Halaman

Terima kasih Jadi Kawan Blogger Saya

Khamis, 29 April 2010

Bila Ia Membahagiakan

Bahagia. Semua orang nak bahagia. Tetapi apa sebenarnya bahagia. Pada saya bahagia sesuatu yang sangat subjektif. Bahagian pada orang itu tidak bermakna ia bahagia pada kita. Ada orang kata sesuatu yang membuat kita bahagia itulah bahagia.

Menurut Ibn alQayyim Rahimahullah bahagia terbahgi kepada 3:

Kebahagiaan Pertama



Kebahagian luaran dari diri manusia, iaitu kebahagiaan harta dan kebahagiaan hidup. Dengan kebahagiaan ini seseorang menjadi bahagia dan disegani org lain. Namun perlu diingat bahawa kebahagiaan ini tidak kekal selama-lamanya di mana dalam satu hari mungkin ia akan menjadi manusia yang paling hina dan paling rendah martabatnya.


Kebahagian Kedua



Kebahagiaan fizikal seperti kesihatan, bentuk tubuh yang menarik, anggota tubuh yang sempurna, warna kulit yang bersih dan tubuh yang kuat. Jenis kebahagiaan ini lebih baik berbanding kebahagiaan yang pertama, tetapi pada hakikatnya ia di luar hakikat dirinya. Seseorang manusia itu dinilai dari segi jiwa danhatinya, bukan fizikal dan tubuhnya.


Kebahagian Ketiga



Kebahagiaan hakiki, iaitu kebahagiaan memperolehi ilmu yang bermanfaat. Kebahagiaan ini bersifat abadi walau dalam keadaan apa pun jua. ia sentiasa mengiringi seseorang dalam setiap perjalanannya termasuk dalam ketiga-tiga alam, yakni alam dunia, alam barzakh dan alam akhirat. Dengan kebahagiaan ini, dia mampu menaiki tangga keutamaan dan tingkat kesempurnaan.


Kalau kita tidak bahagia sekarang, ingatlah mendong tidak akan selamanya singgah dalam kehidupan kita InsyaAllah akan tiba jua saat dan ketika di mana mentari akan menjengok dalam kehidupan kita.

Rabu, 28 April 2010

Mengossip dan Tergossip



"Kak, akak tau tak kakak ina (bukan nama sebenar) cakap ngan saya dia ditukarkan ke tempat lain kerana orang di canseleri (sambil sebut jawatan orang tu) menghasut kepada Bahagian Sumber Manusia tentang keburukan dia. Sebab tu dia kena tukar.", kata Ros kawan sebilik saya ketika menghadiri satu seminar di Pulau Pinang. Dia tidak mengenali saya selain dari cuma tahu nama saya saja.

Berderau darah saya, orang dimaksud oleh si Ros adalah saya. Tak sangka saya kawan baik saya sanggup menuduh saya. Sedangkan saya tidak pernah melakukan perkara sebusuk itu.

"Ros, awak kena ker orang yang awak sebut tadi tu", tanya saya.

"Tak Kak", jawab Ros

"Sayalah tu", Jawab saya menahan marah dan sedih. Muka Ros pucat.

"Maafkan saya kak, maafkah saya" berkali-kali Ros minta maaf. Apa nak saya maafkan pun bukan salah dia.

Hati saya benar-benar luka, kalau ikutkan hati mahu rasanya balik saja dari Pulau Pinang nanti, saya akan jumpa dia dan semuka dengan dia tentang hal ini. Tapi saya berfikir sendiri seandainya saya melakukan begitu, saya juga seperti dia. Jadi saya ambik keputusn saya simpan saja perkara ini dalam hati dan akan berkawan dengan dia seperti biasa seolah-olah tidak pernah ada apa-apa pun terjadi. Alhamdulillah sehingga sekarang kami masih berkawan tapi pada saya, saya sentiasa berjaga-jaga. Percaya tidak sepenuh hati lagi. Bercerita mana yang perlu saja.

Jadi pada minggu lepas bila kami membincangkan tafsiran Surah "Al-Humazah" dalam kelas, kenangan ini datang lagi. Gerunnya hati bila mendengar tafsiran yang disampaikan oleh Ustaz.



"Celaka bagi orang yang mengumpat menista"

Ayat pertama dalam Surah "Al-Humazah"


Perkataan yang bererti "kecelakaan, azab dan kekecewan atau sebuah gaung di neraka".


Kata Ibnu Abbas kalimah ini membawa maksud orang yang membawa mulut ke sana ke mari merosakkan persahabatan orang dan mencari-cari keaiban orang yang tidak bersalah.

Kedua-dua kalimah ini telah digandingkan begitu rupa seolah-olahnya membawa pengertian bahawa sebarang rupa gangguan yang dibuat oleh manusia terhadap saudaranya sama ada dengan lisan ataupun dengan tangan akan termasuk dalam golongan mereka yang bakal menerima azab kecelakaan yang disediakan bagi mereka di dalam neraka.

