Halaman

Terima kasih Jadi Kawan Blogger Saya

Rabu, 28 Disember 2011

Hancur Hati Ku - Oh Pantai Teluk Lipat

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ


Dalam N3 saya tengkujuh-datang-lagi saya tampalkan gambar mengenai gelombang besar di Dungun terutamanya Pantai Teluk Lipat.

Sayangnya kepulangan saya kali ini menjadikan hati saya hancur luluh saya bila melihat apa yang berlaku kepada Pantai Teluk Lipat yang menjadi tempat wajib untuk saya lawati bila saya balik ke kampong Dungun. Inilah keadaan pantai yang cantik itu sekarang.











Seperti biasa ketika balik ke Dungun sempena perkahwinan anak saudara saya pada 24 hingga 26 Disember baru ini saya ke Pantai Teluk Lipat. Terperanjat dan sedih melihat keadaan ni. Pada malam 25 Disember tu, saya ke pantai tu dan saya melihat dengan mata kepala sendiri bagaimana ganasnya ombak mengempas pantai Teluk Lipat sehingga air lautnya mencecah dan melambong tinggi ke jalan raya.

Sayangnya dalam keadaan demikian, saya tak ada ambik apa-apa gambar.

Gambar ihsan dari http://eriyza.blogspot.com

Jumaat, 23 Disember 2011

Sekeping tosai Secawan Milo Kosong

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ




Alhamdulillah sekeping tosai dan secawan milo kosong dah sepurna masuk perut saya kira-kira jam 7.30 pagi. Walaupun tekak tak berapa boleh telan, saya telan juga. Sekarang ni makanan yang tak berlemak dan berminyak nilah saja yang dibenarkan masuk ke perut. Tak aperlah, apa nak buat, dah lama makan sedap (pujuk hatilah tu!!).

Tiap-tiap pagi macam nilah, sebelum sarapan kena ambik vitamin dulu (vitamin doktor yang cadang), selepas setengah jam ambik vitamin, kena pulak ambik ubat darah tinggi dan diabetes. 2 jam kemudian kena ambik pulak ubat al jabbar untuk hati pulak. Itulah rutin ubat waktu pagi. Petang lain pulak caranya.

Kisahnya, hari ni jam 7 pagi lebih sikit saya dah tercongok dalam Restoran Ali corner yang sentiasa penuh ni dengan Tokbah. Tadi sebelum tosai tiba saya dah beratur panjang untuk membeli nasi lemak Pak Ayub yang terkenal tu bagi 3 cucu-cucu di rumah.

Pagi ni pagi betul saya keluar dari rumah. Tujuannya nak ke salah satu bank untuk urusan ATM. Frustnya, dua buah bank yang sama nama tu saya tuju, kedua-dua tempat tu mesin ATMnya rosak. Bukan saya saja yang hampa tapi ramai lagi.

Akhirnya inilah tersadai di Restoran Ali Corner ni.

Khamis, 22 Disember 2011

Jauhkan Perasaan Ujub Dalam Kehidupan

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ




Ujub ialah PERASAAN kagum atas diri sendiri. Merasa diri HEBAT. Bangga diri. Terpesona dengan kehebatan diri.

Perasaan ujub boleh datang pada bila-bila masa.

Orang yang rajin ibadah merasa kagum dengan ibadahnya.
Orang yang berilmu, kagum dengan ilmunya.
Orang yang cantik, kagum dengan kecantikannya.
Orang yang dermawan, kagum dengan kebaikannya.
Orang yang berdakwah, kagum dengan dakwahnya.

Sufyan at-Tsauri mengatakan ujub adalah perasaaan kagum pada dirimu sendiri sehingga kamu merasa bahawa kamu lebih mulia dan lebih tinggi darjat.

Muthrif rahimahullah telah berkata, “Kalau aku tidur tanpa tahajud dan bangun dalam keadaan menyesal, adalah lebih baik dari aku bertahajud tetapi berasa kagum dengan amalan tahajud tadi.”

Seorang sahabat Nabi Abu Ubaidah al-Jarrah yang menjadi imam. Setelah selesai beliau berkata, “Syaitan sentiasa menghasut aku supaya merasa aku ini lebih hebat dari orang di belakangku. Aku tidak mahu jadi imam sampai bila-bila.”

Ingatlah, semua kelebihan adalah anugerah dari Allah, oleh itu kagumlah hanya kepada Allah, bukan diri sendiri.

Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong dan membangga-banggakan diri."(Surah An-Nisaa', sebahagian ayat 36)

Nabi saw. bersabda, "Apabila seorang lelaki sedang berjalan dengan memakai baju yang kemas dan rambut yang disikat menyebabkan dia rasa kagum dengan pakaian dan dandanan rambutnya (perasan lawa). Lalu Allah tengelamkan dia ke dalam muka bumi dan dia terus ditenggelamkan sampai hari kiamat.” (HR Bukhari dan Muslim)

Nabi saw. bersabda, "Ada tiga hal yang dapat membinasakan diri seseorang iaitu kedekut yang ditaati, hawa nafsu yang diikuti dan ujub (rasa kagum dengan diri sendiri).”. (HR Al-Bazzar dan Al-Baihaqi)

Imam Nawawi rahimahullah berkata,”ketahuilah bahwa keikhlasan niat terkadang dihalangi oleh penyakit ujub. Sesiapa ujub dengan amalnya sendiri maka akan terhapus amalnya". (Syarh Arba’in)



Ujub ini adalah penyakit yang melanda semua manusia. Kita terdedah dengan ujub pada setiap ketika. Semoga Allah bersihkan hati kita untuk menidakkan sifat ujub ini. Takutnya jika amalan kita yang sedikit ini habis ditelan oleh ujub.




Link pilihan :

lenggangkangkung - Ujub

Rabu, 21 Disember 2011

Peminta Yang Melampau

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ




Saya tertarik bila membaca N3 kakzakie mengenai seketika-di-lampu-isyarat. Pada pandangan saya tu merbahaya diri sendiri. Maklumlah malang tak berbau. Tapi yang termusykil dihati betulkan orang tu nak mengiklankan tentang sekolah tadika islam.

Bila baca kisah yang diceritakan oleh kakzakie saya teringat 2 peristiwa yang terkena saya sendiri.

Peristiwa pertama saya terkena ketika berhenti kerana lampu isyarat di salah satu simpang empat yang sangat sibok di Klang. Saya melihat seorang wanita (bukan orang kita, tapi mungkin orang dari sebelah nepal sana) menghampiri satu kereta ke satu kereta. Di tangannya ada memegang beberapa benda (orang ni orang islam rasanya) yang saya nampak seperti key chain bertulis kalimah alquran.

Dia juga datang mengetuk cermin tingkap kereta saya. Tapi minta maaflah saya tak nak turunkan tingkap kereta, bukan saya tidak hendak bersedekah tapi cara begitu saya tak berkenan kerana cara itu merbahayakan kita dan juga merbahayakan dirinya. Apa kata kalau kita tak perasan dia ada di depan kereta ketika lampu dah hijau dan kita terus tekan pedal minyak!!!!.

Peristiwa kedua saya kena ialah ketika berhenti di lampu isyarat yang amat sebok di leburaya persekutuan, iaitu persimpangan 'fly over' di batu tiga menuju Bukit Jelutung. Di Lampu isyarat ni tak tahulah berapa persimpangan jalannya. Saya perhatian setiap kali lampu isyarat mana-mana simpang tu merah dia akan menyeberang ke arah tu, begitulah dua tiga kali dia menyeberang di sana sini disimpang yang sibok tu. Dia akan mengetuk setiap kereta yang sedang berhenti kerana lampu isyarat merah.

Orang naik motor lagi kesian. Bila motor tu dinaiki berdua, dia akan meminta dari penunggang dan pembonceng. Menadah2 tangan sehingga kedua2 orang tu memberi.

Memandangkan lampu isyarat lambat nak hijau, jadi lamalah juga saya perhatikan. Tak sempat tiba ke kereta saya, tiba-tiba ada sebuah kereta peronda polis lalu dan berhenti, orang tu terus lesap. Harap-harap perbuatan ini dibendung supaya budaya ni tidak meresap di negara kita.

Sekarang diperhatikan banyak sangat orang-orang meminta derma, peminta sedekah dan penjual tisu. Kita akan jumpa di mana-mana saja. Waima sedang makan di restoran pun mereka ni datang dengan urusan mereka..

Khamis, 15 Disember 2011

Sakit Hati

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ




Terima kasih saya ucapkan kepada kawan-kawan yang singgah di blog saya dan mendoakan agar kesihatan saya pulih. Saya doakan Allah taala meberi balasan yang baik kepada kawan-kawan semua.

