Halaman

Terima kasih Jadi Kawan Blogger Saya

Jumaat, 29 Oktober 2010

Wanginya Melur di Daerah Sepi



Di awal pagi Jumaat yang mulia ini, menitis sudah air mata saya. Air mata lambang rindu pada orang yang sentiasa dalam ingatan. Di pagi ini pun hujan yang turun semenjak awal pagi masih renyai. Suasananya sejuk dan damai. Hujan, oh hujan di pagi Jumaat yang mulia ni tak dapatlah kami ke ke pusara arwah Iskandar dan Ibu. Lebih kurang sebulan dah rasanya tak menziarahi pusara mereka kerana kesihatan yang tidak berapa mengizinkan.

Bila hujan, tanah berkuburan itu akan menjadi lecak dan tanahnya yang berselut tu akan melekat di selepar. Keadaan tanahnya juga menjadi licin. Silap-silap boleh jatuh terduduk. InsyaAllah petang nilah kami ke sana. Di tanah perkuburan ini juga ibu saya bersemadi. Jadi setiap kali ke sana kedua-dua pusara orang yang saya sayang ni boleh dikunjungi sekaligus. Di sini jugalah arwah Ustaz Asri dari kumpulan Rabbani disemadikan.

Bila terkenangkan arwah Iskandar, saya selalu kalah dengan air mata. Untuk memujuk hati, saya selalu mengingatkan diri bahawa arwah seorang anak yang baik, tak pernah tinggi suara apa lagi menderhaka kepada kami ibubapanya. Arwah seorang yang murah dengan senyum, jadi doa saya semoga Allah masukkan roh arwah ke dalam golongan orang-orang yang sholihin dan shodigin, Amin.

Sebagai orang islam, saya tahu tidak baik menangisi orang yang dah tiada. Tapi sebagai hambanya yang lemah, kadangkala saya tidak kuat. Sungguhpun begitu saya sentiasa berusaha kuat untuk tabah menerima takdir dan penentuan Allah ini. Bila rindu datang, air mata mesti tumpah. Semoga Allah ampunkan saya.

Menziarahi pusara arwah merupakan terapi yang sangat mujarab pada saya di samping membaca alquran dan lain-lain ibadah. Diperkuburan ini hati saya akan tenang, walaupun disekeliling saya berceracakkan batu-batu nisan. Setiap kali saya ke pusara arwah, hati saya akan gembira dan tenang melihat bunga melur yang saya tanam di atas pusaranya putih berkembang dan mengeluarkan baunya yang harum. Ditepi pusaranya juga saya tanamkan bunga kertas dan bunga pecah periok yang berwarna merah. Pokok-pokok ini juga tidak berhenti berbunga.

Adakalanya saya tak larat nak ke pusaranya, jadi saya dan suami akan ke tanah perkuburan tu dan duduk dalam kereta di luar kawasan perkuburan sambil membaca yassin atau apa-apa yang patut. Dari tempat parking kereta tu juga, saya boleh nampak pusara arwah dan kemerahan bunga-bunga yang saya tanam. Terubat rindu saya.

Bercakap pasal bunga, terkenang saya ketika arwah masih hidup. Dia bukanlah penggemar bunga tapi dia kerap juga menemani saya ke nurseri-nurseri bunga kalau saya minta. Jadi bila saya ke nurseri bersamanya saya tidak boleh minta pendangannya mengenai bunga. Masih saya ingat ketika di sebuah nurseri, saya tanya dia "cantik tak pokok ni", nak tau dia jawab apa "macam pokok jambu jer". Abahnya selalu kata, jangan tanya Iskandar tentang bunga dia orang engineering, orang praktikal.

Berbeza dengan adiknya Dzulkarnain yang dalam jurusan perikanan, saya boleh minta pandangannya tentang pokok-pokok bunga, malah dia sendiri akan membeli barang-barang hiasan yang sesuai untuk 'garden' saya yang cenonek (tak sampai sekangkang katak) tu.

Malam tadi ketika menonton berita di TV, tersentuh hati saya bila melihat seorang ibu yang dah agak berusia ke Mekah untuk kali kedua. Dia ke Mekah kali ini untuk mengerjakan Haji Badal bagi anaknya yang dah meninggal. Itulah kasih seorang ibu.

