereka susah, mereka tertindas, tapi hakikatnya mereka boleh beli kereta besar walaupun kereta itu mungkin bukan dia punya, tapi persatuan atau badan apa saja yang punya. Bermakna mereka tidak sesusah yang kita jangka.

Bukan nak kedekut tapi sekarang ni ramai sangat orang-orang yang memungut derma di mana saja dan kebanyakan orang dari negara jiran kita. Maafkan saya andainya N3 ni menyentuh hati sesiapa.

Jumaat, 22 Julai 2011

Dah Lima Tahun...

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ




Alhamdulillah hari ini, hari Jumaat 22 Julai 2011 bersamaan 21 Sha'aban 1432 hari yang penuh keberkatan, genaplah usia Eresya 5 tahun. Jadi, Selamat Hari Lahir Nur Eresya Eryna. Nekma dan Tokbah doakan semoga Eresya membesar menjadi anak yang
solehah.




Sediakan payung sebelum hujan




Alhamdulillah nampaknya Eresya dah sihat sekarang. Dah nak makan. Pegi sekolah pun dah tak merengek macam dulu.

Kerana Eresyalah habis pokok langsuir nekma, nekma buang. Tak apa, asalkan Eresya sihat

Khamis, 21 Julai 2011

Award Di Bulan Julai

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ


Semalam dapatlah saya menziarah beberapa blog kawan-kawan. Bila tiba di blog rakan kita AL saya dapati Al ada berikan award kepada kawan-kawan dan salah seorangnya adalah saya. Terima kasih atas ingatan Al itu.



Untuk sama-sama memeriahkan lagi saya berikan pulak award dari Al kepada kawan-kawan berikut:

Kakcik Seroja
Kakzakie
Kak Pah
Miecyber
hani@debumelukut
Syimama
Aby (Wak)
Ustaz Abdul Razak
Shameel Iskandar
Che Mid
Ajumohit


Buat masa ini, nampaknya inilah dulu kawan-kawan yang dapat saya panjangkan award dari Al ni. Maaflah yer, InsyaAllah lain kali saya panjangkan pulak pada kawan-kawan yang lain.

Kenangan Ramadhan

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ




Assalamualaikum kawan-kawan semua. Hari ni dah 20 Sa'aban. Tak lama lagi muncullah bulan Ramadhan yang mulia tu. Mudah-mudahan dapatlah kita sama-sama menyambut Ramadhan tahun ini dan merebut tawaran istimewa yang Allah tawarkan pada kita dalam bulan tu.

Kali ni jom kita cerita tentang kenangan masa dulu-dulu apabila nak tiba bulan Ramadhan. Ini tidak termasuk soal ibadatlah cuma nak cerita soal persiapan fizikal dan mental lebih kurang.

Dulu-dulu masa zaman saya masih tinggal dengan mak ayah, bila tiba bulan Ramadhan ni saya perhatikan mak akan keluarkan pinggan mangkok yang tersimpan dalam almari pinggan mangkok. Kalau ada yang kurang terutamanya mangkok untuk kuih-muih mak akan beli yang baru. Pinggan mangkok dulu semua pinggan mangkok impot dari China. Orang sekarang panggil 'pinggan bunga kangkong'. Pinggan ni sekarang dah jadi pinggan antik yang dicari-cari.

Bila berbuka puasa Mak akan hidangkan lauk pauk dan kuih muih dalam pinggan mangkok yang mak keluarkan dari simpanannya tu. Sebabnya, entah, saya tak pulak diberitahu tapi rasanya adalah untuk memeriahkan bulan Ramadhan. Mungkin juga untuk menambah selera ketika berbuka bila lihat pinggan cantik selepas seharian berpuasa. He he agaknyalahkan.

Sekarang ni rasanya sudah jarang orang beli pinggan mangkok baru untuk menyambut Ramadhan kerana tiap-tiap hari pun dah memang makan minum dalam pinggan mangkok dan gelas yang dah cantik.