Pagi tadi saya jumpa doktor untuk mengetahui keputusan ujian darah saya. Alhamdulillah, ada perubahan. Tapi doktor masih mahu berjumpa saya lagi dalam masa 2 bulan.

Sekarang baru jelas tentang keadaan sebenar penyakit saya. Semasa saya mengalami sakit selama 3 hari di rumah dan 5 hari di hospital tu rupanya hati saya bengkak. Bacaan enzim di hati semua tak normal. Yang paling ketara bacaan GGT (Gamma-glutamyl Transferase) saya meningkat hingga 1000 lebih di mana sepatutnya bagi orang yang normal setakat 55.

Masa tu perut mengeras disamping rasa seperti dijolok dengan benda keras ke dada menyebabkan rasa sesak nafas. Muntah dan buang air besar tak berhenti-henti diiringi dengan demam yang berlarutan dan sakit kepala selama hampir seminggu. Kedua-dua kaki membengkak dan sendi-sendi semua sakit menyebab susah nak bergerak. Pinggang juga sakit. Daibetes dan darah tinggi tumpang meriahkan sekali suasana, semua meninggi. Masa tu doktor jangka saya terkena denggi sebab bacaan darah putih pun menurun. Mata pun dah kuning.

Alhamdulillah, selepas beberapa hari di hospital bacaan darah putih saya kembali normal begitu juga enzim-enzim di hati. Jadi saya bukan terkena denggi. Sayangnya bacaan GGT saya turun setakat 800 sahaja sehingga saya keluar hospital. Saya dibekal dengan antibiotik oleh doktor.

Bila balik rumah saya hubungi syarikat Al Jabar untuk mencuba tonik hati keluaran mereka yang dikatakan sangat berkesan sekiranya ada masalah hati. Menurut pihak Al Jabar bila saya ceritakan masalah saya, saya mengidap hati berlemak.

Sehinga semalam saya dah ambik tonik hati Al Jabar selama 10 hari di samping antibiotik yang doktor bekalkan selama seminggu. Nampaknya ada perubahan positif. Bacaan GGT saya menurun ke 232. Masih tidak memuaskan tapi positiflah. Jadi InsyaAllah saya akan teruskan lagi mengambil tonik hati Al Jabar ni. Doktor pun dah tak bekalkan apa-apa ubat lagi pada saya. Saya dinasihatkan supaya kawal diabetes saya. Gula diproses oleh hati jadi jika diabetes saya tinggi hati akan bengkak balik.

Semenjak berusia ni penyakit senang singgah. Tak boleh silap langsung. Kena jaga kesihatan.

Rabu, 14 Disember 2011

Ambik Darah Lagi

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ




Tadi jam 8.30 pagi saya dah tiba di Pusat Perubatan SALAM. Hari ni saya kena ambik darah dan besok jumpa doktor lagi.

Mudah-mudahan keputusan darah yang diambil esok tidak membawa apa-apa masalah kepada saya. Itulah doa saya setiap masa.

Selasa, 13 Disember 2011

Jari-jari Halus

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ




Semenjak cuti sekolah ni, jarang saya dapat berblog. Selain dari baru nak pulih dari kesihatan yang kurang memuaskan, kehadiran cucu-cucu yang sedang bercuti sekolah termasuk yang sekolah tadika di rumah menjadikan saya lagi tidak berpeluang berblog.

Kerusi didepan pc sentiasa penuh dengan orang-orang kecil ni. Kadang-kadang 1 kerusi dua orang penghuninya. Jari-jari halus mereka ligat menekan key board. Main Game. Sekejap game tarzan, kejap game barbie dan tak ketinggalan angry bird. Kakak yang besar pulak guna lappy mak teh nahnya dalam bilik.

Keinginan nak berblog terpaksa dibatalkan. Bila budak-budak kecik ni tidor, nekma dah penat dan nak rehat. Kadang-kadang saja dapat buat BW ke blog kawan-kawan sekejap untuk melepas rindu nak tau cerita kawan-kawan. Dalam kesebokan melayan mereka, keinginan nak buat N3 baru tetap ada tetapi tak ada idea.

Beginilah hidup orang macam saya ni agaknya. Bila cucu-cucu tak datang, rumah rasa sunyi. Dah ada di rumah tak berdaya pulak nak melayan mereka. Kesian jugak dengan mereka ni, cuti sekolah pun mak ayah asyik kerja. Nasib baik Sakinah sedang cuti seminggu sebelum final exam dia, jadi dialah yang banyak melayan kerenah mereka.

