Halaman

Terima kasih Jadi Kawan Blogger Saya

Rabu, 29 Jun 2011

Jangan Kamu Kahwini.....

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Assalamualaikum pada semua rakan-rakan. Semoga dibulan Rejab yang penuh keberkatan ini Allah kurniakan kita dan keluarga keberkatan dalam hidup. Ketika saya menaip N3 ni di luar sana hujan sedang mencurah dengan lebatnya. Suasana sejuk dan nyaman.

Hari ini 27 Rejab. Di mana setahun sebelum Hijrah pada tarikh ini telah berlaku peristiwa Israk dan Mikraj. Semoga peristiwa2 yang berlaku ketika Israk Mikraj ini menjadi pengajaran dan panduan kepada kita didalam menjalani kehidupan.



Di pagi yang nyaman dalam bulan yang penuh berkat ini, saya ingin berkongsi pesanan Rasulullah s.a.w. kepada kaum lelaki yang diriwayatkan oleh Imam Al-Ghazalli. Walaupun pesanan ni untuk kaum lelaki tapi saya rasa ia baik juga untuk kita semua, pada yang belum tahulah yer. Pada yang dah tahu kira ulang tayanglah ni.

Sabda Baginda, maksudnya: "Jangan engkau kahwini wanita yang en...am, jangan yang ananah, yang mananah, dan yang hananah dan jangan engkau kahwini yang hadaqah, yang basaqah dan yang syadaqah".

1.Wanita Ananah : wanita yang banyak mengomen itu dan ini. Apa yang diberi atau dilakukan suami untuk rumahnya tangga semua tidak kena dan tidak berpuas hati.

2.Wanita Mananah : wanita sebegini yang menidakkan usaha dan jasa suami sebaliknya mendabik dada dialah yang banyak berkorban untuk membangun rumah tangga dan suka mengungkit-ungkit apa yang dilakukannya untuk kebaikan rumah tangga.

3.Wanita Hananah : Menyatakan kasih sayangnya kepada bekas suaminya, iaitu suami yang dikahwininya sebelum ini atau kepada anaknya dari suami yang lain. Ia juga berangan-angan mendapatkan suami yang lebih baik dari suami yang sedia ada. Dia juga merendahkan kebolehan dan kemampuan suaminya. Dalam kata lain wanita sebegini tidak bersyukur dengan jodohnya itu. Wanita yang sebegini mengkufuri nikmat perkahwinan.

4.Wanita Hadaqah : melemparkan pandangan dan matanya pada tiap sesuatu, lalu menyatakan keinginannya untuk memiliki barang itu dan memaksa suaminya untuk membelinya selain itu wanita ini suka ikut nafsunya.

5. Wanita Basaqah : ada 2 makna:

Pertama wanita sebegini yang suka bersolek dan menghiaskan diri tapi bukan untuk suaminya sebaliknya untuk orang lain di luar rumah.

Kedua dia marah ketika makan dan tidak mahu makan kecuali sendirian dan diasingkannya bahagiannya.

6.Wanita Syadaqah : banyak cakap, tidak menentu lagi bising. Kebecokan itu juga menyebabkan segala kerja yang dibuatnya tidak sempurna.

Semoga dengan membaca pesanan Rasulullah s.a.w. ini kita (terutama saya) boleh memperbaiki diri mana yang terkurang.

Selasa, 28 Jun 2011

Renungan

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ


Jika kita bertawakkal kepada Allah dengan benar maka Allah akan menganugerahkan rezeki kepada kita sebagaimana burung diberikan rezeki. Marilah kita renungkan bagaimana Allah menganugerahkan rezeki kepada burung dan bagaimana Allah membekalkannya dengan teknik yang sangat baik.



Allah telah memberikan kepada burung ini teknik yang unik sehingga memudahkan dirinya untuk melihat ikan yang berada di dasar air dan menentukan kedudukanya dengan tepat dan mengoperasikan seluruh hitungan yang tepat untuk menangkap dan menjamin keberhasilannya pada saat menerkam.

Semua itu terjadi pada otak seekor burung yang kecil. Para ulama sangat kagum dengan teknik hitungan yang tepat tersebut dan mereka berbincang bagaimana mungkin alam memberikan kemampuan pada burung keistimewaan tersebut? Semuanya itu semua bukanlah alam yang memberikan namun Allah SWT seperti firmannya:

الَّذِي أَعْطَى كُلَّ شَيْءٍ خَلْقَهُ ثُمَّ هَدَى

“Ialah (tuhan) yang telah memberikan kepada tiap-tiap sesuatu bentuk kejadiannya, kemudian memberinya petunjuk”. (Toha:50)

Maksudnya: memberikan akal, instint (naluri) dan kudrat alamiyah untuk meneruskan kehidupnya.

