Halaman

Terima kasih Jadi Kawan Blogger Saya

Jumaat, 29 Januari 2010

Kunjungan



Bila bercerita tentang temamu dalam islam, saya teringat semasa saya bekerja dulu. Di mana ada seorang kawan sepejabat saya setiap kali datang ofis pada hari Isnin dia nampak letih dan lesu. Macam orang tak cukup rehat. Usianya jauh lebih muda dari saya. Telah mendirikan rumahtangga lebih kurang 5 tahun. Mempunyai 2 orang cahaya mata. 1 lelaki, 1 perempuan. Rumahtangganya bahagia. Itu apa yang saya nampaklah memandangkan dia tak pernah merungut tentang rumahtangganya.

Satu hari saya nampak dia macam tertekan dan sedih, saya tanya dia "tak sihat ker"

"Kak berdosa ker kita kalau orang datang rumah kita, kita layan lebih kurang", soalan saya dijawab dengan soalan juga

"Dalam islam kita disuruh melayan tetamu sebaik mungkin. Itu amat dituntut, kenapa" Tanya saya balik.

Dia mengeluh. "Tapi kak tetamu saya ni saudara mara dan ipar duai saya sendiri"

"Kalau gitu lagilah kena jaga hati mereka tu, apa lagi saudara mara sebelah suami", jawab saya.

Dia nampak terdesak untuk bercerita. Mungkin masalah yang sudah tidak tertanggung.

Dia mula bercerita yang setiap minggu rumahnya akan didatangi tetamu. Tetamu-tetamunya itu adalah adik beradik dan saudara mara sebelah suaminya. Mereka akan datang bertamu tak kira waktu, terutama hari Sabtu, Ahad dan hari cuti apa-apa sajalah. Ini menjadikan dia begitu letih sebab terpaksa memasak dalam kuantiti yang banyak disamping melayan 2 anaknya yang boleh tahan lasak dan menjaga ibu mertuanya yang tidak berapa sihat yang tinggal dengan dia.

Suaminya memang seronok bila mereka ni datang ke rumah mereka. Kebetulan adik beradik dan saudara mara suami ramai tinggal di KL ni. Apa yang menyedihkannya ialah bila saja mendapat khabar adik beradiknya nak datang, semua program yang dirancang terlebih dahulu dengan keluarga akan dibatalkan oleh suaminya. Kiranya rumah dia menjadi tempat mereka lepak setiap hari tidak bekerja.

Dia juga tidak berpeluang bercuti dengan anak-anak dan suami bersendirian. Kemana saja mereka bercuti mesti suaminya akan mempelawa sekali kaum keluarganya ikut. Dan mereka dengan senang hati menerima pelawaan itu sehingga sarat kereta. Pendek kata dia langsung tidak ada privacy. Nampak sangat suaminya begitu mengutamakan keluarganya. Katanya dia dah tak tahan lagi.



Saya beritahu dia, saya bukanlah pandai sangat tentang hal-hal sebegini terutama bila melibatkan rumahtangga orang. Apa yang saya tahu sebagai orang islam apa lagi orang melayu amalan menghormati tetamu amat dituntut. Rasulullah saw sendiri pun ada bersabda yang bermaksud: *Barang siapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menghormati tetamunya.*

Ulama juga sepakat bahawa sifat menghormati dan memuliakan tetamu adalah sifat mulia yang disanjung oleh syariat Islam. Ini kerana memuliakan tetamu dengan memberi bantuan dan menjamu makan akan menghasilkan pahala besar di sisi Allah. Malah orang yang tidak menghormati tetamu samalah seperti tiada menghormati apa yang dianjurkan oleh Allah dan rasul-Nya.

Tapi sebagaimana kita tahu bertamu juga ada adatnya. Tetamu tidak digalakkan bertamu melebihi 3 hari melain tuan rumah yang meminta kita berbuat demikian. Dibimbangkan kehadiran tetamu itu akan menimbulkan rasa kurang senang pada diri orang yang dikunjungi. Bimbang ianya menjadi semacam beban kepada tuan rumah.

Itu saja yang dapat saya beritahu kawan saya tu. Saya nasihatkan dia berbincanglah elok-elok dengan suami tapi ingat jangan sampai bermasam muka. Selebihnya bersabarlah. Semenjak saya bersara saya tak pernah bertemu dia lagi, saya doakan semoga dia rumahtangga dia berbahagia. Dia seorang isteri yang baik cuma mungkin keadaan yang menjadikan dia begitu.

5 ulasan:

tunbegia berkata...

SURUH suami dia memasak dalam kuantiti yang banyak disamping melayan 2 anaknya yang boleh tahan lasak dan menjaga ibu mertuanya yang tidak berapa sihat yang tinggal dengan dia,

wallahualam,

Kunang-Kunang berkata...

Salam tunbegia, terima kasih sudi singgah.

Kalau saya nasihatkan dia begitu, nanti saya jadi 'batu api' pulak. Semoga dia berani membuka mulut berbincang dengan suaminya dan semoga suaminya boleh dibawah berbincang.

white rose berkata...

salam bahagia kak ani...

mmg btul apa kta k.ani...
kita xleh memandai2 perintah mcmana nk settlekan msalah org...

kita hnya dpt memberi pandgan yg baik tuk dia berfikir secara logik...

mudah2an kwn kak ani perolehi kebahagian sepanjang hayat...insya'Allah...

Kunang-Kunang berkata...

InsyaAllah white rose. Mudah-mudahan Allah bukakan hati hasbennya untuk mendengar dan menerima dengan baik keresahan isterinya.

Tanpa Nama berkata...

emmm.....
berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikulnya.masalah ni berpunca dp suami jugak.kadang2 ada suami yg tak paham ataupun buat2 tak paham bila lihat keadaan si isteri ni buat keja banyak sorang2 melayan tetamu dan lain2.cerita ni lebih kurang2 cerita2 yg diceritakan oleh shbt2 pd saya.kena juga bgtau si suami apa yg terbuku di hati.gunalah cara sebaik mungkin.
p.c.