Halaman

Terima kasih Jadi Kawan Blogger Saya

Sabtu, 30 April 2011

Senyap Sekejap

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ




Mulai esok sehingga beberapa hari mendatang, saya rehat sekejap berblog kerana nak cuti-cuti Malaysia. Jadi nampaknya tak dapatlah mnziarahi rakan-rakan blogger semua untuk beberapa hati itu.

Sehingga jumpa lagi.

Jumaat, 29 April 2011

Terima Kasih Banyak-banyak

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ




Assalamualaikum rakan blogger semua. Diam tak diam hari ini 29 April 2011 dah dua tahun usia blog saya ni. Blog ini tercipta hasil dari rasa kesunyian tinggal sendirian di rumah selepas saya mula bersara atas pilihan sendiri dari pekerjaan saya.

Bila bersara saya rasa saya kehilangan segalanya, terutama kawan-kawan. Untuk menghilangkan kesunyian dan bosan, saya mulakan 'blog walking' dari satu blog ke satu blog. Membaca berbagai cerita dari blog-blog yang saya jumpa. Masa tulah saya teringin mempunyai blog sendiri. Dengan susah payah dan tunjuk ajar dari anak-anak, saya belajar apa-apa yang perlu dalam membuat blog. Nasib baik semasa di alam pekerjaan dulu saya memang menggunakan komputer.

Bila ada blog sendiri, saya mula menjadi 'follower' kepada blogger yang pernah saya singgah dan juga blog kawan-kawan yang saya kenal.

Akhirnya terciptalah blog 'Kerdipanrohani'. Atas sokongan kawan-kawan blogger yang sudi menjadi rakan blogger saya, saya ucapkan berbanyak terima kasih. Terima kasih juga kerana sudi meninggalkan ulasan-ulasan bagi N3 yang saya buat. Sehingga sekarang saya masih memerlukan tunjuk ajar dari rakan blogger semua.

Khamis, 28 April 2011

Maafkan Kami

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ



Bawah meja makan dah 2 kali saya sapu. Sambil menyapu mata liar mencari. Tapi tak jumpa. Saya sapu pulak di bawah sofa di ruang tamu. Tak ada. Jengok pulak atas kabinet tv. Tak ada. Boleh dikatakan semua tempat yang kemungkinan ada, saya dah cari. Tapi benda yang dicari tak juga jumpa. Dah beberapa kali saya naik turun ke atas dan kebawah rumah saya ni, mencari.

Ya Allah macam mana ni. Susah hati saya. Di luar rumah terdengar bunyi besi-besi berlaga makin kencang. Tentu jiran saya yang nak buat kenduri kawin anaknya hari Sabtu ni dah mula nak pasang khemah. Macam mana ni. Trooper hasben saya, masih tercongok di tepi jalan di mana khemah nak di dirikan. Nak buat macam mana kuncinya tak jumpa. Kunci spare dah lama tak jumpa cari.

Kunci di mana kau kunci. Sambil mencari saya membaca surah Ad-Dhuha. Kawan saya kata, kalau barang hilang sambil cari bacalah surah Ad-Dhuha. InsyaAllah.

Kami telefon Dzulkarnain di pejabatnya sebab malam tadi dia orang terakhir guna trooper abahnya tu. Dia jawab, dia letak kunci di tempat biasa. Saya cari lagi ditempat 'biasa', walaupun entah untuk kali ke berapa, tapi tak ada.

Telefon menantu perempuan saya, isteri Dzulkarnain, dia kata tak ada. Telefon sakinah, sakinah tak jawab. Telefon pulak menantu lelaki. Manalah tau kot-kot dia ternampak kunci tu malam tadi masa dia datang sini. Jawapannya negatif juga. Tak nampak.

Aduss, saya, hasben dan salam mencari bagai nak rak, bak kata orang putih 'high and low'lah. Nampaknya kena tunggu Dzulkarnain balik.

Kesian jiran saya tak dapat nak mulakan pasang khemah pada masa yang dirancang. Sebenarnya kami tak tahu dia nak pasang khemah hari ni. Kalau tau, siang-siang kami dah parking jauh-jauh. Rasa bersalah sangat pada jiran saya.

Jam 5.00 petang menantu perempuan saya telefon, dia kata kunci tu ada dalam beg tangan dia. Kami suruh dia balik cepat kalau boleh. Hai, tak tau nak cakap apa.

Ketika saya menaip N3 ni masih terdengar 'tum tang, tum tang' di luar rumah. Besok kenalah minta maaf dengan jiran saya, semoga dia faham. Kami tak sengaja.

Selasa, 26 April 2011

Hanya Mampu Marah Dalam Hati

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ



Dari anjung rumah saya, saya sering nampak pemandangan begini. Taman Permainan tu kedudukannya betul-betul dikelilingi oleh rumah-rumah kediaman. Mereka yang berkelakuan begini tak segan pun. Mereka bukan sekadar duduk berdua-duan tapi melebihi dari itu.

Hati sering rasa tercabar dan malu dengan perlakuan anak remaja kita yang beragama islam. Ditegur atau dilarang, lari sekejap. Lepas tu ada lagi. Ibarat mencurah air di daun keladi.

Kesian mak ayah yang ditipu. Mereka mungkin menyangka anak-anak ni ada aktiviti sekolah atau beriadah dengan kawan-kawan. Yang kesalnya sigadis tu rela diri diperlakukan begitu.

