Halaman

Terima kasih Jadi Kawan Blogger Saya

Khamis, 31 Disember 2009

Bercuti Di Faser's Hill





Nampaknya pekan kecil Bukit Fraser ni tak banyak berubah. Dah bertahun-tahun saya dan anak-anak tidak ke sini. Dulu semasa mereka masih di sekolah rendah dan menengah selalu bawa mereka berehat di sini paling tidak selama 2 malam. Kali terakhir kami ke mari semasa zulaikha dan iskandar masih di universiti. Dzulkarnain di sekolah menengah, Inah dan Salam di sekolah rendah.

Begitulah putaran masa. Kedatangan kami kali ini sudah berbeza. Saya dan Cik Abang dah ada 3 orang bercucu. Zulaikha dah ada anak 2 sekarang, dzukarnain dah ada seorang anak perempuan, Inah dan Salam dah di IPT. Iskandar pula telah pulang ke Rahmatullah (Alfatihah untuk anak mama)dua tahun lepas. Kami ke sini kali ini tanpa Salam kerana dia ada kelas di UIA. Kami akan bercuti di Bukit Fraser ni sehingga hari Ahad.

Kami suka kesin kalau nak rasa persekitaran yang sejuk sikit kerana ia berdekatan dengan Shah Alam. Sekarang lagi dekat bila Lebuhraya Guthrie dah ada. Saya suka bawa anak-anak ke sini kerana ia betul-betul tempat untuk beristirehat selain sesekali kami ke Genting Hihgland dan Cameron Highland. Di sini aktiviti yang menyeronokkan kanak-kanak dan remaja tidak banyak cuma boleh bersampan dan naik kuda. Bila mereka dah besar mereka dah tak berapa mahu ke sini lagi. Boring kata mereka. Itulah sebabnya kami tidak kemari.

Memandangkan Cik Abang saya adalah bekas orang TM, kami menginap di Banglo TM memandangkan diskaun yang agak bagus untuk staf dan bekas staf TM. Kami menyewa 3 bilik kerana 2 orang anak saya yang dah berkeluarga ikut sekali.





Inilah banglo tempat kami menginap. Dibawah gambar tu ialah sebahagian daripada ruang tamu yang luas di bilik VIP yang kami sewa tu.




Cuaca di atas Bukit ini agak sejuk juga memandangkan sekarang musim hujan. Kalau datang bukan bulan Disember, cuacanya tidaklah sejuk sangat.





Pemandangan dari beranda sebelah belakang banglo kami.




Suasana persekitaran.


Memandangkana tidak ada aktiviti lain yang boleh kami buat selain berehat, tidur dan makan, kami bawa yang kecik-kecik ini ke padang permainan kanak-kanak. Seronok nampaknya mereka ni maklumlah tak pernah bermain dalam cuaca yang agak sejuk.







Di Banglo kami tu tidak disediakan makanan Kami kenalah cari makan di kawasan persekitaran. Di sini tidak banyak tempat makan, yang ada untuk umum hanyalah sebuah restoran/cafe di Puncak Inn dan ada beberapa gerai sementara ditempatkan tidak jauh dari Taman Bunga. Di Gerai ni harganya boleh tahan juga, tidak mahal sangat walaupun agak mahal dari di tempat kita di bawah ni. Kebanyakan waktu makan, kami makan di dua tempat ini. Cuma pada hari Ahad, kami bersarapan di Shahzan Hotel.



Ooii lapar betul, bertimbun pinggan nampak. Ni semasa sarapan di Shahzan Hotel.


Kami ada juga ke Air Terjun. Saya dan suami tunggu di luar kawasan air terjun saja, tak larat nak ke tempat air terjun tu. Takut tak larat nak berjalan balik nanti. Anak-anak saja yang pergi. Sempat juga snap gambar-gambar ni



si kembang pagi




Bunga pisang hutan, cantik, pertama kali tengok.




Rumput tepi alur anak sungai.


Seperti biasa saya ke nurseri. Anak-anak dan Cik abang dah faham. Mereka menurut saja. Bestnya tengok pokok-pokok bunga yang dijual di situ, antaranya



Ros




Kekwa.




Kekwa






African's daisy




Kami turun ke bawah pada jam 10.00 pagi, pada hari Ahad iaitu selepas sarapan. Dalam perjalanan balik sempat juga snap gambar empangan air Kuala Kubu ni, cantik sungguh ciptaan Allah.