Minggu depan tanpa Sakinah di rumah, terpulanglah kepada mereka melayan diri sendiri ataupun mereka balik ke nursery.

Ahad, 11 Disember 2011

Gerhana Bulan - Tiba-tiba Hati Jadi Sayu!!

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ





Gambar proses permulaan gerhana bulan. Waktu ini
lebih kurang pukul 9 malam lebih dan sebelum jam 10 malam.


Malam tadi ketika menyusuri jalan disepanjang Padang Merdeka Shah Alam sempatlah juga saya mengambil gambar bulan yang sedang dilindungi dari matahari. Sayangnya saya tidak membawa kamera cuma dapat mengambil gambar dengan h/set saja.

Dari sini kami dapat mendengar dengan jelas bacaan Imam dari Masjid Negeri yang sedang mengimami sholat gerhana bulan. Sayang, keadaan kesihatan yang masih belum sempurna betul, tidak mengizinkan saya menyertai mereka di Masjid berkenaan mengerja sholat sunat gerhana bulan.

Saya ada menerima sms dari Masjid Negeri memaklumkan bahawa malam ini ada Program Gerhana Bulan Penuh anjuran Jabatan Mufti Selangor dengan kerjasama Masjid Negeri serta Persatuan Ahli Falak Selangor.

Dari Padang Merdeka kami bergerak menuju ke Masjid Negeri apabila mendengar sholat sunat berkenaan telah selesai. Kami parking kereta di kawasan parking masjid berkenaan kerana dari situ kami dapat mendengar khutbahnya dengan jelas.

Meremang bulu roma saya bila mendengar imam membaca ayat 7 hingga 12 dari Surah Al-Qiamah.


7. Maka (jawabnya: hari kiamat akan datang) apabila pemandangan menjadi terpendar-pendar (kerana gerun takut)


8. Dan bulan hilang cahayanya


9. Dan matahari serta bulan dihimpunkan bersama


10. (Maka) pada hari itu, berkatalah manusia (yang ingkarkan hari kiamat): "Ke manakah hendak melarikan diri?"


11. Tak usahlah bertanya demikian! Tidak ada lagi tempat perlindungan!


12. Pada hari itu, kepada Tuhanmu lah sahaja terserahnya ketetapan segala perkara.


Pada saat itu keadaan bulan dan matahari betul-betul seperti dinyatakan dalam ayat di atas. Tiba-tiba hati rasa takut. Terfikir dihati saya, apa akan jadi seandainya Allah meneruskan keadaan ini sehingga esok. Bermakna tidak ada siang lagi di hari ini.

Gerhana penuh berlaku lebih kurang jam 10.31 - 10.33 malam. Pihak masjid ada menjemput orang ramai datang ke perkarangan masjid berdekatan dengan air panjut untuk melihat gerhana bulan dengan jelas dengan menggunakan horoskop. Maaf kalau silap saya menyebut peralatannya yang disediakan oleh pihak Persatuan Ahli Falak Selangor.

Lebih kurang jam 11.00 malam kami beredar dari perkarangan masjid memandangkan orang lain pun dah mula beredar.



Pemandangan di sepanjang jalan Padang Merdeka,
semuanya sedang memerhatikan kejadian Gerhana bulan malam tadi

Rabu, 7 Disember 2011

Rabu Yang Kelu - 10 - Tengkujuh Datang Lagi

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ




Ahad, 4 Disember 2011

Seandainya DiJemput Pulang

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ




Alhamdulillah, saya harap saya boleh menaip sesuatu saat ini. Dah lama saya tidak berblog, tapi sebenarnya saya menyusuri blog kawan-kawan melalui galaxy phone tapi saya tak dapat nak respon apa-apa cuma sesekali bila larat.

Nampaknya hari ini badan ni rasa okey sikit. Sekembali saya dari Dungun pada hari Jumaat 2 minggu lepas, sebaik tiba dirumah saya terus sakit. Sakit diperut yang tidak terhingga sehingga membawa ke muntah-muntah dan lain-lain. Keesokannya saya demam berlarutan sehingga 3 hari. Saya tak berjumpa doktor cuma ambik ubat demam yang sentiasa ada dalam simpanan.

Petang hari ke 3 saya dah tak boleh bangun berdiri. Sendi-sendi semua sakit, makan minum keluar semula. Akhir ke hospital juga saya. Mulai hari itu tersadailah saya di Salam Medical selama 5 hari. Doktor masih tercari-cari sebab sebenar walaupun samar-samar doktor ada memberitahu saya.

