Halaman

Terima kasih Jadi Kawan Blogger Saya

Rabu, 14 April 2010

JANNAH DI SEBALIK MUSIBAH



Di petik dari Blog Genta Rasa

13 April 2010 (Kemudi Hati)
Tags: Allah, hikmah, indah, musibah

Untuk diriku, dirimu dan kita semua. Ini satu pesanan ringkas dariku:

Allah lebih kasihkan hamba-Nya melebihi kasih seorang ibu kepada anaknya. Apabila si ibu sayangkan anak-anaknya, dia akan mengawal anak-anaknya daripada melakukan sesuatu yang boleh membahayakan walaupun sesuatu yang membahayakan itu sangat disukai oleh si anak. Misalnya, anak yang baru belajar merangkak, merangkak di tepi tangga. Dia akan menangis jika dihalang… Mengapa?

Fikiran si anak yang masih kecil tidak boleh menjangkau kebimbangan si ibu. Si anak hanya tahu hendak main sahaja, tanpa mengetahui bahayanya bermain di tepi tangga. Jangkauan fikiran sianak masih cetek dan pendek. Sebaliknya, siibu yang melarang dan menegah sudah nampak bahaya yang bakal berlaku.

Satu ketika yang lain, sianak sakit. Siibu menyuapkan ubat. Anak meluahkannya semula. Pahit. Tetapi puas ibu memujuk, itu ubat. Sianak masih berdegil, lalu siibu memaksa anak meminum ubat itu dengan cara yang lebih keras dan tegas.

Begitu kita dengan Allah (walaupun sebenarnya nisbahnya terlalu jauh). Akal manusia adalah terbatas. Sedangkan ilmu Allah Maha luas. Begitu apabila Allah menetapkan sesuatu peraturan dan kejadian, pasti ada hikmah di sebaliknya. Kekadang, hikmah itu mampu dijangkau oleh fikiran dan adakalanya tidak.

Namun contohilah orang beriman. Apabila Nabi saw menyampaikan perintah Allah, para sahabat akan terus berkata, “kami taat dan kami patuh” walaupun adakalanya perintah itu sangat sukar dan pahit. Dan apabila berlaku satu musibah, para sahabat akan berkata, “telah berlakulah janji Allah.” Mereka bukan insan tanpa perasaan dan fikiran, tetapi apabila iman mendominasi hati, fikiran dan perasaan dipaksa tunduk kepada ketentuan Ilahi.

Bila datang perintah, orang beriman akan memberi respons yang telah digambarkan oleh Allah menerusi firman-Nya:

“Hanyasanya ucapan orang beriman apabila diperintahkan melakukan sesuatu ialah kami dengar, kami taat.”

Manakala apabila mereka ditimpa musibah mereka akan berkata:

“Mereka yang apabila ditimpa musibah akan berkata, kami milik Allah kepada-Nyalah kami akan dikembalikan.”

Mereka yakin setiap perintah Allah seperti solat, puasa, sabar dan sebagainya itu semuanya bermaksud baik belaka. Dan mereka juga yakin setiap musibah seperti kematian, kesakitan, kegagalan, kemiskinan dan sebagainya, pasti ada hikmah di sebaliknya. Justeru, jika kita ingin menteladani mereka, paksalah diri supaya akur dengan setiap perintah dan menerima dengan sabar setiap musibah. Yakinlah, bahawa Allah swt inginkan keselamatan dan kebahagiaan buat kita dengan segala perintah dan musibah-Nya.

Namun begitu, mengapakah masih ramai manusia yang tidak patuh pada perintah dan tidak sabar dengan musibah? Ini semua kerana kurangnya ilmu dan lemahnya iman. Dengan ilmu kita sedar setiap musibah ada hikmahnya. Dengan iman kita boleh menteramkan hati dengan mengingati Allah. Bagi orang-orang yang benar-benar beriman, apa sahaja yang datang daripada Allah adalah baik walaupun buruk pada pandangan diri mereka sendiri. Mereka beriman dengan apa yang Allah swt tegaskan dalam sebuah hadis Qudsi:

“Wahai anak Adam, jika engkau sabar dan mencari keredhaan pada saat musibah yang pertama, maka Aku tidak meredhai pahalamu selain syurga.”
(HR Ibnu Majah (no: 1597)


Tidak salah bersedih dengan musibah. Tidak salah terasa menderita sewaktu mentaati perintah Allah. Namun jangan membantah dengan sombong. Dan jangan bersedih secara keterlaluan. Apakah kita tidak yakin lagi Allah Maha Mengasihi dan Maha Mengetahui?

Alangkah malangnya sianak yang meluahkan ubat yang disuapkan ibunya… Namun lebih malang lagi seorang hamba yang menolak hikmah musibah yang “dihadiahkan” oleh Tuhannya! Dia akan menderita dua kali. Pertama, menderita oleh musibah itu. Kedua, oleh terluput dan tercabutnya hikmah di sebalik musibah itu.

Justeru, jika sekarang aku, kau dan kita dilanda musibah… cubalah tersenyum (walaupun pedih amat), kenang-kenangkan bujukan Allah. Mudah-mudahan kita mendapat jannah (syurga) di sebalik musibah ini! Amin.