Phenomena yang menanjubkan para ulama terhadap dunia burung kerana dalam otak burung telah diciptakan dan terdapat satu sistem yang mengajar serta membimbing mereka mencari rezeki untuk memberi makan kepada anak-anaknya.


Burung ini sedang berusaha mendekatkan paruhnya untuk memberi makanan kepada anaknya tanpa belajar akan hal tersebut dan para ilmuwan menegaskan bahawa seluruh makhluk hidup "terprogram" dalam bentuk yang canggih untuk mengarahkan kerjanya secara sempurna bagi memastikan mereka berkembangbiak dan menjaga kelestariannya.

Para ilmuan tertanya-tanya: Dalam menjamin berkembangbiak dan menjaga kelestariannya siapakah yang memberikannya ilham dan mengajarkan teknik yang canggih dan tepat ini kepada burung? Dan siapakah yang memberikan petunjuk pada makhluk ini untuk melakukan tugasnya dengan baik?. Yang melakukan semua ini adalah Dia, Allah SWT seperti firmannya:

قَالَ رَبُّنَا الَّذِي أَعْطَى كُلَّ شَيْءٍ خَلْقَهُ ثُمَّ هَدَى

"yang telah memberikan kepada tiap-tiap sesuatu bentuk kejadiannya, kemudian memberinya petunjuk". (Toha:50)

Asalkan rajin kita berusaha, InsyaAllah, Allah akan memberikan kita rezeki


Rujukan: www.kaheel7.com

Isnin, 27 Jun 2011

Lambaian Menghijau

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ



Sebahagian dari pekan Slim River


Sabtu lepas saya ke Slim River. Lama tak jumpa adik saya di sana. Dia tinggal di Kampong Kledang. Untuk tiba ke rumah adik saya, kami kena merentasi ladang kelapa sawit (ladang SKC).

Kampong Kledang ini terletak agak jauh dari dari bandar Slim River. Penduduknya selain melayu, cina dan india ada juga terdiri dari orang-orang asli. Di sini hanya ada sekolah rendah. Anak-anak kampong Kledang dan kawasan persekitaran yang bersekolah menengah terpaksa ke Slim River untuk bersekolah. Pagi-pagi dah terpaksa ke sekolah dengan menaiki bas sekolah.

Anak-anak saudara saya pula dimasukkan ke asrama oleh adik saya bila mereka masuk sekolah menengah (asrama untuk penduduk pendalaman). Ini adalah untuk memastikan mereka betul-betul bersekolah.

Sekarang ni untuk ke Kampong Kledang tak seteruk dahulu. Jalanraya dah elok. Jambatan pun dah dibuat jambatan baru mengantikan jambatan kayu yang berlubang di sana sini. Dulu setiap kali kami melalui jambatan kayu yang buruk tu, hati sentiasa berdoa semoga Allah lindungi kami dari berlaku sesuatu yang tidak diingin.



Sepanjang perjalanan ke rumah adik saya, diiringi dengan lambaian daun-daun kelapa sawit yang menghijau dan luasnya sejauh mata memandang. Keluar saja dari kawasan Ladang berkenaan, kita akan bertemu dengan kampong Kledang.



Rumah-rumah ni merupakan bekas rumah pekerja-pekerja ladang kelapa sawit SKC yang sudah tidak gunakan lagi dan dijual kepada penduduk-penduduk kampong. rumah-rumah ini dah diubahsuai mengikut kemampuan.

Selepas kawasan perumahan nilah terdapat banyak rumah-rumah yang dibina sendiri oleh penghuninya dengan membeli tanah disitu. Rumah-rumah ni berbentuk dan bersaiz mengikut kemampuan tuan punya rumah. Adik saya juga membeli tanah dan membina sendiri rumahnya. Pada saya Kampong Kledang ni cantik dan tenang.

Bila saya ke Slim River dalam perjalanan balik mesti singgah di Tanjung Malim. Saya suka ke kedai pakaian disitu. Di kedai tu saya suka beli baju kaften. Harganya taklah murah sangat cuma materialnya jenis yang tidak mengecut lebih kurang sama kualiti dengan kaften yang saya dibeli di Terengganu dan Kelantan. Kaften-kaften ni buatan indonesia. Saya suka beli Kaften cap Anggerek Cap lain saya tak tahu kualitinya.