Ada juga kawan-kawan saya bercerita, ada orang dulu-dulu yang akan menjahit telekong baru untuk digunakan ketika sholat terawih. Yelahlah nak ke masjid dan menyembah Allah dibulan yang mulia tu, nak cantik-cantiklah kan. Malah ada yang saya dengar orang tua-tua mandi bunga untuk menyihatkan badan supaya ibadah puasa dapat dikerja dengan selesa.

Sekarang ni dah banyak bezanyakan. Bulan Ramadhan belum tiba lagi, kita dah buat persiapan untuk bulan Shawal seperti membeli belah untuk persiapan rumah dan pakaian serta keperluan anak-anak. Tak kurang untuk diri sendiri.

Sesekali fikir bagus juga, kalau kita mampu apa salahnya kita buat persiapan awal supaya di bulan Ramadhan yang penuh keberkatan tu taklah kita sebok-sebok memikirkan dan menyediakan keperluan serta persiapan menyambut Aidilfitri. Bolehlah kita tumpukan mental dan fizikal kita untuk beribadat kepada Allah.

Bila pandang kiri kanan, nampaknya dah ramai kawan-kawan sepermainan saya sudah dijemput Pencipta untuk menemuinya. Sama-samalah kita berdoa semoga kita dapat meraikan bulan Ramadhan tahun ini sebaik-baiknya, InsyaAllah.

Rabu, 20 Julai 2011

Wordless Wednesday - 2 - Gayat Tak

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ




Sabtu, 16 Julai 2011

Jerebunya!!!!!

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ







Jerebu di Putrajaya pada 13 Julai 2011


Assalamualaikum kawan-kawan semua. Dah 2 hari tak berblog. Hari pertama di rumah tak ada bekalan elektrik kerana TNB pasang kable baru.

Memandangkan tak ada bekalan elektrik di rumah, saya pegi jalan-jalan kononnya nak ke Pesta Floria di Putrajaya. Tiba di Putrajaya di tempat Pesta, tak larat pulak rasa nak jalan sebab parkingnya agak jauh, mungkin pada sayalah. Akhirnya balik rumah.

Keadaan tengahari di Putrajaya sangat berjerebu. Seakan-akan nak hujan. Tulah satu dua gambar yang saya snap semasa di sana.


Lebuhraya Persekutuan dari Klang



Kali ini kenapa Jerebu, orang seberang bakar hutan lagi ker?

Rabu, 13 Julai 2011

Bayarlah Hutang Aku!!!!

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ




Insiden 1: Merayu2 dalam telefon nak pinjam duit nak buat modal berniaga sebab ada dapat tender. Dia kata RM5,000.00. Dengar RM5,000 rasa kendur lutut. Duit sebanyak tu banyak bagi saya yang dah tak bekerja ni. Akhirnya saya bagi RM2,000.00. Janji pinjamnya sekejap saja. Hingga sekarang dah masuk 2 tahun janji tinggal janji.

Bila berjumpa tak sebut langsung pasal hutang. Bila kenduri kendara di rumahnya semuanya klas, pendek kata semua bercita rasa tinggi ('high taste'). Suaminya kalau bercerita, projek juta-juta, jadi apalah sangat duit saya yang RM2,000 tu, bayarlah.

Berdosa ker saya berfikiran begini. Tak kesian ker dia pada saya sebagaimana saya kesian pada dia ketika dia nak pinjam dulu. Ini kali kedua terjadi, yang kali pertama tu pun dah 'gone with the wind'. Kenapa saya beri pinjam lagi. Atas dasar kesian dan percaya.

Insiden 2: Ada hubungan saudara, satu pagi datang rumah tergesa2. Cari saya atas bawah. Masa tu saya sedang sholat dhuha, mohon Allah murahkan rezeki saya dan beri saya kesihatan yang baik. Selesai sholat, belum sempat buka telekong, dah datang hulur tangan bersalam dengan saya. Tanpa segan silu terus menyatakan hajat. Nak pinjam 3 hari saja. Mustahak sangat. Hingga sekarang dah hampir 4 bulan langsung tak nampak muka. Telefon pun tidak.

Yang sedihnya, saya telefon tak jawab. Usahkan nak telefon bertanya khabar. Sedih sangat rasa... Saya selalu kata pada diri sendiri, belajarlah jadi orang yang 'hati kering'. Bolehkah saya.