Baginda SAW sendiri ada memberi jaminan kepada orang yang sanggup menjaga lidahnya. Sabda Baginda SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang boleh memberi jaminan kepadaku apa yang ada antara misai dan janggutnya dan apa yang ada antara dua pahanya, aku jamin baginya syurga.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Antara keburukan lidah ialah bercakap perkara yang tidak berfaedah, tidak baik, mengucapkan kata keji, mencaci, mencarut, menghina, membuka rahsia orang, mengumpat dan perbuatan negatif lain yang tidak sepatutnya.

Allah Taala juga mengumpamakan pengumpat itu sebagai pemakan daging saudaranya yang sudah mati.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan janganlah mengumpat satu sama lain. Adakah seorang di antara kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu berasa jijik kepadanya dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang.” (Surah al-Hujurat, ayat 12)

Takut juga kita kalau-kalau orang-orang yang kita termengumpat tu tidak memaafkan kita sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud "Awaslah daripada mengumpat kerana mengumpat itu lebih berdosa daripada zina. Sesungguhnya orang melakukan zina, apabila dia bertaubat, Allah akan menerima taubatnya. Dan sesungguhnya orang yang melakukan umpat tidak akan diampunkan dosanya sebelum diampun oleh orang yang diumpat" (Hadis riwayat Ibnu Abib Dunya dan Ibnu Hibbad)

Isnin, 26 April 2010

Penulisan Al-Quran Rasm Uthmani



Pada hari Ahad 17 April baru-baru ni saya berkesempatan menghadiri satu seminar sehari mengenai Penulisan Rasm Uthmani di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah atau Masjid Negeri di Shah Alam.

Penuhlah Dewan Seminar Masjid tu. Alhamdulillah ramai yang berminat nak tahu. Masing-masing sabar menunggu hingga tiba waktu asar.

Saya ingin nak kongsi sedikit mengenai sejarah penulisan Alquran. Pada yang dah tahu tu, jadikan ia sebagai ulang tayanglah.

Penulisan Al Quran Pada Zaman Saidina
Abu Bakar Al-Siddiq R.A.


Selepas Rasulullah s.a.w wafat, para sahabat telah melantik Saidina Abu Bakar al-Siddiq r.a. menjadi khalifah yang pertama. Pada zamannya telah berlaku beberapa peperangan antaranya ialah peperangan al-Yamamah yang berlaku pada tahun 11 Hijrah. Dalam peperangan tersebut ramai tentera Islam yang menghafaz al-quran telah gugur syahid. Sejarah mencatatkan sehingga 700 orang yang menghafaz al quran telah gugur syahid dalam peperangan tersebut.

Peristiwa ini telah mendorong Saidina Umar bin Al-Khattab r.a. beberapa kali mencadangkan kepada Khalifah Abu Bakar As-Siddiq r.a. supaya diadakan usaha pengumpulan al-quran kerana dibimbangi al-quran akan terhapus kerana ramaiQurra' yang gugur syahid.

Khalifah Abu Bakar As-Siddiq r.a yang pada mulanya tidak bersetuju, akhir bersetuju dengan cadangan tersebut dan mengarahkan Saidina Zaid bin Thabit r.a. menyalin al quran yang telah ditulis dan dihafaz di zaman Rasulullah s.a.w dengan dibantu oleh beberapa orang sahabat yang lain. Maka terkumpullah al quran yang pertama dalam bentuk lembaran suhuf.

Setelah Khalifah Abu Bakar As-Siddiq r.a. wafat, suhuf tersebut telah disimpan di rumah Saidina Umar bin al-Khattab r.a. dan apabila beliau wafat, lembaran suhuf itu disimpan pula oleh Ummul Mukminin Saidatina Hafsah bin Umar al-Khattab r.a. iaitu isteri Rasulullah s.a.w.

Penulisan Al Quran Pada Zaman Saidina
Uthman Bin Affan R.A.


Pada masa pemerintahan Khalifah Saidina Uthman bin Affan r.a. Islam telah berkembang luas meliputi Semenanjung Tanah Arab dan lain-lain wilayah termasuk Armenia, Arzabeijan dan Khurasan. Umat Islam di wilayah-wilayah tersebut telah mempelajari dan membaca alquran menurut kaedah-kaedah bacaan para sahabat yang masyhur antaranya:

Penduduk Mekah dan Madinah mengambil kaedah bacaan Ubai bin Ka'ab, Zaid bin Thabit r.a. dan Saidina Umar bin Al-Khattab r.a.

Penduduk Syam mengambil kaedah bacaan Saidina Uthman bin Affan dan Abu Darda' r.a.