Jumaat, 24 Jun 2011

Di Sebalik Takdir Allah

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ




Assalamualaikum pada semua kawan-kawan di pagi Jumaat yang mulia ini. Di hari yang mulia ini saya nak kongsi satu cerita.

Seorang lelaki tersadai di pinggir sebuah pulau. Dia satu-satunya mangsa kapal karam yang terselamat dan masih hidup.

Apabila mnyedari bahawa dia hanya seorang diri di pulau kecil dan terpencil itu, dia berdoa kepada Allah setiap hari supaya menyelamatkannya.

Disamping itu, dia tidak putus-putus meninjau laut yang bagai tidak berpenghujung itu dengan harapan ada kapal yang lalu dan dapat menyelamatkanya. Namun segala harapannya tinggal harapan.

Akhirnya lelaki tersebut membina sebuah pondok tempat berteduh daripada terik matahari di siang hari dan berlindung daripada dingin bayu malam.

Suatu hari, dia meredah hutan untuk mencari sumber makanan. Sebaik pulang, dia dapati pondoknya terbakar hangus. Tiada apa yang tinggal kecuali abu hitam dan asap berkepul-kepul naik ke langit.

Lelaki tersebut terduduk, merenung nasibnya yang malang. Dia mula mempersoalkan takdir malang yang menimpa. "Kenapalah nasib aku begitu malang sekali?, kenapalah Allah uji aku sampai tahap ini? Kenapa aku?"

Petang itu sedang dia berehat di bawah sepohon pokok kelapa dia ternampak kelibat sebuah kapal dari jauh seolah-olah menuju ke arah pulau itu. Sehabis daya dia menjerit-jerit sambal melambai-lambai tangannya dengan harapan pengmudi kapal itu nampak akan kehadirannya di pulau itu. Jelaskan kapal itu memang menuju ke arah pulau itu.

Akhirnya lelaki tersebut diselamatkan dan dibawa naik ke kapal. Dia diberi makanan dan minuman. Namun dia berasa hairan bagaimana kapten kapal tahu dia berada di pulau itu. Dia bertanya kepada kapten itu, "Macam mana tuan tahu ada orang tersadai di pulau itu?".

Kapten kapal itu menjawab "Kami nampak asap dari pulau ni. Sebab itu kami menukar haluan ke sini kerana mungkin ada seseorang yang memerlukan bantuan"

Jangan sekali-kali mempersoalkan apa yang telah Allah tetapkan untuk kita. Allah lebih mengetahui apa yang terbaik untuk hambanya. Boleh jadi sesuatu yang kita pandang sebagai musibah hari ini merupakan sesuatu yang memberi keuntungan di kemudian hari.

Firman Allah dalam Surah Ghafir:60, maksudnya: "Berdoalah kamu kepada KU nescaya AKU perkenankan doa permohonan kamu"

Khamis, 23 Jun 2011

Pemandangan Seperjalanan

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Pagi semalam selepas sarapan pagi, saya keluarkan ikan dan ayam dari peti ais. Hajatnya nak masak untuk makan tengahari. Dah banyak hari asyik makan tengahari di luar.

Tapi semalam juga seharian saya rasa keletihan. Selepas menyiapkan kerja-kerja rumah yang sepatutnya, saya baring-baring sambil membaca hingga menjelang waktu zohor. Tengahari semalam, kami cuma makan roti. Lepas zohor, saya baring lagi. Badan rasa melepek sangat. Lepas Azar barulah saya rasa segar sedikit dan dapatlan saya singgahkan beberapa blog rakan-rakan.

Pagi ni rasanya agak segar sedikit. Tapi tak ada perkara yang nak dijadikan N3 baru, jadi kali ini saya pastekan beberapa gambar yang saya ambil semasa dalam perjalanan ke Kota Bharu sehingga sampai ke kampong saya.







Selasa, 21 Jun 2011

Sayang, Jangan Tidor Selepas Subuh

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ



Orang-orang tua kata, tidor sehingga matahari melangkah kita menyempitkan rezeki. Mesti ada yang kata, "ala rezeki aku dah tetap sebab makan gaji, lainlah orang berniaga.". Tapi kita kena ingat rezeki bukan bermaksud duit saja malah kesihatan yang baik juga dikira rezeki.

