Halaman

Terima kasih Jadi Kawan Blogger Saya

Khamis, 31 Disember 2009

Bercuti Di Faser's Hill





Nampaknya pekan kecil Bukit Fraser ni tak banyak berubah. Dah bertahun-tahun saya dan anak-anak tidak ke sini. Dulu semasa mereka masih di sekolah rendah dan menengah selalu bawa mereka berehat di sini paling tidak selama 2 malam. Kali terakhir kami ke mari semasa zulaikha dan iskandar masih di universiti. Dzulkarnain di sekolah menengah, Inah dan Salam di sekolah rendah.

Begitulah putaran masa. Kedatangan kami kali ini sudah berbeza. Saya dan Cik Abang dah ada 3 orang bercucu. Zulaikha dah ada anak 2 sekarang, dzukarnain dah ada seorang anak perempuan, Inah dan Salam dah di IPT. Iskandar pula telah pulang ke Rahmatullah (Alfatihah untuk anak mama)dua tahun lepas. Kami ke sini kali ini tanpa Salam kerana dia ada kelas di UIA. Kami akan bercuti di Bukit Fraser ni sehingga hari Ahad.

Kami suka kesin kalau nak rasa persekitaran yang sejuk sikit kerana ia berdekatan dengan Shah Alam. Sekarang lagi dekat bila Lebuhraya Guthrie dah ada. Saya suka bawa anak-anak ke sini kerana ia betul-betul tempat untuk beristirehat selain sesekali kami ke Genting Hihgland dan Cameron Highland. Di sini aktiviti yang menyeronokkan kanak-kanak dan remaja tidak banyak cuma boleh bersampan dan naik kuda. Bila mereka dah besar mereka dah tak berapa mahu ke sini lagi. Boring kata mereka. Itulah sebabnya kami tidak kemari.

Memandangkan Cik Abang saya adalah bekas orang TM, kami menginap di Banglo TM memandangkan diskaun yang agak bagus untuk staf dan bekas staf TM. Kami menyewa 3 bilik kerana 2 orang anak saya yang dah berkeluarga ikut sekali.





Inilah banglo tempat kami menginap. Dibawah gambar tu ialah sebahagian daripada ruang tamu yang luas di bilik VIP yang kami sewa tu.




Cuaca di atas Bukit ini agak sejuk juga memandangkan sekarang musim hujan. Kalau datang bukan bulan Disember, cuacanya tidaklah sejuk sangat.





Pemandangan dari beranda sebelah belakang banglo kami.




Suasana persekitaran.


Memandangkana tidak ada aktiviti lain yang boleh kami buat selain berehat, tidur dan makan, kami bawa yang kecik-kecik ini ke padang permainan kanak-kanak. Seronok nampaknya mereka ni maklumlah tak pernah bermain dalam cuaca yang agak sejuk.







Di Banglo kami tu tidak disediakan makanan Kami kenalah cari makan di kawasan persekitaran. Di sini tidak banyak tempat makan, yang ada untuk umum hanyalah sebuah restoran/cafe di Puncak Inn dan ada beberapa gerai sementara ditempatkan tidak jauh dari Taman Bunga. Di Gerai ni harganya boleh tahan juga, tidak mahal sangat walaupun agak mahal dari di tempat kita di bawah ni. Kebanyakan waktu makan, kami makan di dua tempat ini. Cuma pada hari Ahad, kami bersarapan di Shahzan Hotel.



Ooii lapar betul, bertimbun pinggan nampak. Ni semasa sarapan di Shahzan Hotel.


Kami ada juga ke Air Terjun. Saya dan suami tunggu di luar kawasan air terjun saja, tak larat nak ke tempat air terjun tu. Takut tak larat nak berjalan balik nanti. Anak-anak saja yang pergi. Sempat juga snap gambar-gambar ni



si kembang pagi




Bunga pisang hutan, cantik, pertama kali tengok.




Rumput tepi alur anak sungai.


Seperti biasa saya ke nurseri. Anak-anak dan Cik abang dah faham. Mereka menurut saja. Bestnya tengok pokok-pokok bunga yang dijual di situ, antaranya



Ros




Kekwa.




Kekwa






African's daisy




Kami turun ke bawah pada jam 10.00 pagi, pada hari Ahad iaitu selepas sarapan. Dalam perjalanan balik sempat juga snap gambar empangan air Kuala Kubu ni, cantik sungguh ciptaan Allah.





Di samping seronok bercuti, jauh disitu hati saya terasa sayu dan sedih. Banyak kenangan indah kami di sini. Setiap jalan dan persekitaran yang disusuri mengingatkan saya pada Iskandar. Saya tidak ke tempat sampan dan horse riding sebab disitulah selalunya kami akan memhabiskan masa-masa kami ketika di Faser's Hill.