Orang-orang yang berhutang duit ringgit atau apa saja harta benda pada orang dan tak bayar, tak takutkah bila mati nanti roh tertahan dari meneruskan perjalanan ke tempat yang mulia walaupun dia seorang yang sholeh.

Ingatlah sabda Nabi s.a.w., maksudnya:

"Jiwa seorang mukmin itu digantungkan dengan hutangnya sehingga hutangnya dibayar (HR: Turmudzi, Ibnu Majah dan Al-Baihaqy)

Begitulah beratnya menanggung hutang. Tapi mereka yang pernah saya tolong ketika kesempitan langsung tidak kesiankan saya balik. Saya yang tidak lagi bekerja ni sangat-sangat memerlukannya.

Nak diminta hati rasa tak sanggup. Apa yang saya buat hanya berharap dan berdoa semoga Allah membuka pintu hatinya untuk membayar hutang saya supaya tak payahlah mencari saya nak jelaskan hutang di Padang Mahsar kelak di mana masa tu duit ringgit tak berguna lagi.

Dari Ibnu ‘Umar, Rasulullah shallallahu s.a.w. bersabda, maksudnya: “Barangsiapa yang mati dalam keadaan masih memiliki hutang satu dinar atau satu dirham, maka hutang tersebut akan dilunasi dengan kebaikannya (di hari kiamat nanti) karena di sana (di akhirat) tidak ada lagi dinar dan dirham.” (HR. Ibnu Majah)

Itulah halnya orang yang mati dalam keadaan masih menanggung hutang dan belum menjelaskannya. Jadi untuk membayar hutang tersebut akan diambil dari pahala kebaikannya. Itulah yang terjadi ketika hari kiamat karena di sana duit ringgit tidak berguna lagi.

Sabtu, 9 Julai 2011

Tumbuhan Pun Pandai Menangis

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ


“dan bahawasanya Dialah yang menjadikan (orang) tertawa dan menangis” (Al-Najm 43)


Daun ini adalah salah satu tanaman yang Allah beri perangkat khusus untuk menangis!! Melalui saluran khusus, daun ini mengeluarkan bahan seperti air mata. Para ilmuwan mengkagumi perilaku tanaman ini, mengapa berlaku proses ini dan apa alasan di sebalik itu semua?



Ini merupakan salah satu tanda kebesaran Allah dalam tanaman, bukankah Allah Tuhan Yang Maha Kuasa telah berfirman:

(وأنه هو أضحك وأبكى)؟

“dan bahawasanya Dialah yang menjadikan (orang) tertawa dan menangis”(Al-Najm 43)

(وإن من شيء إلا يسبح بحمده ولكن لا تفقهون تسبيحهم)؟؟

“dan tak ada suatu pun melainkan bertasbih dengan memuji-Nya, tetapi kamu sekalian tidak mengerti tasbih mereka.” (Al-Isra’44)



Maha Suci Allah Yang telah menjadikan tanda kebesaran dan keesaan-Nya dalam segala sesuatu.


"Recently, American scientists proved that plant can feel with pain and it talks with other plants as it secretes a sedative material when it feel with pain also it warns other plants in case of dangers by secreting a special material!"

Kini banyak penemuan-penemuan yang menakjubkan ditemui dan ini menarik perhatian ahli-ahli sains. Walau bagaimanapun bila kita membaca Al Quran, kita akan dapati bahawa semua penemuan-penemuan ini telah dinyatakan oleh Allah s.w.t. dalam Al Quran.



Rujukan: kaheel7.com

Jumaat, 8 Julai 2011

Wanita Mukminat Lebih Cantik Dari Bidadari??

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ




Assalamualaikum pada semua teman. Hari ini dah Jumaat balik. Semoga semua kita berada di bawah lindungan dan keberkatan Allah setiap masa.