Tak tau kemana perginya sifat malu mereka, sedangkan sifat malu itu sebahagian daripada iman sebagaimana sabda Rasulullah SAW, maksudnya:

“Malu itu sebahagian daripada iman.” (Riwayat Al-Bukhari)

Sifat malu menurut hadis di atas adalah malu kepada Allah SWT apabila melakukan maksiat. Usahkan malu kepada Allah yang mereka tidak nampak di depan mata, kami yang terconggok ni pun mereka tak malu. Jika sekiranya tidak lagi memiliki sifat malu di dalam sanubari maka mereka akan mudah terpengaruh dengan gaya hidup yang boleh meruntuhkan akhlak.

Isnin, 25 April 2011

Tak Cuba Tak Tau Kan!!!

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ


Tadi semasa singgah di kedai kerana nak beli sedikit barang-barang dapor. saya terpandang majalah mingguan wanita bagi akhir April. Rasanya majalah ni keluar seminggu sekali. Gambar muka depannya Rozita Che Wan

Tiba-tiba rasa nak beli, bukan teruja kerana kecantikan Rozita Che Wan, tapi kerana rasa teringin nak baca isi kandungannya. Dah lama tak beli majalah-majalah ni.

Sampai rumah, belek-belek cari cerita atau rencana menarik. Akhirnya terbaca ruangan 'Petua' agaknya. Menarik juga. Jadi disini saya salinkan apa yang ada di dalam buku tu. Gambar-gambar saya google sendiri.


Daun Belimbing Buluh Boleh mengatasi kekuningan bayi yang baru lahir. Caranya ialah dengan merebus daun belimbing buluh. Air rebusan tu digunakan untuk mandi bayi di waktu pagi selama 3 pagi berturut. InsyaAllah, kekuningannya akan hilang.







Daun Sirih Boleh menghilang parut jerawat. Cara tradisionalnya ialah dengan menumbuk beberapa helai daun sirih dan disapu ke seluruh muka.






Daun sirih juga dikatakan boleh digunakan untuk melangsingkan badan. Caranya ambil 5 helai dari sirih. Bersihkan dan rebus dengan 3 cawan air. Rebus sehingga air rebusan sirih tu jadi 1 cawan. Minum waktu pagi. Katanya bagus juga untuk ibu-ibu lepas bersalin.


Uncang Teh Terpakai Pada yang menghadapi mata sembab kerana kurang tidor boleh menggunakan uncang teh yang dah digunakan untuk menghilangkan sembab tu. Caranya, uncang teh yang telah digunakan itu dilekapkan pada mata (mestilah mata yang pejam kan). Biarkan semalaman. Buat 3 kali seminggu.




Limau Nipis Boleh menghilangkan bau ketiak. Pada yang mengalami masalah ni bolehlah menyapu limau nipis ni di ketiak. Biarkanlah beberapa minit. Lepas tu dibasuh. Ulang 3 kali seminggu.




Cara-cara tradisional ni bolehlah dicuba. Mana tau boleh membantu mengatasi masalah yang dinyatakan tu. Sekurang-kurangnya kalau guna air limau nipis sebagai 'deodoran' tak adalah kita bimbang adanya 'alkohol'. Tak was-was bawa sholat.

Orang-orang dahulu kala ni selalunya petua mereka berdasarkan pengalaman. Tapi kita kena tengok juga, ada orang sesuai, ada orang tak sesuai. Wallahuwa'lam

Sabtu, 23 April 2011

Musafir

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ



Abdullah Ibnu Umar r.a. berkata bahawa beliau pernah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda, maksudnya: Jadikanlah dirimu di dunia ini seperti anak dagang atau seperti unta yang tersesat"

Ibnu Umar selanjutnya berkata:

"Kiranya kau berada di waktu petang, jangan kau menunggu ketibaan waktu pagi dan kiranya kau berada di waktu pagi, jangan pula kau menunggu tibanya waktu perang. Pergunakanlah kesempatan sihat mu untuk sakit mu dan kehidupan mu untuk kematian mu" [Riwayat Al-Bukhari}

Dalam hadis ini, Rasulullah s.a.w. telah menerangkan kepada kita bahawa sesungguhnya seseorang muslim yang menyusuri hidup di dunia ini sebenarnya seorang dagang (asing) dari tanah airnya yang sebenar. Tanah airnya yang sebenar ialah syurga iaitu suatu tempat yang mana ayahnya (Adam) telah dikeluarkan dari situ. Oleh itu tidak dapat tidak masing-masing perlukan berusaha kembali untuk pulang ke desa asalnya.

Dalam hidup ini sebaiknya jangan terlalu berangan tinggi sebab dibimbangi ia akan menimbulkan sifat tamak dan dibimbangi juga dalam mengejar angan-angan amalan ke arah kebaikan tertangguh.

Alkisahnya

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ


Tengahari semalam saya ke PPUM untuk ambik ubat ulangan bagi penyakit-penyakit tegar saya ni. Sekarang ni Alhamdulillah bagi kita yang ada penyakit tegar ni tak payahlah lagi beratur panjang untuk ambik ubat ulangan di Farmasi PPUM macam dulu.

Sekarang ni PPUM dah menyediakan perkhidmatan 'booking' ubat pada tarikh yang kita memerlukannya. Kita boleh ambil sebulan sekali, 2 bulan sekali dan bila-bila saja yang kita perlukan. Pada tarikh yang ditetapkan kita cuma pergi ke Pharmcare di PPUM untuk mengambil ubat kita. Apa yang dah saya lalui tak sampai 10 minit kita dah dapat ubat kita.

