Halaman

Terima kasih Jadi Kawan Blogger Saya

Sabtu, 17 Julai 2010

Sedih Pun Singgah Juga




Pemandangan Sungai Kemaman


Lamanya saya tak dapat berblog. Sama ada membuat N3 baru atau berjalan ke blog kawan-kawan.

Dua hari lepas saya dan hasben baru kembali dari Dungun, Terengganu. Saya ke sana pada hari Isnin dan kembali ke sini pada hari Khamis. Sebenarnya kalau ikutkan hati tak nak kemana-mana sebab akhir-akhir ni kami asyik travel sama ada untuk menunaikan jemputan jemputan perkahwinan anak-anak saudara mara termasuk adik beradik sendiri ataupun jemputan anak kawan-kawan kawin serta anak-anak jiran kawin. Mana yang diluar Shah Alam, Kuala Lumpur dan sekitarnya terpaksalah ponteng kelas hari Sabtu dan Ahad.

Semasa dalam perjalanan ke Dungun, kami berhenti penat sekejap di taman rekreasi Banggol Tinggi (kalau tak salah saya) ia itu berdekatan dengan jambatan Sungai Kemaman. Ini untuk membolehkan cik abang saya tu lelapkan mata sekejap sebelum meneruskan perjalanan.

Sebenarnya ada sejarah sedih ditempat ini pada saya. Setiap kali saya melalui kawasan ini yang dah jauh berbeza dari satu ketika dulu, saya akan merasa sedih dan sayu. Dulu tempat ini merupakan kawasan hutan bakau. Sekarang pokok-pokok bakau masih ada di sini. Tapi bukan untuk tujuan komersil. Ianya lebih kepada mencantikkan persekitaran.

Di sungai dan tebing sungai inilah satu ketika dahulu tempat sumber rezeki penduduk di sekitar kawasan ini. Bagi yang perempuan, mereka menjahit atap nipah (rumbia) dan membuat rokok daun dari pucuk rumbia. Orang-orang lelaki pula kerjanya ialah menebang daun dan pucuk nipah di kawasan-kawasan yang tumbuh pokok-pokok nipah di sepanjang tebing sungai dengan menyusurinya menggunakan perahu.

Daun-daun dan pucuk-pucuk nipah ni akan ditinggalkan di bangsal-bangsal yang didirikan di tebing-tebing sungai berkenaan untuk diangkut oleh orang-orang perempuan di sebelah petang. Kerja-kerja yang dilakukan oleh orang-orang lelaki ni biasanya di waktu pagi. Orang-orang perempuan akan mengambilnya dari bangsal-bangsal yang telah ditentukan kepunyaan mereka ditebing sungai tu dan dibawa ke rumah untuk dijahit menjadi atap dan pucuk nipah.

Nak dijadikan cerita ialah ketika saya dalam darjah 4 saya bersekolah di Kemaman ini. Kebetulan ayah saya ditukarkan ke dungun. Pada masa tu, seorang dari saudara jauh mak saya begitu beria-ria meminta saya tinggal dengan dia buat sementara waktu sebelum ikut tukar bersekolah di Dungun. Saya juga pelik kenapa mak ayah saya setuju. Jadi tinggallah saya dengan keluarga ini yang kebetulan tidak mempunyai anak.

Sejak itulah bermula episod sedih saya. Memandangkan ayah saya makan gaji dengan Kerajaan (walaupun tak kaya) jadi saya tidak pernah merasa kesempitan yang dirasakan oleh keluarga yang saya tumpang ni. Tiap-tiap hari balik dari sekolah isterinya suruh saya cari seludang dan pelepah kelapa untuk dijadikan kayu api. Lepas tu baru saya diberi makan nasi dengan sukatannya dah ditentukan jumlahnya walaupun ayah saya kirim duit tiap-tiap bulan.

Di waktu petang saya diajak oleh si isteri menemaninya mengangkut daun dan pucuk nipah yang telah diberkas dari tebing sungai yang saya sebut di atas. Saya juga kena menjunjung sekali daun nipah tu. Di mana ini semua tidak pernah saya lakukan. Saya selalu menangis di belakang mereka.


