Halaman

Terima kasih Jadi Kawan Blogger Saya

Khamis, 30 April 2009

Kehilangan

Setiap kali salah seorang dari anggota keluarga ku sakit. Aku jadi terlalu takut. Aku takut akan kehilangan lagi orang-orang yang aku sayang. Aku rasa tidak ada kekuatan lagi untuk menerima sekali lagi ujian kehilangan orang yang disayang.

Ya Allah yang Tuhan ku, kau sembuhkanlah segera suamiku. Jauhkanlah dia dari segala yang tidak diingini. Aku pernah merasa kepedihan dan kesengsaraan kehilangan anak yang ku sayangi 2 tahun lepas. Air mata ini masih mengalir seandai gambaran peristiwa dan wajah anak lelaki ku datang dalam ingatan. Betapa hati ini merindui dia.

27 Mei 2007 saat duka yang teramat datang dalam hidup kami. Anak lelaki sulung ku berusia 25 tahun pergi mengadap Ilahi semasa terlibat dalam kemalangan jalan raya. Keretanya melanggar pembahagi jalan. Polis kata dia mengantuk. Dia dalam perjalanan balik dari tempat kerjanya di MAS subang. Seorang anak yang baik dan sangat menyayangi aku. Seorang anak yang sentiasa senyum dan tak pernah melawan cakap aku dan abahnya. Tidak pernah meninggikan suara. Seorang abang yang disayangi adik-adik. Innalillah hiwainna Ilaihirajiuun. Itu sahaja yang dapat aku ucapkan setiap kali dada ni sebak merindui dia.

Pergilah sudah seorang permata hati aku di antara 5 orang permata hati ku yang dikurniakan Allah. Pemergian yang ditangisi oleh semua adik-adik dan seorang kakaknya. Rintihan ini bukan kerana aku tidak redha dengan takdir Allah, tetapi hanya menyatakan betapa rindunya aku seorang ibu kepada seorang anak yang dibelai dengan penuh kasih sayang. Kembalilah anak ku menemui penciptanya.

Semenjak peristiwa ini jiwa aku jarang tenang. Terutama bila salah seorang anak ku tiada di rumah. Aku belajar menasihati diri. Kita tidak dapat melawan takdir. Tapi kata-kata ini belum cukup kuat untuk memberikan aku ketenangan. Aku sentiasa mencari ketenangan dengan mengaji, mendirikan sholat-sholat sunat dan menghadiri kelas-kelas agama untuk menguatkan akidah diri.

Masuk Hospital

Abang (suami ku) telah 4 hari masuk wad. Kesian dia. Tadi semasa aku tinggalkan dia untuk pulang sekejap ke rumah dia nampak segar dan sihat sikit. Tak tahulah berapa lama lagi di akan berada di hospital tu. Dia dimasukkan ke sebuah hospital swasta di Shah Alam ni.
Semenjak kami kembali dari Mekah untuk menunaikan umrah kira-kira 3 minggu yang lalu batuknya makin menjadi-jadi. Semasa di tanah suci tu hanya dia seorang yang diserang selsema dan batuk. Aku dan 3 orang anak ku Alhamdulillah sihat diberikan Allah.
Pagi isnin baru ni aku nampak abang batuk dengan teruknya hingga bergegar seluruh badan. Aku yang mendengar ni pun rasa sakit. Dah berkali-kali suruh jumpa doktor. Tapi dah semula jadi dia jenis yang tak berapa gemar jumpa doktor, dia asyiklah bertangguh. Dia cuma minum ubat batuk yang dibeli dikedai.
Pagi tu aku juga nampak dia berpeluh-peluh dan seolah-olah kena asma. Nampak tercungap-cungap. Aku paksa dia jumpa doktor. Aku pandu kereta dan bawa dia ke salah sebuah hospital swasta yang terdekat dengan rumah. Di hospital sesak nafasnya makin menjadi. Pihak hospital terus bagi dia oksigen. Tak sangka pulak akan begini jadinya.
Apabila di ambil tekanan darahnya. Uhhhhhh 250/115. Terperanjat besar dibuatnya. Dia tak pernah ada darah tinggi atau kencing manis. Sakit yang dia selalu tanggung ialah gout. Doktor kata mungkin penyakit ni dah lama tapi dia tak tahu. Entahlah, selalunya tiap kali doktor cek BP selalu doktor kata berjaga-jaga.
Rupanya bukan BP saja yang tinggi. Jantung dia juga bengkak. Paru-paru disebelah kanan dijangkitan kuman, paru-paru sebelah kiri berair. Hati dia juga bengkak. Seriusnya. Bergenang air mata aku bila doktor panggil aku beritahu yang abang kena masuk wad. Tak boleh tidak. Doktor takut BPnya naik lagi. Aku beritahu anak-anak tentang abah mereka. Aku tahan sebak dihati tak mahu anak-anak bimbang. Tapi air mata aku tetap keluar juga. Ya Allah sembohkanlah dia dengan segera.

Rabu, 29 April 2009

Hiasan

Aku belajar sikit untuk mengisi apa-apa yang perlu dalam blog. Maklumlah pengetahuan IT aku tak tinggi. Cukup sekadar jangan tidak ambik tahu sangat tentang perkembangan IT. Aku terpaksa merangkak2 untuk melengkap blog ini. Aku juga berharap ada yang sudi menegur andainya apa yang tidak kena dengan blog aku ni.

Kerdipan Kehidupan

Aku ingin sangat membina satu blog untuk ku.

Aku ingin jadikan blog ini tempat mencatitkan apa-apa peristiwa yang berbagai ragam yang terjadi dalam kehidupan ku. Ada ketika manis dan ada ketika pahit. Kepahitan hidup aku anggap sebagai ujian dari Allah. Begitu juga saat manis yang ku lalui, aku selalu mengingatkan diri agar jangan sampai kita terlupa kepadaNYA dalam menikmati kenikmatan hidup yang dianugerahkan.