Saya tidak memberitahu sesiapa perasaan sedih ini. Saya tak mahu anak-anak sedih bila tahu saya sedih. Saya berinstirafar banyak-banyak tiap kali rasa sebak datang dan air mata nak tergenang. Apa nak buat saya manusia biasa. Sekuat mana di lawan perasaan sedih, sekali sekala saya kalah juga.

Isnin, 28 Disember 2009

Datanglah



DATANGLAH


Gunung sudah ku daki
Walau sejuknya membekukan tulang
Demi Mencari Mu
Ku redah jua

Ke lembah, ke kali, pantai dan laut
Aku harungi
Walau aku kuyup kebasahan
Tujuan ku hanya satu
Mencari mu

Namun kau
Masih samar-samar
Sekejap singgah dihati
Sekejap kau lari
Mengapa sukarnya
Kau bermustautin di kalbu ini

Berapa banyak air mata ku tumpah
Bila kesepian datang menyinggah
Aku terus menunggu
Semoga kau datang

Aku sujud padaNYA
Aku berzikir dan bermunajat padaNYA
Aku memohon keredhaanNYA
Hajat ku yang satu
kau menjadi milik ku

Aku menangis tika kau melangkah pergi
Hati Ku sedih, luka nan parah
Aku ingin memiliki mu
Seperti dulu-dulu

Aku berlari mengejar
Percepatkan langkah demi mencari mu
Memanggil-manggil nama mu
Di setiap sudut dan penjuru
Tapi kau tetap juga kau
Datang bila sudi
Bila pergi
Meninggalkan sepi

Khamis, 17 Disember 2009

Salam Maal Hijrah 1431



Sempena Maal Hijrah esok saya ingin mengambil kesempatan mengucapkan Salam Maal Hijrah kepada semua sahabat yang selama ini sudi bertandang ke blog saya yang serba kekurangan ini.

Petang ini merupakan penutup bagi tahun hijrah 1430. Saya kira seperti di tahun-tahun yang lalu masjid-masjid dan surau-surau ditempat kita akan mengadakan aktiviti-aktiviti seperti doa akhir tahun dan doa awal tahun menjelang maghrib nanti. Mungkin ada juga masjid-masjid dan surau-surau mengadakan ceramah mengenai maal hijrah.

Sempena menyambut Maal Hijrah ini sama-samalah kita mengingati dan menghayati penghijrahan serta perjuangan Rasulullah s.a.w dan sahabat dalam peristiwa Hijrah dari Makkah ke Madinah. Peristiwa penting dalam sejarah Islam.

Esok 1 Muharam bermulalah lembaran baru dalam hidup kita dah semoga kita sama-sama berhijrah daripada yang baik kepada yang lebih baik. Sesungguhnya kita adalah umat terbaik. Untuk renungan bersama:

Firman Allah ta'ala: “Demi masa, sesungguhnya manusia dalam kerugian, kecuali mereka yang beriman, yang mengerjakan amal soleh, yang berpesan-pesan dengan kebaikan, dan yang berpesan-pesan dengan kesabaran.”

Nabi s.a.w. bersabda; “Berusahalah untuk duniamu seolah-olah kamu akan hidup selama-lamanya dan berusahalah untuk Akhirat mu seolah-olah kamu akan mati esok hari.” - Sahih Muslim

Jumaat, 11 Disember 2009

Melepas Bosan Di Sungai Besar







Cantiknya pemandangan di sepanjang jalan menuju ke Sungai Besar.

Hari Sabtu lepas untuk menghilangkan rasa bosan di rumah, saya dan suami buat keputusan untuk berjalan-jalan ke Sungai Besar. Orang kata di Sungai Besar udang, sotong dan ikan segar-segar. Harganya pun boleh tahan murah.



Seperti biasa kalau tokbah dengan nekma nak kemana-mana mesti ada orang nak ikut. Kami bergerak dari rumah zulaikha di Puncak Alam. Dari situ dah agak dekat untuk ke Kuala Selangor iaitu kira-kira 30 kilometer lebih. Akhirnya kami berlepas menuju Sungai Besar lebih kurang jam 10.30 pagi. Zulaikha sekeluarga ikut sekali.

Semasa dalam perjalanan ke Sungai Besar terutama ketika di Kuala Selangor, di sepanjang jalan ramai orang berjual buah-buahan. Terutama mangga dan jagung rebus. Tapi frust sikit sebab mangga yang dijual ketika ini bukan mangga dari Kuala Selangor sendiri seperti kebiasaannya. Harganya pun RM8.00 sekilo. Borong semua mangga harga serupa tak kira mangga apa. Menurut sipenjual, mangga-mangga tu dari siam. Mangga Kuala Selangor dan mangga di kawasan sekitarnya akan mula dijual dalam bulan April tahun depan. Jagung rebusnya muda dan manis.



Pada saya, rasanya harga mangga tu agak mahal berbanding jika dijual di Shah Alam ni. Bukanlah murah sebagaimana dijangka. Kata penjual tu kalau mangga dari situ boleh dapat 3 hingga 4 kilo dengan harga RM10.

