Halaman

Terima kasih Jadi Kawan Blogger Saya

Selasa, 16 Jun 2009

Peristiwa Di Bulan Jun

16 Jun 1981

Selepas mengharungi kesakitan untuk bersalin selama 14 jam pada tarikh ini lahirlah Iskandar ke dunia secara pembedahan. Bayi seberat 10.5 lb tu ditunjukkan oleh jururawat kepada ku yang masih dalam keadaan antara sedar dan tidak (kesan ubat bias). Anak kedua ku.

Iskandar membesar seperti kanak-kanak lain, bersekolah, masuk universiti dan bekerja. Pada pandangan ku, dia disukai teman-teman kerana sikapnya yang sentiasa senyum dan suka bergurau.

Tapi rupanya dia dipinjamkan kepada ku selama 26 tahun sahaja oleh Allah. Dia dijemput pergi pada 27 Mei 2007 dalam keadaan yang sangat tragis. Kemalangan dengan kereta kesayangannya. Kereta tu juga terpaksa dikondemkan kerana sudah remuk teruk dan kami sekeluarga tak mungkin sanggup melihatnya kereta itu seandainya dia masih boleh dibaiki. Kesedihan menyelubungi keluarga ku. Konsep pinjaman terpaksa aku akur. Terpaksalah menerima qadaq dan qadar ini dengan tabah.



Dalam Keharuan
Kami Mengiringi Mu Ke Sana
Ke satu Kawasan Sepi
Untuk jasad mu bersemadi

Tinggallah anak ku
Buah hati Mama
Kami, abah mu
Kakak dan Adik-adik mu
Mengiringi Kepulangan Mu
Dengan Doa Dan Harapan
Semoga Roh Mu diterima Allah
Dengan Penuh Pengampunan
Kasih Sayang
Serta Belas KesihanNYA

Pusara Mu Kami Kunjungi
Kami Iringi Doa dengan Bacaan ayat-ayat Suci
Damailah Kamu Di Sana Anak Ku
Dalam Kasih Sayang Pencipta Mu
Itulah Harapan Kami



16 Jun 2007 iaitu lebih kurang 2 minggu dia meninggalkan kami, dengan mengadakan kenduri arwah kami serahkan cincin pertunangan yang dibelinya kepada bakal tunangnya. Itu dah janjinya. Kami tak sanggup menyimpannya. Tarikh hari lahirnya yang ke 26 tahun itu juga adalah tarikh yang telah ditetapkan untuk upacara pertunangan. Kita merancang Allah yang menentukan. Akhirnya tarikh itu bertukar menjadi kenduri arwah.

Hari ini 16 Jun 2009, seandainya dia masih ada dia sudah berusia 28 tahun. Tapi perkataan seandainya tidak patut ada dalam kamus kami lagi kerana dia sudah tiada.

1 Jun 1991

Hari ini lahirlah Salam dalam hidup kami. Sekarang Salam dah remaja. Anak yang amat mirip dengan abangnya yang dah tiada. Allah Maha Kaya, suaranya, tingkah laku, hobinya, cita-cita tersangat menyerupai Iskandar. Sedang berusaha menimba pelajaran untuk menggapai apa yang diidamkan.





Tunggu dapat birthday kek dari Pak Su Alam ker!!

Birthday dia tahun ni kami sambut di rumah sahaja. Sederhana. Semoga Salam dirahmati dan di lindungi Allah selalu. Begitu juga pada anak-anak mama yang lain.

Pada Iskandar, bayangan wajah, gerak-geri mu jelas dimata. Mama doakan semoga Allah memasukkan roh mu anak ku ke dalam gulungan orang-orang yang sholihin dan sodhigin. Amin.

13 ulasan:

Zayed Zulkifli berkata...

kenangan semalam terus menggamit

Shida berkata...

Sedihnya coretan akak pagi ini. Semoga roh arwah di tempatkan bersama hambaNya yg beriman.

anak paklah cikbun berkata...

Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah, dan kepada Allah jualah kami kembali..

Kunang-Kunang berkata...

Terima kasih zayed, sudi singgah di blog kak ani. Apa khabar sekarang. Semoga baik adanya. Zayed antara yang tahu peristiwa ini terjadi. Walau pun dah 2 tahun berlalu kenangan itu seolah2 semalam berlaku.

Kunang-Kunang berkata...

Terima kasih shida. Itulah shida selama ini yang terbenam dihati. Masa inilah bunga2 diruang kecik depan rumah kak hanim terbiar dan kering sebagaimana sedihnya hati orang yang menanamnya. Masih mencuba sedaya upaya menerima takdir ini dengan tabah.

Kunang-Kunang berkata...

Terima kasih Pakndak kerana kemari lagi. Semoga Pakndak terus tercapai apa yang dicita2kan.

Miss Bee berkata...

salam mak cik,

sungguh saya tersentuh membacanya- tak terbayang sy perasaan seorang ibu yang kehilangan anak apabila sudah dewasa;pastinya sungguh banyak kenangan dengan arwah. Namun, kita terpaksa dengan rela akur tentang erti pinjaman. satu kontrak hidup yang sementara ini. Sy doakan moga mak cik dapat bertemu kembali dengan Iskandar di syurga yang abadi nanti. Sungguh Allah maha Penyayang dan Maha Pengasih dan amat memahami kita; dan kita juga perlu sentiasa memahami kehendakNya..

semoga sentiasa tabah!
terima kasih mak cik kerana entry ini juga turut menyedarkan saya tentang tempoh hidup..

salaam

Kunang-Kunang berkata...

Walaikumussalam Miss Bee. Terima kasih sudi singgah di Blog mak cik.

Kesedihan kehilangan orang yang disayang tidak dapat digambarkan dengan kata2 hanya yang mengalaminya dapat merasakan apa yang dirasa ketika menerima berita kematiannya.

Mak Cik juga sentiasa berdoa agar Allah memberikan kekuatan dalam menghadapi dugaanNYA walaupun kadang2 kecundang juga. Tapi cepat bangkit.

Purple Crayon berkata...

kak,sabar ye kak.
moga Rahmat Allah sentiasa bersamanya.

nenek berkata...

Kak ani...

Walau waktu terus berlalu...
namun kenangan itu juga yang terus bertamu...

Semoga kak ani terus tabah...

Kunang-Kunang berkata...

Dib, ramai orang kata bila waktu berlalu kita akan dapat melupakan peristiwa pahit dalam hidup kita. Tapi bukan kematian orang yang disayang. Kematian orang yang disayang, lagi lama dia meninggalkan kita, lagi rindu kita kepada dia.

Tapi InsyaAllah dib. Sekarang kak ani dah berupaya menahan air mata dari tumpah seandainya bayangan-bayangan masa lalu menjelma. Sebab tulah berani pastekan gambar dia disini.

Kesedaran mengajar kak ani bahawa tak baik bagi kita terus menerus melayan rasa sedih. Akan merosakkan jiwa raga kita. Kata semangat dan galakan dari kawan2 kita juga menguatkan jiwa ni untuk menerima takdir ni.

Terima kasih pada semua.

Imran Yusuf berkata...

Semoga Sdr Kunang-Kunang tabah menempuhi tarikh 16 Jun... kita semua milik Allah dan kepadaNya kita akan kembali.. hanya menunggu masanya sahaja...

Kunang-Kunang berkata...

Terima kasih saudara Imran sudi singgah di sini dan terima kasih juga atas ingatan. InsyaAllah