Memikirkan kemungkinan yang doktor cakap membuatkan saya rasa amat sedih. Lemah sungguh saya. Tak tahan rupanya saya dengan ujian yang sedikit baru Allah berikan. Tika ini, air mata senang sangat keluar. Dengan anak-anak pun saya cepat tersentuh hati. Saya rasa anak-anak seolah-olah tidak mengerti keadaan saya. Memang zahirnya saya nampak okey, mama dah boleh bangun, dah boleh makan, tapi nun jauh di sanubari saya, banyak perkara yang saya fikirkan kemungkinan-kemungkinan seandainya apa yang doktor jangkakan menjadi kenyataan.

Hanya pada Allahlah saya mengharap dan memohon, semoga saya tidak diuji dengan sesuatu yang berat dan seandainya saya terpaksa menerimanya jua, kuatkanlah ketabahan dihati saya.

Saya sentiasa berdoa seandianya saya dijemput pergi, biarlah saya pergi dalam keadaan yang tidak menyusahkan sesiapa. Itulah doa saya setiap ketika. Saya tahu saat itu akan datang juga satu masa nanti. Saya kena terima hakikat ini, setiap perkara akan ada jangkahayatnya.

Jumaat, 2 Disember 2011

Ku Minta Lagi

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ




Di sini lagi
Terdampar sepi
Penuh ngilu dan ngeri
Sedih Sabar bergilir ganti

pohon dan harap
bertali temali
Moga kau rahmati
Perjalanan musafir ini

Terlalu banyak yang kau beri
Namun
Aku meminta lagi
Kasih sayang
Belas Ehsan mu
Berterusan
Tanpa henti

Rabu, 23 November 2011

Hujan

..
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ




Dah 2 hari saya di Dungun. Cuaca sejuk dan hujan sambung menyambung. Maksud sambung menyambung tu kerana sekejap hujan turun menderu-deru, lepas tu berhenti. Kejap lagi hujan balik menderu-deru. Kata orang tua-tua, hujan kejar mak mertua. Mana yang tak baik tu selalu dirujuk kepada mak mertua. Kesian mak mertuakan.

Angin juga bertiup kencang. Baju dibadan berayun melayang-layang. Dah lama tak rasa suasana begini. Inilah musim monsun. Dengar khabarnya didaerah Besut sana dah mula banjir dan dah ada penduduk yang dipindahkan.

Semalam saya ke pantai Teluk Lipat. Pantai yang selalu saya kunjungi bila balik ke Dungun. Pantai yang penuh nostalgia. Bukan nostalgia cinta, tapi nostalgia zaman kanak-kanak yang tidak tau takut kepada ombak yang bergelora. Masa tu tak fikir mak bimbang. Tau seronok jer walaupun balik karang kemungkinan dapat 'upah'.

Air laut dah berwarna 'teh tarik yang kaw'. Kata pak saudara saya tu tandanya air di hulu dah masuk ke laut. Alhamdulillahnya sekarang ni walaupun musim tengkujuh kita masih boleh makan nasi berlaukkan ikan segar walaupun mungkin harganya mungkin mahal sikit.

Zaman saya masih bersekolah dahulu bila tiba musim begini jawabnya kami akan makan nasi berlaukkan ikan kering aatau ikan jeruk/pekasam. Kalau mak ada duit dapatlah makan berlauk sardin. Musim ni jugalah ikan-ikan sungai atau kami panggil ikan darat naik ke pasar. Sayangnya kebanyakan dari kami orang tepi laut ni kurang makan ikan darat.

Ahad, 20 November 2011

Kalau Nak Gugur, Gugurlah Nangka

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ




Kalau nak gugur, gugurlah nangka
Jangan menimpa sibatang pauh
Kalau nak tidur, tidurlah mata
Jangan mengenang si orang jauh


Lagu suruh mata tidor. Pandainya orang zaman dulu-dulu memujuk hati yang tak boleh tidur kerana tergenangkan seseorang.

Malam dah makin sunyi. Ahli rumah ni dah lena diulit mimpi. Tapi saya tak boleh lelapkan mata. Tadi saya dah masuk tidor. Niat hati memang nak tidor. Sayangnya tidak terjadi sebagaimana yang saya harapkan. Mata dipejam, tapi otak masih enggan tidor. Jangan salah faham susah nak tidor ni bukanlah kerana mengenang orang yang jauh, cuma yerlah seperti kata orang-orang bijak pandai, lagi berusia seseorang tu, lagi sedikit masa tidur mereka.

