Halaman

Terima kasih Jadi Kawan Blogger Saya

Jumaat, 29 Oktober 2010

Wanginya Melur di Daerah Sepi



Di awal pagi Jumaat yang mulia ini, menitis sudah air mata saya. Air mata lambang rindu pada orang yang sentiasa dalam ingatan. Di pagi ini pun hujan yang turun semenjak awal pagi masih renyai. Suasananya sejuk dan damai. Hujan, oh hujan di pagi Jumaat yang mulia ni tak dapatlah kami ke ke pusara arwah Iskandar dan Ibu. Lebih kurang sebulan dah rasanya tak menziarahi pusara mereka kerana kesihatan yang tidak berapa mengizinkan.

Bila hujan, tanah berkuburan itu akan menjadi lecak dan tanahnya yang berselut tu akan melekat di selepar. Keadaan tanahnya juga menjadi licin. Silap-silap boleh jatuh terduduk. InsyaAllah petang nilah kami ke sana. Di tanah perkuburan ini juga ibu saya bersemadi. Jadi setiap kali ke sana kedua-dua pusara orang yang saya sayang ni boleh dikunjungi sekaligus. Di sini jugalah arwah Ustaz Asri dari kumpulan Rabbani disemadikan.

Bila terkenangkan arwah Iskandar, saya selalu kalah dengan air mata. Untuk memujuk hati, saya selalu mengingatkan diri bahawa arwah seorang anak yang baik, tak pernah tinggi suara apa lagi menderhaka kepada kami ibubapanya. Arwah seorang yang murah dengan senyum, jadi doa saya semoga Allah masukkan roh arwah ke dalam golongan orang-orang yang sholihin dan shodigin, Amin.

Sebagai orang islam, saya tahu tidak baik menangisi orang yang dah tiada. Tapi sebagai hambanya yang lemah, kadangkala saya tidak kuat. Sungguhpun begitu saya sentiasa berusaha kuat untuk tabah menerima takdir dan penentuan Allah ini. Bila rindu datang, air mata mesti tumpah. Semoga Allah ampunkan saya.

Menziarahi pusara arwah merupakan terapi yang sangat mujarab pada saya di samping membaca alquran dan lain-lain ibadah. Diperkuburan ini hati saya akan tenang, walaupun disekeliling saya berceracakkan batu-batu nisan. Setiap kali saya ke pusara arwah, hati saya akan gembira dan tenang melihat bunga melur yang saya tanam di atas pusaranya putih berkembang dan mengeluarkan baunya yang harum. Ditepi pusaranya juga saya tanamkan bunga kertas dan bunga pecah periok yang berwarna merah. Pokok-pokok ini juga tidak berhenti berbunga.

Adakalanya saya tak larat nak ke pusaranya, jadi saya dan suami akan ke tanah perkuburan tu dan duduk dalam kereta di luar kawasan perkuburan sambil membaca yassin atau apa-apa yang patut. Dari tempat parking kereta tu juga, saya boleh nampak pusara arwah dan kemerahan bunga-bunga yang saya tanam. Terubat rindu saya.

Bercakap pasal bunga, terkenang saya ketika arwah masih hidup. Dia bukanlah penggemar bunga tapi dia kerap juga menemani saya ke nurseri-nurseri bunga kalau saya minta. Jadi bila saya ke nurseri bersamanya saya tidak boleh minta pendangannya mengenai bunga. Masih saya ingat ketika di sebuah nurseri, saya tanya dia "cantik tak pokok ni", nak tau dia jawab apa "macam pokok jambu jer". Abahnya selalu kata, jangan tanya Iskandar tentang bunga dia orang engineering, orang praktikal.

Berbeza dengan adiknya Dzulkarnain yang dalam jurusan perikanan, saya boleh minta pandangannya tentang pokok-pokok bunga, malah dia sendiri akan membeli barang-barang hiasan yang sesuai untuk 'garden' saya yang cenonek (tak sampai sekangkang katak) tu.

Malam tadi ketika menonton berita di TV, tersentuh hati saya bila melihat seorang ibu yang dah agak berusia ke Mekah untuk kali kedua. Dia ke Mekah kali ini untuk mengerjakan Haji Badal bagi anaknya yang dah meninggal. Itulah kasih seorang ibu.