Di samping seronok bercuti, jauh disitu hati saya terasa sayu dan sedih. Banyak kenangan indah kami di sini. Setiap jalan dan persekitaran yang disusuri mengingatkan saya pada Iskandar. Saya tidak ke tempat sampan dan horse riding sebab disitulah selalunya kami akan memhabiskan masa-masa kami ketika di Faser's Hill.

Saya tidak memberitahu sesiapa perasaan sedih ini. Saya tak mahu anak-anak sedih bila tahu saya sedih. Saya berinstirafar banyak-banyak tiap kali rasa sebak datang dan air mata nak tergenang. Apa nak buat saya manusia biasa. Sekuat mana di lawan perasaan sedih, sekali sekala saya kalah juga.

Isnin, 28 Disember 2009

Datanglah



DATANGLAH


Gunung sudah ku daki
Walau sejuknya membekukan tulang
Demi Mencari Mu
Ku redah jua

Ke lembah, ke kali, pantai dan laut
Aku harungi
Walau aku kuyup kebasahan
Tujuan ku hanya satu
Mencari mu

Namun kau
Masih samar-samar
Sekejap singgah dihati
Sekejap kau lari
Mengapa sukarnya
Kau bermustautin di kalbu ini

Berapa banyak air mata ku tumpah
Bila kesepian datang menyinggah
Aku terus menunggu
Semoga kau datang

Aku sujud padaNYA
Aku berzikir dan bermunajat padaNYA
Aku memohon keredhaanNYA
Hajat ku yang satu
kau menjadi milik ku

Aku menangis tika kau melangkah pergi
Hati Ku sedih, luka nan parah
Aku ingin memiliki mu
Seperti dulu-dulu

Aku berlari mengejar
Percepatkan langkah demi mencari mu
Memanggil-manggil nama mu
Di setiap sudut dan penjuru
Tapi kau tetap juga kau
Datang bila sudi
Bila pergi
Meninggalkan sepi

Khamis, 17 Disember 2009

Salam Maal Hijrah 1431



Sempena Maal Hijrah esok saya ingin mengambil kesempatan mengucapkan Salam Maal Hijrah kepada semua sahabat yang selama ini sudi bertandang ke blog saya yang serba kekurangan ini.

Petang ini merupakan penutup bagi tahun hijrah 1430. Saya kira seperti di tahun-tahun yang lalu masjid-masjid dan surau-surau ditempat kita akan mengadakan aktiviti-aktiviti seperti doa akhir tahun dan doa awal tahun menjelang maghrib nanti. Mungkin ada juga masjid-masjid dan surau-surau mengadakan ceramah mengenai maal hijrah.

Sempena menyambut Maal Hijrah ini sama-samalah kita mengingati dan menghayati penghijrahan serta perjuangan Rasulullah s.a.w dan sahabat dalam peristiwa Hijrah dari Makkah ke Madinah. Peristiwa penting dalam sejarah Islam.

Esok 1 Muharam bermulalah lembaran baru dalam hidup kita dah semoga kita sama-sama berhijrah daripada yang baik kepada yang lebih baik. Sesungguhnya kita adalah umat terbaik. Untuk renungan bersama:

Firman Allah ta'ala: “Demi masa, sesungguhnya manusia dalam kerugian, kecuali mereka yang beriman, yang mengerjakan amal soleh, yang berpesan-pesan dengan kebaikan, dan yang berpesan-pesan dengan kesabaran.”

Nabi s.a.w. bersabda; “Berusahalah untuk duniamu seolah-olah kamu akan hidup selama-lamanya dan berusahalah untuk Akhirat mu seolah-olah kamu akan mati esok hari.” - Sahih Muslim

Jumaat, 11 Disember 2009

Melepas Bosan Di Sungai Besar







Cantiknya pemandangan di sepanjang jalan menuju ke Sungai Besar.

Hari Sabtu lepas untuk menghilangkan rasa bosan di rumah, saya dan suami buat keputusan untuk berjalan-jalan ke Sungai Besar. Orang kata di Sungai Besar udang, sotong dan ikan segar-segar. Harganya pun boleh tahan murah.



Seperti biasa kalau tokbah dengan nekma nak kemana-mana mesti ada orang nak ikut. Kami bergerak dari rumah zulaikha di Puncak Alam. Dari situ dah agak dekat untuk ke Kuala Selangor iaitu kira-kira 30 kilometer lebih. Akhirnya kami berlepas menuju Sungai Besar lebih kurang jam 10.30 pagi. Zulaikha sekeluarga ikut sekali.