Penduduk Basrah mengambil kaedah bacaan Saidina Umar bin Al-Khattab r.a., Ubai bin Ka'ab, Zaid bin Thabit r.a, Saidina Uthman bin Affan, Saidina Ali bin Abi Talib r.a dan Abu Musa al-Asha'ari, r.a.

Penduduk Kufah mengambil kaedah bacaan Abdullah bin Mas'ud, Saidina Ali bin Abi Talib, r.a. Saidina Uthman bin Affan r.a, Ubai bin Ka'ab dan Zaid bin Thabit r.a.


Pada tahun 25 hijrah satu perbalahan yang hebat telah berlaku di kalangan muslimin mengenai perbezaan kaedah bacaan dan seterusnya perselisihan dari segi riwayat pembacaan al-quran.

Keadaan yang tidak begitu sihat ini telah disampaikan oleh seorang sahabat yang bernama Huzaifah bin al-Yaman kepada Khalifah Saidina Uthman bin Affan r.a.. Huzaifah telah mencadangkan supaya Khalifah Saidina Uthman bin Affan mencari jalan untuk menyatukan kaum muslimin dengan cara menyelaraskan mushaf agar tidak berlaku lagi perbalahan dan perselisihan tersebut.

Khalifah Saidina Uthman bin Affan telah membentuk satu Jawatankuasa Penulisan Al quran yang diketuai oleh Zaid bin Thabit r.a. dan dibantu oleh beberapa orang anggota yang lain yang terdiri dari:

Abdullah bin Zubair

Said bin Al-'As

Abdul Rahman bin Harith bin Hisyam r.a.


Lembaran-lembaran suhuf al-quran yang diambil dari simpanan Saidatina Hafsah binti Umar Al-Khattab r.a. dijadikan mushaf. Ketika ahli-ahli Jawatankuasa ini menjalankan tugas, Saidina Uthman bin Affan memberi nasihat dan meletakkan panduan bahawa asas rujukan di dalam penulisan al quran ini hendaklah berdasarkan bacaan Qurra''. Jika terdapat perbezaan pada bacaan mereka, maka hendaklah ditulis mengikut bahasa orang-orang Quraisy kerana al quran itu diturunkan menurut bahasa Quraisy.

Menurut pendapat yang muktamad, Jawatankuasa tersebut telah menyusun dan menyalin sebanyak 6 mushaf al quran. Sebuah mushaf untuk Saidina Uthman bin Affan dinamakan "Mushaf-al Imam" dan mushaf yang lain dikirimkan ke Mekah, Syam, Basrah, Kufah dan Madinah.

Mushaf tersebut bukan sahaja dijadikan rujukan tunggal bagi penduduk wilayah-wilayah berkenaan, bahkan dihantar bersama-samanya seorang imam (qari) yang adil dan mutqin di dalam bacaan al quran untuk mengajar penduduk berkenaan. Mereka dari daripada:

1. Abdullah bin Saaib r.a. ke Mekah
2. Al-Mughirah bin Abi Syibab r.a. ke Syam
3. Abdul Rahman Abdullah bin Habib al-Sulami r.a. ke Kufah
4. Amru bin Qais r.a. ke Basrah
5. Zaid bin Thabit ke Madinah

Selepas itu, Saidina Uthman bin Affan r.a. memerintahkan supaya semua lembaran alquran yang ditulis sebelum ini dikumpulkan untuk dibakar atau dilupuskan.

Walau bagaimanapun, perbezaan bacaan yang ada hingga sekarang ini tidaklah berlawanan dengan apa yang terdapat di dalam mushaf yang ditulis pada zaman Saidina Uthman bin Affan r.a. kerana bacaan telah diterima dari Baginda Rasululah s.a.w. secarmutawatir.

Usaha-usaha pengumpulan al quran yang dilakukan pada zaman Khalifah Saidina Uthman bin Affan telah mendatangkan faedah yang besar kepada umat Islam terutamanya dari segi:

Dapat menyelamatkan umat Islam dari perpecahan.

Dapat menyelesaikan perselisihan kaum muslimin tentang penulisan al quran

Dapat menyatukan bentuk mushaf yang seragam melalui ejaan dan tulisan

Dapat menyatukan wajah-wajah qiraat melalui satu mushaf

Dapat menyelaraskan susunan surah-surah menurut tertib seperti yang ada sekarang.


Sumber di atas adalah sebahagian dari kertas kerja Ustaz Haji Shafiee bin Shaari yang dibentangkan di seminar ini.

Ahad, 25 April 2010

Jamu Mata Di Alam Central


Deretan kedai-kedai dan booth-booth yang menjual perlbagai jenis telefon bimbit dan komputer memenuhi ruang di tingkat 3


Pagi tadi dengan satu tujuan kami ke Plaza Alam Central. Sakinah nak beli h/set baru.

Memandangkan baru pukul 11 pagi ketika kami tiba, untuk mendapatkan tempat letak kereta tak ada masalah. Selalunya agak susah nak dapat parking. Kami ke tempat lift terus ke tingkat 3.