Arwah Iskandar tidak sempat menjejakkan kakinya ke tanah suci Mekah walaupun adik-beradiknya yang lain sudah saya bawa kesana. Ketika saya menunaikan umrah yang pertama arwah masih di universiti. Jadi saya bawa mana yang boleh pegi saja. Ketika saya menunaikan Fardhu Haji, arwahlah yang saya amanahkan menjaga rumah dan adik-adik.

Sebaik keluar universiti arwah bekerja dengan sebuah syarikat penerbangan. Menjadi amalan syarikat ni akan memberikan tikit penerbangan percuma kepada kakitanganya setiap tahun untuk bercuti kemana-mana saja. Arwah tak pernah guna tikit tu, dia berhajat menyimpan tikit berkenaan sehingga 3 tahun. Dia nak gunakan tikit tu bagi mengerjakan umrah bersama saya dan abahnya.

Allah Maha Menentukan segala, masuk tahun ketiga arwah bekerja, Allah telah menjemput arwah menemuiNYA. Akhirnya kami menunaikan hajatnya dengan mengerjakan umrah dan haji untuk arwah. Semua perbelanjaan mengerjakan umrah dan haji ini saya gunakan duit arwah sendiri. Syarikat penerbangan tempat beliau bekerja ada menawarkan tikit percuma kepada kami berdua untuk menunaikan umrah, tapi memandangkan kami masih dalam keadaan tidak ketentuan pada ketika itu, kami menolak tawaran berkenaan.

Semoga semua yang kami lakukan ini diberikan pahala oleh Allah kepada arwah. Maafkan saya andai coretan saya kali ini tidak sesuai diletakkan di sini.

Khamis, 28 Oktober 2010

Sekadar Renungan

Zikir Setiap Petang Dan Pagi




Surah Al-Rum ayat 17 - 19


Nafi' bin Al-Azraq pernah bertanya kepada Ibn Abbas:

Adakah terdapat bukti tentang solat 5 waktu dalam al-Quran?" Jawab Ibn Abbas: "Ada". Lalu beliau membaca ayat ke 17 dan 18 Surah Al-Rum seraya mengatakan: "Ini merupakan sholat lima waktu dan waktunya sekali.". 'Tumsun" merujuk kepada waktu Maghrib dan Isya'. 'Tusbihun' pula merujuk kepada waktu Subuh. 'Asyiyyan' pula adalah waktu Asar. 'Hina Tuzhirun' pula bermaksud waktu Zohor."

Ayat ini (Surah Al-Rum ayat 17 - 19) amat wajar dijadikan wirid dan zikir pada waktu pagi dan petang. Sholat 5 waktu yang terkandung dalam masa 24 jam sudah terangkum di dalamnya wirid, zikir dan doa.

Jumaat, 22 Oktober 2010

Bukanlah Aku Nak Riak



"Riak ikan di air, sudah tahu jantan betinanya", betul ker!!!

Riak ni tak aper, kita takut riak yang membawa maksud "memperlihat atau menyempurnakan ibadat dengan tujuan mendapat pujian serta perhatian orang lain"

Allah ada berfirman mengenai riak ni dalam surat Al-Ma'un ayat 4-7 yang bermaksud:

"Maka celakalah bagi orang-orang bersembahyang yang sentiasa lalai daripada sembahyangnya. Mereka yang mengerjakan kebaikan, minta dilihat orang"

Rasulullah SAW sendiri takut perasaan riak menimpa umatnya kerana ia boleh berlaku dalam pelbagai keadaan, hatta ketika menunaikan solat yang sepatutnya dilakukan dengan ikhlas. Baginda bersabda maksudnya:

"Allah AzzawaJalla tidak akan menerima sesuatu amalan yang dilakukan dengan riak meskipun riak sekadar debu saja".