Semasa dalam perjalanan ke Sungai Besar terutama ketika di Kuala Selangor, di sepanjang jalan ramai orang berjual buah-buahan. Terutama mangga dan jagung rebus. Tapi frust sikit sebab mangga yang dijual ketika ini bukan mangga dari Kuala Selangor sendiri seperti kebiasaannya. Harganya pun RM8.00 sekilo. Borong semua mangga harga serupa tak kira mangga apa. Menurut sipenjual, mangga-mangga tu dari siam. Mangga Kuala Selangor dan mangga di kawasan sekitarnya akan mula dijual dalam bulan April tahun depan. Jagung rebusnya muda dan manis.



Pada saya, rasanya harga mangga tu agak mahal berbanding jika dijual di Shah Alam ni. Bukanlah murah sebagaimana dijangka. Kata penjual tu kalau mangga dari situ boleh dapat 3 hingga 4 kilo dengan harga RM10.

Tiba di Sungai Besar lebih kurang jam 1.00 tengahari. Besar jugak pekan Sungai Besar. Di situ ada terdapat banyak kedai yang menjual bermacam-macam barangan. Terutama kedai yang menjual pakaian, tudung dan kain-kain ela.

Memandangkan waktu tu dah tiba waktu makan, kami cari tempat untuk makan, akhir jumpakan restoran ni.



Ramai pelanggan di kedai tu. Makanannya boleh tahan. Begitu juga harga makanan yang kami makan boleh dikirakan murah berbanding dengan harga makanan di restoran di Shah Alam ni.

Kami pusing-pusing kejap di pekan tu. Singgah satu dua kedai. Disatu kedai tu saya beli 4 pasang telekong. Cantik telekongnya bersulam kerawang, harga cuma RM49.90. Kalau di Shah Alam jangan harap nak dapat dengan harga tu. Saya beli 4 pasang telekong untuk dihadiahkan sorang satu. Satu untuk saya, dua untuk 2 anak perempuan dan 1 untuk menantu saya.

Akhir sekali, kami ke Pasar Awam Sungai Besar. Di situ kami beli udang, sotong. Ikan ada juga beli sikit. Semuanya memang segar-segar. Rasanya lain kali kalau nak beli udang, sotong atau ikan kena pegi awal pagi.

Semasa perjalanan balik, kami singgah lagi di gerai-gerai ditepi jalan tu untuk beli pisang. Saya beli pisang tanduk sikit. Balik terus buat goreng pisang. Sedap. Menyesal pulak beli sekilo jer.

Isnin, 7 Disember 2009

Perpisahan - Adakah Jalan Terbaik???




"Derhaka sungguh dia pada suami" Adik ipar saya mulakan cerita mengenai anaknya sebaik saja adik beradik yang lain bergerak balik selepas kami berkumpul sempena hari raya aidiladha. Adik ipar saya ni isteri kepada adik saya. Hanya kami berdua saja yang telah bermenantu dan bercucu. Jadi kiranya hanya kami yang faham masalah macam ni.

"kenapa" tanya saya "tak berbaik lagi ker"

"belum, makin teruk ada" sambong dia

Adik ipar saya terus bercerita, nampak sedih dan resah dimuka dia. Sebenarnhya kami jarang bercerita hal anak-anak yang dah berkeluarga melainkan hal yang elok-elok saja. Saya sebagai kakak yang sulunglah yang selalu jadi tempat mencurah apa-apa kesulitan.

"Hari tu kami lenjun mandi gulai siput sedut yang melayang ditendang menantu kesayangan". Terkepil mata saya mendengar. Terkejut ada marah pun ada. Mana pergi sopan santun dan budi bahasa budak ni, fikir saya. Rasa hormat pada suami dan mertua sudah lenyap sama sekali. Rendahnya budi bahasa. Itulah detak hati saya.

Tergenang air matanya, adik saya yang ada bersama-sama kami diam jer tak menyampok. Banyaklah lagi cerita menantunya kesayangannya diceritakannya.

Menurut cerita, kisah ini bermula bila si menantu syak suaminya (anak saudara saya) ada perempuan lain. Semenjak tu mereka selalu bergaduh. Bila ditanya kepada anak saudara saya, kenapa boleh jadi macam ni, dia kata dia dah tak tahan lagi dengan perangai isterinya. Tiap-tiap hari asyik marah dan berleter. Duit ringgit gaji langsung tak boleh pegang, semua si isteri yang kontrol.