Kita susah lena bila nak tidor, mungkin kerana Allah nak kita bangun mengingati dan sujud kepadaNYA diwaktu insan lain dah tidor. Akhirnya saya bangun dan mengadap pc ni. Bukan tak nak sujud dan berzikir pada Allah, tapi sekarang saya nak berblog kejap.

Semenjak jam 12.30 pagi ni, saya mengadap pc ni. Tak ada idea apa yang nak diceritakan. Akhirnya sempatlah juga saya singgah rumah kawan-kawan dua tiga orang. Tapi sayangnya dengan line yang merayap mengalahkan siput 'babi' ni, tak banyaklah rumah yang saya boleh singgah.

Sekarang saya dah mengantuk. Nak masuk tidor ni. Semoga saya boleh lena sedikit malam ni. Kalau tak lena banyak pun, lenalah sekejap. Malam dah makin sunyi.

Sabtu, 19 November 2011

Percubaan Pertama

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ




Inilah rupa nasi himpit goreng saya yang saya ikut dari apa yang dicatitkan dalam blog Acik Erna. Terima kasih Acik Erna sudi berkongsi resepi buat nasi himpit goreng ni.

Nasi himpit saya ni pun baki dari Raya Haji hari tu juga. Rupanya lain sikit dari Acik Erna punya, mungkin sebab saya goreng lembab sikit.

Rasanya, bolehlah sedap.


Sekarang baru teringat dulu-dulu masa selalu jalan-jalan di Petaling Street, ada juga nampak orang cina mengoreng nasi himpit ni. Dia goreng macam goreng mee atau kuew teow.

Rabu, 16 November 2011

Selasa, 15 November 2011

Roti Canai + Ikan Asam Pedas

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ




Malang tak berbau, itulah kata orang.

Begitulah nasib saya pada pagi Ahad lepas. Saya suka sangat makan roti boom (tak letak gula) di sebuah restoran melayu di Seksyen 16 Shah Alam ni. Roti dia ranggup. Jadi seperti biasa saya akan makan 2 keping, 2 tu!!!, satu tak cukup. Saya akan makan roti canai ni dengan ikan masak asam. Selalunya ikan kembonglah.

Nak dijadikan cerita, tak tau macam mana, sedang sedap menikmati roti canai tu, tiba-tiba tercekik tulang. Bila terasa ada tulang kat tekak, macam biasalah saya minum berkali-kali. Tak lepas, saya telan pulak roti canai yang hanya dikunyah sikit, dengan niat supaya tertolaklah tulang tu sekali.

Sayangnya semua usaha tidak berjaya. Akhirnya bila tiba di rumah saya ambik segelas air sejuk. Saya baca doa nabi Yunus 7 kali pada air tu, dengan bacaan selawat dan bismillah saya minum air berkenaan serta berdoa pada Allah semoga tulang tu terlepas dari tekak saya. Selalunya ini cara saya buat bila tercekik tulang. Selepas selepas beberapa ketika selalu terlepaslah tulang tu dari tekak. Bukan serta merta.

Tapi kali ini sehingga petang Isnin tulang tu masih terlekat disitu. Allah belum mengizinkan lagi. Petang Isnin tu tekak dah mula sakit dan telinga pun dah rasa sakit sikit-sikit. Mengenangkan diri ada diabetes, bimbang pulak takut infection. Jadi akhirnya kami ke Salam Medical Center untuk jumpa pakar ENT.

Malangnya sampai sana lebih kurang jam 4.00 petang, doktor baru balik. Akhirnya saya jumpa dengan doktor perubatan. Memandangkan bukan bidang dia, doktor tu kata dia cuba tengok dulu, kalau nampak tulang tu, InsyaAllah dia cuba keluarkan. Tapi kalau dia tak nampak tulang tu kenalah tunggu esok untuk dibuat oleh doktor ENT,

Alhamdulillah doktor tu nampak tulang tu, akhirnya legalah. Panjang jugak tulang tu hampir 1 inci. Doktor bekalkan juga antibiotik. Dah takut pulak rasa nak makan ikan masak asam di restoran tu lagi.

Berhati-hati bila makan, bukan saja kena berhati-hati di jalanraya. he he.

Isnin, 14 November 2011

Baik Punya Lepak!!!!!