Rasulullah SAW menganggap riak sebagai amalan syirik kecil kerana bagi seseorang yang sudah dihinggapi sifat ini ibadahnya tidak lagi ikhlas untuk mendapat keredaan Allah, sebaliknya menempatkan insan lain sebagai tandingan bagi Allah kerana amalnya bertujuan menarik perhatian insan itu. Seperti sabda Rasulullah maksudnya:

"Sesungguhnya serendah-rendah riak itu ialah syirik"

Dosa syirik yang tidak diketahui merujuk riak kerana ia dianggap syirik tersembunyi. Pelakunya menampakkan ibadah itu dikerjakan kerana Allah, sedangkan niat tersembunyinya untuk mendapat perhatian dan pujian manusia.

Riak boleh berlaku melalui gerak geri tubuh badan kita. Contohnya seseorang yang ingin orang lain tahu yang dirinya seorang yang kuat beribadah seperti bangun sholat di waktu malam, sentiasa berpuasa serta sangat takut dengan balasan Allah S.W.T., lalu dia menampakkan dirinya letih lesu dan kusut masai. Keadaan macam ini membibitkan perasaan riak dalam hati dan Rasulullah pun ada bersabda maksudnya:

"Jika seseorang kamu berpuasa, maka hendaklah meminyakkan kepalanya, menguruskan rambutnya dan memakai celak di manatnya.".

Ini untuk menghindarkan kita dari godaan syaitan untuk menimbulkan perasaan riak dengan menunjuk-nunjuk ibadat yang kita lakukan.

Melalui pakaian juga boleh menyuburkan sifat riak dalam hati kita. Contohnya seseorang yang berpakaian seperti ulamak dan juga berpakaian mengikut sunnah nabi dengan berjubah dan berserban dibimbangi berdetak pulak di hati supaya orang kata dirinya seorang yang alim dan kuat beribadah. Begitu juga dengan memakai pakaian yang mahal-mahal takut timbul riak di hati supaya orang lain tahu yang dia orang kaya dan bangsawan.

Dalam percakapan dan perbuatan juga boleh berlaku riak. Contohnya bila sholat didepan orang, dia sujud lama-lama, bila berzikir pula dia sengaja kuatkan suara. Begitu juga bila bercakap tentang hal-hal semasa, dia sentiasa merujuk kepada cerita-cerita mengenai orang-orang soleh dan menerangkan hadis-hadis. Niatnya tiada lain supaya orang tahu yang dia seorang yang kuat beribadah dan tinggi ilmu agamanya.

Walaupun semua yang dilakukan itu adalah amal sholeh tetapi terselit di hati ingin mendapat kepujian dunia dari manusia. Sebaliknya ketika beribadah secara bersendirian kualiti amalannya tidak sehebat ketika orang lain memandangnya. Sedangkan amal seseorang yang diterima Allah harus dengan niat ikhlas semata-mata demi Allah dan dilakukan sesuai dengan tuntutan syariat (mengikuti sunnah Nabi).

Riak adalah salah satu penyakit hati. Penawar bagi semua ini ialah dengan mengetahui bahawa segala amalan yang diiringi riak tidak diterima Allah S.W.T. di akhirat kelak. Jika perasaan riak timbul juga ketika beribadah, perlu kita segera menepisnya dan jangan dibiarkan terus bermain di jiwa kerana itu bisikan syaitan yang ingin menyesatkan manusia.

Menyedari besarnya musibah dibawa sifat riak, Rasulullah SAW mengajar umatnya memohon perlindungan dari Allah dengan membaca doa:

"Ya, Allah! Sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada perbuatan syirik yang kami ketahui. Kami memohon ampunan kepada-Mu daripada dosa (syirik) yang kami tidak mengetahuinya." (Hadis riwayat Ahmad)

Isnin, 18 Oktober 2010

Cameron Highland, Kami Datang Lagi




Pemandangan semasa naik ke CH


Abahnya mengalah dengan ajakan Sakinah untuk ke Cameron Highland konon untuk berehat kerana baru habis praktikal selama 3 bulan dan minggu depan akan sambung kuliah balik.

Fikir punya fikir, bagus juga kebetulan Salam pun sedang cuti semester lebih kurang 2 bulan. Jadi baguslah juga boleh cuti bersama. Saya pun booking hotel. Tapi perkara sebaliknya berlaku bila Salam ada hal tak dapat ikut sekali. Mahu tak mahu kami pun ke Cameron Highland 3 beranak saja. Kami ke sana pada hari Khamis dan kembali ke sini pada hari Sabtu.