Saya dah guna kemudahan ni dah hampir setahun lebih. Kita juga boleh minta Pharmcare poskan ubat-ubat kita melalui Poslaju. Sebagai pesakit tegar, perkhidmatan ni sangatlah dipuji kerana tidaklah kita menunggu lama macam dulu.

Itu cerita semalam, ni nak hal beberapa hari lalu semasa melalui Lebuhraya KESAS dalam perjalanan balik dari rumah adik di Cheras, teringin nak makan satey kajang, kami pun singgah di R & R Awam Besar. Di sini ada kedai (panggil kedai ker) yang menjual satey kajang,



Tapi sebaliknya berlaku, sebaik membelok masuk kawasan R & R Awan Besar mata terpandang sebuah bangunan bersebelahan surau. Kami berhenti di depan bangunan tu. Rupanya sebuah restoran yang menjual anika lauk untuk makan tengahari..... menurut tuan punya restoran tu, mereka buka 6 hari seminggu kecuali hari Jumaat. Bermula dari pagi hingga jam 5.00 petang.


Lauk pauknya beranika. Disediakan juga 'ayam kampong goreng". Digoreng bila kia order. Dalam gambar ni cuma sebahagian yang dapat saya ambik gambar lauknya. Segan pulak nak ambik gambar dekat-dekat. Tapi pada orang macam saya ni, banyak mana lauk pun, lauk kesukaan cuma ikan bakar, ayam kampong goreng dan ulam-ulam. Harga untuk makan tengahari kami berdua hari tu termasuk air minuman sebanyak RM17.00.


Saya rasa tempat ni sesuai untuk makan bersama keluarga. Tempatnya juga selesa, bersih dan luas.

Rabu, 20 April 2011

Kirim Salam Pada Dia

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ



Malam tadi semasa dalam kelas Bahasa Arab, ada seorang kawan sekelas bertanya soalan tentang "Assalamualaikum" pada Ustaz. Ustaz bahasa arab kami ni graduan Universiti Al Azhar dan ada "Master dalam Fiqh". Tanya kawan saya "Ustaz bolehkah kita tulis salam melalui sms dengan perkataaan 'salam' atau pun A'kum."

Ustaz saya jawab. "Boleh", sebab itu cuma tulisan sedangkan masa pengirimnya menaip perkataan tu memang dia bermaksud Assalamualaikum. Tapi seelok2nya tulislah penuh".

Ustaz sentuh tentang 'kirim salam'. Rasanya kebanyakan dari kita bila nak berkirim salam pada seseorang melalui orang lain, kita akan kata "kirim salam pada ........".

Menurut Ustaz saya, sebenarnya itu bukan cara yang betul. Jika kita berkirim salam cara begitu dan kebetulan orang yang kita berkirim salam itu tidak menjawab "Waalaikumussalam" apabila salam tu disampaikan padanya. dia tidak berdosa, begitu juga bagi orang yang sepatutnya menyampaikan salam kita tu terlupa untuk menyampaikan salam kita, dia juga tidak berdosa kerana cara kita berkirim salam tu bukan cara yang betul.

Cara yang betul ialah:

Kita kata pada kawan yang kita minta tolong sampaikan salam kita pada seseorang tu dengan kata

"Saya berkirim salam kepada .......... dengan lafaz "Assalamualaikum".

Orang yang kita minta menyampaikan salam kita tu kepada kawan kita akan melafazkan seperti berikut apabila dia bertemu dengan orang yang kita kirim salam tu

contoh "Mah, Kak ani kirim salam pada kau dengan lafaz "Assalamualaikum".

Dan orang yang menerima salam itu menjawab "Waalaikumussalam ..........".

Lagi panjang salam yang kita jawab lagi banyak pahalanya. Tambah Ustaz saya lagi,

huruf ال dalam kalimah السلام itu adalah pengganti kalimah اللهِ. Kalimah السلام tu sendiri adalah salah satu nama Allah.

Itulah serba sedikit yang dapat kongsi.

Lepas tu, kawan sebelah saya pula berbisik pada saya. Katanya dia ada hadir satu kelas agama. Dalam kelas agama tu Ustaz menyentuh tentang cara kita mandi. Kata Ustaz tu:



"Sekarang ni dah ramai orang islam yang mandi tanpa memakai 'kain basahan' dalam bilik mandi. Mandi 'macam tu' saja. Sedangkan mungkin semasa dulu-dulu kita diajar mandi jangan mandi 'macam tu' jer. Jadi katanya marilah kita kembali mandi dengan memakai 'kain basahan'. Sebenarnya malaikat nampak kita. Malaikat pun malu tengok kita mandi 'macam tu'. Jadi kalau pun kita tak ada rasa malu pada malaikat kerana kita tak nampak malaikat dan kita tahu malaikat tak ada nafsu, kita cubalah malu pada batang paip dalam bilik mandi tu, sebab kita nampak batang paip".

Macam mana!!!!!!, saling mengingatkan termasuk untuk diri sendiri.

Isnin, 18 April 2011

Lebatnya Hujan

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ



Sehingga ketika menaip N3 ni hujan sekejap lebat sekejap renyai. Hujan turun dengan lebatnya sejak dinihari tadi. Siap kilat petirnya.