Tiba di Sungai Besar lebih kurang jam 1.00 tengahari. Besar jugak pekan Sungai Besar. Di situ ada terdapat banyak kedai yang menjual bermacam-macam barangan. Terutama kedai yang menjual pakaian, tudung dan kain-kain ela.

Memandangkan waktu tu dah tiba waktu makan, kami cari tempat untuk makan, akhir jumpakan restoran ni.



Ramai pelanggan di kedai tu. Makanannya boleh tahan. Begitu juga harga makanan yang kami makan boleh dikirakan murah berbanding dengan harga makanan di restoran di Shah Alam ni.

Kami pusing-pusing kejap di pekan tu. Singgah satu dua kedai. Disatu kedai tu saya beli 4 pasang telekong. Cantik telekongnya bersulam kerawang, harga cuma RM49.90. Kalau di Shah Alam jangan harap nak dapat dengan harga tu. Saya beli 4 pasang telekong untuk dihadiahkan sorang satu. Satu untuk saya, dua untuk 2 anak perempuan dan 1 untuk menantu saya.

Akhir sekali, kami ke Pasar Awam Sungai Besar. Di situ kami beli udang, sotong. Ikan ada juga beli sikit. Semuanya memang segar-segar. Rasanya lain kali kalau nak beli udang, sotong atau ikan kena pegi awal pagi.

Semasa perjalanan balik, kami singgah lagi di gerai-gerai ditepi jalan tu untuk beli pisang. Saya beli pisang tanduk sikit. Balik terus buat goreng pisang. Sedap. Menyesal pulak beli sekilo jer.

Isnin, 7 Disember 2009

Perpisahan - Adakah Jalan Terbaik???




"Derhaka sungguh dia pada suami" Adik ipar saya mulakan cerita mengenai anaknya sebaik saja adik beradik yang lain bergerak balik selepas kami berkumpul sempena hari raya aidiladha. Adik ipar saya ni isteri kepada adik saya. Hanya kami berdua saja yang telah bermenantu dan bercucu. Jadi kiranya hanya kami yang faham masalah macam ni.

"kenapa" tanya saya "tak berbaik lagi ker"

"belum, makin teruk ada" sambong dia

Adik ipar saya terus bercerita, nampak sedih dan resah dimuka dia. Sebenarnhya kami jarang bercerita hal anak-anak yang dah berkeluarga melainkan hal yang elok-elok saja. Saya sebagai kakak yang sulunglah yang selalu jadi tempat mencurah apa-apa kesulitan.

"Hari tu kami lenjun mandi gulai siput sedut yang melayang ditendang menantu kesayangan". Terkepil mata saya mendengar. Terkejut ada marah pun ada. Mana pergi sopan santun dan budi bahasa budak ni, fikir saya. Rasa hormat pada suami dan mertua sudah lenyap sama sekali. Rendahnya budi bahasa. Itulah detak hati saya.

Tergenang air matanya, adik saya yang ada bersama-sama kami diam jer tak menyampok. Banyaklah lagi cerita menantunya kesayangannya diceritakannya.

Menurut cerita, kisah ini bermula bila si menantu syak suaminya (anak saudara saya) ada perempuan lain. Semenjak tu mereka selalu bergaduh. Bila ditanya kepada anak saudara saya, kenapa boleh jadi macam ni, dia kata dia dah tak tahan lagi dengan perangai isterinya. Tiap-tiap hari asyik marah dan berleter. Duit ringgit gaji langsung tak boleh pegang, semua si isteri yang kontrol.

Sekarang si isteri asyik mintak. Cerita di atas terjadi beberapa hari sebelum raya haji, di mana kerana terlalu marah sebaik sahaja menantunya tiba di rumah adik saya (ibubapa mertuanya) dan ternampak suaminya sedang makan bersama bersama mertuanya dan adik beradik yang lain, dia terus tendang lutut suaminya. Ketika itu mereka makan dilantai. Bertaburan lauk pauk terpercik kepada mereka yang sedang makan termasuk anaknya (cucu adik saya) yang berusia 4 tahun. Anak tu meraung-raung pedih mata terpercik gulai lemak cili api.

Nak elakkan pergaduhan terjadi depan ibubapa agaknya, anak saudara saya berjalan ke dapor. Masa nilah terdengar pelepak pelepok macam orang sedang tendang menendang. Adik ipar saya meluru ke dapor bimbang anakannya pukul menantunya, rupanya menantunya sedang menendang anaknya. Anaknya tak melawan cuma cuba mengelak saja. Dia siap memekik-mekik kononnya ibubapa mertuanya tidak pandai ajar anak (suaminya) sebab itulah suaminya berperangai macam ni.

Sibapak mertua tak setuju anaknya bercerai kerana bimbang dia tidak akan dapat melihat cucunya lagi. Tapi siibu yang diberikan Allah 1 akal 9 nafsu ni meminta anaknya melepaskan saja isterinya kalau itu yang dia mahu. Dia tak sanggup melihat anak yang dilahirkan, dididik dari sebesar 2 jari diperlakukan menantunya sedemikian rupa.