Semasa mereka mengajak saya ikut tadi, kami dah berjanji akan terus ke tingkat 3, tempat pusat menjual telefon dan komputer. Tak mahu singgah mana-mana sebab saya tak larat nak berjalan jauh. Memang meriah penjualan telefon di sini nampaknya.



Makin meninggi hari makinmeriah tempat ni. Ramainya orang berkunjung ke sini. Saya yang duduk tak jauh dari mereka sempat ambil gambar ni.


Orang Bertiga beranak ni sedang khusyuk memilih dan tawar menawar telefon


Memandangkan mereka mereka bertiga beranak mengambil masa yang agak lama, meilih, membelek telefon yang hendak dibeli, saya yang tak larat berdiri lama ni duduk di satu kerusi tinggi di salah satu booth yang menjual telefon di situ.

Akhirnya selepas tawar menawar belilah telefon ini untuk inah. Duit dia sendiri dan abahnya tambah sikit-sikit.



Dari situ beredar ke tingkat bawah Di salah satu butik (jual beranika jenis baju siap) saya beli 3 helai kain pelikat.

Sebelum balik singgah di kedai buah-buahan sikit untuk beli buah. Saya suka beli buah-buahan disini sebab buah-buahnya segar-segar dan harganya taklah mahal.

Rabu, 21 April 2010

Hari-hari Yang Melesukan


Perjalanan Dari Puncak Alam Ke Sham Alam


Dah 6 hari rupanya saya tak update blog ini. Saya cuma onkan pc kejap-kejap dan baca ulasan dari kawan2 saja untuk N3 terakhir saya. Sambil tu saya sempat juga singgah di beberapa blog kawan-kawan tapi ada yang saya tak tinggal apa-apa ulasan. Maaflah yer.

Semenjak hari Jumaat lepas, masa saya agak terhad sangat. Hari Sabtu, Ahad dan seterusnya terlalu banyak perkara yang nak diuruskan. Mungkin inilah yang menyebabkan keletihan yang melampau ni.

Malam tadi iaitu malam selasa, memandang kelas bahasa arab dibatalkan kami, saya dan suami ke rumah zulaikha di Puncak Alam dengan harapan letih dan sunyi ini akan hilang dengan kerenah 2 orang cucu saya tu. Jadi malam tadi saya bermalam di Puncak Alam.

Pagi tadi selepas cucu berdua tu bangun tidor, kira-kira jam 8.00 pagi kami bergerak meninggalkan rumah anak saya untuk balik ke rumah.




Kehijauan mengiringi perjalanan Dari Puncak
Alam Ke Sham Alam


Perjalanan dari Puncak Alam berjalan lancar dengan pemandangan yang menghijau di sepanjang jalan. Tiba saja di persimpangan Bukit Jelutong, jem bermula. Saya tiba dirumah lebih kurang pukul 9.00 lebih. Perjalanan yang tak sampai 3 kilometer dari persimpangan Bukit Jelutung ke rumah saya tu mengambil masa lebih dari setengah jam.

Tiba di rumah lepas menyelesaikan beberapa kerja di rumah dan selepas minum segelas susu saya tidor hingga waktu zohor, lepas zohor saya tidor balik hingga asar. Lepas sholat asar, inilah saya duduk depan pc walaupun letih dan pening masih terasa, saya tak nak ikutkan sangat.

HADIAH DARI SAHABAT AKRAB


Hari Isnin lepas, dari bilik tidor saya di tingkat atas, saya nampak posmen sedang memegang sebuah bungkusan di depan gate rumah saya. Tapi memandangkan sendirian di rumah dan saya rasa tersangat tak larat nak turun ke bawah, saya diamkan saya. Minta maaflah encik posmen. Bukan saya sengaja.

Petangnya bila saya ke peti surat saya nampak encik osmen tinggalkan kad meminta kami mengambil bungkusan berkenaan di Pejabat Pos. Saya pelik juga, bungkusan apalah pulak tu, suspen. Semalam zulaikh tolong ambikkan bungkusan tu di Pejabat Pos, rupa ini dia



Sebuah buku dari seorang sahabat akrab. Terima kasih sahabat. Allah saja yang dapat membalas ingatan mu pada kakak ni.

Buku bertajuk "Alexander Adalah Zulqarnain" tulisan Muhammad Alexander seorang penulis dari Indonesia. Seorang pelajar Ph.D di ITS, Surabaya. Perbincangan mengenai Zulqarnain yang Allah ceritakan dalam Surah AlKahfi dari ayat 83 hingga 99.