Jam 5.00 pagi tadi, Inah mengadu sakit perut. Dia ni tak boleh silap makan. Gastriknya mesti datang. Gavesconnya sentiasa 'standby' di rumah dan di bawah kemana dia pergi. Nampaknya tak pergi praktikallah hari ni. Kejap lagi nak bawa dia ke doktor. Masa praktikal ni kena beri MC pada hospital tempat dia buat praktikal, kalau tidak, susahlah.


Bila hujan-hujan macam ni, teringat ubi kayu yang panas berasap. Ubi yang masih panas tu di makan dengan kelapa kukur yang dicampur gula dan sedikit garam. Saya pernah juga makan ubi kayu rebus dimakan dengan sambal bilis tumbuk. Bilisnya tidak dimasak, cuma dicampurkan dengan cili yang ditumbuk. Sedap juga.



Ataupun keledek rebus dilawan dengan dengan kopi panas pekat. Wuuh terangkat.










Tapi ini hanyalah hayalan. Di Shah Alam ni nak beli ubi kayu atau keledek kena tunggu pasar tani kalau nak yang cantik, kalau nak yang kurang sikit di pasar atau di pasar raya. Ada juga satu dua restoran yang jual ubi rebus dicicah dengan kelapa kukur sebagai sarapan pagi.

Hai manalah badan nak turun, asyik ingat makan jer.

Sabtu, 16 April 2011

Bolehkah DiLupakan

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ



14 April, 11.00 malam, saya telefon A. Esok 15 April birthday dia. Bila di sebelah sana jawab "hello",
saya terus kata "happy birthday walaupun awal setengah jam".
Tiada jawapan dari sebelah sana, saya tunggu. Akhirnya saya dengar ada suara orang menangis dalam suara perlahan. Saya terus tunggu.
"Terima kasih mama", jawab A macam sebak.
"Kenapa menangis" tanya saya.
"Sedih Mama",
Sebenarnya saya pun sedih, tapi saya kuatkan hati. Saya pujuk dia.
"Jangan sedihlah, kami semuanya sentiasa sayangkan A. Mama tak ke sana sebab mama tak berapa sihat".



4 tahun dah waktu berlalu. 27 Mei ni genap 4 tahun. Kami tetap sayangkan A sama seperti ketika arwah Iskandar masih ada. Bila dengar dia sakit, hati saya sedih dan bimbang. Saya sayangkan dia kerana dialah orang yang pernah membahagiakan arwah. Sekarang saya kurang mengunjungi dia kerana ada orang kata "Kesian dia, kau jangan rapat sangat dengan dia, nanti sampai tua dia tak kawin". Saya tak tahu nasihat itu betul atau salah. Doa kami anak beranak semoga A berjumpa dengan orang yang boleh menyayangi dan membahagiakan dia.

Semalam 15 April, saya dan hasben serta Salam ke pusara arwah Iskandar. Memandangkan sakit kaki saya membataskan pergerakan saya, rasanya saya dan hasben dah lebih kurang 3 bulan tak ke tanah perkuburan itu. Dzulkarnain adik arwah adalah pergi sekali sekala dalam tempoh tu.

Ketika menyusuri lorong menuju pusara arwah, saya perhatikan ada beberapa pusara yang dah ditumbuhi rumput dan pokok-pokok kecil di atasnya. Sebak pulak rasa hati bila terfikir "agaknya kubur Iskandar macam nilah".



Alhamdulillah tiba di pusara arwah Iskandar, kuburnya masih seperti ketika kali terakhir kami datang dulu. Pokok bunga pecah periok merah yang saya tanam dulu dah agak tinggi dan berbunga lebat.


Semasa kami membaca yassin saya juga terhidu bau harum bunga melor yang berkembangan di atas pusara arwah. Tak sangka pokok yang tidak dijaga tu subur dan berbunga. Pokok-pokok bunga ini saya tanam ketika hati sedang sedih sehari selepas arwah disemadikan di sini.

Batu-batu sungai yang kecil di atas pusaranya bersih dan tak ada sehelai daun kering pun di atasnya. Daun-daun kering tu jatuh ditepi pusara di atas rumput mutiara yang saya tanam di tanah keliling pusara. Pusara arwah kami hanya pagari sekelilingnya dengan papan kayu jengal yang tingginya tidak sampai 1 kaki. Batu nesannya saya hanya letak dua biji batu sungai.

Selesai membaca Yassin, kami bersihkan persekitaran pusaranya. Saya potong dahan-dahan kecil pokok bunga pecah periok dan bunga melur supaya ia rendang dan tumbuh tunas baru.

Walau hanya pusara yang kami kunjungi, hati saya rasa tenang. Kami beredar dari situ bila matahari dah makin terik. "Assalamualaikum anak ku, mama, abah dan adik balik dulu, kalau mama sihat, mama datang lagi".

Tentang tanam pokok di atas kubur ni, ada pelbagai pendapat. Ada kata tak boleh, ada kata boleh. Yang kata boleh mengatakan yang pokok-pokok ni akan sentiasa bertasbih selagi dia hidup memandangkan atas kisah Nabi Muhammad S.A.W. ada meletakkan dahan tamar di atas pusara seseorang dizamannya.