Arwah Iskandar tidak sempat menjejakkan kakinya ke tanah suci Mekah walaupun adik-beradiknya yang lain sudah saya bawa kesana. Ketika saya menunaikan umrah yang pertama arwah masih di universiti. Jadi saya bawa mana yang boleh pegi saja. Ketika saya menunaikan Fardhu Haji, arwahlah yang saya amanahkan menjaga rumah dan adik-adik.

Sebaik keluar universiti arwah bekerja dengan sebuah syarikat penerbangan. Menjadi amalan syarikat ni akan memberikan tikit penerbangan percuma kepada kakitanganya setiap tahun untuk bercuti kemana-mana saja. Arwah tak pernah guna tikit tu, dia berhajat menyimpan tikit berkenaan sehingga 3 tahun. Dia nak gunakan tikit tu bagi mengerjakan umrah bersama saya dan abahnya.

Allah Maha Menentukan segala, masuk tahun ketiga arwah bekerja, Allah telah menjemput arwah menemuiNYA. Akhirnya kami menunaikan hajatnya dengan mengerjakan umrah dan haji untuk arwah. Semua perbelanjaan mengerjakan umrah dan haji ini saya gunakan duit arwah sendiri. Syarikat penerbangan tempat beliau bekerja ada menawarkan tikit percuma kepada kami berdua untuk menunaikan umrah, tapi memandangkan kami masih dalam keadaan tidak ketentuan pada ketika itu, kami menolak tawaran berkenaan.

Semoga semua yang kami lakukan ini diberikan pahala oleh Allah kepada arwah. Maafkan saya andai coretan saya kali ini tidak sesuai diletakkan di sini.

22 ulasan:

Ros Illiyyuun berkata...

Salam Kak Ani :)

Kehilangan orang yang tersayang memang amat membekas di hati terutama orang yang dekat dengan kita.

Semoga akak dapat berjumpa dengan al-marhum di syurga nanti. Ameen.

Kunang-Kunang berkata...

Waalaikumussalam Ros,

Itulah juga doa akak setiap hati. Terima kasih atas doa Ros.

Werdah berkata...

Salam Ani.

Sudah lumrah beginilah yang Allah aturkan. Ada orang diuji dengan anak-anak, ada dengan harta, ada yang sakit dan pelbagai.

Hanya tabah dan redha yang jadi senjata orang-orang yang beriman.

InsyaAllah kak yakin Ani seorang yang tabah dalam menghadapinya.

mohdandmeriam berkata...

Aslmkm Nim..tergenang air mata kakyam membaca nukilan hati nim..alhamdulillah nim dapat menerima pemergian Is dengan tabah..mengingatinya adalah perkara biasa..ia menguatkan kita untuk mengharungi hari2 mendatang,juga kita akan membaca ayat2 suci untuk disedekahkan kepadanya..itulah cara kita melepaskan rindu pada orang tersayang yg dah pergi.Diharap nim tabah dan redha..moga2 Is dan Nim sekeluarga diberkati oleh Allah swt.

en_me berkata...

salam jumaat akak ittewww..

Kunang-Kunang berkata...

Waalaikumussalam Kak Werdah,

Semoga akak berada dalam kesihatan yang baik.

Doakan saya tabah kak.

Sebenarnya dugaan ini memang berat utk saya. Ketika kejadian semua kawan2 yang datang menziarah kata saya kuat.

Memang saya tak pengsan atau sebagainya ketika menerima berita kematiaanya, tapi dalam hati saya, saya menangis. Dibelakang orang air mata saya tak tertahan. Dalam hati sentiasa memesan pada diri sendiri (ini ujian Alllah pada aku, aku mesti tabah).

Berulang2 saya pesan pada diri saya, "Allah cuma pinjam dia pada aku, Aku terpaksa pulangkan bila Allah mengambilnya kembali".

Sehingga sekarang saya sentiasa doakan agar saya tabah. Saya tak mahu merosakkan diri saya sendiri. Saya dikurniakan 5 orang anak, Allah hanya mengambil balik hakNYA seorang saja.

Kunang-Kunang berkata...

Salam en_me,

Semoga Allah memberikan kita semua keberkatan dan rahmat di pagi Jumaat yang mulia ini.

Kunang-Kunang berkata...

Waalaikumussalam Kak Yam,

Terima kasih atas nasihat kak yam dan akan saya jadikan penawar hati saya.