Seronok bila bercerita betapa cantiknya bidadari sorga yang Allah ciptakan khas untuk menjadi pasangan hamba-hamba yang bijak mengawal nafsu ketika di dunia. Dalam hadis Al-Bukhari daripada Anas bin Malik, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Andai seorang wanita sorga menampakkan diri kepada penduduk dunia, nescaya teranglah apa yang ada di antara timur dan barat, penuhlah apa yang ada di antara kedua-duanya dengan wangian."

Namun secantik mana pun para bidadari ini wanita-wanita mukminat jauh lebih cantik daripada mereka. Iaitu orang yang membasuh mukanya setiap hari dengan air wuduk, melaksanakan sholat dan taat kepada suaminya demi mencapai keredhaan Allah s.w.t.

Berkenaan perkara ini Allah s.w.t. berfirman bermaksud: "Sesungguhnya kami menciptakan mereka dengan penciptaan baru. Dan kami kembali menjadikan mereka gadis-gadis perawan" (Surah al-Waqi'ah 56: 35-36).

Menurut beberapa orang ahli tafsir, antara lain Abu al-Hassan al-Muwardi, ayat ini berbicara tentang wanita-wanita mukminat di dunia. Allah mengembalikan mereka menjadi gadis-gadis muda meskipun sebelumnya mereka telah menjadi nenek yang tua dan lemah. Mereka akan dibangkitkan kembali sebagai wanita-wanita yang sangat cantik lalu dipersatukan lagi dengan suami-suami mereka di dunia.

Berkaitan dengan ini teringat kisah Ummu al-Darda' (nama asalnya Hujaimah al-Himyariah). Beliau ialah isteri Abu al- Darda', seorang sahabat Nabi s.a.w. yang hidup di Syam. Meskipun jarak usia mereka agak jauh di mana Abu al-Darda' lebih tua beberapa puluh tahun daripada istrinya, namun mereka adalah pasangan yang sangat bahagia.

Suatu hari Ummu al-Darda' berdoa di hadapan suaminya, "Ya Allah sesungguhnya Abu al- Darda' meminang ku di dunia, lalu aku menikahinya. Maka sekarang aku meminangnya kepada-Mu untuk menjadi suami ku di syurga".

Mendengar ucapan itu Abu al- Darda' berkata, "Jika engkau ingin menjadi isteri ku di syurga, janganlah menikah lagi setelah aku meninggal dunia."

Ummu al-Darda' ini seorang wanita yang cantik dan cerdas. Maka setelah Abu al- Darda' wafat, Khalifah Mua'wiyah bin Abu Sufian datang untuk meminangnya namun isteri yang setia dengan cinta pertamanya ini menolak pinangan tersebut.

Jadi pada semua isteri dan bakal isteri tak usahlah cemburu dengan bidadari di syurga. Berusahalah untuk menjadi mukminat yang solehah dan setia kepada suami, semoga Allah mempertemukan keluarga kita semula disyurga".



Rujukan: Solusi

Khamis, 7 Julai 2011

Jom Masuk Kontes Pantun Oleh Komensen

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Assalamualaikum kawan-kawan semua. Semoga berada dalam keberkatan Allah semuanya.

Semalam ketika singgah dari satu blog ke satu blog kawan-kawan, tibalah saya di blog Komensen, milik Tn. Hj. Hamzah Al-Lavendari yang menganjurkan kontes ke 3 beliau iaitu berbalas pantun.

Tengok jer pantun, berminatlah pulak nak mencubanya pusaka nenek moyang kita ni. Semoga dengan pantun-pantun dari saya yang tak seberapa ni turut memeriahkan blog Tuan Haji ni. Jom kita berbalas pantun. Jomlah klik kat SINI



Tuan Haji, ini jawapan saya kepada pantun Tuan Haji:

Tuan Haji soal

Anak sepat di dalam sawah
Elok dimasak dengan pegaga
Bila dah dapat gading bertuah
Tanduk hendak letak kat mana ?


Saya jawab

Mengerlip ngerlap intan baiduri
Hendak dimuat ke dalam peti
Gading digilap cantik berseri
Tanduk dibuat seruling sakti


Tuan Haji soal

Pisang emas masak se sikat
Masak pulut janganlah hangus
Sudah kemas perahu ku ikat
Kenapa hanyut di bawa arus ?