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ


Hari ini sekejap jer ni boleh lepak depan pc. Kebetulan Kaisah dan nabil dah balik dari Taiping. Ereesya dan Izati pun ada di rumah. Ni curi-curi berblog kejap bila budak dua tu sedang sebok buat 'kerja-kerja' mereka. Rumah dah jadi macam tongkang pecah. Sekarang ni semua cucu-cucu ada di rumah. Riuh rendah.






Kakak pulak dah dapat galaxy tokbah tak peduli kiri kanan. Mengadaplah galaxy tu walaupun adik2 riuh rendah.



Jumaat, 11 November 2011

Baru Niat Sudah Dapat Pahala

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ


HADIS QUDSI




Daripada Abu Hurairah r.a. bahawa
Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:
Allah berfirman, Jika hamba ku berbicara
(iaitu berniat) untuk melakukan kebaikan.
maka Aku akan menulis untuknya satu
kebaikan selagi belum melakukannya. Jika ia
telah melakukannya, maka Aku mencatatnya
dengan 10 kali ganda. Jika ia berniat
untuk melakukan keburukan, maka Aku
mengampuninya selagi belum melakukannya.
Jika ia telah melakukannya, maka Aku
menulis untuknya yang semisalnya.'

Rasulullah s.a.w bersabda lagi: Para malaikat
berkata: Wahai Tuhanku, hambaMu ini
berniat melakukan keburukan, padahal
Dia lebih mengetahuinya. Allah berfirman
lagi "Lihatlah, jika dia melakukannya, maka
catatlah keburukan itu untuknya dengan yang
semisalnya. Jika ia meninggalkannya, maka
tulislah untuknya satu kebaikan. Ia hanyalah
meninggalkannya kerana takut kepada Ku."

(Riwayat Muslim)


Hanya dengan lintasan niat yang kecil dan tersimpan di hati tanpa siapa yang tahu, Allah tetap memberikan ganjaran dan balasan untuk sesiapa jua bergantung kepada apa yang diniatkan semata-mata untuk mendapat keredhaan Allah dan perhatian-Nya. Allah berfirman maksudnya:

‘…Sesungguhnya Allah tidak menyia-nyiakan pahala orang-orang yang berbuat baik. Dan mereka tiada menafkahkan suatu nafkah yang kecil dan tidak (pula) yang besar dan tidak melintasi suatu lembah, melainkan dituliskan bagi mereka (amal saleh pula), kerana Allah akan memberi balasan kepada mereka (dengan balasan) yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan…’ (al-Tawbah: 120-121)

Khamis, 10 November 2011

The Choice Is Yours

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ




The choice is yours, itulah kata-kata pakar mata yang saya jumpa semalam. Sebagai pengidap diabetes saya kena jumpa pakar mata setahun sekali. Tahun lepas semuanya okey. Tapi tahun ni kata doktor kedua-dua mata saya dah berselaput ataupun cataract. Doktor tu menasihatkan saya supaya membuat pembedahan untuk membuang selaput tu.

Saya tak dapat nak memberi keputusan masa tu, jadi saya minta ditangguhkan sehingga next appoinment. 'Next appoinment' tu maknanya tahun depan. Saya tak nak buat keputusan semalam, tapi doktor nasihatkan saya sekiranya saya melihat atau merasa sebarang perubahan di mata saya, saya kena datang jumpa doktor segera. Yang membuat saya senang hati ialah 'pressure' mata saya normal.

Dengan bertambahnya usia saya, setiap kali berjumpa doktor saya akan menerima khabar yang kurang mengembirakan tentang kesihatan saya. Dari masa kemasa ada saja perkara yang bertambah 'tidak baik'. Kadang-kadang perkhabaran ini boleh 'upsetkan' saya. Tapi saya kena menerima kenyataan, itulah realiti hidup.

Saya kena melihat alam sekeliling. Banyak lagi orang yang lebih sakit dari saya. Berkali-kali saya memesan kepada diri saya untuk menerima hakikat ini. Tetapi kadang-kadang saya 'down' juga dengan berita-berita begini. Saya kena menerima kenyataan yang dari hari kehari kesihatan saya makin berkurangan.

Rabu, 9 November 2011

Streamyx Punya Hal Rupanya

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ


Alhamdulillah hari ni barulah datang berblog semula selepas 3 hari terputus hubungan bila Streamyx tergendala di rumah saya. Pada mulanya ingatkan line dirumah yang bermasalah, selepas pelbagai usaha sehingga terpaksa meminta pertolongan khidmat dari TM, masih juga masaalah tak dapat diselesaikan.