Saya memang berminat dengan perbincangan-perbincangan mengenai Iskandar Zulqarnain ni dan banyak sudah saya baca dalam buku-buku. Kebetulan tajuk buku di atas berlawan pulak dengan buku yang pernah saya beli dulu



Buku ini ditulis oleh Afareez Abd Razak Al Hafif, seorang pelajar Ph.D di UIA. Kisah ini juga pernah dibincang di saluran Astro tak berapa lama dulu. Seronok juga membaca perbincangan-perbincangan didalam buku ini

Saya nak tahu apa pulak hujjah Muhammad Alexander yang mengatakan "Alexander Adalah Zulqarnain. Pertama kali adalah orang dengan yakin berkata begini.

Khamis, 15 April 2010

Jangan Bertangguh Lagi

Saya selalu bayangkan seandainya jarum jam boleh diputar ke belakang alangkah baiknya. Saya ingin membaiki sesuatu yang saya rasa saya tidak lakukan dengan sempurna satu waktu dulu. Saya juga ingin mengulangi saat-saat indah ketika badan masih cergas dahulu.

Adalah mustahil untuk saya gostan ke zaman yang telah saya tinggal. Melainkan dalam mimpi. Apa yang perlu saya buat ialah merebut peluang yang ada pada saya sekarang dan memanfaatkannya sebaik mungkin sebagaimana Rasulullah S.A.W. sendiri ada berpesan rebutlah lima perkara sebelum datang lima perkara.

Masa muda sebelum masa tua



Masa sihat sebelum datang sakit



Masa lapang sebelum waktu sibuk



Masa kaya sebelum jatuh miskin



Masa hidup sebelum datang ajal



Muda telah berlalu dari saya. Kecergasan juga sudah berkurang. Langkah kaki tidak selaju dulu. Yang tinggal hanya sisa-sisa tenaga untuk mencari dan merebut bekalan sedaya mungkin untuk saya bawa ke sana. Semoga saya diberi kekuatan untuk meneruskan hidup yang sedang menginjak senja.

Rabu, 14 April 2010

JANNAH DI SEBALIK MUSIBAH



Di petik dari Blog Genta Rasa

13 April 2010 (Kemudi Hati)
Tags: Allah, hikmah, indah, musibah

Untuk diriku, dirimu dan kita semua. Ini satu pesanan ringkas dariku:

Allah lebih kasihkan hamba-Nya melebihi kasih seorang ibu kepada anaknya. Apabila si ibu sayangkan anak-anaknya, dia akan mengawal anak-anaknya daripada melakukan sesuatu yang boleh membahayakan walaupun sesuatu yang membahayakan itu sangat disukai oleh si anak. Misalnya, anak yang baru belajar merangkak, merangkak di tepi tangga. Dia akan menangis jika dihalang… Mengapa?

Fikiran si anak yang masih kecil tidak boleh menjangkau kebimbangan si ibu. Si anak hanya tahu hendak main sahaja, tanpa mengetahui bahayanya bermain di tepi tangga. Jangkauan fikiran sianak masih cetek dan pendek. Sebaliknya, siibu yang melarang dan menegah sudah nampak bahaya yang bakal berlaku.

Satu ketika yang lain, sianak sakit. Siibu menyuapkan ubat. Anak meluahkannya semula. Pahit. Tetapi puas ibu memujuk, itu ubat. Sianak masih berdegil, lalu siibu memaksa anak meminum ubat itu dengan cara yang lebih keras dan tegas.

Begitu kita dengan Allah (walaupun sebenarnya nisbahnya terlalu jauh). Akal manusia adalah terbatas. Sedangkan ilmu Allah Maha luas. Begitu apabila Allah menetapkan sesuatu peraturan dan kejadian, pasti ada hikmah di sebaliknya. Kekadang, hikmah itu mampu dijangkau oleh fikiran dan adakalanya tidak.

Namun contohilah orang beriman. Apabila Nabi saw menyampaikan perintah Allah, para sahabat akan terus berkata, “kami taat dan kami patuh” walaupun adakalanya perintah itu sangat sukar dan pahit. Dan apabila berlaku satu musibah, para sahabat akan berkata, “telah berlakulah janji Allah.” Mereka bukan insan tanpa perasaan dan fikiran, tetapi apabila iman mendominasi hati, fikiran dan perasaan dipaksa tunduk kepada ketentuan Ilahi.

Bila datang perintah, orang beriman akan memberi respons yang telah digambarkan oleh Allah menerusi firman-Nya:

“Hanyasanya ucapan orang beriman apabila diperintahkan melakukan sesuatu ialah kami dengar, kami taat.”

Manakala apabila mereka ditimpa musibah mereka akan berkata:

“Mereka yang apabila ditimpa musibah akan berkata, kami milik Allah kepada-Nyalah kami akan dikembalikan.”

Mereka yakin setiap perintah Allah seperti solat, puasa, sabar dan sebagainya itu semuanya bermaksud baik belaka. Dan mereka juga yakin setiap musibah seperti kematian, kesakitan, kegagalan, kemiskinan dan sebagainya, pasti ada hikmah di sebaliknya. Justeru, jika kita ingin menteladani mereka, paksalah diri supaya akur dengan setiap perintah dan menerima dengan sabar setiap musibah. Yakinlah, bahawa Allah swt inginkan keselamatan dan kebahagiaan buat kita dengan segala perintah dan musibah-Nya.