Saya jawab

Orang makasar gulai jelawat
Sakit tangannya berdenyut-denyut
Badai besar gelombang kuat
Putus talinya perahu pun hanyut


Tuan Haji soal

Anak senangin anak tenggiri
Masuk ke kelong mengelak pukat
Jika tak ingin dibuat isteri
Kenapa diusung merata tempat?


Saya jawab

Susah nak panjat sipokok jati
Tebuan bersarang didahan tinggi
Memang berhajat nak buat isteri
Duit hantaran tak cukup lagi



Makan sambal pedas berkuap
Simpan dulu di atas meja
Tuan Haji soal saya dah jawab
Tinggal menunggu keputusannya saja

Rabu, 6 Julai 2011

Wordless Wednesday

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ




Nasib baik tak ada sakit jantung

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ


Lebih kurang pukul 11.00 pagi tadi ketika dalam perjalanan nak balik rumah dari beli keperluan rumah, tiba-tiba Salam telefon.


ihsan google


"Ma, orang Lembaga Hasil Dalam Negeri datang rumah", suara Salam bunyi risau dan panik.

"Kenapa", tanya saya

"Entah, dia ada bagi surat untuk abah, orang tu kata abah tak bayar cukai pendapatan RM10k lebih.", dup sekejap jantung seolah-olah tersekat.

"RM10 ribu, cukai bila, kan abah dah pencen dekat 3 tahun". Tanya saya lagi

"Tak tau, orang tu kata ni kes serius, suruh abah datang bincang. Orang tu tanya dah lama ker kita duduk rumah ni" cerita Salam lagi. Apa pulak halnya dengan rumah disebut sekali. Rumah tu dah lama habis bayar, fikir saya.

Tiba di rumah Salam terus berikan surat LHDN yang berwarna merah. Dalam surat tu diberi tempoh 21 hari untuk menjelaskan jumlah cukai atau diambik tindakan mahkamah.

Semenjak bersara, dah 2 kali suami saya ke LHDN beritahu yang dia dah bersara. Dah beri surat bersara pun kepada mereka.

Akhirnya tengahari tadi saya temankan suami ke LHDN. Bukan dia takut, he he tapi saya yang kepoh. Dikaunter, suami saya tunjukkan surat merah tu pada pegawai yang bertugas.

Pegawai LHDN tu pun semak. Semak punya semak, dengan selambanya tanpa mengucapkan 'sori', dia kata suami saya terhutang dengan LHND sebanyak RM300.00 lebih saja. Yang RM10k lebih tu anggaran saja untuk tahun 2008 dan 2009. Kalau yer pun anggaran tak kan sampai RM10k lebih, agak-agaklah. Nasib baik jantung masih kuat.

Agaknya apa yang kita cakap di pejabat LHDN tu tak dicatit pun dan inilah hasilnya.

Selasa, 5 Julai 2011

Subhanallah!! Ada Sungai Di Dalam Laut

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Assalamualaikum kawan-kawan yang di kasihi.

Saya ingin berkongsi satu N3 dari Blog Uztaz Halim DISINI mengenai sungai di dalam laut.

Dah lama saya dengar cerita ni, tapi saya tak pulak terjumpa kisahnya secara jelas. Jom kita sama-sama menyaksikan kebesaran ciptaan Allah ini.

Subhanallah .. ada sungai dalam laut !!

Maha Suci Allah yang Maha Menciptakan Sungai dalam Laut

“Akan Kami perlihatkan secepatnya kepada mereka kelak, bukti-bukti kebenaran Kami di segenap penjuru dunia ini dan pada diri mereka sendiri, sampai terang kepada mereka, bahwa al-Quran ini suatu kebenaran. Belumkah cukup bahwa Tuhan engkau itu menyaksikan segala sesuatu. ” (QS Fushshilat : 53)


“Dan Dialah yang membiarkan dua laut mengalir (berdampingan) ; yang ini tawar lagi segar dan yang lain masin lagi pahit; dan Dia jadikan antara keduanya dinding dan batas yang menghalangi.” (Q.S Al Furqan:53)


Jika Anda termasuk orang yang gemar menonton rancangan TV `Discovery’ pasti kenal Mr.Jacques Yves Costeau , ia seorang ahli oceanografer dan ahli selam terkemuka dari Perancis. Orang tua yang berambut putih ini sepanjang hidupnya menyelam ke perbagai dasar samudera di seantero dunia dan membuat filem dokumentari tentang keindahan alam dasar laut untuk ditonton di seluruh dunia.