Sebelum ke sana saya dah berjanji dengan Sakinah di CH nanti saya tak nak ke mana-mana. Maksudnya ke Rose Garden ker, Cactus Garden ker atau apa-apa garden pun sebab almaklum kaki ni nak pakai lama. Dia setuju, lagipun setiap kali ke sini asyik ker tempat tu jer perginya.




Rumah-rumah orang asli di sepanjang jalan ke CH



Mungkin budak-budak orang asli
bermain berhampiran jalan, siap buat peace lagi
bila saya ambik gambar mereka



Inilah antara 2 orang budak dalam gambar
di atas, saya suka tengok budak 2 orang ni, Seronoknya mereka


Tahun lepas ketika kami dan adik-adik seramai 7 keluarga dari Terengganu berombongan ke sini, saya masih berdaya merayap ke taman-taman ni dan juga ke Stesen MARDI untuk beli orkid dan bunga lili. Sebenarnya saya memang suka ke sini walaupun sekarang keadaannya tidaklah sesejuk dulu. Tapi kalau musim cuti sekolah, kalau boleh elak, baiklah elak dari datang ke sini sebab huu huu jem teruk.

Selain berehat di hotel, kami juga ke tempat-tempat yang tidak memerlukan kita berjalan sangat. Antaranya berkereta melihat pemandangan dan merasa nyamannya udara di sini. Kami akan berkereta hingga ke Kampong Raja.

Selain merayap di pasar malam dan gerai-gerai untuk beli barang-barang yang ada lambang CH sebagai tanda dan kenangan untuk cucu 3 orang tu yang dah kirim suruh beli macam-macam yang ada rupa/gambar strawberry, kami juga ke ladang strawberry kepunyaan orang melayu di Kampong Sedia.






petik sendiri buah strawberry yang dibeli



Kebetulan anggur pun ada ditanam di sini tapi untuk tengok jer



Salah satu orkid highland yang ditanam
di ladang ni untuk hiasan. Tak pasti orkid apa


Pada pagi Sabtu sebelum turun balik ke Shah Alam, saya beli juga sedikit sayur-sayuran dan limau madu (manis) di sana. Sakinah sebok nak beli ros. Jadi belilah juga sikit selain beli buanga ever lasting flowers (terkenang masa belajar dulu, kalau ada member ke CH bunga nilah dikirim untuk hias bilik asrama), nostalgia bunga tu.

Isnin, 11 Oktober 2010

Kurma Dan Ibu Mengandung



Di dalam Al-Quran terdapat satu kisah yang berhubung kait dengan pemakanan buah kurma semasa sedang mengandung iaitu dalam surat Maryam ayat 23 hingga ayat 26. Ia berkaitan dengan kisah Maryam yang menderita sakit semasa hendak melahirkan Nabi Isa. Allah berfirman:

"Maka rasa sakit hendak melahirkan anak memaksa dia bersandar pada pangkal pohon kurma. Dia berkata 'Aduhai alangkah baiknya jika aku mati sebelum ini dan aku menjadi sesuatu yang tidak bererti lagi dilupakan.' Maka Jibrail menyeru dari tempat yang rendah dengan berkata 'Janganlah kamu bersedih hati, sesungguhnya Tuhanmu menjadikan anak sungai di bawah mu. Dan goncanglah pangkal pohon kurma ke arah mu pasti pohon itu akan mengugurkan buah kurma yang masak kepada mu. Maka makan, minum dan bersenang hatilah kamu'."

Secara dasarnya buah kurma memang berkhasiat untuk ibu mengandung kerana ia kaya dengan vitamin B6, asid folik, kalium, zat besi dan magnesium. Magnesium susah untuk diperolehi dalam bentuk semula jadi sedangkan ia penting untuk ibu-ibu mengandung kerana ia berfungsi memantapkan jantung dan sistem peredaran darah. Kerana itu buah kurma bermanfaat untuk ibu-ibu mengandung.

