Halaman

Terima kasih Jadi Kawan Blogger Saya

Jumaat, 22 Oktober 2010

Bukanlah Aku Nak Riak



"Riak ikan di air, sudah tahu jantan betinanya", betul ker!!!

Riak ni tak aper, kita takut riak yang membawa maksud "memperlihat atau menyempurnakan ibadat dengan tujuan mendapat pujian serta perhatian orang lain"

Allah ada berfirman mengenai riak ni dalam surat Al-Ma'un ayat 4-7 yang bermaksud:

"Maka celakalah bagi orang-orang bersembahyang yang sentiasa lalai daripada sembahyangnya. Mereka yang mengerjakan kebaikan, minta dilihat orang"

Rasulullah SAW sendiri takut perasaan riak menimpa umatnya kerana ia boleh berlaku dalam pelbagai keadaan, hatta ketika menunaikan solat yang sepatutnya dilakukan dengan ikhlas. Baginda bersabda maksudnya:

"Allah AzzawaJalla tidak akan menerima sesuatu amalan yang dilakukan dengan riak meskipun riak sekadar debu saja".

Rasulullah SAW menganggap riak sebagai amalan syirik kecil kerana bagi seseorang yang sudah dihinggapi sifat ini ibadahnya tidak lagi ikhlas untuk mendapat keredaan Allah, sebaliknya menempatkan insan lain sebagai tandingan bagi Allah kerana amalnya bertujuan menarik perhatian insan itu. Seperti sabda Rasulullah maksudnya:

"Sesungguhnya serendah-rendah riak itu ialah syirik"

Dosa syirik yang tidak diketahui merujuk riak kerana ia dianggap syirik tersembunyi. Pelakunya menampakkan ibadah itu dikerjakan kerana Allah, sedangkan niat tersembunyinya untuk mendapat perhatian dan pujian manusia.

Riak boleh berlaku melalui gerak geri tubuh badan kita. Contohnya seseorang yang ingin orang lain tahu yang dirinya seorang yang kuat beribadah seperti bangun sholat di waktu malam, sentiasa berpuasa serta sangat takut dengan balasan Allah S.W.T., lalu dia menampakkan dirinya letih lesu dan kusut masai. Keadaan macam ini membibitkan perasaan riak dalam hati dan Rasulullah pun ada bersabda maksudnya:

"Jika seseorang kamu berpuasa, maka hendaklah meminyakkan kepalanya, menguruskan rambutnya dan memakai celak di manatnya.".

Ini untuk menghindarkan kita dari godaan syaitan untuk menimbulkan perasaan riak dengan menunjuk-nunjuk ibadat yang kita lakukan.

Melalui pakaian juga boleh menyuburkan sifat riak dalam hati kita. Contohnya seseorang yang berpakaian seperti ulamak dan juga berpakaian mengikut sunnah nabi dengan berjubah dan berserban dibimbangi berdetak pulak di hati supaya orang kata dirinya seorang yang alim dan kuat beribadah. Begitu juga dengan memakai pakaian yang mahal-mahal takut timbul riak di hati supaya orang lain tahu yang dia orang kaya dan bangsawan.

Dalam percakapan dan perbuatan juga boleh berlaku riak. Contohnya bila sholat didepan orang, dia sujud lama-lama, bila berzikir pula dia sengaja kuatkan suara. Begitu juga bila bercakap tentang hal-hal semasa, dia sentiasa merujuk kepada cerita-cerita mengenai orang-orang soleh dan menerangkan hadis-hadis. Niatnya tiada lain supaya orang tahu yang dia seorang yang kuat beribadah dan tinggi ilmu agamanya.

Walaupun semua yang dilakukan itu adalah amal sholeh tetapi terselit di hati ingin mendapat kepujian dunia dari manusia. Sebaliknya ketika beribadah secara bersendirian kualiti amalannya tidak sehebat ketika orang lain memandangnya. Sedangkan amal seseorang yang diterima Allah harus dengan niat ikhlas semata-mata demi Allah dan dilakukan sesuai dengan tuntutan syariat (mengikuti sunnah Nabi).

Riak adalah salah satu penyakit hati. Penawar bagi semua ini ialah dengan mengetahui bahawa segala amalan yang diiringi riak tidak diterima Allah S.W.T. di akhirat kelak. Jika perasaan riak timbul juga ketika beribadah, perlu kita segera menepisnya dan jangan dibiarkan terus bermain di jiwa kerana itu bisikan syaitan yang ingin menyesatkan manusia.

Menyedari besarnya musibah dibawa sifat riak, Rasulullah SAW mengajar umatnya memohon perlindungan dari Allah dengan membaca doa:

"Ya, Allah! Sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada perbuatan syirik yang kami ketahui. Kami memohon ampunan kepada-Mu daripada dosa (syirik) yang kami tidak mengetahuinya." (Hadis riwayat Ahmad)

26 ulasan:

sahromnasrudin berkata...

salam..takutnya saya..semoga kita dijauhkan dari segala sifat mazmumah dan didekatkan dengan sifat mahmudah....

pB berkata...

kena jaga hati

Ros Illiyyuun berkata...

Salam :)

"Beribadatlah kamu seolah-olah kamu dapat merasakan yang Allah memerhatikan kamu."

Itulah sebaik-baik ibadat.

fzi berkata...

Salam kak ani...

Mohon pada Allah agar dijauhi hati2 kita semua dari perasaan riak... aminn

mohdandmeriam berkata...

saalm Nim..minta dijauhkan perasaan riak ni..

Abd Razak berkata...

Salam Kak Ani...

Moga kakak sihat hendaknya di sana..