Pada suatu hari ketika sedang melakukan eksplorasi di bawah laut, tiba-tiba ia menemui beberapa kumpulan mata air tawar-segar yang sangat sedap rasanya kerana tidak bercampur/tidak melebur dengan air laut yang masin di sekelilingnya, seolah-olah ada dinding atau membran yang membatasi keduanya.


Fenomena ganjil itu memeningkan Mr. Costeau dan mendorongnya untuk mencari penyebab terpisahnya air tawar dari air masin di tengah-tengah lautan. Ia mulai berfikir, jangan-jangan itu hanya halusinasi atau khayalan sewaktu menyelam. Waktu pun terus berlalu setelah kejadian tersebut, namun ia masih tak mendapatkan jawapan yang memuaskan tentang fenomena ganjil tersebut.

Sampai pada suatu hari ia bertemu dengan seorang profesor Muslim, kemudian ia pun menceritakan fenomena ganjil itu. Profesor itu teringat pada ayat Al Quran tentang bertemunya dua lautan ( surat Ar-Rahman ayat 19-20) yang sering diidentitikan dengan Terusan Suez . Ayat itu berbunyi “Marajal bahraini yaltaqiyaan, bainahumaa barzakhun laa yabghiyaan.. .” Artinya: “Dia biarkan dua lautan bertemu, di antara keduanya ada batas yang tidak boleh ditembus.” Kemudian dibacakan surat Al Furqan ayat 53 di atas.

Selain itu, dalam beberapa kitab tafsir, ayat tentang bertemunya dua lautan tapi tak bercampur airnya diertikan sebagai lokasi muara sungai, di mana terjadi pertemuan antara air tawar dari sungai dan air masin dari laut. Namun tafsir itu tidak menjelaskan ayat berikutnya dari surat Ar-Rahman ayat 22 yang berbunyi “Yakhruju minhuma lu’lu`u wal marjaan” ertinya “Keluar dari keduanya mutiara dan marjan.” Padahal di muara sungai tidak ditemukan mutiara.

Terpesonalah Mr. Costeau mendengar ayat-ayat Al Qur’an itu, melebihi kekagumannya melihat keajaiban pemandangan yang pernah dilihatnya di lautan yang dalam. Al Qur’an ini mustahil disusun oleh Muhammad yang hidup di abad ke tujuh, suatu zaman saat belum ada peralatan selam yang canggih untuk mencapai lokasi yang jauh terpencil di kedalaman samudera. Benar-benar suatu mukjizat, berita tentang fenomena ganjil 14 abad yang silam akhirnya terbukti pada abad 20. Mr. Costeau pun berkata bahawa Al Qur’an memang sesungguhnya kitab suci yang berisi firman Allah, yang seluruh kandungannya mutlak benar. Dengan seketika dia pun memeluk Islam.


Maha Suci Allah yang Maha Menciptakan Sungai dalam Laut

Allahu Akbar…! Mr. Costeau mendapat hidayah melalui fenomena teknologi kelautan. Maha Benar Allah yang Maha Agung. Shadaqallahu Al `Azhim.

Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesungguhnya hati manusia akan berkarat sebagaimana besi yang dikaratkan oleh air.” Bila seorang bertanya, “Apakah caranya untuk menjadikan hati-hati ini bersih kembali?” Rasulullah s.a.w. bersabda, “Selalulah ingat mati dan membaca Al Quran.”


Jika anda seorang penyelam, maka anda harus mengunjungi Cenote Angelita, Mexico. Disana ada sebuah gua. Jika anda menyelam sampai kedalaman 30 meter, airnya air segar (tawar), namun jika anda menyelam sampai kedalaman lebih dari 60 meter, airnya menjadi air asin, lalu anda dapat melihat sebuah “sungai” di dasarnya, lengkap dengan pohon dan daun daunan.