Pokok Nipah



Rokok daun (daun Nipah)



Atap Nipah(Rumbia)


Yang paling perit ialah bila ke tebing sungai mengambil daun nipah diwaktu air pasang. Masa itu parit-parit sekeliling tebing akan dipenuhi air. Kami terpaksa mengharung air tu untuk sampai ke tebing tempat terletakkan daun-daun nipah tu. Yang nak diceritakan ialah ketika mengharung parit-parit yang dipenuhi air ini, selain anak-anak ikan yang berenang dalam air, kami juga terpaksa mengharunginya dengan dikelilingi ular-ular yang berenang-renang seperti ikan di dalam parit berkenaan. Ular-ular tu panjangnya dalam sedepa atau kurang. Macam tak percayakan. Itulah kebenarannya.

Setiap kali saya terpaksa menghadapi keadaan ini saya rasa seolah-orang saya nak mati. Saya akan mengigil dan menjerit-jerit takut. Tapi orang-orang tu akan berpesan "tak aper, tak aper ular tu tak bisa, janji jangan pijak dia". Kenangan inilah yang selalu terbayang diingatan saya setiap kali saya melepas kawasan ini dan saya fobia.

Saya tak sanggup lama menghadapi keadaan ini. Mungkin dalam 3 atau 4 bulan. Nak tau apa yang saya buat. Saya lari dari rumah tu ketika saya ke sekolah dengan menaikki bas balik ke Dungun. Sebenarnya saya tak berduit ketika itu, sebab saya hanya diberi 10 sen untuk belanja sekolah.

Memandangkan saya tak berduit nak balik ke dungun saya nekad ke rumah kawan mak saya yang mengenali saya semenjak saya kecik. Pada dia saya ceritakan segala-galanya. Dia berikan saya duit untuk tambang dan hantar saya naik bas balik ke Dungun. Masa tu mana ada telefon. Jadi saya tak dapat nak beritahu mak ayah saya.

Semenjak saya lari dari rumah itu saya rasa tak mahu lagi jumpa saudara mak saya ni. Sekarang mereka suami isteri dah meninggal. Semoga Allah ampunikan mereka. Saya dah lama maafkan mereka. Mungkin kerana kemiskinan menjadikan keadaan ini terjadi.

Apa boleh buat masa tu saya belum faham erti kemiskinan sebab setiap kali celik mata, sudah ada sarapan yang mak siapkan. Balik sekolah walaupun berjalan kaki sudah ada nasi yang mak masak. Duit sekolah memang 10 sen juga. Jadi bila semua ini jadi sebaliknya saya rasa terlalu tersiksa.

Bila saya kenangkan sekarang saya rasa seolah-olah saya bermimpi. Dan saya selalu ingatkan diri saya, kalau boleh saya tidak akan tinggalkan anak-anak saya dengan orang lain selagi saya hidup.

14 ulasan:

Abd Razak berkata...

Salam kak ani..

Apa kabar kak? Moga sihat hendaknya..

Banyak pengajaran dari cerita kakak ni. Apa pun biarlah ianya berlalu dan moga roh mereka (sdra mak kakak tu) dalam peliharaan Allah.

Kunang-Kunang berkata...

Waalaikumussalam Abd. Razak,

Akak sihat. Yerlah,perkara telah berlalu, tak pernah ada dendam bila kita dah faham kehendak agama.

Semua yang terjadi ada hikmahnya.

Ros Illiyyuun berkata...

Salam Kak Ani :)

Menarik sangat cerita kali ni. Walaupun pahit pasti ada manisnya. Sukar untuk melalui pengalaman sebegitu. Amat mahal rasanya harga pengalaman yang ditempuh Kak Ani.

Saya juga punya banyak pengalaman sewaktu kanak-kanak. Kemiskinan mengajar saya erti berdikari.Alhamdulillah, hasilnya walaupun tidak kaya (pinjam ayat Kak Ani :) saya hidup sedikit selesa kini.