Memang Kak, pemergiannya banyak merubah kehidupan saya. Untuk mengubat hati saya yang sedih saya kuatkan lagi diri menghadiri lebih banyak ke ceramah2 agama.

Mendengar ceramah agama, menambah kesedaran saya tentang ketentuan yang Allah telah atur pada makhluknya.

luahfikiran berkata...

SALAM,
LF DAPAT MEMAHAMI APA YANG DAPAT DIRASAI OLEH KUNANG2. ZIARAHLAH PUSARA MEREKA. KITA PUN AKAN KE SANA JUGAK NANTI. KESEMPATAN YANG MASIH ADA INI, KITA ISIKAN DENGAN BEKALAN YANG AKAN KITA BAWA BERSAMA NANTI

Insan Marhaen berkata...

insyaAllah, satu hari nanti kita akan susuli. tak lama lagi...

aby berkata...

salam k hanim,

berat mate memandang berat lagi bahu memikul ..

yg pergi tk kan kembali,
kite pun akan menyusul juge,
yg penting di samping bekalan kite utk mase tu nanti tk lupe juge mengirim doa utk yg dah mendahului ...

Abd Razak berkata...

Salam Kak Ani...

Moga kakak sentiasa dalam rahmat dan kasih sayang~Nya..

Setiap diri kita ini akan kehilangan orang yang dikasihi dan pasti akan merasa sedih. Namun, itulah lumrah kehidupan kita tiada yang kekal di dunia ini.

Yang penting kita yang tinggal ini seharusnya sentiasa berdoa utk mereka yang telah pergi agar mereka bahagia di sana.

ummu berkata...

Salam Kak Ani
mengalir air mata saya membaca entry ni.Lebih2 lagi di saat Lambaian Kaabah telah tiba.... Tulusnya kasih akak dan suami pada allahyarham anak. semoga niat murni anak akak mendapat ganjaran yang baik di sisiNya.

Kamsiah berkata...

salam kenal utk tuan rumah..
video tu/lagu tu..mmg meruntun kalbu..si penyanyi nya dah pergi mengadap ILAHI...
sebuah lagu ttg kematian..yg pasti..!!

piewahid berkata...

salam kak,
semoga mereka yang kita kasihi dan seluruh muslimin muslimat ditempatkan di sisi org2 yg beriman.

p/s- antara perkara pertama yg saya sekeluarga lakukan apabila pulang ke merapoh (k lipis) ialah singgah ziarah di kubur allahyarham ayahanda dan kekanda tercinta.

intanrh berkata...

salam kak ani, doa smpai walau pusara jauh di mata. pusara anak saya di kota bharu, bygkan la sekerap mana sgt sy dpt mengunjungi pusara dia..

Kunang-Kunang berkata...

Salam DAto' LF,

Sentiasa berusaha mencari ketenangan bila diuji. Terima kasih Dato'

Kunang-Kunang berkata...

Waalaikumussalam IM,

Betul seperti kata IM, kita semua akan ke sana, masa dan keadaanlah saja yang akan menentukannya.

Semoga IM sekeluarga dalam keadaan sihat.

Kunang-Kunang berkata...

Waalaikumussalam Wak,

Terima kasih atas nasihat. Tentu Wak masih ingat saat tu.

Wak antara kawan yang mengunjungi Kak hanim selain beberapa orang lagi. Terima kasih Wak, datang pada saat yang kami sangat memerlukan sokongan dan semangat dari kawan2.

Kunang-Kunang berkata...

Waalauikumussalam Kam,

Terima kasih sudi singgah.

Memang lagu ni sangat menginsafkan dan begitu mengingatkan kita yang kita semua akan kembali kepada NYA.

Kunang-Kunang berkata...

Waalaikumussalam Pie,

Semoga Pie diberikan Allah kesihatan yang baik dan ketabahan dalam mengharungi hidup ini.

Menziarah kubur, apa lagi kubur orang tua kita memang satu amalan yang baik. Semoga Allah masukkan semua roh muslimin dan muslimat dalam golongan orang-orang yang diampuniNYA.

Kunang-Kunang berkata...

Waalaikumussalam Intan,

Lama kita tak saling kunjung mengunjungi. Semoga Allah kurniakan Intan sekeluarga rahmatNYA.

Alfatihah untuk roh anak Intan. Tulah intan kalau dah jauh memang sukarlah untuk dikunjungi selalu.

Akan ni dekat, kalau jauh mungkin juga tahan rindu jerlah.