Wallahua’lam

21 ulasan:

piewahid berkata...

salam kak,

manis, mulus, tulus dan kudus menyentuh hati.

jazakallah....

tunbegia berkata...

sungguh insaf kanns,

salamm rabu,

Abd Razak berkata...

Salam kak..

Apabila kita teliti dengan mendalam, ternyata bahawa sabar itu merupakan keistimewaan yang hanya terdapat pada manusia, dan tidak dimiliki oleh malaikat ataupun haiwan. Para malaikat tidak mungkin tergoda oleh syahwat yang boleh menyimpangkan perhatian mereka dalam mengabdikan diri kepada Allah atau menghalangi mereka dengan jalan membenamkan diri dalam melaksanakan tugas-tugas yang diberikan kepada mereka.

MrsNor berkata...

Salam kak anim..baca entry ni begitu menyusuk kalbu .... sy sedang melalui musibah dan harap sy dpt melalui fasa musibah ini dgn jaya nya ....

endiem berkata...

salam zairah.

a kl citizen berkata...

assalammualaikum kak

bersabar dalam musibah hanya terlaksana bagi orang yang telah melaluinya,
dan kak ani adalah salah seorangnya kan.
saya ni belum tentu lagi. cuma doa saya, Allah kurniakan ketabahan dan kesabaran bersama ujian dariNYa nanti

pak long berkata...

salam buat akak..
membaca entri akak penoh dengan simbolik dan pengajaran....moga entri ni memberikan ilmiah yang berguna buat diri ini..mekasih banyak buat akak..

Kunang-Kunang berkata...

Waalaikumusalam pie,

Bila kita diuji kita memang memerlu sesuatu atau seseorang yang boleh menyedarkan kita balik bahawa semua dugaan yang ditimpa ke atas kita adalah berupa dugaanNYA pada kita.

Kunang-Kunang berkata...

Waalaikumussalam Tun,

Inilah yang boleh menjadi santapan kalbu kita sentiasa kan.

Kunang-Kunang berkata...

Waalaikumussalam Abd Razak,

Sememangnya dengan sabarlah akhirnya kita akan mendapat jalan keluar kepada sesuatu masaalah dan kesusahan yang dihadapi.

Yakinlah kita bahawa setiap kesusahan, InsyaAllah akan ada kemudahannya.

Kunang-Kunang berkata...

Waalaikumussalam Nor,

Semoga Nor bersabar kerana setiap musibah yang ditimpakan kepada kita oleh Allah adalah kerana Allah tahu kita mempu menerimanya. Seperti firmannya dalam surah Al Baqarah ayat akhir 285, antaranya

"Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya................"

Sama-samalah kita berdoa semoga musibah yang sedang Nor hadapi itu cepat berlalu dan digantik dengan sesuatu kebaikan dan pahala.

Kunang-Kunang berkata...

Waalaikumussalam,

Terima kasih sudi singgah.

Kunang-Kunang berkata...

Waalaikumussalam,

Sentiasalah kita berdoa semoga Allah tidak menguji kita sesuatu yang kita tidak terdaya menanggungnya.

Kita memang sentiasa diuji untuk mengetahui sejauh mana keimanan kita.

Kunang-Kunang berkata...

Waalaikumusalam Cikgu (Pak Long),

Saya juga begitu terharu ketika membaca N3 dari Ustaz Pahrul ni. Itu yang saya ingin kongsikan bersama. Nak tulis sendiri tak cukupp ilmu, jadi ini jerlah cara kita berkongsi ilmu yang baik ni.

fzi berkata...
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.
fzi berkata...

Salam kak ani...
Rasa insaf baca posting kak ani ni...
Sesungguhnya setiap ujian/musibah yang melanda terselit berbagai hikmah di sebaliknya...

Kunang-Kunang berkata...

Waalaikumussalam Fzi,

Betul Fzi, ujian dalam dari pelbagai arah dan cara.

Werdah berkata...

Salam Ani.

Beruntunglah orang-orang yang sabar dan tahan diuji, berharaplah agar musibah dgigantikan dgn yang lebih baik.. bukankah Ummu Salamah mendapat ganti yang baik bila berkata kami milik Allah kepada-Nyalah kami akan dikembalikan, semoga Allah gantikannya dengan yg lebih baik akhirnya Ummu Salamah dapat berkahwin dgn Nabi selepas suaminya diambil Ilahi.

Ani,

No telefon dr nizar ada kak tulis di komen blog kak.

Selamat berusaha.. semoaga Allah merahmatimu.. Amiin

qaseh mas berkata...

Salam Kak Ani

Musibah itu tanda allah ingat kepada hambaNya.

Bersabar itu payah,
mempertahankannya sukar
namun mengecapinya manis
hanya yang melalui musibah
faham dan mengerti...

Kunang-Kunang berkata...

Waalaikumussalam Sis Werdah,

Terima kasih banyak-banyak.

Kunang-Kunang berkata...

Waalaikumussalam ummu,

Setuju dengan ummu, pada yang pernah melaluinya tahu betapa pahit dan manisnya ujian dari Allah.