Kajian sains menunjukkan semasa sedang dalam proses melahirkan anak, kadar gula dalam darah akan menurun dan keadaan ini mendatangkan kelesuan kepada si ibu. Pada masa itu si ibu memerlukan, antaranya karbohidrat di samping kalium (potisum) bagi mengembalikan tenaga.

Menurut laporan di laman web Pertubuhan Pemakanan dan Pertanian Bangsa-bangsa Bersatu menyatakan buah kurma memang kaya dengan karbohidrat. Karbohidratnya wujud dalam bentuk glukosa dan fruktosa yang menyerap masuk ke dalam sistem darah dengan segera.

Justeru itu, buah kurma sesuai untuk ibu-ibu mengandung sekali gus menampakkan perintah Allah supaya Maryam memakan buah kurma semasa hampir melahirkan Nabi Isa sememangnya saintifik berdasar penemuan semasa.

Ahad, 10 Oktober 2010

Hanya Kerana sebutir kurma

Email yang dihantar oleh seorang kawan


Selesai menunaikan ibadah haji, Ibrahim bin Adham berniat
ziarah ke mesjidil Aqsa.

Untuk bekal di perjalanan, ia membeli 1 kg kurma dari pedagang tua di dekat Massjidil Haram.

Setelah kurma ditimbang dan dibungkus, Ibrahim melihat sebutir kurma tergeletak didekat timbangan. Menyangka kurma itu sebahagian dari yang ia beli, Ibrahim
memungut dan memakannya.

Setelah itu ia langsung berangkat menuju Al Aqsa. 4 Bulan kemudian, Ibrahim tiba di Al Aqsa. Seperti biasa, ia suka memilih sebuah tempat beribadah pada sebuah ruangan dibawah kubah Sakhra. Ia sholat dan berdoa khusuk sekali. Tiba tiba ia mendengar
percakapan dua Malaikat tentang dirinya.

"Itu, Ibrahim bin Adham, ahli ibadah yang zuhud dan wara yang doanya selalu dikabulkan ALLAH SWT,"

kata malaikat yang satu.

"Tetapi sekarang tidak lagi. doanya ditolak karena 4 bulan yg lalu ia memakan sebutir kurma yang jatuh dari meja seorang pedagang tua di dekat mesjidil haram," jawab
malaikat yang satu lagi.

Ibrahim bin Adham terkejut sekali, ia terhenyak, jadi selama 4 bulan ini ibadahnya, sholatnya, doanya dan mungkin amalan-amalan lainnya tidak diterima oleh ALLAH SWT
gara-gara memakan sebutir kurma yang bukan haknya.

"Astaghfirullahal adzhim" Ibrahim beristighfar.

Ia langsung berkemas untuk berangkat lagi ke Mekkah menemui pedagang tua penjual kurma untuk meminta dihalalkan sebutir kurma yang telah ditelannya.

Sampai saja di Mekkah ia terus menuju tempat penjual kurma itu, tetapi ia tidak menemukan pedagang tua itu melainkan seorang anak muda. "4 bulan yang lalu saya
membeli kurma disini dari seorang pedagang tua. Kemana ia sekarang ?" tanya Ibrahim.

"Sudah meninggal sebulan yang lalu, saya sekarang meneruskan pekerjaannya berdagang kurma" jawab anak muda itu.

"Innalillahi wa innailaihi roji'un, kalau begitu kepada siapa saya meminta penghalalan ?". Lantas ibrahim menceritakan peristiwa yg dialaminya, anak
muda itu mendengarkan penuh minat.

"Nah, begitulah" kata Ibrahim setelah bercerita,

"Engkau sebagai ahli waris orangtua itu, maukah engkau menghalalkan sebutir kurma milik ayahmu yang terlanjur ku makan tanpa izinnya?".

"Bagi saya tidak masalah. Insya ALLAH saya halalkan. Tapi tidak tahu dengan saudara-saudara saya yang jumlahnya 11 orang.

Saya tidak berani mengatas nama kan mereka karena mereka mempunyai hak waris sama dengan saya."

"Dimana alamat saudara-saudaramu biar saya temui mereka satu persatu."