Khamis, 14 April 2011

Pening, SOS Please

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ






Sejak semalam saya pening memikirkan kemana perginya senarai gambar followers di blog saya ni. Dari semalam saya perhati Bahagian Followers tu kosong. Sepatutnya di bawah tajuk terima kasih tu akan dipaparkan followers blog saya, sekarang dah hilang kenapa yer.

Minta tolong sangat rakan-rakan yang tahu bantu saya. Dah tanya budak2 di rumah ni semua kata tak tahu sebab mereka tak pernah 'main' blog, semua 'main' facebook saja.

Saya dah semak di bahagian ni:



Masih ada tercatat senarai follower saya.

Semalam ketika saya dapati senarai followers saya hilang dari blog, saya ke bahagian di atas, tiba-tiba keluar warning 'malware'. Saya dah sekat blog yang tercatat dalam warning tu dari masuk ke blog saya, jadi warning tu dah hilang. Sedihnya Bahagian senarai followers saya masih ghaib.

Saya juga dah ke blog orchidrohani.blogspot.com, saya dapati senarai followernya juga hilang.

Jadi adakah salah komputer saya. Saya dah cuba komputer yang lain dan juga laptop anak-anak saya, semua sama.

Rakan-rakan yang tahu, Please help me!!!

Isnin, 11 April 2011

Kelabunya Kabus Di Frasers' Hill

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Semalam selepas sarapan pagi, tergerak hati rasa nak berjalan-jalan. Dah jemu rasanya berminggu-minggu semenjak Sakinah buat praktikal ni kami tak kemana-kemana kerana praktikalnya Isnin hingga Sabtu.

Semalam hari terakhir salam di UIA untuk semester I ni. Jadi selepas menjemput dia di asramanya, kami terus menuju ke Frasers' Hill. Kebetulan Zulaikha dan 2 anaknya ada dirumah, dia pun ikut sekali.


Semasa meninggalkan rumah cuaca terang benderang. Tiba saja di Kuala Kubu Bharu, cuaca dah mula gelap dan hujan mula rintik-rintik. Akhirnya hujan lebat, cuaca mendung sangat. Kami teruskan juga perjalanan.


Rasa saya ini kawasan takungan air. Pemandanganya sangat cantik. Sayang gambarnya tak berapa jelas kerana cuaca yang terlalu gelap dan hujan. Saya pula cuma ambik gambar ni menggunakan telefon saja.


Kami tiba dikaki Frasers' Hill lebih kurang jam 2.50 petang. Sedang elok kerana mendaki jam 3.00 petang. Banyak kereta dah menunggu untuk mendaki. Jalan yang lagi satu tu merupakan jalan menghala ke Kuala Lipis dan Raub.


Menunggu untuk mendaki ke Frasers' Hill



Jalan ke Kuala Lipis dan Raub


Tiba di atas bukit tu pun hujan masih tak berhenti. Kabus tebal meliputi seluruh kawasan puncak bukit tu. Pemandangan agak terhad ketika memandu. Agak kecewa sebab kesian cucu-cucu saya tak dapat nak bermain di Padang Permainan yang dah siap. Ketika menginap di sini Disember 2009, kawasan ni masih dalam Pembinaan.






Taman Kanak-kanak dalam hujan lebat dan berkabus tebal





Kami singgah makan di 'Food Court' yang juga baru siap diberi nama 'Food Garden'. Kawasannya cantik dan bersih. Makanan pun okey disamping harga yang reasonable. Di situ ada dua tiga kedai yang menjual cenderahati dan pakaian.









Sebagai kenangan



Kami sholat asar di Masjid di situ. Sehingga menjelang pukul 6.00 petang ia itu waktu terakhir untuk turun dari Frasers' Hill hujan masih terus turun. Kami pun turun dari Puncak Bukit tu dengan janji nak datang lagi tapi bermalam di sini.

Dalam perjalanan pulang, apa lagi semua penumpang di dalam kereta kecuali pemandu dan pembantunya, orang lain semua tidor.


Sekuntum Bunga Merah Di Frasers' Hill

Jumaat, 8 April 2011

Senjakala

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ



Assalamualaikum kepada semua rakan blogger di hari Jumaat yang mulia ini dan semoga kita semua dirahmati Allah dengan segala keberkatan.

Saya masih ingin dulu mak saya selalu pesan, balik ke rumah sebelum senja. Tak elok anak dara balik rumah ketika orang tengah 'bang'.

Jadi supaya tidak kena marah dek mak, saya akan pastikan tiba di rumah sebelum maghrib ataupun sebelum waktu senjakala. Walau ketika itu saya sedang berseronok dengan aktiviti ko-kurikulum di sekolah. Tapi mak tak beritahu pulak sebab-sebabnya dari segi syariat islam.

Rupanya dalam Sahih Al Bukhari dan Muslim ada menyebut sebuah hadith dari Jabir r.a., bahawa Rasulullah S.A.W. ada bersabda:

Ertinya "Apabila sudah tiba waktu petang (hampir senja), henti dan himpunkanlah anak-anak kamu (dari terus bermain) kerana pada waktu itu syaitan akan mula berkeliaran. Apabila telah menjelang malam, suruhlah mereka (anak-anak) masuk ke dalam rumah dan tutuplah pintu-pintu rumah kamu sambil menyebut nama Allah, kerana syaitan tidak akan membuka pintu rumah yang tertutup. Tutuplah bekas air minuman serta tudunglah bekas-bekas makanan sambil menyebut nama Allah agar ianya tidak dinodai oleh syaitan. Demikian juga padamkanlah lampu-lampu (pelita-pelita) kamu".