Sebenarnya tidur selepas sholat subuh tu tak adalah dalil yang mengatakan berdosa tapi cuba fikir, kalau kita bangun lambat, nak makan nasi lemak untuk sarapan, kemungkinan nasi lemak kesukaan kita dah habis terjual. Penjual nasi lemak pun dah balik.

Menyambung tidur selepas Subuh, sememangnya tidak digalakkan. Rasulullah s.a.w. tidak tidur selepas menunaikan solat subuh kerana Allah memberkati umat ini yang berpagi-pagi, seperti satu hadith yg berbunyi, maksudnya Ya Allah, berkatilah umatku yang berpagi-pagi [Diriwayatkan at-Tirmizi, Abu Daud dan selainnya]. Untuk itu, para fuqaha' memakruhkan tidur selepas solat subuh.

Telah thabit dari Nabi bahawasanya Baginda berdoa kepada Allah supaya memberkati umatnya yg berpagi-pagi, sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ashab as-Sunan yg empat dan Ibn Hibban dalam Sahihnya, Nabi melewati anaknya Fatimah r.ha yang sedang berbaring pada waktu Subuh, maka Baginda bersabda, maksudnya:

Wahai anakku, bangunlah dan hadaplah rezeki Tuhanmu, dan janganlah engkau jadi dari kalangan org yang lalai, sesungguhnya Allah membahagikan rezeki manusia di antara terbit fajar hingga terbit matahari.' (Diriwayatkan al-Baihaqi)

Berkata Nabi di dalam hadith yg diriwayatkan oleh at-Tabarani di dlm al-Awsath. maksudnya:

Berpagi-pagilah (subuh) dalam mencari rezeki, sesungguhnya berpagi-pagi itu adalah berkat dan kejayaan.'

Oleh itu para fuqaha' menetapkan kemakruhan tidur selepas solat Subuh, dan dinukilkan oleh Imam as-Safarini mengenai kemakruhan tidur selepas solat Subuh dan Asar:

'Dimakruhkan tidurmu -wahai mukallaf- selepas solat Subuh, kerana waktu itu adalah waktu mencari rezeki dan berusaha (syara' dan 'uruf) di sisi org yg beraqal.'

Disebutkan ulama' bahawa tidur selepas solat Subuh adalah makruh, dikecualikan dari kemakruhan ini adalah mereka yg berjaga malam utk qiyam dan sebagainya.

Tidak salah tidor selepas subuh tetapi adalah paling afdal jika kita memanfaatkan waktu itu dengan berzikir, membaca alquran dan lain-lain majlis ilmu. Sesunggunya waktu pagi ialah waktu yang penuh berkat.

Isnin, 20 Jun 2011

Hanya Allah Yang Tahu

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ



pokok langsuir (bird nest)


Hari ni sepagi saya dan adik saya mengumpul semua pasu-pasu pokok di atas. Tujuannya untuk dimusnah. Saya rasa nak buang atau saya bakar saja.

Di luar pagar rumah saya, saya ada tanam pokok ni lebih kurang 5 pasu. Semuanya subur. Ada satu dua pasu yang saya gantung. Saya sangat suka dengan pokok ni kerana selain cantik dia tidak banyak kerenah di tanam. Siram sajer dan sesekali berikan kulit pisang untuk menyuburkannya. Dah bertahun-tahun usia pokok-pokok ni.

Mesti rakan-rakan tertanya-tanya kenapa saya nak musnahkan pokok-pokok ni selepas susah payah ditanam bertahun-tahun. Saya tak ada pilihan, sayangkan cucu lebih utama dari pokok-pokok ni semua.

Ceritanya bermula dengan kisah cucu saya yang kedua Eresya yang selalu saja deman dan sakit-sakit. Semenjak lahir dia macam tu. Bila anak saya berpindah kerumahnya di Puncak Alam lagi kerap dia sakit. Dah banyak kali bawa jumpa pakar padeatrik, semua kata tak ada apa-apa dan diberi ubat, sakitnya hilang.



Selera dia pun kurang. Dah dicuba berikan dia vitamin, elok sekejap.

Dalam seminggu dua ni dia kena pulak gatal seluruh badan. Batuk-batuk waktu malam. Menjelang subuh okey. Demam pun bersilih ganti, kejap baik kejap sihat. Dah badan tak sihat merengek jerlah.