Namun begitu, mengapakah masih ramai manusia yang tidak patuh pada perintah dan tidak sabar dengan musibah? Ini semua kerana kurangnya ilmu dan lemahnya iman. Dengan ilmu kita sedar setiap musibah ada hikmahnya. Dengan iman kita boleh menteramkan hati dengan mengingati Allah. Bagi orang-orang yang benar-benar beriman, apa sahaja yang datang daripada Allah adalah baik walaupun buruk pada pandangan diri mereka sendiri. Mereka beriman dengan apa yang Allah swt tegaskan dalam sebuah hadis Qudsi:

“Wahai anak Adam, jika engkau sabar dan mencari keredhaan pada saat musibah yang pertama, maka Aku tidak meredhai pahalamu selain syurga.”
(HR Ibnu Majah (no: 1597)


Tidak salah bersedih dengan musibah. Tidak salah terasa menderita sewaktu mentaati perintah Allah. Namun jangan membantah dengan sombong. Dan jangan bersedih secara keterlaluan. Apakah kita tidak yakin lagi Allah Maha Mengasihi dan Maha Mengetahui?

Alangkah malangnya sianak yang meluahkan ubat yang disuapkan ibunya… Namun lebih malang lagi seorang hamba yang menolak hikmah musibah yang “dihadiahkan” oleh Tuhannya! Dia akan menderita dua kali. Pertama, menderita oleh musibah itu. Kedua, oleh terluput dan tercabutnya hikmah di sebalik musibah itu.

Justeru, jika sekarang aku, kau dan kita dilanda musibah… cubalah tersenyum (walaupun pedih amat), kenang-kenangkan bujukan Allah. Mudah-mudahan kita mendapat jannah (syurga) di sebalik musibah ini! Amin.

Wallahua’lam

Terima Kasih Atas Ingatan

Malam dah larut ni, dah 1.17 minit pagi.

Hati teruja nak menulis lagi sebab esok belum tentu ada masa. Tak sabar rasanya nak pastekan award dari Sis Tinie dan dari Piewahid. Terima kasih banyak-banyak atas ingatan.


Dari Sis Tinie



Juga dari Sis Tinie, Terima Kasih



Dari PieWahid, Terima Kasih


Bunga Selasih Subur Di Taman
Tabur melata ditepi jambatan
Hati Terusik ingatan Teman
Tiada di mata subur diingatan

Selasa, 13 April 2010

Feningnya



Hai, sidai kain dah!!!, siram pokok bunga dah!!!, basuh pinggan mangkok dah!!!.

Sekarang bolehlah duduk depan pc kejap. Sekarang ni agak fening sikit sebab tak terkejar oleh masa yang ada 24 jam tu.

Saya minta maaf pada kawan-kawan kerana sekarang ni tak dapat nak kunjung mengunjungi rumah-rumah sahabat maya sekerap mungkin kerana kekangan waktu.

Semenjak saya mengikuti kelas guru alquran ni, masa saya sangat terhad. Kadang-kadang saya sedaya mungkin cuba jugak masuk blog kejap-kejap melepaskan rindu dan mengetahui perkembangan kawan-kawan semua.

Di kelas ni salah satu subjek yang sangat mencabar bagi saya ialah hafazan. Banyak surah-surah dalam alquran yang perlu dihafaz setiap minggu. Otak yang dah tua macam saya ni agak 'benok' kata orang terengganu. 'Benok' tu maksudnya payah nak mengingati sesuatu yang dipelajari. Jadi saya perlu meluangkan banyak masa ke sini.

Untuk memudahkan ingatan, saya juga membaca ayat-ayat penerang hati dan surah Al Insyirah. Yerlah firman Allah bukan senang nak menerima amanahnya. Kalau boleh kawan-kawan tolonglah saya. Kalau ada petua untuk memudahkan menghafal ayat-ayat suci alquran ni, beritahu saya yer.

Isnin, 12 April 2010

Kenduri Naik Rumah



Hari Sabtu lepas seharian saya dan suami ke rumah seorang kawan. Dia telefon beritahu saya dia nak buat kenduri pindah rumah. Kalau orang Terengganu kita panggil kenduri naik rumah.

Diam-diam rupanya dia beli rumah kedua di salam satu taman di Subang. Kawan saya ini pun dah pencen. Majlis bermula dengan sholat zohor berjemaah dan disusuli dengan bacaan tahlil. Para jemputan hanya terdiri dari ahli keluarga kedua pihak suami isteri. Saya serta seorang lagilah orang luar dari keluarga yang dijemput.

Jiran baru sebelah rumah pun ada.