Eloklah rasanya kita ingatkan anak-anak kita supaya berhenti bermain pada waktu tu kerana ketika menjelaskan hadis ini, Ibn Hajar Al-’Asqalani mengatakan, “Ibn Al-Jauziy mengatakan bahawa kekhuatiran terhadap anak-anak saat itu kerana najis-najis yang sangat disukai oleh syaitan biasanya masih melekat pada diri mereka, dan zikir yang mencegah gangguan syaitan tidak dimiliki oleh anak-anak itu.

Menurut Ibn Al-Jauziy lagi "Sebenarnya waktu tersebut (senjakala) merupakan waktu yang paling utama dan sesuai untuk makhluk-makhluk syaitan ini bergerak serta menjalankan apa-apa aktiviti berbanding dengan waktu siang. Kerana, suasana yang gelap lebih menguatkan lagi kuasa kensyaitanan mereka dari suasana cerah.".

Tentang sabda baginda Nabi s.a.w., supaya memadamkan lampu-lampu ketika hendak tidor, maka yang dimaksudkan adalah lampu-lampu minyak tanah, agar tidak tumpah dan membakar rumah saat penghuninya sedang tidur. Bimbang dilanggar oleh binatang tertentu (mungkin dari perbuatan syaitan), sehingga yang menimbulkan kebakaran.

Sebab-sebab disuruh memadamkan pelita ketika hendak tidor ada satu hadis dari Ibnu Abbas yang berbunyi, Maksudnya "Suatu ketika, tiba-tiba seekor tikus telah datang lalu merempuh pelita sehingga ianya terbalik di hadapan Nabi S.A.W., kemudian apinya menyambar tikar yang sedang diduduki oleh Baginda S.A.W. Tikar tersebut telah terbakar sedikit iaitu seluas sekeping duit dirham. Nabi S.A.W kemudian bersabda(maksudnya) “Apabila kalian hendak tidur, maka padamkanlah api pelita kamu kerana syaitan-syaitan akan mengambil peluang melalui binatang tikus beserta api ini lalu membakar kamu”{Riwayat Abu Daud dan disahkan oleh al-Hakim dan Ibnu Hibban].



Pandangan saya:

Bila menjelang maghrib kita dan anak-anak dah ada di rumah dapatlah kita dan anak-anak persiapkan diri untuk menunai sholat maghrib dengan selesa dan tenang sama ada di masjid atau di rumah tanpa perlu memikirkan anak-anak yang belum bersihkan diri atau ayam itik yang belum masuk reban dan lembu kerbau yang belum masuk kandang.

Tentang menutup bekas minuman dan makanan pula selain dari dinodai syaitan yang kita tidak nampak, secara logiknya makanan atau minuman yang tak bertutup tu akan terdedah kepada segala bentuk kekotoran yang dibawa oleh binatang dan boleh dihinggapi kuman tanpa kita ketahuinya.

Kita andaikan pelita di zaman Nabi S,.A.W. kepada lampu elekrik di zaman kita ni. Dengan memadamkan lampu yang tidak perlu di malam hari bila nak tidor, boleh jimatkan bil elektrik.

Tikus ni pula banyak bahanannya. Sekarang ni kita dikejutkan dengan pelbagai penyakit yang dibawa oleh tikus sehingga menyebabkan kematian seperti penyakit- penyakit Melioidosis dan Leptospirosis serta lain-lain lagi.

Khamis, 7 April 2011

Ketandusan Hampir 24 jam



بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ


Ketika nak berwudhuk untuk sholat maghrib pada hari Selasa kelmarin, air yang keluar dari paip sangat kecil dan perlahan. Bermula dari saat itu rasanya sebahagian pendudukan Shah Alam kekeringan air. Puncanya tidak diketahui. Tidak ada pengumuman dari SYABAS.

Mula tu ingatkan air kena potong. Tapi rasanya tak ada bil air yang tertunggak. Suruh anak periksa meter air, mana tau kot budak-budak main-main tutupkan ibu paip. Maklumlah meter dan ibu paip tu berada di luar pagar rumah.

Kata anak saya,"okey jer". Oh sahlah tak ada air. Eh kenapa tak ada air. Nak tanya jiran sebelah menyebelah, masing-masing semua berada dalam rumah. Mesti ada berlaku paip pecah atau apa-apa di mana-mana area di Shah Alam ni. Sebab tu SYABAS tak sempat bagi warning.

Sehingga semalam hari Rabu, kami masih menunggu air dengan sabarnya walaupun mulut merungut juga "bila nak ada air". Nasib baik ketika nak sholat subuh paginya tu air di tangki masih ada. Walaupun airnya kecil dan perlahan, dapatlah juga kami berwudhuk. Tapi rupanya itulah titis-titis terakhir air di dalam tangki. Lepas tu semua paip mogok, tak ada air.

Akibat ketiadaan air yang mengejut, 3 orang dirumah ni terpaksa ambik cuti kecemasan. Cucu saya Kaisah yang berusia hampir 2 tahun tak dapat dihantar ke TASKA sebab dalam pukul 7.00 pagi pihak TASKAnya telefon beritahu TASKA ditutup secara kecemasan kerana tak ada air.