Saya sendiri terkejut mendengar cerita tu. Tak tahu apa nak kata, tapi sebagai insan yang juga diberikan Allah 1 akal 9 nafsu ni kalau ditanya keputusan saya ketika ini, Saya rasa isteri yang menderhaka ni patut dilepaskan saja.

Jumaat, 4 Disember 2009

Kelebihan Ayat Kursi



Allah, tidak ada yang benar disembah hanya Dia yang Hidup dan Maha Kaya, tidak pernah ditimpa mengantuk dan tidak pernah tidor, bagin Nya sesuatu yang ada di langit dan di bumi, tidak ada yag boleh membri syafaat kecuali denga izin Nya. Ia maha mengetahui segala apa yang terjadi di hadapan mereka dan dibelakang mereka. Tidaklah mereka meliputi ilmunya sedikit jua kecuali yang dikehendakki Nya. Lebih luas kerusiNya dari langit dam bumi. Tidak susah bagi Nya memelihara keduanya. Ia maha Tinggi dan maha Besar.

Kelebihan Ayat Kursi

Dalam sebuah hadis, ada menyebut perihal seekor syaitan yang duduk di atas pintu rumah. Tugasnya ialah untuk menanam keraguan di hati suami terhadap kesetiaan isteri di rumah dan keraguan di hati isteri terhadap kejujuran suami di luar rumah.

Sebab itulah Rasulullah tidak akan masuk rumah sehinggalah Baginda mendengar jawapan salam daripada isterinya Di saat itu syaitan akan lari bersama-sama dengan salam itu.....

Hikmat Ayat Al-Kursi mengikut Hadis-hadis :

1. Barang siapa membaca ayat Al-Kursi apabila berbaring di tempat
tidurnya,Allah SWT mewakilkan dua orang Malaikat memeliharanya hingga subuh.

2. Barang siapa membaca ayat Al-Kursi di akhir setiap sembahyang Fardhu, dia akan berada dalam lindungan Allah SWT hingga sembahyang yang lain.

3. Barang siapa membaca ayat Al-Kursi di akhir tiap sembahyang, tidak menegah akan dia daripada masuk syurga kecuali maut dan barang siapa membacanya ketika hendak tidur, Allah SWT memelihara akan dia ke atas rumahnya, rumah jirannya dan ahli rumah-rumah di sekitarnya.

4. Barang siapa membaca ayat Al-Kursi di akhir tiap-tiap sembahyang fardhu, Allah SWT menganugerahkan dia setiap hati orang yang bersyukur, setiap perbuatan orang yang benar, pahala nabi-nabi serta Allah melimpahkan padanya rahmat.

5. Barang siapa membaca ayat Al-Kursi sebelum keluar rumahnya, maka Allah SWT mengutuskan tujuh puluh ribu Malaikat kepadanya mereka semua memohon keampunan dan mendoakan baginya.

6. Barang siapa membaca ayat Al-Kursi di akhir sembahyang Allah SWT akan mengendalikan pengambilan rohnya dan dia adalah seperti orang yang berperang bersama Nabi Allah sehingga mati syahid.

7. Barang siapa yang membaca ayat Al-Kursi ketika dalam kesempitan nescaya Allah SWT berkenan memberi pertolongan kepadanya.

Isnin, 30 November 2009

Rahsia Cermin Mata Hitam



Ku pakai kaca mata
Tiap hari dan masa
Ramai orang bertanya
Mengapakah sebabnya


Itu antara lyric lagu bertajuk Kaca Mata oleh Rafeah Buang. Lagu zaman pop yeh yeh. Rafeah buang kata dia berkaca mata sebab tak tahan bertentang mata dengan pemuda mata keranjang. Tapi ada banyak lagi sebabnya selain itu.

Saya suka tengok orang berkaca mata hitam. Nampak segak dan lawa bagi lelaki dan nampak cantik serta bergaya pada wanita.

Berkaca mata hitam ni selain untuk melaram banyak lagi gunanyakan. Kaca mata hitam juga banyak menyimpan rahsia sepemakainya. Terutamanya orang yang sakit mata. Mereka memakai cermin mata hitam untuk mengelak orang tahu yang mata dia tu bengkak dan merah. Kalau orang tahu dia sakit mata, orang akan lari jauh-jauh.

Teringat masa kerja dulu, kalau datang ofis ketika sakit mata rakan sepejabat akan kata:

Kalau non malay dia kata "ayoooo you sakit mata, bahaya you know, you better go home, nanti kita semua kena wooooo". Tak jaga langsung perasaan kita.