Jam 4.00 disusuli dengan Majlis Hari Jadi cucunya. Cucunya dah berusia 2 tahun. Cepat betul masa berlalu, rasanya seolah-olah baru sangat hadir dikenduri aqiqah dan cukur jampu cucu ni. Hari Sabtu baru lepas ini genap hari lahir ke 2.

Allah Lindungi Dia



Sepanjang dia bercerita, tak lepas-lepas saya mengucap 'Alhamdulillah" dan Astarafirullah halazim".

Saya rasa sangat terkejut dan sedih. Kalau tak kenangkan, ramai orang di dalam kelas mengaji tu, saya nak peluk dia erat-erat. Tak tau kenapa, saya rasa sedih hingga menitiskan air mata. Terbayang-bayang di mata saya wajah 2 orang anaknya yang sentiasa mengikutnya ke Kelas mengaji ni.

Tadi ketika masuk saja ke kelas, saya terus tanya dia "kenapa tak datang malam selasa tu, tak sihat ker".

Dia senyum sambil berkata "Nasib baik saya masih dapat bertemu kak ani lagi".

Dia mula bercerita, pada malam Isnin minggu lepas tu, sebaik habis kelas talaqi alquran di Masjid Negeri, dia memandu kereta balik kerumah. Malam tu suami dia shif malam. Sepanjang perjalanan balik dia asyik menghafal surah Al Sajadah. Kami sebagai pelajar guru alquran memang dikehendaki menghafal beberapa surah dan salah satunya ialah Surah Al Sajadah.

Tiba-tiba dia terasa keretanya terangkat. Bila menoleh ke kanan, rupa-rupanya keretanya dah terangkat dan berada di bawah perut trelar panjang. Dia tak tahu bila treler tu terbabas dan merempuh keretanya. Kereta dia terangkat dan senget ke kiri. Dia pandang anaknya, yang perempuan berusia 7 tahun sedang tidur ditempat duduk depan. Anak lelakinya yang berusia 10 tahun tidor di tempat duduk belakang.

Masa tu yang dia fikir hanyalah bagaimana nak keluar dari kereta tu. Dia bimbang kereta tu akan meletup sebab injen kereta dia dengan injen lori dah melekat. Memandangkan kereta tu dan senget ke kiri, dia beraleh ke kiri kereta sambil mengejut anak-anaknya

"nak bangun nak, kereta kita bawah perut lori ni"

Berkali-kali dia kejutkan budak-budak tu. (masa ni air mata saya tak boleh dikawal lagi).

Akhirnya diangkatnya anak perempuan dia dan buka pintu kereta untuk terjun. Masa ni lori tu dah bergerak agak perlahan. Keretanya diseret sekali. Bila dia buka saja pintu kereta, dia nampak orang dah ramai, ada yang kata

"kak jangan terjun kak, jangan terjun, nanti kita tolong, anak kat belakang kita ambik".

Dia tak tahu macam mana, sedar-sedar dia dan anak-anaknyadah dah keluar dari kereta. Masa tu seluruh badanya menggigil. Shukur Alhamdulillah. Mungkin kerana terlalu terkejut semenjak malam Isnin hingga Selasa tu dia demam seharian.

Bila saya bersendirian, terfikir di hati saya, mungkin ketika kejadian berlaku, dia sedang menghafal Surah Al Sajadah, jadi Allah yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang telah melindungi dia dan anak-anaknya dari kejadian yang lebih buruk walaupun kereta dia rosak teruk.

Khamis, 8 April 2010

Tiara Award



Petang tadi saya berjalan-jalan kerumah kawan-kawan. Tiba di rumah kawan lama saya iaitu Mrs Nor dia telah hadiahkan saya 'Tiara Award'. Dia suruh saya simpan award ni di rumah supaya rumah saya berseri dengan kelip kelap tiara tu. Terima kasih Nor.

Kata Mrs Nor lagi, bulan April ni bulan pemberian Award. Sempena itu dan sebagai tanda penghargaan kepada kawan-kawan semua, sekarang saya pula ingin berikan award ni kepada semua kawan-kawan yang namanya tersenarai di side bar blog saya ni. Semoga rumah kita sama-sama berseri dengan Tiara Award yang berlip lap ni. Sudi-sudikanlah yer.

Rabu, 7 April 2010

Jangan Cincai Membersihnya



Saya masih ingat semasa masih bekerja dulu, kawan-kawan perempuan yang bukan beragama islam yang kebetulan selalu bertemu di 'bilik Air pejabat' sering tanya kami yang beragama islam soalan ni "mengapa you all semasa dalam tandas (bilik kecil tempat melepas hajat) suka berdehem, pelik, you all baca jampi ker".

Pada yang tahu sebabnya senyum saja. Tapi antara kami tu saya rasa ada juga yang tak tahu kenapa "berdehem" bagi perempuan ketika masuk tandas selepas menunaikan 'hajat'.