Jadi tergerak dihati untuk cuba bawa dia berjumpa seorang ustaz. Ustaz ni berikan dia air untuk minum dan mandi. Dan satu lagi ustaz tu kata, kalau ada pokok yang daunnya panjang-panjang tolong buang. Pokok ni katanya ialah pokok langsuir atau orang putih panggil 'bird nest'.

Memandangkan di rumah anak saya tak ada tanam pokok-pokok hiasan, jadi nampaknya di rumah sayalah pokok tu. Katanya pokok ni tak elok di tanam dekat rumah terutama kalau ada anak-anak kecil.

Saya cuba google mengenai pokok ni, adalah saya jumpa dua tiga cerita mengenainya antaranya seperti di bawah ni.



["Tuah Says:
October 26th, 2010 at 10:10 pm
Pakcik sy pernah bela pokok ni kat laman rumah dia. Sejak dia ambik pokok tu, tiap2 mlm dengar budak nangis. Memula tu dia abaikan je. Tp bila dah tiap2 mlm, seram la jgk. 1 hari tu dia cuba carik mana dtg bunyi nangis tu. Sekali kat pokok sakat yg dia bela le RM.
Dia tanya org yg pakar ttg hal2 alam ghaib. Org tu kata masa pokok ni d ambil, baby langsuir@pontianak (sy xpasti) ada tertinggal kat situ. Jd menangis tu sbb dia carik mak pak dia le.
Pakcik sy pulangkan semula pokok sakat tu kat hutan tmpt dia ambil. Sejak tu Alhamdulillah xde lg bunyi tangis2an tu. Hiiiii seram.
Kesimpulannya, bela pokok sakat ni nasib2 le. Kalau nasib baik, Alhamdulillah xde apa2. Kalau nasib xbaik dpt le dengar mcm2 bunyi…"]



["eiela Says:
October 26th, 2010 at 10:35 pm
yup, saya sokong Tuah tuh Kak Red. Pokok nih nama dia pokok sakat or pokok paku langsuyar. Dia hidup menumpang. Kalau nak tanam kena hati-hati, takut ada yg menyinggah memang akan dgr suara menangis, mengilai,,kalau ada baby kecik lagi lah dia suka menjenguk dan mengacau. Walau apa pun pokok nih cantik sebenarnya cuma kena hati-hati je. Sudah kena dulu..last-last buang, baru baby berhenti menangis.
Reply"]



["Ye ke? Isshhh....seramlah!"

"Benda tu memang suka duduk atas pokok tu, tempat dia bermain.Pokok langusirkan tumbuh atas pokok-pokok besar, jadi benda tu sukalah bergayut, tempat dia main tau tak!"

"EErrrr....pontianak ke Langsuir?" tanya aku gugup.

"Dua-dua sama je!"

"Isshhh...tak cayelah...!"

"Tak percaya sudah! Tapi.....kalau rajin malam-malam jalan kat rumah orang yang ada tanam pokok ni,manalah tau untung-untung jumpa," usik kak Long.

"Eerrr...taknaklah! tapikan.....betul juga sebab kat office, dia orang ada tanam pokok langsuir ni kat taman, memang cantik siap ada jambatan kecik. Tapi....malam-malam bila pengawal meronda kawasan tu, dia orang ada nampak perempuan pakai baju putih jalan kat situ,jalan slow je, melayang-layang pergi kat pokok tu."

"Hah.....betullah tu, dahlah...aku nak makan ni, dah masak?" mak limah cuma diam aje memikir kadang-kala betul juga sebab Kak Long mempunyai keistimewaan boleh nampak makhlus halus.]

Saya cuma berikhtiar, selainnya saya serah pada Allah. Selama saya menanam pokok-pokok ni tak pernah ada perkara pelik berlaku sehinggalah Eresya sakit ni. Waallahuwa'lam. Rakan-rakan tolong doakan agar cucu saya sihat.

Sabtu, 18 Jun 2011

Saat Kesabaran Diperlukan

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ




Bila seseorang ditimpa musibah, kata-kata semangat yang selalu kita bisikan ialah "sabar, sabarlah". Sebenarnya sabar bukan hanya apabila ditimpa musibah sahaja.

Menurut para ulamak sebagaimana yang dinukilkan oleh Syeikh Abdul Qadir Isa dalam Haqaiq al Tasawuf bahawa kita juga perlu bersabar ketika melaksanakan ibadah kepada Allah. Sentiasa istiqamah dalam mentaati Allah dan melakukan ibadah kepadaNYA. Melaksanakan amar makruf dan melarang kemungkaran. Sepanjang melakukan ibadah kepadaNYA kita hendaklah bersabar menempuh semua rintangan yang datang sepanjang ketaatan itu dilaksanakan.