Kalau melayu beralas juga sikit" baik kau jumpa doktor dan rehat di rumah, nanti mata kau makin sakit dan melarat". Hu hu hu pada hal dalam hati suruh kita pegi jauh-jauh takut terjangkit dia. Tapi untuk tidak mengejikkan hati kita dan sebab kita orang islam masih percaya bahawa "Allah yang berkuasa atas segalanya", dia cakaplah baik-baik. Boleh dikira ikhtiarlah jugak tu supaya tidak berjangkit.

Kadang-kadang kecik juga rasa hati. Tapi buat-buat senyum.

Selain untuk melaram dan menyorok sakit mata, ia juga boleh melindungi sesuatu rahsia atau kekurangan yang ada pada wajah khasnya mata sipemakai. Macam-macam rahsialah. Almaklumlah.

Itu ringkasan cerita kaca mata hitam. Cerita sebenarnya yang nak saya sampaikan ialah mengenai anak perempuan saya dan anaknya diserang sakit mata. Kesian saya tengok. Mata kedua-duanya dah macam mata drakula. Bengkak dan merah. Berkurunglah di rumah takut berjangkit orang lain. Si emak MC 2 hari, si anak tak ke tadika.

Sakit mata ni memang sangat menyiksakan. Rasanya semua orang pernah merasanya. Siksanya bila bangun tidur di waktu pagi, mata tak boleh bukak. Tertutup habis. Meraba-raba mencari air. Dapat air baru terang penglihatan.

Ratu Ku



Saling Pesan Memesan Antara Kita

Khamis, 26 November 2009

Salam Aidiladha



Hari ini pagi-pagi lagi saya dah ke pasar Seksyen 16 di Shah Alam untuk membeli daun kelapa nak dibuat sarung ketupat. Memandangkan hari ini baru hari Rabu dan 10 Zulhijjah jatuh pada hari Jumaat ini, tak ramailah sangat orang di Pasar tu. Saya beli awal daun tu supaya saya ada masa untuk mengayam sarung ketupat tu. Esok bolehlah saya rebus ketupat tu sebelah petang. Saya tak larat nak berjaga hingga jauh malam menunggu ketupat masak.

Walaupun ini cuma hari Raya Aidiladha saya akan masak juga sikit-sikit untuk kami sekeluarga dan untuk adik-adik yang kebiasaannya akan datang ke rumah.

Di Shah Alam ni sekarang kita akan nampak lembu-lembu yang nak dikorbankan tu ditambat berhampiran kawasan masjid. Masjid dekat rumah saya ni akan memulakan ibadat korban ini selepas sholat sunat Aidiladha sehinggalah dua tiga hari selepas tu. Pada beberapa tahun lepas ada sebuah masjid di Shah Alam ini menyembelih unta sebagai korban. Tahun ni tak taulah pulak ada unta atau tidak.

Bila sebut Raya Aidiladha mesti kita teringat kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dalam menunaikan perintah Allah dan kesabaran anaknya Nabi Ismail dalam memenuhi perintah Allah S.W.T. Pada 10 Zulhijjah ni jugalah Nabi Adam dan Siti Hawa bertemu semula di Arafah setelah mereka terpisah sekian lama, dengan menanggung penderitaan sebagai Kafarah atau pembersihan dosa akibat makan buah larangan syurga.

Ketika ini mesti jemaah Haji kita iaitu termasuklah adik beradik kita, saudara mara kita dan sahabat handai kita yang berada di Mekah sedang bersiap untuk berangkat ke Arafah bagi berwukuf dan seterusnya bersiap juga untuk urusan kerja-kerja ibadat haji. Semoga mereka semua mendapat haji yang mabrur.

Selasa, 24 November 2009

Sampah Mu Rezeki Ku









Sampah-sampah selepas diselongkar, tengoklah sampah yang dah dipilih dari tempat lain disimpan sementara di rumah berkenaan kerana dia tahu tuan rumah akan balik waktu petang. Dia akan pastikan sampah-sampah tu di ambik sebelum tuan rumah balik

Tut-tut-tut, itu mesti bunyi motor budak bangla yang selalu mengeledah sampah yang kami letak di dalam tong sampah di luar rumah. Apa nak buat sampah yang kita buang tu menjadi sumber rezeki dia orang ni.

Dalam kesian kadang-kadang tu kita rasa juga nak marah. Apa tidaknya sampah yang kita dah ikat dalam plastik elok-elok dan dimasukkan di dalam tong sampah untuk diangkut oleh lori sampah MBSA dikeluarkannya. Di selongkarnya sampah-sampah tu untuk mencari barang-barang yang boleh dapat duit. Walaupun mereka ikat balik plastik-plastik sampah tu tapi mereka tak masukkan balik dalam tong sampah sebaliknya dibiarkan berselerakan di situ.

Di perkitaran rumah saya ni ada beberapa orang bangla yang berebut-rebut menyelongkar sampah. Ada seorang perempuan cina yang selalu terbongkok-bongkok memunggah sampah dari tong sampah kita. Berebut-rebut mereka ni selongkar sampah-sampah tu. Mewahnya negara kita yer, hinggakan sampah pun boleh jadi duit.