Bila TASKA ditutup, emak Kaisah menantu saya, terpaksa ambil cuti kecemasan sebab nak jaga Kaisah. Maaflah bukannya neneknya ni tak nak jaga. Apa nak buat. nak bawa badan sendiri pun kurang berupaya. Abah Kaisah pula iaitu anak saya, ambil cuti kecemasan juga sebab konon nak tunggu air ada nak mandi dulu baru nak ke pejabat. Memandangkan air tak ada menjelang tengahari, cuti kecemasan jugalah dia.

Menjelang tengahari kami terpaksa mencari sumber air untuk sholat zohor pula. Akhirnya kami berpecah, anak saya sekeluarga ke rumah adiknya di Sri Muda dan saya ke UIA jumpa Salam (kerana ada hal), lepas tu cari air di Masjid untuk sholat.

Menjelang asar dah sedia nak ke masjid lagi, tiba-tiba terdengar air naik perlahan-lahan ke tangki, bila buka saja paip, keluarlah air sehalus lidi. Alhamdulillah dapatlah juga berwudhuk untuk sholat asar.

Menjelang maghrib air masih kecil dan perlahan. Sehingga tengahmalam air masih perlahan. Sekarang, Alhamdulillah air dah pulih semula.

Pagi tadi ketika saya ke beberapa gerai jual kuih yang berdekatan dengan rumah, semua tutup, sebab-sebab yang diberi, tak ada air.

Baru sehari semalam air tak ada, dah rasa peritnya. Bayangkan mereka yang selalu dan kerap tak ada air, kesiannya. Apa lagi yang duduk dipangsapuri dan flat-flat, buatnya pula lift tak ada, aduss, cubaan yang agak berat dan menduga kesabaharan.

Rabu, 6 April 2011

Semang

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ




Kelmarin saya masuk ke blog anak saudara saya sini, saya dapati dia ada bertanya tentang apa nama kuih ni.

Rakan blogger Azrina pun dalam blognya ada-yang-tahu-sebab-aku-memang-tak-tau ada bercerita tentang kuih ini dan ingin tau namanya.

Kuih ni kueh tradisional Kelantan dan Terengganu. Rasanya manis. Saya ingat lagi masa kecik-kecik dulu kalau makan kuih ni, bersembor2 tepongnya tu memenuhi muka, silap-silap masuk ke hidung. Makannya kena berhati-hati.

Kata suami saya, dia ni tahu sikit nama kuih-kuih tradisional ni, dia kata nama kuih ni ialah "SEMANG". Cara menyebutnya bukan seperti nama "seman" tapi seperti menyebut saya dalam loghat Negeri Sembilan, iatu "seemang".

Selasa, 5 April 2011

Kesian Kena Saman


بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Saya baru balik dari PPUM kerana membuat fisioterapi ke atas lutut saya yang semakin kerap sakitnya.

Rujukan untuk dibuat fisioterapi ni adalah hasil dari keputusan MRI yang saya buat hari tu. Alhamdulillah semuanya okey kecuali lutut. Rupanya kesakitan di kaki kiri saya yang menyebab saya tidak dapat berdiri dan berjalan tu berpunca dari lutut juga. Cumanya sakit dah berubah rasa. Jadi Doktor di PPUM refer saya ke Bahagian Pemulihan untuk membuat fisioterapi.

Di Bahagian Fisioterapi, lutut saya diletakkan 'ais' untuk menghilangkan bengkak. Lepas tu saya diajar membuat beberapa eksesais untuk menguatkan otot-otot di kaki dan peha. Eksesais ni saya kena buat di rumah. Saya tak perlu rawatan susulan untuk masa depan melainkan kalau sakit lagi.

Dalam perjalanan balik saya melalui Jalan Bukit iaitu jalan yang berhadapan dengan kawasan PPUM. Masa saya lalu di situ saya nampak kereta-kereta yang diparking disitu mendapat 'love letter' dari MBPJ. Pada hemat saya pemandu yang parking kereta di sini adalah orang yang ada urusan di PPUM. Parking di PPUM terhad.

Saya rasa memandangkan orang yang parking kereta di sini merupakan sama ada pemandu tu sendiri yang sakit atau dia membawa orang sakit. Rasa-rasanya atas dasar peri kemanusian dan memandang kereta-kereta itu pun tidak menghalang lalulintas, apa salahnya longgarkan sikit undang-undang lalulintas ke atas mereka kerana meletakkan disitu.

Lagi pun saya tak fikir orang yang parking di situ kerana tak nak bayar parking. Ini memandangkan tempat itu agak jauh dari tempat rawatan di PPUM. Maksudnya kalau ada tempat dekat mesti mereka tak nak parking kereta di situ. Lagipun bukan tak tau tabiat orang Malaysia ni kalau boleh semua nak 'drive through'. Jadi mereka parking di sini kerana tak ada pilihan bukan sengaja atau kerana nak buat eksesais dengan berjalan kaki. Mesti frust, lepas jumpa doktor dan ambik ubat, bagi yang bukan kakitangan Kerajaan kenalah pulak bayar ubat dan rawatan, tiba di kereta kena saman pulak. Ibarat kata 'sudah jatuh ditimpa tangga.