Allah ada berfirman dalam Surah Luqman 31:15: Maksudnya"Wahai anak kesayanganku, dirikanlah sembahyang dan serulah kepada kebaikan, serta cegahlah daripada melakukan perbuatan yang mungkar dan bersabarlah atas segala yang menimpamu"

Kita juga hendaklah bersabar dalam meninggalkan perkara-perkara yang dilarang oleh Allah. Kita hendaklah berjihat melawan hawa nafsu yang sentiasa cenderung memperhambakan diri kepada selain Allah. Sentiasa berusaha membersihkan jiwa daripada bisikan syaitan dan nafsu ke dalam jiwanya.

Allah akan menganugerahkan sorga yang dijanjikan untuk orang yang sabar dalam meninggalkan larangannya sebagaimana firmanNYA dalam surah al-Naziat 79:40-41, maksudnya: "Dan bagi mereka yang takutkan keadaan ketika berdiri di mahkamah Tuhannya (untuk dihitung amalannya), serta ia menahan dirinya daripada menurut hawa nafsu, maka sesungguhnya syurgalah tempatnya."

Kita juga hendaklah bersabar ketika menghadapi musibah. Kita hendaklah sedar bahawa dunia ini hanyalah tempat ujian dan cubaan daripada Allah s.w.t. serta dunia ini juga bersifat sementara. Kita kenalah sedar hakikat kehambaan serta betapa lemahnya kita manusia yang tertakluk kepada kudrat dan iradat Allah semata-mata. Firman Allah dalam surat al-Baqarah 2:156, maksudnya: "Orang yang apabila mereka ditimpa kesusahan, mereka berkata: "Sesungguhnya kami kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali."

Kesempurnaan Sabar Rasulullah s.a.w.

Ibn Mas'ud r.a. menyatakan: "Seolah-olah aku melihat sendiri (dengan mataku) bagaimana pada saat Rasulullah s.a.w. menceritakan tentang seorang Nabi yang dipukul oleh kaumnya sehingga darah mengalir dari wajahnya. Sambil mengesat wajahnya yang berlumuran dengan darah Nabi itu mengucapkan "Ya Allah, kurniakanlah keampunan kepada kaumku. Sesungguhnya mereka tidak mengetahui."

Subhanallah! Betapa sempurnanya kesabaran yang telah ditunjukkan oleh Baginda s.a.w. dalam menerima ujian daripada Allah. Segala kepahitan dan rintangan dihadapi dengan redha dan tabah demi menggapai anugerah yang dijanjikan olehNYA.


Sumber rujukan: Majalah Solusi

Khamis, 16 Jun 2011

Catitan Untuk Kenangan

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

N3 saya kali ni adalah sekadar ingin merekod sesuatu yang akan menjadi kenangan dalam hidup saya. Tidak ada niat lain. Ianya hanya penghujung sebuah pengajian yang saya ikuti selepas saya bersara.

Pada 2 Jun 2011 lalu, pihak Masjid Sultan Sallehuddin Abdul Aziz Shah (SSAS) atau Masjid Negeri telah mengadakan Majlis Hari Guru. Yang hadir pada malam itu ialah pengajar-pengajar (para imam-imam Masjid SSAS dan tenaga pengajar dari luar) yang terlibat dengan semua pengajian di Masjid berkenaan.

Salah satu aturcara Majlis ialah penyampaian Sijil kepada Guru Alquran tahun 2010. Antara penerimanya termasuklah saya.

Malam tu juga diumumkan Tokoh Guru Terbaik Masjid SSAS yang dianugerahkan kepada Ustaz Khalid AlWalid. Tokoh Ulamak pula dianugerahkan kepada Ustaz Dr. Musa Fathullah Harun. Kalau ada kawan blogger yang ingat, Dr. Musa ni adalah anak kepada Kiyai Fathullah Harun yang terkenal satu ketika dulu (tahun 70an).


Pengarah JAIS (berbaju melayu) yang menyampai sijil


Dr. Musa Fathullah Harun sedang berucap, Maaf gambarnya
kurang jelas sebab saya ambik dari jauh


Ini kami pelajar wanita yang menerima Sijil Guru Quran


Malam Tadi pula berlansungnya Majlis Khatam Alquran bagi Pelajar Guru Alquran Tahun 2009. Kami dijemput memeriahkan Majlis.