Kira-kira sebulan lepas saya ada terbaca dalam sebuah akhbar tentang seorang berbangsa cina lulusan MBA sanggup berhenti dari jawatannya yang tinggi di sebuah syarikat semata-mata ingin menjadi pemungut sampah. Katanya dah ramai kawan-kawan yang berjaya. Katanya dia boleh antara RM4,000 - RM5,000 sebulan.

Dah nama pun orang cerdik. Sekarang dia menulis buku mengenai bagaimana cara nak mendapat harga yang tinggi bagi barang terbuang. Yang bijaknya, dia menjual buku ni melalui internet. Pada sesiapa yang ingin mengetahui rahsia mendapat duit lebih dari barang terbuang kena bayar RM25 bagi satu program.

Macam-macam cara Allah jadikan sebagai punca rezeki kepada kita manusia.

Sabtu, 21 November 2009

Rindu Mengimbau



Khamis baru-baru ni saya ke PPUM lagi untuk pemeriksaan doktor yang mesti dibuat setiap 6 bulan sekali. Keputusannya Alhamdulillah semua baik cuma gula tinggi sikit dalam darah. Hai makin tua makin manis nampaknya.

Sambil menunggu tu saya nampak banyak ibu-ibu atau bapa-bapa yang dah berusia dan berkerusi roda ditolak oleh anak-anak mereka untuk berjumpa doktor. Ada ditolak oleh anak perempuan, ada ditolak oleh anak lelaki dan ada juga ditolak oleh suami.

Terfikir dibenak saya betapa si ibu atau ayah merasa bersyukur mempunyai anak yang bersedia mencurahkan bakti dengan penuh kasih sayang terhadap kedua ibu mereka. Pengorbanan ibu yang bertarung nyawa ketika melahirkannya, memelihara, melindungi serta memberi kasih sayang sepenuhnya kepada anak-anak tetap dihargai. Besarya ganjaran pahala dan balasan yang baik akan tetap diterima oleh si anak.

Bertepatan dengan Hadis Rasulullah:

Dari Abdullah bin Umar radiallahuanhu berkata bahawa Rasulullah sallallahu alaihi wasallam bersabda yang bermaksud:

"Keredaan Allah terletak pada keredaan kedua ibu bapa dan kemurkaan Allah terletak pada kemurkaan kedua ibu bapa."

Rasulullah juga bersabda"

Dari Anas bin Malik radillahuanhu berkata bahawa Rasulullah sallallahu alaihi wasallam bersabda yang bermaksud:

"Barangsiapa yang suka dipanjangkan umurnya dan ditambahkan rezekinya maka hendaklah ia berbakti kepada kedua ibu bapanya dan menghubungkan silaturahim."

Bila melihat keadaan macam ni, saya rasa sayu tiba-tiba, teringat dan rindukan mak saya. Dulu saya juga seperti mereka. Selama 2 tahun saya juga merupakan orang yang akan menolak kerusi roda mak saya setiap kali dia perlu berjumpa doktor.



Mak saya tinggal dengan saya selepas ayah saya meninggal. Dia yang memang mengidap darah tinggi dan diabetis terkena strok dari pinggang ke bawah ketika berusia lewat 50 an. Mak saya meninggal selepas 2 tahun beliau lumpuh. Mak anak mu ini sentiasa berdoa kepada Allah untuk ayah dan ibu "Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada ibubapa ku sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil"

Saya masih ingat bila emak saya kena strok keadaan memang susah sangat. Maklumlah saya bekerja. Nasib baik masa tu anak-anak saya ada yang bersekolah pagi dan ada yang bersekolah petang. Jadi semasa ketiadaan saya anak-anak sayalah yang menjaga keperluan nenek mereka. Saya pula akan menyiapkan makanan tengahari mereka sebelum ke tempat kerja. Selalunya waktu makan tengahari suami saya yang kebetulan pejabatnya di Shah Alam akan balik ke rumah.

Peristiwa ini dah 9 tahun berlalu. Tapi kerinduan dan ingatan pada mak dan ayah saya masih kuat terutama bila saya melihat orang-orang tua.


"Dan kami wajibkan manusia berbuat kebaikan kepada kedua ibubapanya; Ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah". (Surah Al-Ahqaf Ayat 15)

Hidangan Zaman Jepun







Pagi tadi saya ke Pasar Tani di Seksyen 17. Lama tak pegi Pasar Tani tu. Rupanya dah ramai orang-orang berjual di sini. Dulu Pasar Tani ni tak banyak sangat gerai macam sekarang. Niat asal cuma nak beli ubi kayu saja sebab dari semalam saya dok mencari ubi kayu di kedai berdekatan dengan rumah. Semua tak ada jual.

Hasben sayalah teringin sangat nak makan ubi kayu rebus dicicah kelapa parut. Agaknya keadaan hujan dan lembab ni mengingatkan dia zaman dulu-dulu semasa di kampong. Musim-musim hujan macam sekarang ni selalunya kami rebus ubi kayu atau keledek untuk hidangan minum petang.