Isnin, 4 April 2011

Kilauan Yang Mengundang

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ




Pagi tadi ketika membelek akhbar Kosmos saya terpandang tajuk berita "Tangan, jari nenek terseliuh selepas diragut". Kejadiannya berlaku di Dungun. Memandangkan Dungun tempat lahir saya, saya tertarik untuk membaca. Isi ceritanya lebih kurang begini

"Kisah mengenai seorang nenek yang kena ragut ketika turun dari bas jam 10.30 malam. Nenek ni baru balik dari Rantau Panjang. Sementara menunggu cucunya datang menjemput, tiba-tiba sebuah motosikal yang mengekornya dari belakang telah meragut beg tangannya dan menolak dia hingga jatuh."

Sebenarnya di pekan kecil ni, kita takkan heran kalau melihat wanita-wanitanya terutama yang dalam pertengahan usia dan yang sudah berumur memakai barang-barang kemas dari emas yang besar-besar dan banyak. Kadang-kadang terfikir juga dalam hati, beraninya mereka ni memakai perhiasan emas yang banyak. Memandangkan saya tidak pernah mendengar kes ragut berlaku di sini, saya rasa itulah sebabnya mereka berani berhias begitu walaupun kejadian pecah rumah sering juga berlaku.

Seminggu atau sehari dua sebelum dan selepas hari raya, kita akan nampak kedai-emas ni penuh dengan orang melayu terutama wanita berebut-rebut membeli barang-barang kemas. Masa ni tukang-tukang mas ni pun takkan pandang kalau kita nak 'pateri' barang-barang kemas yang rosak.

Saya pernah bertanya kawan saya, mana dia orang dapat duit beli barang barang kemas untuk hari raya dan waima selepas raya pun masih mampu beli barang kemas. Sedangkan pada pandangan zahirnya mereka ni tak nampak macam orang senang.

Kata kawan saya, ketika nak raya anak-anak atau suami-suami yang bekerja di Singapura atau lain-lain tempat akan balik dan memberi ibubapa atau isteri mereka wang. Jadi memandangkan memakai barang kemas dianggap lambang status seseorang apa lagi ketika hari raya, maka berpusu-pusulah mereka ke kedai emas walaupun mungkin selepas raya barang-barang emas tu disimpan di Pajak Gadai.

Jadi nampaknya Dungun bukan lagi tempat selamat untuk memakai barang-barang kemas yang berkilauan seperti dulu. Sama-samalah kita berwaspada.

Sabtu, 2 April 2011

Tempat Berteduh Dan Menumpang Kasih

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ



Sekarang ni ramai orang bercakap tentang khasiat buah mengkudu. Kebetulan saya ada tanam sepohon pokok mengkudu ni. Pokok ni saya tanam ketika anak sulung saya mengandungkan cucu sulung saya.

Pokok ini saya beli anaknya dengan MARDI ketika MARDI membuat pameran di Kompleks PKNS. Tujuan saya menanamnya ialah untuk mengambil daunnya untuk dijadikan pembalut tungku dan direbus untuk dijadikan air mandian ketika anak saya dalam pantang. Air rebusan daun-daun ni orang Terengganu panggil 'Air serong'.

'Air Serung ni direbus daun mengkudu yang dicampur dengan daun lengkuas, senduduk, daun pandan, daun serai wangi dan lain-lain untuk menyegarkan dan menwangikan badan ibu ketika dalam pantang.

Sekarang pokok ni dah besar dan rimbun. Kadang-kadang ada juga terfikir nak menghabiskan riwayatnya sebab takut makhluk lain pula menumpang teduh.


Sayang pulak rasanya nak tebang kerana buah mengkudu saya ni sering mendapat permintaan orang. 'Free' jer. Dapatlah kumpul pahala. Menurut mereka buah ni sangat bagus untuk orang diabetes dan darah tinggi. Seorang nyonya cina selalu datang meminta buah ni dari saya. Saya sendiri tak pernah mencubanya.

Seorang Jiran lain pula datang minta pucuk mengkudu ni. Dan siap minta saya halalkan hingga mati untuk dia mengambil daun ni sebab katanya takut saya tiada di rumah bila dia memerlukan. Dia kata "sapa mati dulu tak taulah". Sama ada dia atau pokok mengkudu saya ni yang mati dulu.

Jiran saya ni makan pucuk mengkudu mentah sebagai ulam untuk mengubat kencing manisnya. Saya pernah juga makan pucuk mengkudu ni sebagai ulam tapi saya celur dulu. Rasanya sedap dan tak pahit. Cicah budu atau sambal belacan macam pucuk ubi celur.


Di pokok mengkudu ini juga tempat pokok-pokok orkid saya menumpang kasih. Saya gantungkan pasu-pasu orkid saya di dahan-dahannya. Sebab ini sajalah pokok yang saya ada untuk tujuan mengantung orkid yang memerlukan kepanasan sederhana. Kiranya pelbagai gunalah.












Orkid anosmum yang menumpang kasih diperdu pokok mengkudu




Itulah cerita tentang pokok mengkudu saya.

Jumaat, 1 April 2011

Alhamdulillah



بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ


Alhamdulillah, dihari Jumaat, penghulu segala hari ini, bersamaan 1 April 2011 genaplah 34 tahun usia perkahwinan kami. Semoga ikatan perkahwinan ini berkekalan hingga ke akhir hayat kami. Semoga kami sekeluarga diberi keberkatan dalam menerusi hidup.

Follower Ke 100

Terima kasih Kakcik Seroja kerana sudi mengenapkan bilang 100 orang follower di blog saya ini. Satu hadiah istimewa sempena aniverseri perkahwinan saya.