Setelah menerima alamat, Ibrahim bin Adham pergi menemui saudara pemuda itu.
Biar berjauhan, akhirnya selesai juga. Semua setuju menghalakan sebutir kurma milik ayah mereka yang termakan oleh ibrahim.

4 bulan kemudian, Ibrahim bin Adham sudah berada dibawah kubah Sakhra.

Tiba tiba ia mendengar dua malaikat yang dulu terdengar lagi bercakap cakap.

"Itulah ibrahim bin Adham yang doanya tertolak gara gara makan sebutir kurma milik orang lain."

"O, tidak.., sekarang doanya sudah makbul lagi, ia telah mendapat penghalalan dari ahli waris pemilik kurma itu.

Diri dan jiwa Ibrahim kini telah bersih kembali dari kotoran sebutir kurma yang haram karena masih milik orang lain.

Sekarang ia sudah bebas."


Oleh sebab itu berhati-hatilah dgn makanan yg masuk ke tubuh kita, sudah halal-kah? lebih baik tinggalkan bila ragu-ragu... "

Pada hadis yang lain Rasulullah saw bersabda; ˜Siapa yang merampas hak orang Islam dengan sumpahnya, maka Allah mewajibkan dia masuk neraka dan mengharamkannya masuk surga.. Seorang laki-laki bertanya, walaupun sedikit ya Rasulullah? Nabi menjawab, walaupun sebatang kayu sugi."(Riwayat Muslim).

-BerPesaN-pesaN SesaMa InSaN-

Mertua vs Menantu



Sesekali bila kebetulan, saya layan juga tengok drama "Mertua vs Menantu" ni di TV3. Pelakun utamanya Era Fazira dan Aqasha.

Dari cerita yang sesekali saya tengok ni saya perhatikan banyak ditonjolkan mengenai si isteri (Nurul Ain, lakunan Era Fazira) yang membuat sesuatu tanpa berunding dulu dengan suaminya (Rosyam, lakonan Aqasha) apa lagi mendapat keizinannya. Dia selalu melakukan sesuatu yang difikirkan tidak perlu suaminya tahu. Akibatnya berakhir dengan pergaduhan suami isteri dan timbul syak wasangka dan fitnah.

Contohnya dalam episod terbaru yang menunjukkan Nurul Ain menjadi model kepada satu syarikat membuat pakaian, tanpa memberitahu suaminya. Malah ditunjukkan yang dia memang nak menyembunyikan perkara ini dari suaminya kononnya untuk 'surprise'kan suaminya bila gambar dia terpampang di papan iklan nanti. Akhirnya perkara ini diketahui juga oleh si suami dan terjadilah pergaduhan besar antara dia dan suami serta tuan punya syarikat jeans tu. Kejadian ni menjadikan si suami menyangka yang Tuan punya Syarikat jeans tu nak mengorat isterinya. Secara tak sedar telah menimbulkan fitnah.

Yang nak saya katakan ialah sikap begini tidak elok diamalkan oleh seorang isteri yang beragama islam. Isteri orang islam tidak boleh melaku sesuatu tanpa mendapat kebenaran dari suaminya. Takut ia menjadi fitnah dan salah sangka. Silap haribulan boleh merosakkan maruah suami.

Memandangkan suami adalah ketua keluarga, pelindung isteri dan anak-anak, jadi isteri hendaklah menjaga kehormatannya dan nama suami. Jika hendak keluar rumah pun mestilah mendapat izin dari suami terlebih dahulu.

Rasulullah s.a.w ada bersabda "wanita-wanita yang menunaikan lima kali sholat (fardhu), berpuasa pada bulan Ramadhan, menjaga maruahnya dan patuh kepada suaminya akan masuk syurga daripada pintu gerbang mana yang dia sukai"

Sebagai wanita islam kita hendaklah tahu bahawa antara segala manusia, sama ada ibubapanya, anak-anaknya, suaminyalah yang utama dan paling perlu ditaati (selagi dia tidak terkeluar dari syariat islam).

Dalam Alquran Surat An Nisa': Ayat 34, Allah berfirman "Lelaki-lelaki adalah pemimpin terhadap wanita-wanita kerana kelebihan yang mana Allah telah kurniakan ke atas sebahagian mereka terhadap yang lain dan kerana itu adalah disebabkan mereka membelanjakan harta benda mereka (untuk memelihara wanita)."