Dulu di kampong, bila musim hujan, terutamanya dalam bulan Disember, petani-petani akan menggali ubi-ubi mereka dan menjual dengan harga yang murah dari biasa. Mereka terpaksa mencabut pokok-pokok ubi berkenaan sebelum tanah bertakung air. Ini adalah kerana apabila tanah bertakung air, ubi didalamnya akan terendam yang boleh menyebabkan ubi-ubi tu menjadi busuk. Sesiapa yang nak membelinya kena pegi sendiri ke kebun.



Biasanya bila ubi kayu tu dibeli dalam jumlah yang banyak akan ditanam, dalam tanah untuk mengelak ubi-ubi dari busuk dan juga supaya ia tahan lama. Tempat ubi ni ditanam akan diletakkan penanda di atasnya contohnya dipancangkan kayu atau lain-lain cara untuk menyenangkan kita menggalinya apabila diperlukan.

Sayangnya meyimpan ubi dalam tanah ni ada juga risikonya kalau hujan turun lebat. Mana tidaknya kalau nasib tak baik, bila hujan turun dengan lebat, kayu penanda rebah ke tanah, kita pun dah tak jumpa di mana ubi itu ditanam. Kawasan yang digali tu pun dah tak nampak kesannya.

Rabu, 18 November 2009

Meniti Hari Senja



Selepas sholat zohor tadi. Aku baring dan cuba lelapkan mata, sekejap pun cukuplah, sekadar merehat badan dan minda. Namun mata ni terkelip-kelip tak mahu lelap.

Sejak akhir-akhir ini macam-macam perkara yang singgah dalam fikiran ku. Terutama bila aku keseorangan begini. Kadang-kadang hati merasa sayu tak menentu. Terkenang diri yang sudah menjangkau setengah abab. Macam-macam penyakit dah singgah. Aku sedar bila-bila pun Allah boleh menjemput ku pergi. Memikirkan kematian aku selalu rasa takut. Mana tak takutnya bekalan yang aku siapkan untuk dibawa bersama ke sana tidak sebanyak mana.

Sebagai manusia yang dianugerahkan keistimewaan dan kelemahan berbanding makhluk-makhluk lain, aku seringkala tergoda dan tewas dengan pujukan iblis. Semoga Allah mengampuni dosa-dosa ku dan menerima taubat ku.

“Wahai Tuhan kami, janganlah engkau condongkan hati kami sesudah engkau berikan petunjuk. Dan kurniakanlah kepada kami dari sisi-Mu kerahmatan, sesungguhnya Engkau adalah sebaik-baik pemberi kurniaan.” ( Surah ali-Imran, ayat 8.)

Selasa, 17 November 2009

Tak Sayang Anak Ker



Pagi tadi sebaik tiba di kawasan rumah ketika balik dari Masjid Negeri Shah Alam, aku nampak ada polis sedang menahan 2 orang budak lelaki naik motorsikal. Kedua-dua budak ni mungkin dalam usia 13 tahun atau kurang. Budak ni mesti tak ada lesen motorsikal, naik berdua pulak tu dan yang sah tidak memakai topi keledar.

Aku suka mereka kena tahan. Biar mak ayah dia rasa. Aku bukan dengki, bukan busuk hati. Aku kata macam tu, sebab aku memang geram dan dah tak tahan tengok budak-budak kecil ni bermaharajalela naik motorsikal kesana kemari bersukaria. Topi keledar jangan haraplah nak pakai. Kadang-kadang aku tengok budak-budak kecik sangat lagi, mungkin dalam lingkungan usia 11, 12 tahun atau paling tinggi 13, 14 tahun. Dalam usia macam ni mana dia orang layak ambil lesen motorsikal.

Aku selalu berkata dalam hati, mak ayah dia orang tak risau ker biarkan anak menunggang motorsikal walaupun tahu merbahaya dan melanggar undang-undang jalanraya. Langgar undang-undang tak aper, mak bapak duit banyak, boleh bayar. Macam mana kalau eksiden. Kalau mati, tak ker menyesal sepanjang hayat. Memanglah hidup mati Allah yang menentukan, tapi kalau dah tahu perbuatan itu merbahaya kenapa tak larang.





Budak-budak ni kalau kita tegor, wah bukan main dia menjeling pada kita. Kalau boleh nak dilanggarnya kereta kita.

Zaman dah berubah. Dulu zaman aku kecik-kecik, kami bukan saja takut pada mak bapak sendiri kalau buat sesuatu yang merbahaya, tapi takut juga kepada jiran atau kepada orang yang lebih tua dari kita. Walaupun orang tu kita tak kenal. Kalau mereka larang kita ikut.