Sepatutnya kita tunjukkan ibadah kita semuanya hanya kepada Allah Taala, bukan pada makhluk..

white rose berkata...

salam kak ani...

masya'Allah, penyakit hati paling kronik ni...

riak...

minta2 kita semua dijauhkan dari sikap riak nih...

Kunang-Kunang berkata...

Waalaikumussalam Sahrom,

Mudah2an berdoalah semoga hati kita sentiasa dididik ke arah hati yang mahmudah.

Kunang-Kunang berkata...

Waalaikumussalam PB,

InsyaAllah semoga kita sama-sama menjaga hati supaya ikhlas dalam apa juga pekerjaan yang kita lakukan.

Kunang-Kunang berkata...

Waalaikumussalam Ros,

Yerlah Ros Allah sentiasa melihat gerak geri kita cuma kita saja yang kadang2 terlupa perkara itu.

Kunang-Kunang berkata...

Waalaikumussalam Fzi,

InsyaAllah Fzi, sentiasa berdoa semoga Allah menerima ibadah yang kita lakukan dan semoga Allah jauhkan hati kita dari sifat riak terutama yang tanpa kita sedari.

Kunang-Kunang berkata...

Waalaikumussalam Abd Razak,

Alhamdulillah dah bertambah sihat sekarang ni. Semoga Abd Razak pun serupa, sihat hendaknya.

Sentiasa mengingatkan diri supaya beribadah dengan ikhlas tanpa sebarang maksud terlindung.

Kunang-Kunang berkata...

Waalaikumussalam Kak Yam,

Kita takut kita tak perasan adanya niat riak di hati di atas apa jua pekerjaan yang kita lakukan.

Kunang-Kunang berkata...

Waalaikumussalam White Rose,

Sama-samalah kita mendidik hati kita supaya ikhlas dalam beribadat yer dan apa jua pekerjaan.

Insan Marhaen berkata...

riak itu umpama semut hitam berjalan di atas batu hitam di malam yang gelap...

Werdah berkata...

Salam Ani.

Semoga sihat dan diredhai Allah.

Dikatakan bahawa penyakit ini timbul apabila tidak mengenal Allah dengan sebenar-benarnya. Dengan sebab mengetahui sedikit tentang Allah maka tidak dapat mengagungkan Allah lalu merasakan diri sudah cukup sempurna dan ingin memperlihatkan kepada orang lain.

Mudah2an dengan mengetahui akibat daripada sifat mazmumah ini, kita berusaha mengelakkannya. Dengan memohon pertolongan Allah jua.

ummu berkata...

Salam Kak Ani
takut kan dengan riak ni...
TQ atas entry ni
p/s; sukalah dengan rintik hujan di blog akak

Admin P@P berkata...

Assalamualaikum.

Hindari riak dalam amalan seharian. Buat sesuatu semata-mata untuk mendapat redha Allah, insyaAllah akan beroleh kejayaan.

Yang penting Allah redha, dalam keadaan tertentu kita perlu pinggirkan 'apa orang kata'.

TQ

aby berkata...

salam k hanim,
org yg berpakaian compang camping dan kusut masai tu zuhud ...
he..he..

kadang2 tu seseorg tu tk de niat nak riak tp sbb penampailan n percakapan mereka tu sentiasa berckp psl ugama lalu kite yg melebelkan mereka riak.

sbb ade org yg beranggapan utk maju kite kene mundur, yg bermaksud utk meningkatkan iman,
kene kene banyak mengikut care nabi dan sahabat,
tu yg berpakaian jadi mcm k hanim ckp,
cume harapan kite bile nampak yg sebegini, jgn kite sifatkan mereka riak, tkt mereka yg ikhlas kite plak yg berprasangka ...
gitu kot

luahfikiran berkata...

SALAM,
TERIMA KASIH ATAS PERKONGSIAN INI. BANYAK INFO YANG LF PEROLEHI

Kunang-Kunang berkata...

Waalaikumussalam IM,

Kadangg riak ni berlaku tanpa niat. Itu yang kita takut. Kalau kita tahu kita boleh cuba mengelak sedaya mungkin.

Kunang-Kunang berkata...

Waalaikumussalam Kak Werdah,

Pendapat akak memang betul. Ibarat kata peribahasa "Tong kosonglah yang selalu berbunyi kuat".

Jika kita sedar betapa kerdilnya diri kita mungkin kita takkan merasa bangga diri di atas kelebihan yang Allah berikan pada kita yang mana orang lain tidak mendapatnya sedang rahmat Allah maha banyak.

Kunang-Kunang berkata...

Waalaikumussalam Ummu, Semoga Allah kurniakan ummu kesihatan yang baik.

Akak juga mencuba sedaya upaya untuk berubah ke arah yang lebih baik.

Untuk dapatkan 'rintik2 hujan tu' boleh dapatkan cuba ke tepi-tepi tempat ada hujan tu, tekan di web yang keluar di situ.

Kunang-Kunang berkata...

Waalaikumussalam A(P&P)

Hanya kita jer yang tahu keikhlasan hati kita kan. Semoga Allah terima amalan kita semua dan hindari hati kita dari sifat riak.

Kunang-Kunang berkata...

Waalaikumussalam Wak,

Sebenarnya jika kita ternampak orang yang sebagaimana wak kata, minta Allah dilindungi hati kita dari berburuk sangka dengan orang lain.

Yang tahu keikhlasan dia hanya dia dan Allah jadi janganlah kita pulak menuduh yang bukan2 kepada seseorang, mungkin di hatinya tidak sebagaimana yang kita jangkakan.

Kunang-Kunang berkata...

Waalaikumussalam Dato'.

Terima kasih.

Semoga kita semua dibersihkan hati dari sifat riak dan berburuk sangka dengan orang.