Setengah pengkaji mengatakan itu bukanlah sungai biasa, Ia adalah lapisan hidrogen sulfida, nampak seperti sungai… luar biasa bukan? Lihatlah betapa hebatnya ciptaan Allah SWT.

Segala yang difirmankan Allah dalam Al quran telah banyak dapat dibuktikan dengan kecanggihan sains dan teknologi. Sesungguhnya Allah swt menjadikan sesuatu didunia ini ada sebab musabab supaya dijadikan iktibar oleh kita hambanya, tidak ada yang mustahil jika Allah mahu.

Isnin, 4 Julai 2011

Pesta Buku

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ



Nampak buku beli, tak tau bila boleh selesai membacanya.


Saya beli sebuah alquran dan 3 buah buku di Pesta Buku Shah Alam yang diadakan di . Shah Alam Convention Centre. Inilah pertama kali masuk ke bangunan yang nampak gah ni.







Semalam merupakan hari terakhir Pesta Buku ni. Di hari akhir ni baru ada peluang untuk ke sini. Ramainya orang.

Saat-saat di Jemput Pergi

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ




Assalamualaikum semua kawan-kawan.

Sejak akhir-akhirnya, saya banyak terima berita tentang sahabat-sahabat saya yang telah dijemput Allah pulang ke Rahmatullah. Baik sahabat semasa bekerja dulu atau sahabat sepermainan ketika zaman kanak-kanak di kampong.

Hati terasa takut bila mengenangkan saat akan dipanggil pergi oleh Allah. Maklumlah bekalan yang hendak dibawa ke satu perjalanan yang teramat jauh itu amatlah kurang sedangkan usia semakin laju menuju penghujung sebuah kehidupan.

Bila mengenangkan kenikmatan syurga sebagai balasan pada amalan baik kita, terasa jauhnya kelayakan yang ada. Bila teringatkan pula neraka yang penuh dengan azab sengsara, perasaan takut menguasai hati. Mengenang dosa-dosa, semoga Allah yang Maha Pengasih serta Maha Penyayang dan Maha Pengampun mengampuni dosa-dosa yang pernah dilakukan dan menerima amalan-amalan yang dikerjakan serta taubat yang dipohon.

Sabda Rasulullah s.a.w. sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abu Musa Al-Asy'ari r.a., maksudnya:

"Sesungguhnya Allah membuka tanganNYA pada malam hari untuk menerima taubat orang yang melakukan dosa pada siang hari dan membuka tangannya pada siang hari untuk menerima taubat orang yang melakukan dosa pada malam hari. Keadaan ini (penerimaan taubat) berterusan sehinggalah matahari terbit dari barat (kiamat)" (Riwayat Muslim.)

Ahad, 3 Julai 2011

Al Fatihah Untuk Almarhumah Kak Yam Dari Blog 'Life as Pensioners'

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Baru petang ni saya dapat singgah di Blog saya ni.

Innalillahiwainnailaihirojiun. Saya diselubungi rasa sedih bila terbaca N3 terbaru di blog saudara zulkbo mak-cik-yam-dalam-kenangan-al-fatihah. Saya juga singgah di Blog Puan Shima dan dapatlah cerita yang lebih jelas.

Alfatihah untuk Almarhumah Kak Yam (panggilan saya pada Mak Chik Yam) dari blog Life as Pensioners. Semoga Almarhumah dimasukkan ke dalam golongan orang-orang yang dikasihi Allah. Takziah untuk Abang Mad (suami almarhumah) dan keluarga. Semoga tabah dengan ujian Allah ini.

Saya rasa kehilangan seorang kawan yang amat pengasih. Walaupun tidak pernah bersua muka dengan almarhumah tetapi melalui ulasan-ulasan yang almarhumah catatkan di blog saya dan melalui pembacaan N3 Blog almarhumah, saya dapat rasakan bahawa almarhumah seorang yang pengasih dan baik hati.