Dulu, rumah kami terletak di kawasan pantai. Selalulah pegi mandi laut. Mak tak tau. Ayah lagilah tak tahu sebab dia pergi kerja. Kalau mak tau mesti kena marah, silap2 kena pukul. Tapi walaupun mak tak tahu, kita takut juga pada orang-orang tua (dewasa) yang berada di tepi pantai tu. Dia orang akan larang kita mandi-manda di laut tu dan suruh kita balik. Siap ugut lagi kalau tak balik mereka nak pukul.

Mereka berani kata "kalau kau tak balik, aku pukul (selalunya mereka akan pegang kayu), biar mak bapak kau marah kat aku daripada dia orang menangis bila engkau orang mati lemas, menyusahkan orang".

Sekarang ni mana kita berani tegur budak-budak ni. Kalau kita tegur tak payah tunggu mak bapa dia marah kita, budak-budak tu sendiri pun berani marah kita balik. Kalau beritahu mak bapak dia orang pun mungkin mak bapak dia orang akan suruh kita jaga tepi kain kita sendiri.

Satu waktu dulu semasa DYMM Sultan Johor jadi Yang DiPertuan Agong, baginda pernah kata (tengok kat tv), "dalam mendidik anak "biar dia (anak) menangis kerana kita daripada kita menangis kerana dia besok". Baginda bermaksud dalam mendidik anak, biar dari kecik. Kalau perlu dipukul, pukul, jangan besok kita ibubapa yang menangis jika terjadi sesuatu pada anak atau bila anak tu mula tak mendengar cakap.

Ada kebenarannya.

Khamis, 12 November 2009

Pertemuan ahli Kelab POP



Hari ni, pagi-pagi lagi aku dan suami bersiap-siap untuk ke PPUM. Hari ni aku kena buat ujian darah untuk cek gula, buah pinggang, hati dan macam-macam lagilah. Beginilah setiap 6 bulan sekali orang macam aku ni kena buat. Dah masuk kelab POP (Persatuan Orang Pencen), kata kawan-kawan senasib.

Jam 7.30 pagi dah tiba di tempat ambik darah PPUM, ya Allah, baru 7.30 pagi orang dah ramai, pukul berapa mereka ni datang. Aku ambik nombor giliran untuk pendaftaran. Dapat nombor 7143. Waktu tu baru no 70..... sedang dipanggil, kira-kira dalam 80 orang lagi baru sampai giliran aku untuk mendaftar. Itu baru untuk daftar, belum lagi untuk ambik darah, kena tunggu lagi. Di sini siapa yang berusia 70 ke atas dikira usia emas, pesakit usia emas ni akan dipanggil dulu tanpa mengikut giliran. Tak aperlah tu.

Semasa menunggu nombor diambik, aku duduk di salah satu kerusi disitu. Masa tu hasben aku belum tiba sebab dia kena parking kereta dulu. Dia turunkan aku di depan bangunan RUKA. Sedang tunggu-tunggu tu, tiba aku nampak seseorang 'Pak Ayub". Itu kawan sepejabat dulu. Tapi dia dah bersara lebih dari 10 tahun. Sihat nampak dia. Aku panggil dia. Kami bercerita tentang kawan-kawan sesama kerja dulu. Giliran Pak Ayub lambat lagi sebab dia tiba 8.15 pagi.

Lebih kurang jam 9.00 pagi giliran aku tiba untuk ambik darah. Ambik darah ini aku selalu takut sikit sebab aku ni jenis susah nak nampak urat darah. Kena yang betul-betul cekap barulah senang ambik tanpa menyiksa aku. Kali ni aku dapat nurse india, kasar dia ni cucuk ambik darah aku. Sakit....., tapi sabar jerlah.

Selepas nurse ambik darah, aku ternampak member ofis lagi, dia ni pun dah pencen, Ramalingam. Kami bertukar senyum saja sebab dia pun nurse sedang ambik darah. Hai ramai memberi kelab ni.

Selesai ambik darah, hasben aku suruh tunggu depan RUKA lagi, dia ambik kereta. Sementara tunggu hasben aku tiba, aku ke kedai jual buah-buah. Buah-buah disitu selalunya segar-segar.

Sedang aku beli buah tiba-tiba terpandang lagi seseorang, "Kak Rahmah", hampir aku tak kenal dia. Wah bercermin mata gelap dia. He he. Aku tegur dia, seronoknya, dia kata dia baru buat buang catarek mata dia di Hospital Mata Tun Hussin Onn. Tanya kenapa tak buat di PPUM, dia kata lambat. Tertangguh dari tahun lepas.

Kami bercerita panjang. Dia baru balik umrah semasa bulan Ramadhan hari tu dan balik ke sini selepas raya. Alhamdulillah. Kak Rahmah ni ke Mekah mengerjakan umrah setiap bulan Ramadhan. Alhamdulillah murah rezekinya walaupun hanya menerima pencen. Anak-anak yang berikan, katanya.

Ketika berpisah, aku berjanji dengan Kak Rahmah untuk menghubunginya lagi. Sihat dia walaupun dah menjejak usia 67 tahun.