Akhirnya anak saya minta pihak TM cari apa masalahnya sebab bagi pihak kami dah cuba macam-macam. Tapi gagal. Akhirnya selepas 1 hari setengah, pulihlah. Saya tak tau sama ada jiran-jiran saya juga menghadapi masalah yang sama atau tidak.

Terima kasih pada kawan-kawan yang singgah ketika saya tidak berada di blog saya ni dan meninggalkan ulasan di N3 saya yang terakhir.

Rabu, 2 November 2011

Rabu Yang Kelu - 8 - Alamak!! Tak Ada Canlah Aku

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ




Selasa, 1 November 2011

Sehari Di Pekan Colmar

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ




Sebenarnya cerita ni dah suam, hampir-hampir nak sejuk. Tak aperlah kan. Saya nak berkongsi gambar-gambar ketika kami ke Bukit Berjaya (Berjaya Hill) di Bukit Tinggi.

Pada hari Depavali hari tu, cucu-cucu ajak jalan-jalan. Kata mereka nak ke Cameron Highland. Saya bimbang kalau ke CH tanpa book hotel nanti tak ada tempat nak bermalam, lagi pun besoknya Izati sekolah, nak balikpada hari yang sama mesti memenatkan.

Akhirnya kami ke 'The Colmar Hotel' di Bukit Tinggi. Dah lama teringin nak ke sana bila dengar cerita dari kawan-kawan tentang keseronokan di sana. Nak bermalam di sana rasanya kurang keperluanlah sebab mengikut cerita ada bilik yang harganya mencecah RM1,000.00 satu malam.

Kami tiba di sana lebih kurang jam 11.00 pagi. Perjalanan lebih kurang 1 jam atau lebih sikitlah dari Shah Alam. Nak masuk ke area Hotel Colmar dan melihat persekitarannya kami dikenaan tikit RM12 untuk orang dewasa dan RM8 untuk kanak-kanak yang berusia 4 - 12 tahun. Rabaklah lebih kurang RM75 untuk tikit saja. Pada saya, saya rasa mahal.


Pemandangan 'Pekan Colmar' dari kejauhan












Inilah kononnya 'Pekan Colmar' iaitu sebuah pekan di negara Peranchis. Gambar-gambar ni saya ambil ketika hujan. Tak dapatlah kami menjejakkan kaki di pekan ni, sekadar melihat dan mengambil gambar dari dalam kereta saja.

Dari 'Pekan Colmar' kami menuju ke puncak bukit berjaya dimana disana terdapat apa yang ditunjukkan dalam gambar dibawah.



Saya tak naik ke puncak bukit ni hanya tunggu dikaki puncak. Sebenarnya ada bas yang tak berdinding membawa pelawat yang ingin ke puncak. Tapi setiap kali tiba ditempat kami menanti, bas tu sentiasa penuh. Jadi anak-anak saya gunakan kemudahan bas tu ketika turun dari bukit. Kerana saya tak naik gambar-gambar ketika mendaki dan ketika di puncak bukit ni diambil oleh anak saya.















Turun dari puncak kami ke Taman Arnab yang terletak di kaki Berjaya Hill. Sebenarnya sebelum ke kawasan berbayar 'The Colmar' kita boleh singgah di Taman Arnab ni dulu. Bayaran masuk RM3.00 seorang. Tak banyak ambil gambar kerana hujan.


Berbaris untuk masuk ke Taman Arnab





Gambar merak diambil dari luar kawasan Taman Arnab



Kenangan DiTaman Arnab


Kami turun dari Berjaya Hill di Bukit Tinggi waktu zohor masih ada. Jadi kami memutuskan makan dan sholat zohor di R & R Genting Sempah.


R & R Genting Sempag


Satu nasihat saya kalau ada yang nak kesini, untuk mengelakkan kelaparan dan dahaga bawalah bekal paling tidak biskut atau sandwich dan air. Di sini saya tak nampak tempat jual makanan melainkan kedai jual aiskrim yang harganya mencecah RM5.00 satu dan jajan. Takkan kita nak makan di hotel. Duit ada pun makanan tak ada. Makan aiskrim dan jajan sajalah.

Untuk sholat, papan tanda kata 'masjid' ada nampak tapi tak jumpa cari. Mungkin sebab dah tak larat mendaki (berkereta). Walau macam mana pun saya tak serik, kalau berkesempatan saya nak datang lagi ke sini dengan persediaan yang perlu. Tempatnya nyaman dan cantik.