Tulisan terakhir almarhumah kak yam pada saya di shout box almarhumah

Jumaat, 1 Julai 2011

Apa Dah Jadi Dengan Saya

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ



Assalamualaikum pada semua rakan-rakan di hari Jumaat yang mulia ini. Semoga rakan-rakan semua sentiasa diberkati Allah. Pagi ni bila saya duduk sorang-sorang, saya terkenang hal-hal yang berlaku kepada saya semalam.

Semalam hari yang serba tidak kena kepada saya. Mana tidaknya, pagi semalam ketika saya dan suami ke Meru kami mengambil masa dekat 3 jam baru sampai ke Meru. Ini akibat saya terlelap sekejap dan suami pulak terlepas jalan biasa. Lepas hampir 3 jam pusing keliling, dan bayar tol dua kali, tak tahu tol mana, yang saya nampak satu darinya tol Kapar, baru kami tiba di simpang Taman Bukit Raja. Pada hal dah berpuluh-puluh kali ke sini. Tak pernah sesat.

Balik dari Meru dengan barang sarat dalam kereta, saya singgah dikedai yang jual ikan dan sayur serta barang-barang keperluan rumah. Kedai ni tak jauh dari rumah saya. Semasa melangkah masuk ke kedai, ketika itu terdengar riuh rendah dengan suara gadis-gadis indon yang baru balik dari kerja sedang membeli belah. Mereka bercakap dalam bahasa yang saya tak faham dan ditambah dengan gelak tawa yang kuat seolah-olah kami tak ujud dalam kedai tu. Tiba-tiba saya rasa tak selesa.

Ketika membayar pun masih dalam suasana bergurau senda. Minta itu free, minta ini percuma pada tuan kedai tu (budak muda orang kita) dengan suara mengada-ngada. Kalau boleh semua nak free. Walaupun tuan kedai berkali-kali kata "tak boleh, tak boleh", saya nampak mereka selamba jer masukkan limau kasturi 3, 4 biji, free.

Satu lagi saya perhatikan, mereka ni selamba jer beri bayaran yang kurang pada tuan kedai. Contohnya kalau jumlah kesemua belian mereka RM3.50. Selamba jer beri RM3.00 dan terus berlalu tanpa peduli penjual tu meminta-minta bakinya. Dalam hati saya berkata "tak tau halal haram ker mereka ni."

Rupanya kebetulan hari tu tuan kedai tu sedekahkan roti kepada semua pelangganya, saya pun dapat jugak. Tiba-tiba kumpulan gadis-gadis indon yang dah keluar dari kedai tu tadi datang semula meminta roti percuma. Mereka kata, ada antara mereka yang belum dapat. Penjual tu pulak beria-ria kata dah beri. Namun mereka meminta juga tanpa malu pada kami yang masih beratur untuk membayar. Saya pulak yang rasa malu tengok gelagak mereka ni.

Keluar dari kedai saya terus ke kereta. Ketika membuka pintu belakang kereta untuk letak barang-barang yang dibeli, baru saya perasan, belakang kereta penuh. Saya terus beritahu suami yang menunggu di dalam kereta, mungkin dengan suara kuat, tanpa sedar "tak boleh letak, banyak barang".

Tiba-tiba saya dengar ada orang bersuara "Ok, ok saya sekejap jer ni, nanti saya gostan". Baru saya perasan rupanya ada seorang perempuan di kereta sebelah yang kebetulan menunggu anaknya dari kedai. Dia parking kereta dia memang agak rapat dengan kereta saya tapi saya masih boleh membuka pintu kereta.

Sepantas kilat saya kata "tak, tak, saya kata kereta saya ni, belakang dah penuh tak boleh letak barang lagi". Pemandu perempuan tu macam marah, terus gostan kereta dia sambil menjeling belakang kereta saya yang memang sedang sarat.

Saya rasa terkilan, takut dia ingat saya sindir dia, tapi saya tak berniat langsung. Semoga dia tidak salah sangka pada saya.

Saya kena mengajar hati supaya tabah dan sabar dengan kerenah orang lain. Lagi satu nak bercakap pandang sekeliling dahulu.