Kawan-kawan yang berkhatam quran


Guru Alquran Kami dua dari kanan yang juga
Imam Besar Masjid SSAS


Bergambar Kenangan


Selesai Majlis Khatam Alquran tu, kamu dijamu dengan nasi arab. Sekarang ni nampaknya nasi arab dah jadi menu kesukaan masyarakat kita.


Tengoklah Makanan Untuk 8 orang, memang takkan
termakan dek kita ni, rasanya.






Bunga Telur dan Bungkusan Puri Sebagai Kenangan
Pada Yang Hadir

Rabu, 15 Jun 2011

Berkembangan

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Assalamualaikum kawan-kawan semua. Kali ini saya nak ajak-ajak kawan rehatkan minda kejap kita tengok bunga-bunga orkid yang sedang berbunga di taman sekankang katak saya ni.

Bunga ni lama saya tak peduli sebab ketika kena jangkitan paru-paru baru-baru ni doktor nasihatkan saya jangan buat 'gardening'. Jadi saya siram jerlah pokok orkid ni. Tak letak baja pun. Tapi nampaknya pokok-pokok ni masih sayangkan saya, tetap juga berbunga. Alhamdulillah. Sekarang saya berjinak-jinak balik walaupun tak sekerap dulu.

Sayang juga, saya dah banyak belanjakan duit ketika gilakan pokok-pokok orkid ni. Jadi sebagai orang yang membelinya saya kenalah bertanggungjawab menjaganya. Bab kata member-member orkid, jangan biarkan dia ke sorga kerana kecuaian kita.


Ini saya dah tak ingat namanya, dari jenis vanda rasanya



Bunga putih dan merah ni jenis cattleya, keduanya
berbau harum


Doritis, bunga tahan lama


Nodosa pink, ada juga yang kuning


Mimi Palma warna purple, ada juga kuning.
Bunga ini berbau wangi


Ini pun jenis vanda juga tapi dah tak ingat
nama penuhnya. Dia ni rajin berbunga. Layu setangkai,
keluar pulak spike baru


Ada satu dua pasu lagi sedang berbunga, tapi saya gantung tinggi, tak dapat nak snap gambarnya.

Isnin, 13 Jun 2011

Dengarlah Cerita Mak ni Wahai Anak

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ



Ketika menghadiri kenduri perkawinan sepupu sebelah suami tempoh hari di kampung, kami berkesempatan bertemu kawan-kawan sepersekolahan dulu yang juga merupakan saudara mara sendiri.

Bila dah berkumpul macam ni, macam-macam cerita keluar. Sekejap terdengar ketawa berdegah-degah terutama di pihak tetamu lelaki yang juga suami-suami kami. Saya pasti mereka pun bercerita tentang kenakalan mereka sejak kecik. Maklumlah kebanyakan mereka membesar bersama sebelum masing melanjutkan pelajaran ke mana-mana insitusi pengajian tinggi dalam menentukan masa depan.

Tak kurang jugalah di pihak mak-mak ni. Seronok sakan bercerita kisah-kisah silam. Anak-anak menjadi pendengar. Biar mereka dengar kesusahan kita ketika bersekolah dahulu iaitu dalam tahun 60'an/70an.

"Dulu kita orang semasa balik sekolah, dua tiga telaga (perigi) kami berenti sebelum tiba di rumah", cerita seorang mak saudara suami. Dianguk oleh seorang lagi mak saudara.


"Kami berenti untuk minum air kerana dahaga. Maklumlah kami berjalan dalam jarak yang agak jauh dari sekolah ke rumah lebih kurang 2 hingga 3 kilo meter di tengah panas terik. Kami cedok air dari telaga dengan timba, kami minum air dari timba tu untuk menghilang dahaga, dua tiga kali berenti minum, baru tiba di rumah".

Dulu mana ada mak ayah yang hantar anak ke sekolah dan jemput dari sekolah. Kenderaan yang ayah ada pun basikal saja. Bas sekolah belum ada pada masa tu.

"Tapi kita tak sakit pun, waima demam, sihat jer walaupun minum air direct dari telaga." Sampok seorang lagi.

"Anak-anak kita sekarang tak lasak, kita jaga bagai menatang minyak yang penuh". Jawab pulak yang lain.

Dalam gelak2 terselit juga rasa sedih mengenangkan susahnya kita dulu. Jika di banding dengan anak-anak kita sekarang, Ya Allah rahmatnya mereka.