Ada juga beberapa hadis yang memberi penekanan betapa tingginya darjat suami dan betapa pula pentingnya si isteri mentaatinya. Antaranya Rasulullah ada bersabda "Wahai wanita, Lihatlah, sesungguhnya dia adalah Jannahmu atau Jahannammu"

Jadi, untuk mencetuskan kasih sayang dan ketenangan rumahtangga, faktor-faktor hubungan dengan Allah adalah wajib diambil kira. Caranya iaitu dengan beriman, beramal dengan syariat Islam serta membanyakkan ingatan (zikir) kepada Allah swt. Adalah dipercayai suami isteri yang membelakangkan Allah swt adalah pasangan yang sukar untuk memperolehi ketenangan dan kasih sayang.

Semoga dengan ketaatan kepada Allah oleh suami dan isteri boleh mengelakkan perceraian yang menjadi-jadi sekarang ini.

Sabtu, 9 Oktober 2010

Pantai Yang Terhakis



Semalam berakhirlah sudah bulan syawal untuk tahun 1431 ini. Datanglah pula bulan Dzulkaedah. Di sepanjang bulan Syawal ini selain menghadiri jamuan raya tak kurang juga jemputan kenduri doa selamat yang diadakan oleh saudara mara dan kawan-kawan yang akan berangkat ke Tanah Suci Mekah menunai Fardhu Haji.

Alhamdulillah tumpang syukur dan gembira pada yang mendapat jemputan menjadi tetamu Allah, pada yang belum tu, janganlah sedih, InsyaAllah mungkin tahun depan pula dijemput Allah untuk menjadi tetamuNYA.

Begitulah juga saya, dalam keadaan yang masih belum sihat betul, saya balik lagi ke Dungun minggu lepas untuk bertemu dan menghadiri kenduri adik ipar yang akan berangkat ke Mekah.

Seperti biasa setiap kali saya ke sana, saya akan meluangkan masa untuk berkereta di sepanjang pantai Teluk Lipat. Pantai tempat saya bermain semasa masih kanak-kanak. Betapa di Pantai ini kami akan manda mandi dan memungut ikan bila ada nelayan memukat ikan di persisiran pantai. Kalau tak silap saya dia orang panggil 'pukat tarik'.

Sekarang keadaan pantai ini dah berubah. Walaupun begitu masih ada sisa-sisa keindahan pemandangannya di Pantai itu. Namun banyak kawasannya yang telah roboh dan terhakis oleh laut.






Masih jadi tempat berehat dan memancing


Pantai ini masih dikunjungi ramai. Berdekatan pantai telah didirikan gerai-gerai makanan oleh Kerajaan Tempatan. Terdapat juga 2 buah hotel yang agak cantik didirikan. Kelihatan juga beberapa buah 'home stay' yang didirikan oleh penduduk tempatan. Kiranya tempat ni sudah menjadi sumber rezeki pada penduduk berdekatan.

Diperhujungan Pantai ini iaitu di Tanjung Sura terletaknya UiTM cawangan Terengganu.

Saya perhatikan di sepanjang Pantai dibina tembok-tembok batu sebagai benteng untuk menghalang pantai ini terus terhakis boleh ombak terutama ketika musim tengkujuh. Di musim tengku biasanya air laut akan melempah hingga ke jalanraya di sepanjang pantai. Masa nilah nelayan pun tak dapat ke laut mencari rezeki.


Guni-guni Pasir juga diletakan berdekatan laut
untuk menghalang ombak dari terus ke tebing



Hanya pokok-pokok Ru yang tinggal meneguhkan tebing


Dulu di Pantai ini banyak terdapat pokok-pokok renek dan pokok-pokok pandan (pokok pandan yang seperti pokok mengkuang). Pokok-pokok ini akan mengeluarkan bunga berwarna unggu. Cantik sangat. Sekarang semuanya dah gondol. Hanya tinggal pokok-pokok Ru yang saya tak tahu sama ada tumbuh atau di tanam. Di Pantai ini juga sekarang tidak boleh manda mandi lagi sebab pantainya curam.