Apa perasaan dan respon parent Kak Ani bila kembali kepada mereka ya. Rasanya best lagi cerita ni kalau Kak Ani sambung ke episod 2 :)...Saya tunggu ya.... :)

iBu...gUru berkata...

salam kak ani
lama kak ani menyepi........ tertanya2 juga...menarik cerita kak ani kali ini.apapun pengalaman tu x dapat dijual beli. macam kata ros....sambung ye kak ani pengalaman kak ani ni ......... menarik utk tatapan semua

kakpah berkata...

salam. susah senang biarlah anak2 membesar di depan mata kita.
sungguh berharga pengalaman ani...

aby berkata...

salam k hanim..
satu cerite perjalanan hidup yg menarik ..

saye plak, bile balik ke kmpng, kerap crite kt anak2 saye bile sampai ke kawasan yg mendatangkan kenangan perjalanan hidup.

sekadar utk berkongsi pengalaman dgn depa .. ternyata care kite dan depa membesar tu jauh berbeza ..

Werdah berkata...

Salam Ani

Kenangan dan pengalaman masa lalu kadang2 boleh membuatkan kita jadi sedih, namun alhamdulillah semuanya dah dimaafkan.

Bila ada sesuatu yang terjadi pada diri kita, pasti ada hikmah disebaliknya, hanya Allah sahaja yang Tahu.

Pn Kartini berkata...

salam:)

menghayati perjalanan hidup yang semmgnya agak memeritkan..pasti kenangan itu menebal di sanubari...

Semoga akak sentiasa diberikan kebahagiaan disamping keluarga tersayang..:)

Kunang-Kunang berkata...

Waalaikumussalam Ros,

Tulahkan Ros, zaman anak-anak sekarang membesar lain sikit. Tapi kita juga kena ingat tak semua bernasib baik seperti didepan mata kita kan.

Tapi betul juga kata Ros pengalaman mengajar kita erti kehidupan.

Kunang-Kunang berkata...

Waalaikumussalam Ibu Guru,

Akak menyepi bukan apa. Internet buat hal. Elok sekejap, rosak balik. Ni baru elok ni tak tau berapa lama tahan.

Lagi satu banyak sangat jemputan kawin setiap sabtu dan ahad, ada di luar tempat tinggal ni jadi kenalah buat perjalanan jauh. Bila balik dah letih.

Semoga Ibu Guru sehat yer.

Kunang-Kunang berkata...

Waalaikumussalam Kak Pah,

Setuju 100% dengan Kak Pah. Biarlah kita bersusah payah kita dapat membesarkan mereka depan mata kita.

Keadaan sekarang yang tak tentu hala ni lagi risau bila anak-anak terpaksa tinggal dengan orang lain. Menumpang satu malam pun bimbang. Kita kena cemburu sikit dengan anak-anak kita. Sekarang dah tak kira lelaki perempuan.

Kunang-Kunang berkata...

Waalaikumussalam E way,

Lama akak tak aktif berblog sebab internet di rumah buat hal. Rindu sungguh pada kawan2.

Memang yer wak, hidup kita (orang kampong nilah) sangat berbeza dengan cara kita membesarkan anak-anak kita. Mungkin pengalaman pembesaran kita menjadikan kita tak mahu anak-anak merasai apa yang kita rasa. Tak taulah sama ada cara ini betul atau tidak.

Kunang-Kunang berkata...

Waalaikumussalam Sis Werdah,

Seronok nampak akak berblogging balik.

Semoga akan sehat sentiasa.

Pengalaman pahit masa lalu bila dikenangkan memang berbaur macam-macam rasa.

Kunang-Kunang berkata...

Waalaikumussalam Sis Tinie,

Terima kasih sudi berikan award. Akak dan mengambilnya beberapa hari lepas tapi memandangkan semalam internet ni buat hal lagi belumlah lagi dapat memperagakannya.