Ahad, 12 Jun 2011

Jalan-jalan Makan Angin

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Assalamualaikum pada semua rakan blogger yang singgah di sini semasa ketiadaan saya lebih kurang 2 minggu. Hari ini 10 Rejab. Semoga di bulan yang mulia ini Allah berikan kita keberkatan dan kesihatan yang baik untuk membolehkan kita beribadat kepadaNYA.

Nampaknya selepas menulis N3 tentang orang yang koma, akhirnya saya pula yang komakan menulis dalam blog. Bukan sengaja nak koma menulis tapi sebenarnya saya pulang ke Terengganu pada 3 Jun lalu menghadiri perkahwinan sepupu sebelah suami (sepupu muda).


Bergambar dengan pengantin untuk kenangan


Selepas balik dari rumah pengantin, hati tergerak nak ke Kuala Terengganu. Cadangnya nak berjumpa dengan adik. Tapi sayangnya dia tak ada di rumah. Jadi kami terus ke Kota Bharu.

Tiba di Kota Bharu waktu dah senja. Cari hotel bagai nak gila. Jadikan satu pengajaran berjalan tak booking hotel dulu. Wuuh Kota Bharu. Sungguh hebat. Saya mencari hotel dari hotel taraf 5 bintang hinggalah hotel tak ada bintang. Jawapannya sama saja "maaf puan, tempat kami penuh". Nyaris kami tidur dalam kenderaan kami (saya suami isteri dan sakinah).Masa ni teringat Kak Yam dari Blog 'Life as Pensioners' sini yang ada homestay Rumah Tamu Sri Pauh

Akhirnya suami saya cadangkan kami ke Pengkalan Cepa yang terletaknya lapangan terbang Pengkalan Cepa. Sepanjang perjalanan nampak saja notis 'hotel atau Inn' kami tanya, jawapan serupa. Dalam keadaan hampir putus asa, akhirnya bersebelahan dengan lapangan terbang Pengkalan Cepa saya nampak satu papan iklan kecik. 'Budget Hotel Kels.'

Syukur sekurang-kurang taklah kami tidor dalam kenderaan. Bila kami telefon, kata orang yang menjawab masih ada bilik kosong. Terus ke tempat yang dituju. Sebuah rumah banglo besar juga. Masuk ke dalamnya kami 'impressed'. Bersih dan mempunyai ruang tamu/lobi yang luas. Ada lebih kurang 10 buah bilik besar dan sederhana. Kami bernasib baik kerana ada bilik yang boleh memuatkan kami bertiga. Kami tinggal 3 hari 2 malam di situ.

Mungkin saya tersilap anggapan, harap maaf kalau saya silap, tapi selama 3 pagi saya bersarapan di kedai-kedai makan berdekatan dengan lapangan terbang tu, breakfastnya nasi, saya tak ada pilihan. Ini menu salah satu kedai makan yang saya singgah.


Nasi dalam daun pisang, lauknya ayam kerutup, beginilah
bila dibuka bungkusan


Ayam kampong goreng. Kebetulan minum kopi



Seperti biasa bila di Kota Bharu mesti nak ke Rantau Panjang atau Pengkalan Kubur. Tapi kali ini kami ke Rantau Panjang saja. Tak beli apa-apa sangat lebih kepada 'tengok'2. Malamnya kami ke Wakaf Chek Yeh. Nak tengok keadaannya sebab selalu sangat orang cerita tentang tempat ni. Pasar Siti Kadhijah pun singgah jugak, seperti biasa beli serunding.




Memandangkan rakan blogger selalu cerita hal Masjid Beijing ni saya pun singgah juga semasa dalam perjalanan ke Rantau Panjang.

5 Jun kami balik ke Terengganu. Di bawah ni adalah gambar pemandangan di sepanjang perjalanan pulang dari Kota Bharu melalui jalan Pantai iaitu melalui Tok Bali dan lain-lain daerah yang saya tak ingat namanya, ini untuk mengelakkan jem di jalan utama.


Pintu Gerbang berhampiran Lapangan Terbang Pengkalan Cepa





Pemandangan Laut di Sepanjang Perjalanan



Jambatan Tok Bali Yang Tinggi







Teruja dengan kecantikan Pantai, singgah
sekejap di Pantai Bisikan Bayu


Saya tiba di Dungun lebih kurang jam 10.00 malam. Tinggal di Dungun sehingga hari Khamis.