Sekarang si isteri asyik mintak. Cerita di atas terjadi beberapa hari sebelum raya haji, di mana kerana terlalu marah sebaik sahaja menantunya tiba di rumah adik saya (ibubapa mertuanya) dan ternampak suaminya sedang makan bersama bersama mertuanya dan adik beradik yang lain, dia terus tendang lutut suaminya. Ketika itu mereka makan dilantai. Bertaburan lauk pauk terpercik kepada mereka yang sedang makan termasuk anaknya (cucu adik saya) yang berusia 4 tahun. Anak tu meraung-raung pedih mata terpercik gulai lemak cili api.

Nak elakkan pergaduhan terjadi depan ibubapa agaknya, anak saudara saya berjalan ke dapor. Masa nilah terdengar pelepak pelepok macam orang sedang tendang menendang. Adik ipar saya meluru ke dapor bimbang anakannya pukul menantunya, rupanya menantunya sedang menendang anaknya. Anaknya tak melawan cuma cuba mengelak saja. Dia siap memekik-mekik kononnya ibubapa mertuanya tidak pandai ajar anak (suaminya) sebab itulah suaminya berperangai macam ni.

Sibapak mertua tak setuju anaknya bercerai kerana bimbang dia tidak akan dapat melihat cucunya lagi. Tapi siibu yang diberikan Allah 1 akal 9 nafsu ni meminta anaknya melepaskan saja isterinya kalau itu yang dia mahu. Dia tak sanggup melihat anak yang dilahirkan, dididik dari sebesar 2 jari diperlakukan menantunya sedemikian rupa.

Saya sendiri terkejut mendengar cerita tu. Tak tahu apa nak kata, tapi sebagai insan yang juga diberikan Allah 1 akal 9 nafsu ni kalau ditanya keputusan saya ketika ini, Saya rasa isteri yang menderhaka ni patut dilepaskan saja.

Jumaat, 4 Disember 2009

Kelebihan Ayat Kursi



Allah, tidak ada yang benar disembah hanya Dia yang Hidup dan Maha Kaya, tidak pernah ditimpa mengantuk dan tidak pernah tidor, bagin Nya sesuatu yang ada di langit dan di bumi, tidak ada yag boleh membri syafaat kecuali denga izin Nya. Ia maha mengetahui segala apa yang terjadi di hadapan mereka dan dibelakang mereka. Tidaklah mereka meliputi ilmunya sedikit jua kecuali yang dikehendakki Nya. Lebih luas kerusiNya dari langit dam bumi. Tidak susah bagi Nya memelihara keduanya. Ia maha Tinggi dan maha Besar.

Kelebihan Ayat Kursi

Dalam sebuah hadis, ada menyebut perihal seekor syaitan yang duduk di atas pintu rumah. Tugasnya ialah untuk menanam keraguan di hati suami terhadap kesetiaan isteri di rumah dan keraguan di hati isteri terhadap kejujuran suami di luar rumah.

Sebab itulah Rasulullah tidak akan masuk rumah sehinggalah Baginda mendengar jawapan salam daripada isterinya Di saat itu syaitan akan lari bersama-sama dengan salam itu.....

Hikmat Ayat Al-Kursi mengikut Hadis-hadis :

1. Barang siapa membaca ayat Al-Kursi apabila berbaring di tempat
tidurnya,Allah SWT mewakilkan dua orang Malaikat memeliharanya hingga subuh.

2. Barang siapa membaca ayat Al-Kursi di akhir setiap sembahyang Fardhu, dia akan berada dalam lindungan Allah SWT hingga sembahyang yang lain.

3. Barang siapa membaca ayat Al-Kursi di akhir tiap sembahyang, tidak menegah akan dia daripada masuk syurga kecuali maut dan barang siapa membacanya ketika hendak tidur, Allah SWT memelihara akan dia ke atas rumahnya, rumah jirannya dan ahli rumah-rumah di sekitarnya.

4. Barang siapa membaca ayat Al-Kursi di akhir tiap-tiap sembahyang fardhu, Allah SWT menganugerahkan dia setiap hati orang yang bersyukur, setiap perbuatan orang yang benar, pahala nabi-nabi serta Allah melimpahkan padanya rahmat.

5. Barang siapa membaca ayat Al-Kursi sebelum keluar rumahnya, maka Allah SWT mengutuskan tujuh puluh ribu Malaikat kepadanya mereka semua memohon keampunan dan mendoakan baginya.

6. Barang siapa membaca ayat Al-Kursi di akhir sembahyang Allah SWT akan mengendalikan pengambilan rohnya dan dia adalah seperti orang yang berperang bersama Nabi Allah sehingga mati syahid.

7. Barang siapa yang membaca ayat Al-Kursi ketika dalam kesempitan nescaya Allah SWT berkenan memberi pertolongan kepadanya.