Kebetulah pada hari Khamis malam Jumaat minggu lepas saya berkesempatan mendengar kuliah Datuk Dr. Haron Din di Masjid Negeri.

Malam tu beliau banyak menceritakan tentang siksa kubur. Banyaklah perkara-perkara yang disebutkan yang boleh menyebabkan seseorang itu mendapat siksa kubur. Antara yang paling menarik perhatian saya ialah bab bersuci dari hajat besar dan hajat kecil.

Pesannya, bila beristinja' sama ada kerana melepas hajat besar atau hajat kecil pastikan ia dibersihkan betul-betul, jangan cincai sajer. Nampak perkara ni kecil dan remeh tetapi dia boleh membawa kepada siksa kubur. Beliau menceritakan tentang satu hadis:

"Ketika Rasulullah s.a.w melalui dua buah kubur, baginda bersabda: Ingatlah, sesungguhnya dua mayat ini sedang diseksa, tetapi bukan kerana melakukan dosa besar. Seorangnya diseksa kerana dulunya dia suka membuat fitnah dan seorang lagi diseksa kerana tidak membersihkan dirinya dari air kencingnya. Kemudian baginda meminta pelepah kurma lalu dibelahnya menjadi dua. Setelah itu beliau menanam salah satunya pada kubur yang pertama dan yang satu lagi pada kubur yang kedua sambil bersabda: Semoga pelepah ini boleh meringankan seksanya, selagi ianya belum kering."

Itulah saja yang nak saya kongsi bersama. Kadang-kadang kita dizaman serba moden dan serba nak cepat ni terlupa tentang kesucian terutama selepas memlepaskan hajat kecil. Takut kadang-kadang tak perasan, air masih menitis selepas dibersihkan dari buang air dan kita terus mengerjakan sholat atau mengaji tanpa perasaan kita menanggung najis. Itulah sebabnya kena "berdehem" bagi perempuan untuk mempastikan air kencing tidak ada lagi menitis.

Jumaat, 2 April 2010

Penawar Hati Duka



"Inna lillahi wa inna ilaihi raji'un" jawab saya

"Eh kak, dia tak mati, rumahnya saja terbakar, dia sekeluarga selamat" Kata kawan saya dengan nada kesal. Mungkin dia ingat saya tersilap dengar ceritanya.

Dalam hati terfikir, "dah agak dah" mesti dia akan rasa terkejut bila di sebut kalimah Istirja ini pada bukan orang yang meninggal dunia.

إِنَّا ِللهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُوْنَ

“Sesungguhnya kami adalah milik Allah, dan sesungguhnya hanya kepadaNya lah kami akan kembali”.


Ramai orang menganggap bahawa kalimah istirja ini hanya diucapkan bila mendapat perkhabaran tentang kematian sahaja sedangkan kalimah istirja ini boleh kita gunakan bila-bila masa sahaja apabila seseorang terkena musibah. Sama ada musibah itu terkena pada diri sendiri atau orang lain.

Kalimah istirja juga boleh menjadi tempat berlindung dan tempat bernaung supaya syetan tidak menguasai fikiran orang yang terkena musibah sehingga hilang pertimbangan kerana terlalu sedih.

Di dalam musnad Imam Ahmad, Rasulullah s.a.w bersabda:

"Setiap hamba yang ditimpa musibah lalu mengucapkan: "Inna lillahi wa inna ilaihi raji'un", ya Allah berikanlah kepadaku pahala dalam musibah ini dan berikanlah kepada ku yang lebih baik darinya"(HR. Ahmad 3/27)

Semua yang ada pada kita adalah milik Allah. Diri kita, anak-anak kita dan harta benda kita hanyalah dipinjamkan saja kepada kita. Sampai masa Allah akan mengambilnya kembali. Hanya ucapan "Inna lillahi wa inna ilaihi raji'un" sajalah yang menjadi pengubat dan penawar duka kita.

Khamis, 1 April 2010

Semoga Kita Terus Bahagia



"Hepi anniversary, Inah tgh claz"

Itulah bunyi sms Sakinah pagi tadi.

Anak-anak lain mungkin lupa hari ini adalah aniverseri perkahwinan mama dengan abah.

Hari ni genaplah 33 tahun kami hidup bersama. Segala suka duka menempuh kehidupan ini akan menjadi inspirasi dalam menempuh hidup mendatang.

Dikurniakan 5 orang anak. Anak kedua dah dijemput menemuiNYA. Sekarang dah dikurniakan 3 orang cucu yang comel. Syukur pada mu Ya Allah.


Izati - dah sekolah mulai tahun ni



Eresya, baru baik sakit



Nurkaisah, Bila nak jalan ni


Semoga Allah berkati kehidupan kami seterusnya dan dimurahkan rezeki serta diberikan kami kesihatan dan kesejahteraan.